Hari itu hari minggu.
Biasanya hari minggu, restoren makanan segera menjadi sasaran remaja melepak.
Ada yang bawa geng untuk belajar. Ada juga yang saja-saja nak
bersembang-sembang di internet dengan Wifi percuma. Ada yang sengaja nak
tumpang sejuk penghawa dingin. Duduk tiga empat jam, minum air segelas sahaja!
Restoren Ayam Goreng
Cinta (AGR) juga begitu. Sentiasa dipenuhi kalau hari minggu. Fitri memang
sudah lali dengan keadaan begitu. Sudah dua tahun dia bekerja di situ. Daripada
pelayan biasa, dia sudah naik pangkat menjadi ketua.
“Fit, Zarith tak datang
hari ni. Dia baru call aku, mak dia nak bersalin,” kata Nikko, ketika Fitri
sedang menyemak jadual bertugas untuk hari itu.
“Alamak! Kalau macam
tu, kita tak cukup crew hari ni. Hari minggu pulak tu. Zarith ni pun satu.
Kalau pun nak cuti, hari lainlah. Hari minggu pergi cuti, teruklah aku!” rungut
Fitri.
“Hoi bro!, kalau orang
nak beranak, mana kira hari tu kau sibuk ke tidak!” jerit Nikko sambil menyusun
kerusi meja.
Fitri menggaru kepala.
“Siapa nak ganti ni?
Kita dah lah kurang orang. Kalau sorang tak datang, susah nak jaga.”
“Apa susahnya, kau call
saja abang cik kau tu. Dia tu bila-bila masa saja suka nak kerja.”
Fitri termenung. Wajah
orang yang dipanggil abang cik terbayang di ruang mata.
“Tapi dia belum ambil
off dah tiga minggu,” kata Fitri.
“Alah, dia kan tamak
kerja. Dia mesti datang kalau kau panggil. Dia sibuk cari duit nak kahwin tu!”
“Hah? Biar betul ni?”
Fitri ternganga.
“Aku gurau je. Kau ni,
lurus bendul betul. Abang cik kau tu, mana ada boy friend. Mungkin dia tunggu
kau kot!” Nikko mengekek.
“Jangan nak buat lawak
hal macam ni, Nik. Kalau orang dengar, malu aku.” Fitri berwajah serius. Geram
hatinya dengan gurauan Nikko itu.
“Malu kenapa? Kalau
benar apa salahnya?”
“Heh! Dahlah. Malas aku
nak layan kau ni!” Fitri kembali menatap jadual kerja yang ada di tangannya.
Fikirannya ligat
berputar. Kalau tak cukup pekerja, suasana akan lintang pukang.
“Nik! Kau call abang
cik suruh datang kerja!” laung Fitri kepada Nikko yang sedang menyusun kerusi
meja.
“Alright bro!” balas
Nikko. Tanpa membuang masa Nikko keluarkan telefonnya dari poket. Dia menekan
nombor, kemudian menunggu. Dua tiga kali, panggilannya tidak berjawab.
“Bro! Tak dapat. Dia
tak jawab!” laung Nikko.
“Alamak! Macam mana ni?
Cubalah lagi sampai dapat!” balas Fitri.
Nikko akur. Dia menekan
lagi. Tunggu lagi. Tetap tidak ada jawapan.
“Malaslah aku. Budak ni
tidur ke pergi makan angin agaknya!” jerit Nikko.
Wajah Fitri muram. Dia
tiba-tiba rasa bimbang. Selalunya kalau hari minggu, memang hari off abang cik.
Tetapi, dia jarang ambil off. Abang cik akan datang bekerja bersama Nikko,
Zarith, Dila dan Jimmy. Dia sendiri akan menjaga kaunter bayaran. Itupun, kelam
kabut dan lintang pukang restoren itu.
Dia berjalan semula ke
arah Nikko.
“Selalu berlima. Hari
ini hanya empat,” rungut Fitri.
“Berlima dah kelam
kabut, berempat akan terlungkup!” balas Nikko pula dengan gelak.
“Apa nak buat ni?”
tanya Fitri, sangat gusar.
“Bro, kau suruhlah bos
ambil pekerja lagi. Kita dah tak mampu bertahan kalau macam ni. Restoren kita
makin maju. Sales kita makin naik tapi pekerja tetap macam ni juga.”
“Aku dah cakap. Dia pun
dah suruh ambil aja kalau ada yang datang minta kerja. Masalahnya, tak ada yang
datang. Langsung tak ada. Yang pekak dan yang bisu pun tak ada yang datang,”
balas Fitri.
Nikko ikut termenung.
Dia dan Fitri sama-sama masuk kerja di situ. Sudah dua tahun, sejak restoren
itu dibuka. Namun prestasi Fitri cemerlang dan dia mendapat kepercayaan taukeh. Fitri diberikan pangkat Pengurus dan
dia pula diberikan pangkat Penolong Pengurus.
Sedang mereka diam
berkira-kira itu, telefon Nikko berdering.
“Abang cik!” beritahu
Nikko selepas melihat skrin telefonnya. Dia kemudian menekan butang ‘loud
speaker’ untuk memberi peluang Fitri ikut mendengar perbualan itu.
“Abang cik! Kau gi
mana? Penat tangan aku tekan nombor kau tau!” kata Nikko.
“Tadi aku kat dapur,
mengemas. Apa hal cari aku ni?”
“Abang cik, kau boleh
datang kerja tak? Zarith cuti. Kita tak cukup orang ni. Tolonglah...” Fitri
terus merayu. Tidak mahu dia membuang masa.
“Tapi, aku dah janji
dengan adik-adik aku nak bawa mereka keluar. Dah berpuluh kali aku janji, tak
pernah aku tunaikan.”
“Kau janjilah lain
kali, abang cik. Hari ni, kau tak boleh keluar jalan-jalan. Cuaca panas. Nanti
adik-adik kau demam.” Nikko mencelah.
“Otak kau! Kau ingat
aku nak berjalan tengah panas. Aku nak bawa mereka tengok wayang, main bowling
dan shopping. Tempat tu semua kan ada air-cond!” Terjerit suara abang cik di
hujung talian.
Nikko ketawa
berdekah-dekah. Dia tahu kata-katanya memang tidak logik langsung.
“Tolonglah abang
cik...” rayu Fitri lagi.
“Huh! Kau orang ni kan,
tak boleh tengok aku senang langsung!” rengus abang cik.
“Kau pun tak sanggup
nak tengok kami susah kan?” balas Nikko pula.
Diam.
“Baiklah. Tapi, boleh
tak aku datang lambat sikit. Aku bawa adik-adik aku makan-makan dulu.
Sekurang-kurangnya aku tutup satu lubang janji yang aku buat tu.”
“Apa kata, kau bawa
adik-adik kau makan kat restoren kita. Ayam Goreng Cinta menawarkan pakej promosi untuk keluarga,” kata Nikko.
“Bila? Semalam masa aku
balik, tak ada pun dengar promosi tu?”
Nikko mencuit bahu
Fitri dan mengenyitkan mata.
“Promosi tu untuk kau
sekeluarga je. Kau bawa adik-adik kau makan di sini. Sambil tu kau boleh
tolong-tolong kami di sini. Aku bagi kau separuh harga!” kata Fitri
bersungguh-sungguh.
“Banyaklah kau orang
punya promosi! Hoi, kau ingat AGC tu
milik bapak kau ke?” suara abang cik
mendadak tinggi.
“Bapak jangan sebut!
Ini hal kita je. Tak ada kena mengena dengan mak bapak. Kau jangan melampau,
abang cik!” kata Fitri pula. Dia tersenyum-senyum. Seronok mendengar suara
abang cik marah.
“Abang cik, suara kau
kalau marah memang lunak!” kata Nikko dengan gelak.
“Poyolah kau!”
“Abang cik, kau datang
ya. Kami tunggu dengan karpet merah,” kata Fitri lagi.
“Yalah. Aku datang.
Tapi lambat sikit. Aku bawa adik-adik aku makan dulu.”
“Kau tak nak bawa
mereka makan kat sini?” tanya Nikko.
“Aku tak akan masuk
dalam perangkap kau tu bro! Kau beri aku umpan, supaya aku masuk dalam
perangkap. Oho...lebih baik aku bersantai dengan adik-adik aku kat kedai
mamak.”
Nikko dan Fitri
berpandangan. Akhirnya mereka angkat ibu jari.
“Suka hati kaulah. Tapi
jangan tak datang pulak. Kalau kau tak datang, aku cari kau sampai ke lubang
cacing tau!” kata Nikko.
“Boleh blah!”
Abang cik matikan
talian.
“Huh! Nasib baik dia
nak.”
Fitri angguk. Dia rasa
senang hati. Walaupun lambat, tidak mengapa. Sebab masa yang sibuk adalah
sebelah petang hingga ke malam. Sebelah pagi, tidak sesak sangat.
“Aku ke dapur. Nak
tengok stok.” Fitri berlalu sambil bersiul-siul senang hati.
Nikko meneruskan
kerjanya. Selepas membetulkan kerusi meja, dia ke kaunter. Masih ada masa
sepuluh minit sebelum restoren dibuka. Masih ada masa untuk mengemas-ngemas
kaunter dan menyiapkan wang petty cash.