Dengan berat hati Abang
Cik berjalan ke arah meja Jojo.
“Najihah, ini kad saya.
Saya tahu awak tak nak beritahu saya nombor telefon awak. Tak apalah, awak
simpan kad saya ni. Mana tahu satu hari awak perlukan pertolongan saya, saya
sedia membantu awak. Simpanlah,” hulur Jojo bersungguh-sungguh.
Abang Cik mengambil kad
itu dengan hati yang cuak dan tidak gembira. Sebelum ini dia memang tidak
pernah menerima kad nama dari seorang lelaki. Teman lelaki yang paling rapat
ialah Fitri dan Nikko. Kalau pergi berjalan-jalan pun hanya dengan mereka
berdua. Ibunya memang percayakan dua jejaka itu.
Jojo bangun. “Saya
minta diri dulu. Kebetulan sebulan ini saya ada kerja di bandar ini. Jadi,
dapatlah saya datang makan di sini setiap hari. Saya suka ayam goreng di sini
dan saya suka nak jumpa awak, Abang Cik,” kata Jojo dengan ketawa perli.
Wajah Abang Cik merah
padam. Hatinya berdenyut sakit. Ketawa
Jojo sangat menyakitkan hatinya.
“Encik Jojo, ambil
balik kad awak ni. Saya rasa tak perlu nak simpan kad ini. Saya pun tak kenal
encik. Encik pun tak kenal saya,” kata Abang Cik sambil menghulurkan kad itu
semula.
“Sekarang kita dah
berkenalan, kan?”
Abang Cik menarik muka
masam dan berjalan meninggalkan Jojo tanpa menoleh.
“Kenapa masam ni?”
tanya Fitri.
“Tak ada apalah. Pergi
buat kerja kau!” balas Abang Cik.
Fitri merenung wajah
Abang Cik yang merah padam itu. Dia tahu mesti ada yang tak kena dengan Abang
Cik.
“Apa yang lelaki tu
buat pada kau? Dia raba kau?”
“Ish, apa kau merepek
ni? Kau ingat tubuh aku ni tiang jamban yang boleh orang raba sesuka hati? Nak rasa
penumbuk aku, rabalah!”
Fitri ingin ketawa.
Tetapi dia menahannya. Dia tidak mahu membuatkan Abang Cik semakin marah.
“Heh! Nak kerja ke nak
berbual-bual ni?” sergah Cik Noni dengan kasar.
Fitri dan Abang Cik
menoleh.
“Saya bayar gaji awak
bukan suruh awak duduk berbual santai macam ni.”
Mereka diam tidak
menjawab. Hati Abang Cik yang memang tengah panas dengna Jojo kini dipanaskan
lagi oleh Cik Noni.
“Ini saya kenalkan, Cik
Inang Sari. Dia adalah pengurus baru di sini. Awak semua kena ikut semua arahan
dia,” kata Cik Noni.
Fitri dan Abang Cik
diam sahaja. Mereka tidak menunjukkan apa-apa reaksi selain mengangguk.
Restoren Ayam Goreng Cinta sudah bertukar pengurusan. Sekarang sudah ada
pengurus baru. Inang Sari! Nama yang dirasakan sangat purba.
“Saya buat kerja saya
dulu,” kata Abang Cik sambil melangkah pergi.
“Nanti dulu! saya belum
habis cakap. Siapa suruh awak pergi?” jerit Cik Noni.
Abang Cik berhenti melangkah. Dia berpaling semula ke
arah Cik Noni dan Cik Inang Sari.
“Awak jangan nak besar
kepala ya. Kalau tak suka dengan cara saya, awak boleh berhenti. Cik Najihah!”
kata Cik Noni dengan suara separuh menjerit. Memang dia sengaja menguatkan
suara ketika menyebut nama itu. Sebenarnya dia sedang memperli Abang Cik!
Hati Abang Cik semakin
panas. Tadi lelaki yang bernama Jojo menyakitkan hatinya dengan ketawa sinis.
Sekarang Cik Noni pula. Dia cuba memujuk hati agar bersabar.
“Saya dan Inang Sari
dah fikirkan cara yang baik nak tarik minat orang ramai ke restoren ini. Kami
perlukan kerjasama awak berdua.”
Fitri dan Abang Cik
tidak memberikan apa-apa reaksi. Mereka hanya mendengar dengan mata yang
terkelip-kelip.
“Saya bercakap dengan
kamu!” jerit Cik Noni.
Suara jeritan itu
sangat menyakitkan hati Fitri dan Abang Cik.
“Kami dengar. Apa yang
Cik Noni nak ni?” Giliran Fitri pula menjawab dengan suara yang sedikit
meninggi.
“Yang awak nak jerit
kat saya ni, apa hal?” sergah Cik Noni sambil bercekak pinggang.
Fitri terkesima. Dia
berpaling ke arah Abang Cik. Abang Cik menggelengkan kepala tanda jangan
melawan.
“Maafkan saya,” kata
Fitri perlahan. Ia tidak lahir dari hatinya. Sudah tentu ia tidak ikhlas.
“Inang, sila beritahu
mereka apa yang awak rancang,” kata Cik Noni kepada pengurus baru, Cik Inang
Sari.
“Begini, saya nampak
restoren ini boleh maju kalau kita buat iklan dan promosi yang
bersungguh-sungguh. Bila saya masuk ke sini tadi, saya dah tahu bahawa selama
ini restoren ini memang tak pernah dipromosikan di mana-mana. Kita hanya
berharap kepada pelanggan yang sudi singgah. Kita tak berusaha untuk mencari
pelanggan dan menarik minat orang untuk datang ke sini,” kata Cik Inang Sari.
Dia meneliti wajah Fitri dan Abang Cik silih berganti.
“Mulai esok, saya akan
siapkan cara nak promosikan restoren ini kepada umum. Saya perlukan bantuan
awak berdua.”
Fitri dan Abang Cik
angguk lagi. Walaupun mereka tak tahu apakah rancangan untuk esok, namun kepala
mereka ringan mengangguk. Itu lebih baik daripada ditengking lagi.
“Awak boleh pergi
sambung kerja awak sekarang.”
Fitri dan Abang Cik
dengan cepat melangkah meninggalkan dua wanita itu. Namun, beberapa langkah
sahaja, mereka dipanggil lagi.
“Najihah, saya tak nak
tengok awak menggatal dengan pelanggan macam tadi. Ini bukan panggung wayang,
ini restoren saya!” kata Cik Noni dengan kasar.
Fitri ingin melangkah
ke arah Cik Noni dengan genggaman penumbuk tetapi serta merta tangannya ditarik
oleh Abang Cik. Dengan cepat mereka melangkah meninggalkan dua wanita itu.
“Sabarlah,” bisik Abang
Cik.
“Aku tak boleh sabar
lagi. Tak tahu sampai berapa lama aku boleh bertahan di sini.”
“Kau nak tinggalkan
aku?” Abang Cik bertanya dengan gusar. Matanya merenung ke dalam mata Fitri.
“A... aku...” Fitri
tergagap. Renungan mata Abang Cik membuatkan dia gugup.
“Yalah, aku ni siapa
kan? Pergilah. Tinggalkan aku sorang di sini. Biarkan aku dibaham rimau tu
setiap hari. Biarkan aku dicaci maki. Biarkan aku...”
“Cukuplah.” Fitri
menutup mulut Abang Cik sebelum sempat Abang Cik meneruskan cakapnya.