Home Novel Travelog CINTA CAPE TOWN
BAB 8; NURKATRINA BT. DAUD (NORA ISMA FUAD)

Bab 1-22 akan menggunakan gantinama diri "AKU" dalam bab-bab ini. Dilabelkan dengan nama watak.

Bab 1- 6 merujuk kepada SAIFUL ANUAR BIN AZIZI,

BAB 7-11; NUR KATRINA BT. DAUD.

BAB 12-17 NURNATRAH BT. DAUD.

bAB 18-21 ADUHA @ DUHA.

SEMUA WATAK2 INI / BAB 1- 21; AKAN BERAKHIR DI SATU TEMPAT iaitu Break Through Event. Dan seterusnya, tiada gantinama diri pertama lagi yang akan digunakan. BAB 22; watak dikembangkan dgn gantidiri ketiga.

Selamat Membaca! Mengalu-alukan pandangan pembaca! Saya dahului dengan ucapan terima kasih. Suntingan bab-bab hanya dimasukkan secara rawak sahaja.


2

Berbicara tentang Nik Hisyam dan Saiful, ini ternyata bagaikan bicara mengenai langit dan bumi. Hisyam dan Saiful adalah dua lelaki yang berbeza bukan hanya dari segi fizikal malah amat berbeza sekali karektor mereka. Hisyam, jejaka yang bakal menjadi peguam pada masa itu, kurus tinggi orangnya. Walaupun mempunyai sepasang mata yang sepet tetapi cara pandangannya bisa membunuh sukma. Jelingannya tajam seolah tidak mahu melepaskan pandangan matanya kepadaku. Dia seolah mengheret pandangan matanya lama melihatku, lirikan itu seolah menjadikan aku ‘master piecenya’ dan tidak mahu dilepaskan lagi!

Dia pandai berbicara. Salah satu kerektor yang aku suka tentang lelaki pujaanku. Sepatah demi ayatnya bagaikan mengalun indah, bagaikan irama lagu indah di koklea telinga. Semua ayat yang keluar daripada bibirnya bagaikan ‘madu’ yang memaniskan telingaku. Maklumlah sebagai seorang yang bakal menjadi peguam, siswa daripada Universiti Malaya, kepetahan dia untuk berkata-kata bukanlah sesuatu yang memelikkan. Pun begitu, bicaranya hanya menyeluruh kepada isu politik semasa dan soal ekonomi. Dia tidak menjiwang jika berkata-kata, bahasanya kedengarannya biasa, tetapi jika dia ‘mengayat’ ketika menulis, seorang pemuisi pun akan kalah dengan kata-kata puitisnya. Andai mahu aku bandingkan dengan ‘hero’ Hindustan dari segi ‘mengayat’, sah, tentu dia setanding dengan Shahrukh Khan versi ‘Malaya’! Seorang jejaka ‘Malaya’ yang berjiwa romantikus, memang sangat-sangat menepati salah satu ciri-ciri yang sebenarnya dicari daripada seorang lelaki budiman.

Andai disemak dengan senarai semak, jiwa ‘romantis’nya memang padan dengan jiwaku yang kuat ‘menjiwang’! Pun begitu, aku suka akan sikapnya, yang tidak menjiwang ketika berbicara. Dia tidak pandai memuja apatah lagi memujiku secara melampau!Dia sangat rasional. Sangat berdiri di dunia nyata! Bak cerita ‘Sang Romeo’, andai bijak berkata-kata, itu tandanya dia seorang Don Juan, a.k.a gatal atau kaki perempuan. Mataku yang terpandang akan tubuh kecil di peraduan, mengingatkan aku kembali kepada realitiku hari ini. Hisyam bukanlah realitiku. Dia hanya sebahagian daripada memori sejarah lama yang tidak perlu dijarah oleh minda yang berpijak di bumi nyata! Hisyam adalah kisah silam! Sara dan Pia adalah realitiku.

Melihat kepada Pia yang sedang tidur nyenyak, teringat akan momentum yang mengembirakan kami siang tadi. Reaksinya melelahkan aku. Benar-benar memenatkan. Setelah penat aku berkejaran di ruang tamu tengah hari tadi, dia aku beri makan sup ayam yang digemarinya.

Dia mengekek ketawa sambil mengatakan “Cup, cup, cedap.” Hampir berusia tiga tahun, anehnya dia masih pelat. Dengan bunyian huruf ‘s’ dan ‘r’ yang masih gagal disebut dengan betul, dan kepetahannya berbicara, mengkagumkan. Pia suka bercerita tetapi perkataan pelatnya cukup membuatkan aku tertawa sendiri. Dan gadis kecilku yang sentiasa memberi aku nafas baru yang membuat momentum hidupku indah takkala kegusaran melanda jiwa dan hatiku. Dan Pia yang tidak pernah tidak, akan menjadikan aku tersenyum dan tertawa setiap kali dia menari mendengar irama daripada radio atau televisyen.

Terbayang tadi keriuhan dia membersihkan tubuh mulusnya. Dengan nyanyian ‘fonik’ yang dia sukai. Sistem nyanyian Phonicmerupakan sebutan mengikut bunyian abjad yang membantu kanak-kanak menyebut sesuatu perkataan dengan mudah. Dengan mempelajari sistem ini, Pia nampaknya mudah mempelajari dan mengingati perkataan baru yang aku bacakan kepadanya. Terbayang Pia yang menyanyikan lagu Phonictadi.

Berulang kali dia menyebut, “A, a, a, a, a.. A for Apple. B, bek, bek, bek, B for Baby. C, chek, chek, chek, C for Cat…”Dia riang sungguh menghafal lagu-lagu itu tanpa dipinta. Atau Pia minta aku membukakan u-tubedengan rancangan kartun yang diminatinya, ‘Pocoyo-Amor De Cachorrito’. Mendengar patah perkataan dan lagu dalam bahasa asing iaitu Sepanyol menjadikan aku ‘pelik’ tetapi suka hati. Mendengar Pia terkekek-kekek ketawa dengan lagu-lagunya. Aneh tapi menghiburkan.

Dan aku masih ingat lagi apabila Vimmi yang mencadangkan penggunaan sistem ini yang banyak sekali dipaparkan dalam U-tube. Dan kali pertama mendengarnya pun, sudah berjaya mengajak puteri cilikku ini mendengarnya sehingga dua belas kali lamanya. Dia ternyata suka sekali mengajuk lagu-lagu ini yang diiringi nyanyian, muzik dan tayangan gambar yang hebat. Ternyata memang naturaljika seorang kanak-kanak menggemari gambar, muzik dan irama yang mengasyikkan! Terima kasih kepada teknologi!Teknologi membantu para ibu seperti aku yang sentiasa mencari-cari ruang dan jalan memberi pendidikan yang bijaksana untuk memajukan kemahiran, dan perkembangan kognitif kanak-kanak seperti Pia.

Pengkaji perkembangan kanak-kanak seperti Jean Piaget, menjelaskan perkembangan kognitif dalam kalangan kanak-kanak sebagai fahaman kanak-kanak tentang perubahan dunia, bergantung dengan pengamatan dan pengalaman mereka. Piaget membahagikan perkembangan kognitif kanak-kanak seperti Pia yang berusia hampir tiga tahun kepada tiga tahap iaitu perkembangan mental, latihan yang berulangan dan pengukuhan tingkahlaku.

Ruang masa Pia tidur akan memberi aku cukup masa untuk mengimbau selembar kisah lama. Melihat Pia yang nyenyak tidur, sukar membayangkan Pia lahir di tengah kemelut kasih sayang kami yang sudah lama mulai surut. Saiful mula menjadikan kasih sayang kami sebagai take for granted.Mungkin kepadanya, aku tidak akan ke mana-mana. Perkahwinan akan mengikat kami selamanya. Adilkah sikapnya?

Perbualan dengan Vimmi mengingatkan aku dengan Nik Hisyam lagi. Mungkin ini masanya untuk aku selongkar album lama. Sekadar menganyam memori lama antara aku dan dia. Segera aku menyelongkar lagi kotak kecil yang aku simpan di bawah katilku sendiri. Menyelongkar gambar-gambar lama daripada simpananku, bukanlah perkara yang selalu aku lakukan. Sudah bertahun lamanya, aku tidak lagi melihat gambar-gambar lama.

Vimmi ternyata berjaya menjadikan aku seorang ‘pencinta memori lama. Segera aku mencapai telefon burukku itu, menekan sms kepada Vimmi.

Sister, tiba-tiba aku teringatkan Nick. Tengah menyelongkar album lama.

Dan segera menekan perkataan ‘hantar’. Aku akan membiarkan masa menentukan segalanya. Dia tentunya akan membalas balik sms di saat dia kelapangan nanti.

Sebuah album lama segera kubuka. Album yang berbungkus dengan kertas surat khabar lama di dalamnya, diluar dibalut dengan plastik, dan di hadapan sekali dibungkus dengan sehelai kain batik lama. Susah sekali menyimpan album ini daripada dijumpai oleh Saiful. Jenuh juga menyembunyikan gambar-gambar lama ini daripada Saiful. Aku tidak mahu, kerana sebuah album lama kami, rumah tangga kami berantakan kerana cemburu buta Saiful. Gambar Nik Hisyam yang segak berpakaian baju Melayu kutenung lagi.

Dan segala memori tentangnya datang perlahan. Ketika itu kami di Masjid Negara, yang terletak di Jalan Tangling, berdekatan dengan Dataran Merdeka. Kami sama-sama menghadiri Majlis Maulidul Rasul, anjuran persatuan Belia Wilayah Persekutuan. Masing-masing mewakili institusi pendidikan masing-masing. Aku mulai ingat segalanya, dengan putaran momentum yang perlahan, bermula dengan butiran pertama kata-katanya. Semasa peristiwa indah itu, kami baru sahaja menamatkan perarakan yang bermula daripada Jalan Parlimen menuju ke Masjid Negara, diikuti dengan ceramah khas Maulidul Rasul dan berahir dengan hidangan dan minuman ringan.

Bermula daripada jelingan matanya yang mengusik jiwa. Daripada sepasang mata, datangnya cinta! Benarlah perumpamaan orang-orang lama, daripada sepasang mata, turun ke hati, menikam jantung. Di saat dia merapati kumpulan kami, masa itu seramai lima orang, termasuk dua lelaki, lantas ayat yang dia ajukan, “Semua ni bukan dari UM kan? Tak pernah nampak pun.”

Vimmi segera menjawab, “Bukan. UiTM.”

Dia segera menyampuk, “Bukan UiTM yang jauh sangat kan. Kalau dari UiTM Dungun, tentu semua tak datang sinikan?” Kami hanya tersenyum. Aku segera menjawab, “Tentulah tidak. Kami dari UiTM Shah Alam.”

“Saya Hisyam.” Segera dia berjabat tangan dengan dua teman lelaki dari kumpulan kami. Kami yang lain segera mengangguk kepala tanda awal perkenalan. Cara pandangan matanya, entahlah, aku fikirkan dia memandang kami bertiga, ketiganya wanita tanpa curiga. Payah membezakan siapa antara kami yang menjadi tarikan matanya.

Dan aku sendiri, tidaklah memasang telinga sangat akan perbualan mereka pun. Berpegang kepada cerita orang tua lama, anak dara yanglah nampak sibuk sangat berbual dengan lelaki, kurang elok nampaknya. Seumpama lepas laku, kalau saja-saja menyebukkan diri berdepan dengan lelaki. Ada masanya aku mencuri pandang ke wajahnya, matanya kerap berkedip, umpama aktor Richard Gere, yang kerap mengejip-ngejibkan matanya ketika leka memandang sesuatu.

Dia tidak leka memandangku, cuma sesekali sahaja, aku terperasankan bebola mata kami akan bertaut berpandangan antara satu sama lain. Tidak perlu kata-kata manis dan romantis untuk menerangkan pandangan mata yang berkaca itu! Dalam mata itu, bercerita satu tarikan jiwa antara teruna dan dara! Tidak perlu kata dua untuk mendefinisikan semuanya itu!

Kulihat dia senang ketawa bersama-sama lima teman lelaki kami yang berada dalam kumpulan itu. Baju Melayu biru kundang yang dia kenakan pada tubuhnya, siap dengan songket hitam, bunga awan larat, bagaikan kena pula dengan aku, yang mengenakan baju kurung pesak, berlatarkan kuning cair, dan berbunga kecil biru kundang, bercampur warna merah ciri, seakan serasi! Gandingan segak dan manis yang bagaikan sepasang ‘kekasih’ yang berjanji akan bertemu lagi!

Kumpulan itu bagaikan sibuk benar membincangkan sesuatu. Sesekali aku memasang telinga dan memerangkap perkataan, ‘projek bersama’, ‘UiTM dan UM’, dan kulihat sidia kemudiannya mengeluarkan buku nota kecil dan meminta kami semuanya menulis, nama, telefon dan emel. “Insya_Allah, saya akan hubungi nanti untuk menjayakan projek kita.” Itu janjinya. Dan aku sendiri kurang pasti projek apakah yang dia maksudkan. Dan siapakah sebenarnya yang dia mahu hubungi!

Dan hari berganti waktu. Hari merangkak meninggalkan memori itu sendiri. Selepas 10080 jam meninggalkan aku dan memori indah yang berasak dalam mindaku, rupanya janjinya hanyalah sebuah angan-anganku! Aku hanya leka menanti Simata Richard Gere ini menghubungiku! Nyatanya, dia hanya bergurauan. Enteng! Omongan kosong! Mungkin aku bukanlah orangnya yang dia mahu hubungi! Mungkin kepada Vimmi! Mungkin Noraidah, temanku yang seorang lagi! Barangkali hanya sebuah mimpi seorang perempuan yang mengangankan dirinya seorang anak tiri bergelar Bawang Putih untuk bertemu Putera Impiannya. Hampa. Tiadapun sebaris emel dan sebaris sms yang aku terima. Dan hari merangkak pergi lagi. Menjelang lagi 10080 jam yang baru. Dan aku kemudiannya sudah pula melupakan dia! Tapi aku percaya, jika dimenghubungi Vimmi atau Noraidah, pasti ceritanya pasti akan sampai ke telingaku juga! Pasti!

Sehari berlalu, tiada emel daripada dia. Mungkin, waktu bertenang, aku kira, tidak mahu terburu-buru. Kata orang lama, “Nanti nampak sangat gelojohnya.” Tetapi selepas dua minggu berlalu, aku sudah berhenti berharap! Persoalannya, benarkah pandangan mata liriknya kepadaku, mungkin dia memandang Vimmi atau Noraidah! Andainya emel sudah dihantar kepada Vimmi, aku pasti, Vimmi tidak akan memberi respond yang sepatutnya, dia kan sudah ada ‘mambang’. Kalau Noraidah, aku tidak pasti, mungkin dia hanya akan berdiam diri. Tapi, aku pasti, mataku tidak pernah menipu. Pandangan lirik matanya yang berkedipan bagaikan Richard Gere itu, bertumpu kepadaku. Walaupun lirik matanya tidak bercerita sepenuhnya, aku pasti, sesaat pandangan matanya itu, tidak akan memperdayakan aku yang menyimpan fotografik pandangan itu dalam simpanan mindaku.

Di saat akhir-akhir aku melupakan dialah, barulah emelnya baru tiba, mengirimkan sebuah jemputan bagi mengeratkan persahabatan. Sebuah emel yang bertulis, daripada pengirimnya [email protected]. Rupanya, NHUM, bermaksud, Nik Hisyam, Universiti Malaya. Aku teringat kembali lembaran emel pertama yang sengaja aku cetak. Maklumlah ketika itu, aku memang ‘angau’ benar dengan Hisyam! Aku segera meneliti lagi selembar cetakan yang sudah berwarna kuning, sekusam ingatan terhadapnya, yang sudah lama aku lupakan! Sejujurnya, aku terlalu gembira menerima berita daripada Hisyam pada ketika itu. Apa tidaknya, selama dua minggu aku berharap dia akan mengirimkan selembar surat elektronik. Letih rasanya ‘menunggu’, entah pasti atau tidak, pada masa yang sama!

Ayat emelnya yang pertama segera aku baca lagi.

Assalamualaikum, saudari Katrina,

Saya pasti saudari tidak menunggu emel saya ini, apatah lagi saudari pasti terlalu sibuk dengan tugasan seorang pelajar seni! Saya sebenarnya kagum amat dengan Leornardo Da Vinci, Raphael, Michelangelo, Sandro Botticeli dam Vincent van Gogh. Sangat-sangat kagum sebenarnya! paling saya suka dengan lukisan Monalisa dan Starry Night.Saya pasti saudari lukisan saudari juga setanding dengan mereka jika saudari hidup pada zaman mereka. Juga mungkin, nama Katrina menjadi sebutan jika saudari berasal daripada zaman tersebut!

Ayatnya memang melelahkan hatiku. Perasaanku. Aku kira bakal peguam itu hanya pandai berbahasa, tetapi sebenarnya, dia juga pandai menuturkan ‘bahasa’ biarpun hanya surat elektronik. ‘Seliar-liar’ perempuan mana pun, pasti akan ‘dijinakkan’ dengan ayat sedemikian rupa! Ayatnya tidak juga berbunyi ‘menjulang tinggi’, terlalu mengada-ngada, seperti bunyi klise yang selalu diayatkan jejaka ‘sang buaya’. Bunyi yang seolah, terlalu yakin diri, ego, bahawa sigadis sudah jatuh terjelepuk dan hati sudah terikat dengan sidia. Dia ternyata pandai benar mengambil hati dengan mengasakku dengan penkarya seni yang sewajarnya dihafal benar oleh pelajar seni lukis sepertiku. Dan dia seterusnya menulis jemputan, mengajak aku melawat pameran seni yang diadakan di universitinya.

Ayat penutupnya, sering membuatkan aku tersenyum setiap kali membacanya lagi. Dan lagi. Dan lagi!

Seandainya, saudari sudi mengizinkan saya menghubungi saudari,

jawablah pantun saya di bawah ini.

Kalau padi, katakan padi, tidaklah saya, tertampi-tampi.

Kalau sudi, katakan sudi, tidaklah saya ternanti-nanti.

Tidaklah sangat mengharapkan yang bulan akan jatuh ke riba, kerana saya menyedari, bulan tidak akan jatuh dari langit, dan riba juga tidak akan menunggu lama bulan, jatuhnya daripada langit!

Ayatnya memang mengkhayalkan. Biasnya bagaikan menyengat salur jantung utama. Terpada dibuai dengan ayat yang begitu ‘seksi’. Aku pasti dia tidak akan dapat memenangi kes di mahkamah dengan mengumpan ayat yang begitu, tetapi dia pasti memenangi kes ‘jatuh hati’ seorang perempuan kepada seorang bakal peguam muda! Sungguh! Aku masih termenung sendiri. Fikiranku menerawang kepada Michelangelo dan Da Vinci. Aku kurang pasti adakah benar Hisyam benar-benar meminati tokoh-tokoh seni ini sebenarnya, atau dia hanya ‘mengayat’ untuk mengambil hatiku. Tapi ternyatalah ketika itu, sebaris ayat emelnya sahaja telah berjaya mencuit hati seorang siswi bernama Katrina.

Dan sudah tentu, aku mengizinkan dia menelefonku, walaupun jarang sekali dia menghubungi aku. Katanya dia tidak mempunyai banyak masa terluang, apatah lagi, dia sudahpun berada dalam tahun-tahun terakhir sebagai mahasiswa perundangan.

Dan sudah tentu, aku hadir ke Universiti Malaya, yang dikenali dengan nama glamornya, UM atas dasar menghormati kawan, atas jemputannya itu. Kononlah kata hati! Barangkali aku tidak mahu mengakuinya. Yang sebenarnya, kehadiranku disebabkan aku mahu bertemu lagi empat mata dengannya.

Aku tentu mengingati UM, bagaikan kata peribahasa lama, tempat jatuh lagi dikenang, inikan lagi tempat jatuh cinta! Dan semuanya seolah kembali semula dalam ingatanku, setiap saatnya. Momentum itu. Aku dan Nik Hisyam. Kami bertemu kali kedua di Universiti Malaya, yang aku pijak buat kali pertama. Walaupun sudah lama menjaja ke sana, universiti tertua di Malaysia ini. Seharusnya aku berterima kasih kepada Hisyam. Jemputannya menjadikan impian aku untuk ke UM terlaksana juga.

“Mama, mama mana?” Dan tiba-tiba memori itu terputus. Suara cilik itu membangunkan mimpi indah yang bersulam dukaku. Aku segera membungkus kembali balutan album lamaku, membungkusnya dengan kemas di dalam kertas surat khabar, mengunci beg peti burukku dan menolak kembali ke bawah katil kami. Pia yang masih seolah ‘mamai’, duduk dengan baik di katil bujangnya.

“Mama…” Dia menjerit perlahan. Barangkali dia tidak ternampak tubuhku yang sedang bersila di tepi katil di sebelah kiriku.

“Mama, sini Pia.” Segera aku bingkas bangun dan memberikan senyuman kepadanya. Dia menghulurkan kedua tangannya ke udara, meminta agar aku mendukungnya.

“Ala, Pia dah belat la.” Sengaja aku ajuk dia dengan kata-kata pelatnya. Berat badan Pia biarku bersaiz sederhana sudahpun mencapai 13 kg, yang sudah agak berat untuk didukung lama-lama. Lenguh pinggang aku rasakan!

“Pia jalan ya. Berat mama nak dukung. Dah belat. Belat Pia.” Aku ulang lagi. Dia hanya tersengih sambil merengek manja. Sengaja aku ulang perkataan ‘belat’ berulangkali. Tangganya masih menjulang ke udara, dia masih mahu agar aku mendokongnya. Aku menghampirinya, dan mengangkat tubuhnya ke dukunganku. Aku berpura-pura mengatakan, “Berat Pia. Berat ni. Mama nak jatuh!” Sengaja aku jatuhkan diriku ke atas katilku, dengan tubuhnya di atas tubuhku. Konon-kononnya dengan tubuhnya yang sudah ‘berat’, aku tidak lagi terdaya mendukungnya.

Dengan jeritan yang sederhana, “Auuuw.” Dan kami jatuh serentak ke atas nilam tebal, berlapik dengan cadar ceria berwarna jingga dan bercorak abstrak. Aku ketawa melihat Pia yang agak panik melihat situasi kami.

“Tu la, mama dah kata Pia kan dah belat, belat. Mama dah tak larat nak dukung lagi.” Sengaja aku mengulang perkataan kegemarannya, ‘belat’.

Aku angkat dia dan diletakkan duduk di atas tilam.

“Pia belat ya mama.”

“Ya Pia. Berat Pia macam anak gajah. Berat. Betul-betul berat. Kan kita dah jatuh. Nasib baik kita tak jatuh ke bawah katil tau.” Sengaja aku pujuknya lagi, mudahan, dia tidak akan meminta aku mendukungnya lagi.

“Belat Pia macam anak gajah.” Dia seolah kebingungan. Agaknya Pia sedang membayangkan dia dan anak gajah yang pernah dia saksikan di Zoo Taiping minggu lepas.

“Mama, anak gajah becar, Pia kecik je.” Agaknya mindanya sedan membayangkan dia dan saiz anak gajah, manakan mungkin sama beratnya. Logik akalnya, kanak-kanak kecilpun mudah untuk membandingkannya.

Aku ketawa. Aku menyedari dia sedang dalam kekeliruan yang amat sangat. Kupeluk dia. Rambutnya sudah berbau masam, kesan pepeluhan yang berlaku dalam tidurnya tadi.

“Jom mandi Pia. Pia dah masam. Mandi biar wangi. Nanti kita makan biskut dan pergi ambik Kak Sara di sekolah.” Cepat dia melompat dari katil kami. Dia suka sungguh keluar untuk melihat sekolah kakaknya. Seminggu sekali, Sara akan balik lambat untuk mengikuti kelas Aikidonya. Dan aku dan Pia akan mengambilnya apabila kelasnya tamat.

Melihat Pia riang di dalam besen mandinya, membuatku terfikir semula, tentang cinta kami, aku dan Saiful. Entah mengapa, kebelakangan ini aku terasakan seumpama kasih dan cinta kami sudah menemui tarikh tamatnya! Entah mengapa. Semuanya terasa hambar, layu dan tawar sekali! segalanya tentang dia, aku jadi tidak suka! Ya Rabbi! Ampunilah aku, sebagai isteri, bukankah sepenuh kasih sayang aku, seharusnya aku tumpahkan untuk dia sebagai suami.

Memandang ke wajah comel Pia, hidungnya yang mancung bagai seludang, adalah datangnya daripada hidung abahku, signaturekeluarga kami, di kampung kami, semua mengenali kami sebagai anak kepada Pak Daud, sebab semua hidung kami sama sahaja, hidung kecil dan mancung. Aku, Kat Natrah, satu-satunya saudara perempuanku yang pertama. Begitu juga adik lelakiku yang bongsu, Ersyad.

Matanya yang mendung, seolah menagih simpati, sama seperti mata Saiful. Bibirnya yang seumpama seulas limau, tersenyum kepadaku lagi, seolah meminta simpati agar terus menyintai papanya, Saiful. Persoalan sebenarnya, mampukah aku mempertahankan cinta, sedekad lagi! Mampukah Katrina? Agaknya benarlah seperti yang dicoretkan Ben Hetcher, tentang cinta, Love is a hole in the heart!Cinta sudah tentunya meninggalkan parut luka di hati, kalaupun tidak meninggalkan kesan yang parah!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh (NORA ISMA FUAD)Noor arbaiah ismail