Home Novel Travelog CINTA CAPE TOWN
BAB 5; SAIFUL ANUAR AZIZI, (NORA ISMA FUAD)


Bab 1-22 akan menggunakan gantinama diri "AKU" dalam bab-bab ini. Dilabelkan dengan nama watak.

Bab 1- 6 merujuk kepada SAIFUL ANUAR BIN AZIZI,

BAB 7-11; NUR KATRINA BT. DAUD.

BAB 12-17 NURNATRAH BT. DAUD.

bAB 18-21 ADUHA @ DUHA.

SEMUA WATAK2 INI / BAB 1- 21; AKAN BERAKHIR DI SATU TEMPAT iaitu Break Through Event. Dan seterusnya, tiada gantinama diri pertama lagi yang akan digunakan. BAB 22; watak dikembangkan dgn gantidiri ketiga.

Selamat Membaca! Mengalu-alukan pandangan pembaca! Saya dahului dengan ucapan terima kasih. Suntingan bab-bab hanya dimasukkan secara rawak sahaja.


5

Keluar sahaja dari pintu hadapan rumahku, kulihat Kak Dian tersenyum. Kak Dian atau nama penuhnya Nordian Estee, merupakan jiran sebelah rumah yang mudah didekati, peramah dan selalu membantu. Jika dilihat daripada konteks ‘islamiah’, jiran tetangga yang beginilah yang menjadikan kehidupan yang ceria, sesuai dengan tuntutan yang pernah digariskan dalam Hadis Baginda Rasulullah s.a.w. Riwayat Ibnu Hibban, mencatatkan, Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya, ‘Empat perkara yang membawa kebahagiaan iaitu wanita yang solehah, rumah yang luas, jiran yang baik dan kenderaan yang selesa.’
“Hai Epol. Dah nak pergi kerja?”
“Ialah kak.” Kupandang jiranku yang bertubuh sederhana, hanya berketinggian hampir lima kaki sahaja ketinggiannya. Dengan kata lain, genit sahaja orangnya. Dia hanya tersenyum membalas semula pandangan mataku.
“Tak nampak Kat dengan Sara pun? Pia pun tak dengar suara. Dari petang semalam pun nak nampak. Pelik Kak Dian ni bila tak dengar langsung suara budak-budak tu!”
Aku tersenyum. Aku sedar soalan ini akan ditanyakan juga oleh Kak Dian kepada aku, maklumlah, sebagai jiran sebelah rumah yang rapat hubungannya dengan kami, dia pasti menyedari atau ‘kehilangan suara’anak isteriku. Tanpa suara mereka, semuanya agak misteri bagiku.Mungkin dia tidak menyedari anak isteriku tiada di rumah ketika ini.
“Semalam, Kat dengan anak-anak balik kampung, Kak Dian. Petang nanti baru balik, kereta rosak di sana.”
Yang sukar ditelah adalah, telefonku tidak bersambut sejak petang tadi sehingga ke malam hari. Apabila aku dail panggilan ke telefon ke rumah mak pula, hanya Sara yang mahu berbual denganku. Kata mak, Kat sibuk menidurkan Baby Pia.Agaknya masih merajuklah tu sang isteriku!
Muka Kak Dian nampak berkerut sekejap, “Padanlah tak nampak. Suara pun tak dengar. Kalau begitu, tunggu sekejap Epol. Kak Dian bagi makanan sikit.”
Dia nampaknya cepat-cepat masuk semula ke dalam rumah, sebelum sempat aku berkata apa-apa lagi. Dia kembali seminit dua kemudian dengan sebekas makanan.
“Ada mee goreng ni. Kesian jadi orang bujang ni. Susah.” Dia ketawa. Aku segera mengucapkan terima kasih dan berlalu. Bimbang nanti disapa pula Kak Zaitun, jiran di sebelah kiri pula. Maklumlah, kedua-dua jiran sebelahku amat rapat dengan anak-anak dan isteriku. Kalau tidak disahut, seolah macam sombonglah pulak. Aku sebenarnya tidak mahu lambat ke tempat kerjaku. Itu sahaja. Hari ini ada misi yang amat penting di sana. Segera aku memakai bot berwarna orange, yang disebut sebagai antara pakaian pelengkai FWA (Field Work Attire)Motorsikal jaguhku, bagaikan mengerti akan misi penting dan berlalu laju menuju ke tempat yang aku dan Wan gelarkan sebagai ‘terowong kami’.
Di tempat kerja melihat lirik senyum Ridzuan, seolah satu yang melegakan sukma.
“Senyum semacam Wan.”
“Hai, sejak bila senyum jadi kesalahan ni bang.” Dia ketawa terus.
Aku pun ketawa sama. “Dah bersedia? Hari ni kita kan kena bersedia berhadapan dengan pemberita daripada akhbar. Berdebar juga rasanya.”
Ridzuan mengangguk. Tugasan ini kebetulan diberi kepada kami berdua. Dan kami tidak menganggap tugasan ini begitu ‘enteng’. Tugas memberi maklumat yang benar, seolah menjadi ‘duta kecil’ Syarikat Gamuda ini.
“Jam berapa mereka datang?”
“Bos kata jam 9 pagi. Ada 30 minit lagi. Saya sudah sediakan sarapan di bawah khemah. Kita jamu mereka sarapan dulu. Lepas tu mereka akan temuramah pengarah projek dulu. Lepas tu baru kita bawa mereka masuk terowong dengan jip.” Aku tersenyum mendengar kata-kata Ridzuan. Rupanya dalam diam, dia mempunyai rancangan tersendiri. ‘Betullah kata pepatah lama, kenyang perut suka hati’. Perut yang dijamu dengan makanan, memudahkan urusan kami nanti, harapnya. Publisiti merupakan kejayaan terbesar syarikat ini, kerana sebagai syarikat tempatan, kejayaan melengkapkan terowong kereta api ini merupakan kejayaan dan kegemilangan Malaysia kepada mata dunia. Kami bersama segera meletakkan topi keselamatan di kepala, mengemaskannya dengan sebaik mungkin. Jaket keselamatan yang berwarna orange juga melengkapkan gaya, sebenarnya lebih kepada bagi menyamin keselamatan di dalam terowong.
Tepat seperti yang dijanjikan, dua orang pemberita, barangkali seorang wartawan dan juru kamera, yang mewakili syarikat akhbar utama di Malaysia tiba dengan wajah yang penuh keyakinan.
“Saya Saiful, ini Ridzuan.”
“Azhar dan Najib.” Segera bersalaman dan mereka dibawa ke khemah di mana Pengarah Projek, Encik Nasirruddin berada. Kami membiarkan mereka menghabiskan masa bersarapan bersama pengarah. Apabila tamat bual bicara mereka nanti, kami sudah bersedia dengan jip di luar kawasan khemah syarikat kami. Kami segera menyerahkan kepada mereka , sepasang vest dan topi keselamatan untuk digunakan di dalam terowong.
“Oh, ingatkan kami tak perlu bergaya dengan baju dan topi ini!” Kata-kata Najib kami sambut dengan ketawa panjang.
“Gaya mesti ada.” Sambutku selamba.
“Perlu. Gaya pun juga, keselamatan pun juga. Lagi pun, sehingga kita syarikat ini berjaya mengekalkan zero kemalangan.” Ridzuan segera menyapa kembali, setelah ketawa berakhir.
“Satu je yang belum ada bang, but Pua Chu Kang.” Kami ketawa menyambut kata-kata Azhar. Kami sedar dia merujuk kepada bot jingga yang kami pakai. Ternyata bot yang kami kenakan ternyata berbeza sekali dengan bot yang dikenakan oleh Gurmit Singh dalam filem komedinya Phu Chu Kang. Bot kuningnya hanyalah bot biasa yang lazimnya dikenakan oleh penjual di pasar. Bot keselamatan kami pula adalah bot yang tebal, selesa untuk bekerja dan menjamin keselamatan daripada semua partikel tajam dan bahaya seperti batuan kasar dan sebagainya.
“Encik Saiful, macam rasa gerun sikitkan?” Soalan Najib membuatku tersenyum. Sudah setiap hari memandang terowong ini barangkali telah menghilangkan rasa kegerunan kepadanya lagi.
“Tak payahlah berencik-encik. Panggil sahaja nama. Kami sudah setiap hari melihat terowong ini. Sudah hampir empat bulan begini, jadi, tak ada perasaan cuak lagi. Macam orang yang berada di medan perang, setiap hari berperang, mungkin, tiada perasaan takut lagi.”
Ridzuan yang sejak tadi mendiamkan diri di hadapan jip, mulai menyampuk, “Ialah. Takut tak ada, rasa cuak saja sikit. Insya_Allah dengan tenaga pakar seramai tiga puluh orang, kami yakin, terowong ini akan selamat sama ada dalam proses pembinaan mahupun selepas ini.”
“Selamat datang ke Terowong Bukit Berapit, di sini kami gelar sebagai TBB saja. Projek ini merupakan sebahagian sahaja daripada Projek besar kami iaitu Projek Landasan Berkembar Elektrik Ipoh-Padang Besar atau dikenali juga sebagai PLBE.
“Kami diberitahu oleh Encik Nasir tadi, sehingga hari ini terowong ini memenuhi semua aspek keselamatan antarabangsa, termasuk juga fasiliti dan infrastukturnya. Sehingga temubual ini dikatakan syarikat Garuda ini telah mencapai 19 juta jam tenaga manusia tanpa melibatkan kemalangan jiwa.” Azhar meluahkan kembali fakta yang didengari daripada Encik Nasir.
“Betul. Situasi ini yang penting bagi mengekalkan kejayaan syarikat tempatan. Zero kemalangan jiwa, bermakna 100 peratus kejayaan sebenarnya.”
“Ya. Ya. Betul sangat tu bang. Kalau berjaya menyiapkan projek dengan mengorbankan nyawa dan jiwa, tak bermaknalah kejayaan syarikat.”
“Tarikh jangka siap adalah penghujung tahun ni kan bang?” Syafik bertanya lagi.
“Ya. Insya-ALLAH, ada baki 30 peratus lagi kerja pembinaan terowong ni. Lima belas peratus tumpuan sepatutnya kepada pembinaan infrastruktur dan bakinya, 15 peratus kepada pemasangan dalam sistem di terowong.” Ridzuan menjawab bagi pihak syarikat. Aku mengangguk. Dapat aku lihat juru gambarnya leka memetik kamera bagi mengabadikan gambar dalam terowong yang sedang kami teroka.
“Mula masuk tadi, saya rasa cuak, tapi melihat ke dalam terowong ini, buat saya rasa teruja.” Ucapan Najib tadi merupakan ucapan biasa mana-mana pelawat yang pertama kali melihat kerja-kerja yang dijalankan di sini.
Kami menghentikan jip bagi melihat sekumpulan petugas menjalankan tugasan mereka dengan penuh komited. Cahaya lampu limpah yang dipahat dengan kukuh di setiap laluan terowong seolah menjadi penyinar laluan dan membolehkan petugas bekerja dengan baik.
**************  sebahagian besar manuskrip saya edit bagi memelihara originalitii***********
Di rumah, semuanya kelihatan senyap dan sunyi. Sepi sekali. Tiada suara Sara, Baby Pia, mahupun Kat. Sekalipun Kat masih lagi ‘perang dingin’, melihat kelibat dia sahaja cukup melegakan hati. Segera aku mengeluarkan telefon bimbit daripada poket seluar jeansku, melihat ada pesanan ringkas, sms daripada Katrina. Agaknya sms dia diterima ketika aku sibuk di Kedai Pak Karim petang tadi.
Kereta belum siap. Petang esok baru balik. Perlu duit.
Aku terasa panik sendiri, bermakna juga sudah dua hari, anakku Sara tidak bersekolah, dek kerana keretaku yang masih ‘mogok’ lagi. ‘Bagaimana dengan perasaan Kat?, Mungkin lebih membara marahnya? Bagaimana bisa aku betulkan situasi ini?’, semuanya sekadar bersarang di dalam hati jantanku sendiri sahaja. Aku segera menuruni tangga, berhasrat untuk menghubungi Katrina dan anak-anakku.
Deringan telefon di ruang tamu segera kujawab. Suara manja Sara di hujung sana melegakan aku.
“Hello papa. Kereta rosak teruk. Pagi esok baru siap tau. Mama marah sangat dengan kereta papa.” Suara anakku yang bagaikan terus ‘menyerang’ aku menjadikan aku kaget sekejap, agaknya, skrip semuanya disiapkan Katrina.
“Sara, Pia dan mama okay.”
“Kami okay papa. Sara dah dua hari tak pergi sekolah ni. Esok pagi kami baru balik.” Aku terasa sesal mendengar kata-kata Sara. Seandainya, aku tahu begini jadinya, lebih baik jika aku balik ke Ipoh hari itu, sekurangnya, aku boleh minta Katrina dan anak-anak balik ke mari dengan teksi, tidak perlulah Sara ‘ponteng’ sekolahnya lagi. Seandainya aku tahu.
“Sara, bagi papa cakap dengan mama.” Merayu Sara, mengharapkan agar Kat akan sedia berbicara denganku. Aku bimbang kalau Kat tidak mempunyai tunai yang mencukupi, maklumlah sudah tiba hampir penghujung bulan, wang belanja rumah barangkali sudah habis digunakan.
“Hello. Esok pagi ambil kereta. Bengkel kata tiga ratus ringgit. Kat tak ada duit lagi.” Cara bual bicara Kat berbunyi aneh sekali. Dia tentunya masih marahkan aku lagi. Jelas sekali daripada perkataannya.
Aku terasa bagaikan mahu menyebut perkataan, ‘Maaf, jika abang yang bersalah.’. Sebagai lelaki, memang meminta maaf tidaklah sesukar mana, tetapi sebagai seorang suami, bukankah seorang isteri yang perlu patuh, dan segera mendamaikan situasi suami-isteri yang berantakan. Bukannya salahku jika ‘Perang dingin’ kami berlanjutan!
Semuanya salah Kat! Dia sebagai isteri yang bersalah, menjadikan perang dingin berlanjutan! Perang yang aku sendiri tidak tahu di mana mulanya?
“Abang bank inmalam ni.” Jawapanku pendek. Sebentar lagi, aku akan mengunakan e-akaun. Dan semuanya semudah satu sentuhan jari.
“Okay.” Jawapannya pendek dan panggilan ditamatkan. Oh Katrina! Aku semakin pelik dengan tingkah lakunya. Bukan sifatnya sebegini. Entah angin amukan mana yang merasuknya! Empat puluh lapan jam tanpa Katrina menukarkan masa menjadi jemu. Rindu! Pilu! Sesekali hati jantanku masih dirasuk amukan cinta rupanya!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh (NORA ISMA FUAD)Noor arbaiah ismail