Misteri di mana hilangnya Manisah? Isteri? kekasih Duha?
20
Lily membuka pintu depan kaca dengan senyuman. Gadis yang masih muda,
baru dapat tamat belajar dalam bidang akaun itu terus meluru masuk dengan
beberapa lukisan yang bergulung di dalam beg yang dipegang erat di tangannya.
Katanya dulu, bekerja di sini hanya sambilan sahaja, sementara menunggu dia
memohon ke jawatan lain, tetapi sudah hampir setahun dia di sini, masih tidak
nampak dia akan bertukar mencari kerja lain.
Agaknya dia serasi bekerja di
sini, barangkali!
“Encik Duha, ni lukisan Safika. Walaupun dia baru tingkatan lima, boleh
tahan lukisannya.” Wajah bujur sireh, dengan kulit hitam manis itu segera aku
tenung lagi. Bibirnya yang kecil, bersaiz kecil sangat kena pada wajahnya.
Keningnya lebat, walaupun matanya sepet dan hidung yang agak penyet sedikit,
dia hanya bertubuh kecil menjadikan dia bagaikan makhluk kecil yang senang
dilihat selalu. Cuma aku kira, berat badannya perlu dikurangkan. Tubuhnya
terlalu rendah dan tidak padan dengan beratnya. Mungkin perlu aku katakan, dia
perlu diet sedikit!
Nampaknya keningnya berkerut-kerut tanda protes. “Encik Duha, tak dengar
kata-kata saya.”
“Maaf Lily,” segera aku meminta maaf. Terlalu leka dan alpa melihat dan
menilai wajahnya dan tubuhnya. Andainya dia mendengar aku menilai dirinya,
tentu dia akan mengamuk lagi. Apatah lagi jika dia mendengar kata hatiku yang
berdetik, ‘dia sudah terlebih berat’.
“Mesti Encik Duha mesti nak kata saya gemuk, kena diet lagi.”
Kata-katanya membuatkan aku tersentak. Bagaimana pula dia mendengar akan
kata-kata di hatiku, kata-kata yang bermain-main dalam fikiranku.
“Ala, Dan selalu kata, Encik Duha suruh saya diet. Dia kata Encik Duha
kata saya gemuk. Saya nak nafikan, saya bukan gemuk Cik Duha, saya cuma gempal
sikit je.” Dia kelihatannya membuat penafian betul-betul. Agaknya, semua sifat
wanita begitu. Takut dikritik, apatah lagi melibatkan rupa paras dan bentuk
badan. Padahal semuanya kan persepsi sahaja. Kenapa perlu tersinggung dengan
tanggapan lelaki, asalkan selesa rasa di badan sendiri, pedulikan dengan
kritikan orang lain.
“Saya tak kata awak gemuk Lily. Saya main-main je. Dan tu saja-saja je
nak kutuk awak tu. Awak okay je pada saya.” Aku memperbetulkan persepsi diriku
kepadanya. Aku tidak mahu dia beranggapan aku hanya mengkritik dirinya,
mengasingkan kemampuan dirinya berbanding dengan berat badannya. Kepadaku saiz,
rupa, semuanya tidak penting, yang lebih penting, dia mampu melakukan kerja
dengan kapasiti yang bertaraf ‘pantas’, cekap dan amanah orangnya.
Lily tersenyum lagi. “Iya ke Encik Duha.”
“Betul. Saya tak kisah sangat Lily. Gemuk ke, kurus ke, asalkan awak
dapat uruskan galeri ni dengan baik.”
“Saya faham…” Nafasnya seolah
terhenti di situ.
Dia cepat-cepat menyambung ayatnya, “Tapi betul ke, saya ni tak gemuk?”
Aku mengangguk terus. ‘Dia sebenarnya mahu mendengar yang realiti atau
yang sedap didengar di telinganya?’ Satu soalan di benakku. Andai aku katakan
dia terlebih ‘berat satu gram’ tentu akan wujud masalah kepada kerja-kerja
galeri nanti. Satu hari nanti, dia akan berada dalam status, ‘mood beku dan
boring’, tentu susah nanti. Bayangkanlah si Lily, gadis yang rajin bekerja ini,
menarik muka masam sepanjang hari, bagaimana mungkin kami melakukan kerja
dengan baik, jalan selamatnya, dengan membiarkan sahaja dia mendengar semua
perkataan yang dia mahukan. Ini petua Manisah.
Kata Manisah yang masih aku ingat
benar, “Kelemahan perempuan, pada telinganya. Cakaplah apa sahaja yang dia mahu
dengar, asal sedap di telinganya, sedaplah perasaan di hatinya, jadi ‘semua menjadi’
kepadanya. Kalau lelaki…”
“Lelaki, apa pula kelemahannya?”
“Matanya. Kalau cantik saja pada pandangan matanya, habislah, semuanya
dapat. Atas sebab itulah, ALLAH minta kita menjaga pandangan mata, terutamanya
lelaki. Dari matalah, maksiat terbina.”
“Mata je?”
“Mata je. Kalau perempuan cantik lalu di depan, pasti lelaki akan
pandang. Kalau serban tinggi pun, kadangkala toleh juga kalau perempuan cantik
lalu. Kalau tak cantik sekalipun, asalkan berpakaian seksi.”
Dia tergelak. Aku mengangguk ringan. Aku pasti ada kebenaran kata-kata
daripada Manisah. Aku fahami dia tidak bertujuan menghina golongan agama,
tetapi itulah yang berlaku. Namanya pun lelaki!
“Kadangkala Duha, yang tak cantik, kalau bersiap rapi pun, lelaki jatuh
tergolek.”
“Jadi Manis nak kata, Duha jatuh tergolek dek sebab kecantikan Manis
lah?”
“Duha lain…”
“Apa lainnya.” Dia hanya tersenyum. Secara tiba-tiba dia beredar, entah
mengapa. Terguris lagi dengan kata-kataku. Tetapi dia hanya tersenyum sahaja.
Kupandang ke arah hadapan, terlihat wajah Lily di hadapan. Panggilan demi
panggilan daripada Lily menjadikan aku melirik pandanganku kepada dia semula.
“Apa tadi?”
“Encik Duha bermenung depan saya. Betul saya tak gemuk? Encik Duha
melihat saya macam tembus ke dalam…”
“Betul. Dah cantik.” Itu ayat yang pastinya Lily mahu dengar daripada
aku, majikannya. Bukannya ayat yang sebetulnya ikhlas daripada aku.
“Bersuara biarlah ikhlas, tetapi juga kata-kata perlu berlapik, bak kata
pepatah lama, ‘Kerana pulut santan binasa, kerana mulut, badan binasa.’ Aku
tidak juga mahu dia terasa hati dengan ayatku nanti. “Tapi kalau lagi slim
sikit lagi, lagi bertambah sepuluh kali cantik.”
Dia tersenyum lagi. “Betul juga Encik Duha kan. Kalau begitu saya kena
diet sikit lagi. Lagi cun!” Agaknya dia sudah termakan umpanku.
Ah perempuan! Mudah sangat diperdaya dengan kata-kata manis lelaki!
benarlah segala yang dipetuakan Manisku! Tepat sama sekali! Cuma petua Manisah tidaklah bertepatan dengan diriku
sekarang ini. Entah ke mana Manisah hilang, selama ini!
“Nak saya tunjukkan lukisannya?” Dia bertanya lagi. Agaknya lama dia
berdiri di hadapanku, menunggu jawapan.
Aku mengangguk lagi, “Boleh.”
“Lukisan ni namanya ‘Kudrat Petani.’, yang ini, tak ada tajuk, katanya
‘Batik je.’ Yang ni Merak, ‘Kereta Kerbau’, dan ni katanya arca e…, entah apa
bos!”
Tergelak kecil aku mendengarnya lalu menyambung, “Arcaesamblaj, berbentuk kapal layar.”
“Jadi macam mana bos, okay. Nanti petang hantar bingkaikan dan gantungkan
di sudut kiri dinding yang masih kosong. Jangan letakkan di satu tempat yang
sama.”
Aku terus meneliti karya yang dibawa Lily. Mengkagumkan untuk seorang pelajar
yang baru sahaja menginjak belajar di
tingkatan lima.
“Jangan lupa, up loadgambar-gambar
lukisan ni dalam halaman web kita juga ya.” Aplikasikan kemajuan elektronik
dalam kehidupan harian menjadikan langkah bijak dalam perniagaan. Gambar-gambar
dalam blog kekadang menjadi tarikan utama yang akan membawa pelanggan kami ke
galeri ini. Konsep asas diaplikasikan, mereka lihat gambar dan merasa suka,
akhirnya membawa mereka ke sini untuk mendapatkan lukisan-lukisan.
“Saya di bilik belakang ya Lily.” Dia mengangguk. Dia pasti tahu, bilik
belakang yang aku maksudkan. Bilik lukisan, bilik karya di mana aku
melengkapkan lukisanku. Aku menamakan bilikku ini sebagai ‘Bilik Conteng’
kerana di dalamnya pelukis sepertiku akan bermain dengan warna-warna bagi
menghasilkan lukisan.
Aku meletakkan kayu penyangga lukisan, dan meletakkan sebuah kanvas yang
kosong. Mencuba menggaris draf lukisanku dengan sebatang pensil tetapi,
semuanya bagai tumpul di fikiranku. Kosong. Sifar. Dalam mindaku, hanya
terpentas sebuah kanvas kosong, sama seperti warna kanvas yang terbentang di
hadapan sepasang mata hitamku. Barangkali aku perlu melihat gambar di dalam
internet, mencetaknya supaya aku tidak perlu berfikir atau menggambarkannya
sendiri. Dan aku segera teringat akan gambar-gambar yang aku simpan dalam pendrivedalam laci di pejabatku. Segera
bergerak ke pejabat. Kunci pejabat segera aku buka.
Gambar masterpieceku, digantung dengan elok di penjuru dinding, mengadap
sebuah meja kayu berwarna merah hati. Gambar ‘Manis’ ketika menerima ijazah,
tersenyum bagaikan bunga kembang pagi yang indah. Gambar yang aku lukis hasil
daripada gambar asalnya. Ingin sekali aku pinjamkan kata-kata seorang pencinta
kepada kekasihnya, “I’m so Truly, deeply, madly, passionately in love with you Manis. Tapi Manis hilang begini, kenapa ya?” Berpaling cepat ke
arah pintu, bimbang kata-kataku di potret Manisku akan menimbulkan syak
wasangka yang pelik kepada staf-stafku nanti, ialah, apabila bos mulai
berbicara sendiri, mereka akan bersikap cuak. ‘Agaknya nanti difikirkan, bos
ini sudah mereng jadinya’.
Aku teringat kembali peristiwa aku
dengan Manisah. jauh sekali kenangan yang tidak mungkin dapat aku lemparkan
jauh-jauh. Selepas pertemuan di perhentian bas, kami sememangnya jarang
bertemu. Ialah, dia di kelas sains sementara aku pula hanya di kelas sastera.
Dan majlis ‘pot luck’ yang dia
rancangkan benar-benar dilakukan, tiga kali dalam tahun itu sahaja. Dan sekali
‘makan besar’ yang kami lakukan setelah tamatnya peperiksaan STPM. Meriah!
Bagaikan sebuah pesta makanan! Aku berdiri di situ bagaikan berada dalam Majlis
‘Pot Luck’ dan merangkap majlis perpisahan kami lagi.
Pot Luck bermakna
setiap pelajar membawa bekalan makanan sendiri.
Makanan akan dihidangkan bersama dan semua berpeluang menjamah makanan
yang dibawa oleh pelajar atau orang lain. Lazimnya, beberapa orang pelajar akan
berkongsi akan membawa makanan daripada jenis yang sama. Contohnya, mee goreng
dan sebagainya.
Ucapan Manisah kedengarannya ringkas
dan padat dan disambut dengan tepukan gemuruh. Dia mengucapkan terima kasih
kepada barisan guru-guru yang bersusah payah dan berusaha dengan sedaya upaya,
mengajar kami dengan penuh dedikasi. Kemuncak daripada majlis ini adalah hadiah
pelajar-pelajar tingkatan enam kepada setiap orang guru yang mengajar tingkatan
enam di sekolah kami. Dan semua projek ini dirancang dengan rapi oleh manisah
sebagai koodinatornya, apatah lagi disokong dengan baik oleh Pengerusi PIBG,
a.k.a bapa Manisah sendiri.
Senyuman para guru bagaikan menggamit
pandangan mataku lagi. Walaupun mereka berkhidmat dengan seikhlas hati,
pemberian yang ikhlas daripada pelajar bagaikan menjadi satu motivasi
tertinggi, bagai kata pepatah, ‘Orang berbudi, kita berbahasa, orang memberi,
kita merasa.’
Wajah belasan Manisah datang lagi menghampiri.
Memori dan dialognya bagai silih berganti, seolah baru semalam ianya berlaku.
Baju kurung merah hati, dengan selendang sutera kuning cair, menampakkan
rambutnya yang sudah melepasi bahunya, bagaikan serasi dengan tubuhnya yang
tidak begitu tinggi, dan bersaiz kecil. Warna yang meriah bagi meraikan ‘Majlis
Perpisahan’ kami. Bajunya bersulam benang hitam, yang memenuhi bunga-bungaan
yang melatari baju kurung pesaknya. Dalam hatiku yang cuma bersulam duka, aku
bimbang aku tidak akan bertemu Manisah lagi! Apatah lagi, selepas aku tamat
peperiksaan, ibu akan berpindah semula ke felda. Aku dan Manisah akan terpisah
jauh!
“Awak masak apa hari ni?” Wajah
senyumnya bagaikan masih melekat di dasar hati.
Aku tertawa. Aku memang tidak berdaya
memasak. “Saya masak? Mana ada! Saya alergik dengan dapur. Mak saya yang
masak?”
“Okay. Alergik. Habis tu mak awak
masak apa?”
“Biasa je. Mak saya pakar dessert.Tapi yang ‘kampung-kampung’ je.
Kuih talam, serba-serbi talam, talam ubi, seri muka, talam keladi, kueh talam
lapis.”
Dia tersenyum lagi, “Dengar je pun
dah sedap. Hari ni awak mahu talam apa.”
“Talam kosong.”
Dia tergelak lagi. “Talam kosong tu
daripada rumah saya, dah habis makan, jadi kosonglah.”
Aku hanya tergelak perlahan. “Manisah
suka kuih talam yang mana?” Teringat akan ibuku yang hanya menyediakan kuih
talam keladi hari ini, kenapalah tidak kutanya dia daripada awal-awal lagi.
Terasa sesal dalam hati kecilku.
“Saya suka talam lapis yang ada keladi
tu. Suka sangat. Selalu mak saya beli yang dekat pasar tu.”
Aku tersenyum lagi, “Yang di pasar
tu, mak saya yang buat, hantar ke kedai tu.” Sekali lagi, timbul rasa bangga
dalam hati.
“Ya ke. Hari ni ada?”
“Ada. Kalau saya tahu, awak minat,
saya tentu dah lama bawakan untuk awak.” Dia tersenyum lagi.
“Terima kasih. Saya suka betul dengan
kuih tu.”
Dan tiga potong kuih talam keladi mak
menjadi penghubung cerita sukaku hari tu. Kemuncak kepada sambutan hari itu,
apabila aku menghadiahkan dua guru istimewaku, Puan Shahlawati dan Puan Norita,
dua keping potret gambar mereka. Sebenarnya lama juga untuk aku siapkan potret
mereka, sejak penghujung tahun tingkatan enam rendah lagi, aku sudah mulai
melakar potret mereka dengan pensil dan kemudian, dengan bantuan guru seni
lukis yang lain, aku menyiapkan dengan penuh dedikasi! Wajah gembira dua guru
itu yang menerima potret yang tidak seberapa, akan kukenang selamanya,
maklumlah, masa itu aku belum lagi berpeluang belajar melukis secara
profesional lagi. Senyuman berbunga yang pasti akan aku ingati sampai
bila-bila!
Barangkali aku perlu balik ke kampung
mak. Barangkali kuih talam keladi mak mungkin boleh mengembalikan Manisah ke
pangkuanku semula!
Meja Merah Tua itu mengembalikan aku kepada realiti apabila sarat pandanganku
terpandang ke arahnya, disertai dengan ketukan berkali-kali di pintu kamar
pejabatku. “Bos, Puan Vimmi sudah datang.”
Aku mengangguk sambil bersedia untuk melangkah keluar. Cepatnya masa
berlalu! pagi tadi, aku ke galeri, dan jam 12 tengah hari sdah pun berkunjung
tiba. Mentari sudah berarah daripada terbit di timur kepada menegak di atas
kepala.
Aku segera menuju ke bahagian depan galeri. Di sana, Vimmi tersenyum
menunggu. Jam rupanya baru menunjukkan ke angka 11 pagi. Vimmi yang memakai
seluar panjang, berwarna hitam, baju blaus putih berbunga biru dan kuning,
nampak ceria bersama satu set mangkuk tingkat, berlapis lima tingkat.
“Hai, Vimmi, tak sabar rupanya nak bagi food testingya. Janji jam 12, jam 11 sudah datang.”
Dia tergelak, “Saya nak jadi macam orang Jepun Encik Duha. Janji tepat
pada waktunya. Jam pakai je jam dari jepun, tapi waktu pakai waktu kita. Tak
jadi macam tu.”
Aku bersetuju dengan konsep waktu ‘Jepun’ yang dikatakan Vimmi. Menurut
temanku, Akida yang menetap di Jepun, di
sana, di semua stesyen kereta api dan tempat awam yang lain, kerajaan Jepun
menyediakan banyak papa nota atau pernyataan. Jika anda terlambat untuk
berususniaga atau temu janji, perlulah anda merujuk kepada papan kenyataan
tersebut, kerana orang Jepun tidak akan lewat untuk bertemu janji. Andainya
anda lewat, anda pasti ditinggalkan.
Aku segera berpaling kepada Rashdan, “Panggil Lily, minta temankan kami
di bilik belakang.” Maklumlah, tidak ‘molek’lah hanya aku dan Vimmi sahaja di
bilik belakang, walaupun hari cerah, dan galeri dihuni empat orang bersama. Aku
ini suami orang dan Vimmi pula isteri orang! Andai berstatus bujang pun,
tentulah tidak molek kami bersama, hanya berdua.
Dan sekadar tersengih, “Wokey bos, jangan lupa tinggalkan untuk saya ya.”
“Kau ni ingat makan je.”
Aku mengiringi Vimmi ke bilik belakang di galeriku. Pelik sangat, apabila
Vimmi sendiri tidak bertanya khabar perihal Manisah. Padahal, Manisah dan Vimmi
adalah kawan akrab sangat! Pelik! Takkanlah semua orang sudah melupakan
Manisah!
“Apa menu hari ni?”
Vimmi kelihatan mengeluarkan set ‘mangkuk tingkat’ nya ke atas meja kami.
Dan dalam tempoh itu Lily pun tiba ke bilik.
Lily cepat-cepat duduk di meja kami. “Sedapnya bau. Saya tengah lapar
ni!”
“La, belum makan ke? Pagi tadi kan saya dah belikan roti canai.”
Lily tersenggih sahaja, “Mana sempat makan bos, kan tadi saya keluar
jumpa Safika.”
Vimmi tergelak saja, “Kalau begitu makanlah.” Kulihat Lily mengucapkan
khalimah Bismillahhirrahmanirrahim, dan mula menjamah nasi yang dibawa Vimmi.
“Ni rendang tok daging, ayam masak merah cinta, acar timun berteman,
bawal masam-masam manis dan dalca kambing suka hati.” Dia menunjukkan lauk-pauk
yang disediakan dalam bekas yang dibawanya.
“Dan ini, tak termasuk dalam menu, sengaja bawa saja hari ini, ayam masak
lemak tempoyak.”
“Alamak, saya ni pantang dengan tempoyak Vimmi.” Kataku, mencelah.
“Pantang, sejak bila pulak pantangnya.”
“Pantang bila jumpa, habis seperiuk nasi kena makan.” Dia tergelak,
sebaliknya Lily tidak berkata sepatahpun lagi, hanya menyuapkan makanan ke
dalam mulutnya sahaja. “Hmm sedap.” Bunyi ringkas sahaja kata Lily. Agaknya
bagai orang mengantuk disorongkan bantal, inilah jadinya, makan dengan sesedap
rasa!
“Ini namanya orang lapar disorongkan pinggan Vimmi.” sengaja aku
memperolokkan Lily. Dia tidak marah rupanya, hanya tersenyum, dan meneruskan
menjamah makanannya tanpa suara.
“Macam mana Lily, yang mana awak nak pilih.”
Lily mengangkat mukanya sambil tersenyum dan menjawab, “Semuanya Encik
Duha. Semua sedap.”
“Okay Vimmi, saya ikut pilihan Lily. Saya pilih semuanya Vimmi, tengok
Lily makan, buatkan saya rasa kenyang. Saya percaya akan citarasanya.” Vimmi
hanya mengangguk setuju.
Kami berbincang tentang menu dan jumlah tetamu untuk hari teruna
galeriku. Sengaja aku buatkan sedikit jamuan untuk meraikan galeri ni.
“Jadi Encik Duha, minggu depan, bila saya balik kampung, saya bawakan
lukisan kawan saya tu.”
Aku menangguk lagi, “Boleh, bawalah.”
“Saya tak pasti lukisannya sesuai atau tidak. Sudah lama dia lukis
lukisan tu.”
Aku tersenyum lagi, “Jangan risau. Lukisan ni tak pernah mati Vimmi.
Macam fesyen juga. Yang sudah lama ditinggalkan, boleh muncul kembali. Yang tak
sesuai bagi orang A, mungkin sesuai dan cantik pada pandangan orang B. Bawa
sajalah, kita lihat dan nilai bagaimana. Tengok lukisan Safiya tu, walaupun
baru belasan tahun, mengkagumkan. Saya percaya setiap pelukis ada citarasa dan
cara mereka sendiri.”
“Ya betul. Saya setuju. Nanti saya bawakan. harapnya ada pasaran untuk
lukisannya.”
Aku sekadar memulangkan senyumannya.
“Okay Encik Duha, saya kena balik dulu. Malam ni ada ‘Program Mengedarkan
Makanan untuk Gelandangan’.”
Hairan mendengar perkataan tersebut. Pernah mendengarnya, tetapi aku
tidak pasti di mana. “Program apa? Di mana? Macam pernah dengar sahaja!”
“Edar
makanan untuk gelandangan, di Jln Pudu
ke Kotaraya, juga berdekatan
Bangkok Bank kemudian ke Masjid
Negara sehingga Masjid Jamek, Masjid India , dan berjalan sehingga ke Jalan
Leboh Ampang.”
Lily
tekun mendengar, dan bertanya, “Gelandangan tu apa kak Vimmi?”
“Homeless. Orang yang tak berumah.”
“Siapa
yang menaja mereka?” aku bertanya, terasa ingin tahu.
“NGO
(Non Gorvement Organisation), ada juga pihak lain seperti Kelab Anak Jati Perak Darul Ridzuan, JAWI Bahagian Dakwah, Persatuan Ulama Malaysia WP, Chef-chef daripada
Hotel Hilton di PJ. Ada juga bantuan daripada bank-bank sekitar KL, ada
juga daripada orang awam yang ingin menderma.”
“Ooh, mulianya hati mereka.”
“Tapi ada juga syaratnya Duha. Ada
juga antara mereka ni, yang ‘tak bersih’, jadi makanan diletakkan berhati-hati
untuk tidak mengganggu mereka tidur. Bimbang juga kalau ada jarum dadah yang
digunakan, jadi kena berhati-hati. Kita tak mahu jadi mangsa pada sesuatu yang
tak patut terjadi.”
Aku mengangguk lagi. memahami
sangat-sangat maksud ‘tak bersih’ di sini. Walaupun bukan semua mereka yang
terlibat dengan gelandangan ini adalah penagih dadah, mereka yang terlibat
dengan aktiviti ini perlulah berhati-hati menjalankan program ini.
“Saya ikut program ini dengan harapan
anak-anak saya besyukur dengan keluarga mereka. Melihat orang lain yang hidup
susah, jauh lebih baik daripada hidup mereka.” Vimmi menerangkan sambil berlalu
pergi.
Aku
sekadar terasa kagum mendengarnya. Belum cukup bersedia untuk berbakti begitu.
Dan aku rasakan, jika ikut serta, tentunya menimbulkan rasa keinsafan yang
teramat sangat. Aku bayangkan diri, menilai cerita Vimmi betapa sukarnya
golongan gelandangan ini berada di luar sana. Aku sedang enak-enak tidur
bertemankan penghawa dingin, ada lagi orang lain yang tidur berlapikkan hanya
kotak-kotak kertas, penuh rara kedinginan di bawah jambatan, di tepian
longkang. Sekadar pertanyaan di benak, apakah yang menjadikan mereka perlu
mengakhiri hidup mereka bgitu? Kemiskinan? Penagih dadah? Tiada kerja? Dibuang
keluarga? Bayangkan ketika hari hujan, pasti terdapat percikan air hujan yang akan
membasahi tubuh dan pakaian mereka yang mungkin hanyalah ke sana-sini dengan
sehelai sepinggang! Sadis! Dalam kemakmuran Malaysia, masih aa lagi yang perlu
menjalani kehidupan sebegitu!
Aku
dan Rashdan kemudiannya menghabiskan makanan tengah hari yang dibawa untk kami
berdua. Dalam enaknya menikmati makanan, kepala ligat berfikir, andai kata
tiada makanan yang dibekalkan untuk gelandangan, kerana makanan hanya
dibekalkan tiga kali seminggu, agaknya di manakah mereka mendapatkan makanan
mereka? Penuh tanya tanya. Berkemungkinan ada di antara mereka, langsung tiada
peluang menjamah makanan, hanya menanti makanan percuma yang diedarkan sahaja!
Sama seperti yang hanya menanti makanan daripada Vimmi hari ini. Cuma bezanya,
aku hanyalah seorang gelandangan hati! Hatiku tiada berumah lagi!