Home Novel Komedi/Romantik Komedi ABANG CIK. COM.MY
ABANG CIK. COM.MY
Fida Rohani
17/6/2015 03:26:44
50,065
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 9

Sejak seminggu ini, wajah Acik sangat muram. Tidak ada gurau senda lagi dengan adik-adiknya. Makan pun sekadar mengalas perut sahaja.

“Mak, acik tu kenapa?” tanya Syaida kepada Mak Cik Hasiah.

“Entahlah. Dia pun belum cakap apa-apa dengan mak.”

“Jangan-jangan dia putus cinta tak?” Munirah mencelah dengan senyum-senyum.

“Ish! Mana acik ada kekasih. Teman rapat pun dia tak ada. Inikan pula teman istimewa merangkap kekasih,”kata Nana pula.

Mereka anak beranak saling membuat andaian.

“Nana rasa baik mak tanya dia. Kami bimbang kalau acik ada masalah. Mana tahu kita boleh tolong,” ujar Nana kepada Mak Cik Hasiah.

Mak Cik Hasiah termenung. Benar juga kata Nana.

Malam itu, Mak Cik Hasiah menunggu acik balik dari kerja. Dia sengaja duduk di hadapan TV di ruang tamu. Rumah setinggan itu tidak sebesar mana. Arwah suaminya yang menukang sendiri. Ia separuh batu dan separuh kayu. Selesa juga untuk orang-orang susah macam mereka.

Jam 11.00 malam, kedengaran enjin motor acik di tepi rumah.

“Eh, mak belum tidur lagi? Kenapa? Mak kan tak boleh berjaga,” tegur acik ketika membuka pintu.

“Mak risaukan Acik. Mak tak boleh tidur.”

“Mak? Kenapa nak risaukan Acik pulak. Mak kena jaga kesihatan mak,” balas acik lalu duduk di hadapan Mak Cik Hasiah.

“Acik murung seminggu ini. Adik-adik pun takut nak bergurau dengan acik. Kenapa? Acik ada masalah?” Mak Cik Hasiah terus kepada topik asal. Hari sudah malam. Dia tidak perlu berbelit-belit cakap.

Acik tidak terus menjawab. Sebaliknya dia mengeluh.

Mak Cik Hasiah semakin yakin bahawa anaknya memang sedang berdepan dengan masalah.

“Cakaplah dengan mak. Acik tak boleh pendam sorang-sorang. Bahaya!”

“Masalah di tempat kerja mak. Bos baru ni paksa Acik pakai skirt. Dia panggil Acik, tomboy!” jawab Acik dengan wajah yang tidak ceria langsung.

Hati Mak Cik Hasiah rasa ingin tersenyum. Namun dia cepat-cepat matikan rasa. Dia tidak mahu buat Acik tambah gelisah. Sebagai ibu dia mula simpati. Walaupun apa yang dikatakan oleh acik itu kedengaran remeh, tetapi ia memang berat untuk ditanggung.

“Maafkan mak,Acik,” kata Mak Cik Hasiah perlahan.

“Kenapa pula mak?”

“Kerana mak yang pakaikan Acik pakaian lelaki sejak kecil. Mak teringin nak anak lelaki selepas melahirkan Along dan Angah. Tetapi impian mak itu tak tercapai. Tuhan tetap berikan mak anak perempuan...” Mak Cik Hasiah mula sebak.

“Mak, dahlah. Bukan salah mak pun. Dah memang takdir Acik macam ni. Mak jangan fikirlah. Nanti jantung mak sakit. Tak apalah, Acik cuba ikut mana yang baik. Kalau Acik rasa tak boleh, Acik berhenti kerja. Senang saja, mak.”

“Acik, bukan senang nak dapat kerja dengan gaji yang Acik ada sekarang. Acik jangan buat keputusan terburu-buru.”

“Bukan soal itu sahaja Acik tak suka, mak.”

“Habis apa lagi?”

“Cik Noni, bos baru kami tu sangat garang dan tak berbudi bahasa. Hari pertama dia masuk, habis kami semua kena marah. Dia lain dari ayahnya, Encik Puad. Tak tahu kami semua boleh bertahan ke tidak.”

Mak Cik Hasiah ikut termenung.

“Mak harap Acik dapat bersabar. Sekurang-kurangnya sehingga Nana habis periksa.”

“Kalau Nana habis periksa, kenapa mak?”

“Dia boleh pergi kerja. Dia boleh bantu Acik. Taklah semua perbelanjaan Acik tanggung sorang-sorang macam ni.”

“Mak, Acik nak adik-adik berjaya. Acik akan buat apa saja demi mak dan demi mereka,” balas Acik, jujur.

Dada Mak Cik Hasiah mula sebak. Dia tahu kebaikan budi anaknya. Acik seorang anak yang sangat bertimbang rasa dan bertanggungjawab. Sejak kecil memang tidak pernah menyusahkan hati orang tua.

Dia menarik tubuh Acik ke dalam pelukannya. Jauh di sudut hati, dia berdoa agar ALLAH melindungi anak gadisnya ini.

“Acik masuk bilik dulu mak. Mak pun tidurlah. Jangan susah hati sangat pasal Acik. Tahulah Acik jaga diri Acik dan selesaikan masalah ini.”

Acik berlalu ke bilik. Dia merebahkan tubuhnya ke katil. Hari itu, dia tidak penat sangat kerana pelanggan tidak ramai. Sejak Cik Noni ambil alih, suasana di restoren itu mula berubah. Remaja yang suka melepak mula berkurangan.

“Saya tak suka restoren saya dijadikan tempat awak semua melepak. Kalau dah makan, awak boleh keluar. Biar orang lain pula yang masuk,” kata Cik Noni kepada beberapa orang pelajar remaja yang sedang membaca majalah dan novel di salah satu sudut.

Hati Acik tidak senang dengan teguran itu. Sangat kasar dan sombong.

“Bang, siapa tu?” tanya salah seorang dari remaja itu selepas Cik Noni berlalu.

“Bos baru.”

“Eee...berlagaknya! Dia ingat restoren ni saja yang ada di bandar ni. Kau tengoklah nanti!” kata yang seorang lain.

Acik mula terfikir akan masa depan Restoren Ayam Goreng Cinta. Apa akan jadi jika Cik Noni tidak ubah sikapnya. Encik Puad selalu mengajar mereka agar menghormati pelanggan.

“Tak ada pelanggan, tak ada kedai kita ni. Awak kena sentiasa hormatkan mereka walaupun mereka salah. Jaga bahasa bila bercakap. Jangan sampai ada pelanggan yang sakit hati dan marah.” Itu yang selalu diingatkan oleh Encik Puad.

‘Lama-lama pelanggan semua lari. Lama-lama kedai itu akan bangkrap dan tutup.’ Hati Acik berdetik risau.


Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.