HARI ini adalah hari pertama Rayyan memulakan kerja secara rasmi setelah berehat selama tiga bulan. Tanpa membuang masa, dia terus menapak laju ke tingkat 13 selepas menyerahkan smart key yang biasa dipanggil "anak kunci" kereta BMW i8 miliknya kepada Pak Ajib untuk diparkir memandangkan hari ini dia ada tugasan di luar.
"Pagi, Boss!" sapa Ren Hau dan Grace serentak.
Wah, segak bergaya bos mereka pagi ini! Nampak ceria dan bersemangat betul untuk memulakan kerja. Melihat kondisi Rayyan Razien seperti itu, mereka berdua pun turut berasa senang hati. Maklumlah, Rayyan kan bos kesayangan mereka.
"Pagi," jawab Rayyan bersahaja lalu terus menuju ke bilik kerjanya.
"Falcon mana?" soal Rayyan sambil melangkah masuk, diikuti rapat oleh Ren Hau dan Grace.
Semalam, dia sudah pun mengarahkan ketiga-tiga orang anak buahnya iaitu Ren Hau, Grace dan Syafiq supaya bersedia di dalam bilik kerjanya tepat pada jam 8.30 pagi. Sebetulnya, dia ada perkara penting yang mahu dibincangkan bersama mereka bertiga.
"Er..." Grace menalakan pandangan kepada Ren Hau dan pandangannya turut dibalas oleh jejaka itu.
Melihat reaksi mereka berdua, Rayyan mengangguk perlahan seraya menggaru-garu keningnya yang tidak gatal. Seketika, ketawa kecil meletus dari mulutnya sebelum semakin lama semakin kuat pula nadanya. Syafiq Azzim, anak buahnya si pakar IT tersebut nampaknya memang sah masih membuta!
"Er... Boss." Grace menayangkan senyuman serba-salah.
"Haih..." Rayyan membetul-betulkan tali lehernya.
'Alamak, mati kau Falcon!' Ren Hau dan Grace, kedua-duanya saling berpandangan sesama sendiri. Bos mereka ini jika dilihat membetulkan-betulkan tali leher, itu bermakna dia tengah mengumpul kesabaran. Bahaya!
"Boss. Relaks. Aku... aku pergi panggil dia." Cuak, perlahan-lahan Ren Hau berundur setapak dua ke belakang.
"Bertenang, Boss. Boss kan baru baik daripada sakit." Giliran Grace pula memujuk Rayyan.
Sumpah, cuak kuasa lima melihat reaksi bosnya yang sudah mula "bergetar" sabar. Rayyan Razien kan seorang yang menepati masa. Jadi, anak-anak buahnya pun perlu menepati masa sama sepertinya. Sudahnya, cepat-cepat dia mengisyaratkan kepada Ren Hau agar bergegas mendapatkan Syafiq yang masih lena di bilik kerjanya.
"Pandai eh kau," perli Rayyan.
"Hehehe..." Grace memintal-mintal hujung rambut pendeknya.
"Kau pergi panggil Cik. Meeting pagi ni, dia pun kena ada sekali," arah Rayyan kepada Grace.
"Baik, Boss," akur Grace. Lantas, dia juga terkocoh-kocoh keluar dari pejabat.
Setelah bayang Grace dan Ren Hau menghilang di sebalik pintu, Rayyan membuka butang kotnya lalu menarik kerusi. Kerusi empuk yang diperbuat daripada kulit itu memang selesa apabila dilabuhkan punggung di atasnya, namun ia tetap saja tidak mampu menyelesakan hatinya yang berasa agak gundah.
Dari mejanya, pemandangan hutan batu yang terbentang luas di luar bangunan Campbell Corporation dipandang penuh asyik. Sungguh hebat ciptaan manusia, namun gah lagi ciptaan Allah SWT yang memberikan akal dan ilham kepada manusia untuk membina pelbagai jenis bangunan sehingga mencakar langit.
Bip... bip...
Getaran telefon dari poket seluar serta-merta merencatkan lamunannya. Setelah dilihat nama pemanggil, terus ikon terima panggilan diselak laju. Jika Dato' Campbell yang menelefon pagi-pagi buta, adalah berita yang ingin disampaikannya. Tidak pun, tokoh korporat itu mahu meminta tolong.
"Ya, Dato'," jawab Rayyan.
"Eve? Sekejap lagi saya ada meeting dengan dia," beritahunya sambil mengetuk-ngetuk pen di meja.
"Jangan risaulah Dato'. Pandailah nanti saya uruskan budak tu," ujarnya pula.
"Baik. Terima kasih inform. Team saya sentiasa bersedia untuk escort." Rayyan mengerling sekilas ke arah fail kulit keras yang berada di atas mejanya.
"Ya, saya faham," akurnya pula lalu memutuskan talian.
Suara Dato' Campbell di talian kedengaran resah tetapi dalam masa yang sama berbunyi riang. Sebagai orang kepercayaan, dia memahami rasa hati pengerusi syarikat itu apabila bersuara sedemikian di telefon. Dalam diam, telefon pintar di tangannya ditenung sekilas sebelum perhatiannya difokuskan kembali ke fail tadi.
Hibiscus Tower Project.
Projek Menara Bunga Raya, itu terjemahan nama yang tertera di muka hadapan fail tersebut. Projek itu bertaraf mega sama seperti usaha sama dengan Kerajaan Vietnam pada beberapa bulan lepas. Jadi, projek pembinaan bangunan pencakar langit ini juga mendapat perhatian meluas pihak media dan semestinya, pesaing-pesaing bisnes.
Menara itu nanti akan membawakan lambang bunga raya sebagai mercu tanda Malaysia. Maka, dalam perebutan sengit tender projek yang akan berlangsung hari ini, Eve Campbell sekali lagi bersedia mencipta nama untuk merampas projek bernilai RM20 bilion tersebut daripada pesaing bisnes lain.
Tok! Tok!
Belum pun sempat Rayyan menelusuri dengan lebih jauh ke dasar maklumat yang terdapat di dalam fail tersebut, ketukan sebanyak dua kali di muka pintu mengganggu fokusnya. Namun, dek malas mahu mengangkat kepala, dia meneruskan lagi pembacaannya yang terganggu.
"Boss, welcome back!" ucap Eve dengan riang sambil berjalan masuk.
"Rindu ke tu?" balas Rayyan sedang matanya masih setia tertancap di kertas.
"Rindu sangat. Tapi kalau rindu lebih-lebih, tak pasal I kena berperang dengan Kak Yong pula," jawab Eve seraya mengambil tempat di kerusi hadapan meja Rayyan.
"Banyaklah kau," bidas Rayyan sambil menyembunyikan senyuman.
Berbunga-bunga rasa hatinya apabila nama tunangnya disebut-sebut. Tetapi, mukanya sengaja dibuat-buat serius supaya tidak jelas kelihatan riak suka hatinya di depan Eve. CEO syarikat ini bukannya boleh dibuat main perangai sewelnya. Sekali kena sakat, habis!
"Oh ya. Ada apa yang penting ke sampaikan nak buat meeting pagi-pagi buta ni?" tanya Eve.
"Ada, semestinya," jawab Rayyan seraya menolak fail projek tadi kepada Eve.
"Kenapa dengan fail ni? I yang suruh secretary I letak atas meja you semalam." Eve memandang wajah Rayyan sambil mengerutkan muka.
Sungguh, dia tidak faham dengan tindakan Rayyan yang menyuruhnya meneliti kembali fail projek tersebut. Rasanya sudah berkali-kali dia menyemak kembali isi kandungan fail itu sebelum menyuruh setiausahanya meletakkan fail tersebut di atas meja Rayyan. Takkan ada masalah dengan projek? Seriuslah?
"Tak ada apa. Semuanya okey. Good job, kau dah mahir dalam mengendalikan projek mega macam ni walaupun tanpa bantuan aku." Rayyan menarik senyuman seraya mentertawakan wajah cuak Eve.
"Hish!" cebik Eve seraya menyilangkan tangannya ke dada. Dasar Boss!
Geramnya dia dengan perangai menyakat Rayyan Razien ini. Nak protes boleh tak? Tapi, memang sah tak boleh. Kalau dia merajuk dengan Rayyan, nanti siapa pula akan menjadi telangkai untuknya dan Steven jika mereka berdua bergaduh? Aduh, masalah ini lebih berat daripada masalah dunia, tahu?
Tok! Tok!
"Kau lambat, Falcon."
Belum pun sempat Syafiq menjengulkan kepalanya di muka pintu, Rayyan terlebih dahulu menyerang stafnya itu dengan lontaran ayat geram. Haruslah, masa sudah pun menunjukkan waktu 9.00 pagi. Masanya telah terheret selama setengah jam, okey?
"Sorry, Boss." Tersengih-sengih, Syafiq menggaru-garu kepala sambil membetulkan kaca matanya yang terlorot ke hidung.
Masya-Allah, Ya Rabbi Ya Kareem.
Sakit mata Rayyan memandang keadaan berserabai stafnya yang seorang tersebut. Jika diikutkan hatinya, mahu saja dia merendam budak itu ke dalam tasik. Rupa Syafiq Azzim sudah seperti orang yang tidak mandi selama sebulan lamanya!
"Sorry, Boss," ujar pula Ren Hau yang turut masuk ke dalam bilik kerja Rayyan.
Aduh, cuak betul dia melihat cara Rayyan memandang Syafiq. Rupa bosnya seperti mahu menelan orang saja. Cumanya, nasib baik dia seorang yang berperikemanusiaan dan bertolak ansur. Jika tidak, habislah Syafiq kena sental dengan syampu dan sabun mandi.
"Semua dah ada? Okey, kita mulakan sekarang," ujar Rayyan seraya memandang seorang demi seorang anak-anak buahnya termasuklah Eve.
Eve, kekal berada di kerusi di hadapan Rayyan dengan gaya anggunnya sebagai seorang CEO. Grace dan Ren Hau pula, seperti biasa berdiri tegak di belakang Eve setiap kali Rayyan memberikan taklimat. Manakala, Syafiq mengambil tempat di sebelah Eve dan bersedia dengan komputer ribanya.
"Tepat pukul 12 tengah hari ni, wakil daripada pihak kerajaan akan turun ke Dewan Persidangan Makmur untuk sesi pembentangan projek Menara Hibiscus. Sebagai CEO, Eve perlu hadir di sana," terang Rayyan.
"Ya, I tahu I kena pergi ke sana, Boss," sampuk Eve.
Pelik juga dia kenapalah Rayyan mengulang semula informasi yang sudah dihafalnya sejak seminggu yang lalu? Segala maklumat tentang majlis hari ini, dia sudah menghafalnya dan mengingatinya sebaik mungkin. Jadi, apa pula sebabnya jejaka ini membuat siaran ulangan?
"Kita ada masalah," beritahu Rayyan, serius.
"Hah?" Eve mengerutkan muka.
"Daripada amatan aku, kita bakal berdepan dengan masalah besar. Sebab itulah aku panggil kau semua pagi ni," tutur Rayyan lagi.
"Tapi, belum pun sempat aku beritahu pasal tu, Dato' Campbell telefon tadi sahkan yang memang kita ada masalah," sambungnya pula.
Mendengar kata-kata Rayyan, Eve semakin pening. Masalah apa pula yang bakal menimpa syarikat mereka? Ada orang cuba bermain kotor ke? Taktik apa pula kali ini? Ah, serabutnya! Sudahnya, dengan riak marah, dia bangun dari kerusi lalu bercekak pinggang.
"Dasar hati hitam," gerutunya dengan geram. Mahu saja disepaknya si pembuat onar biar melambung hingga ke Pluto!
"Siapa yang cuba buat onar tu?" soalnya pula sambil memandang tepat ke arah Rayyan.
Ketika ini, memang dia betul-betul marah. Dia sudah berjuang bermati-matian berusaha untuk mendapatkan projek bernilai bilion ringgit itu sampaikan tidak tidur malam kerana terpaksa mengorbankan masanya untuk bertungkus-lumus di pejabat supaya projek itu berjaya berada dalam tangannya.
Namun, pihak lawan yang cuba membuat onar tersebut memang sengaja cari pasal dengannya. Siapa punya angkara? Dia tidak berpuas hati selagi mana nama syarikat yang cuba merampas projeknya tidak diberitahu oleh Rayyan. Walau apa pun yang terjadi nanti, dia akan buru mereka sampai ke lubang cacing!
"HR Holding," jawab Rayyan sebaris ayat.
Lantas, dia menentang tajam anak mata Eve yang turut sama memandang garang anak matanya. Seketika, kedua-duanya saling beradu pandang sebelum tiba-tiba, senyuman sinis terlakar di hujung bibir masing-masing. Apa yang pasti, memang syarikat lawan tersebut cuba menggali kubur sendiri.
"Aku namakan operasi hari ni sebagai Sky Eyes. Prioriti utama kita adalah Dato' Campbell. Ketatkan kawalan ke atas Dato'," kata Rayyan dengan tegas.
Lantas, dia menebarkan pandangannya kepada Ren Hau, Grace, Syafiq dan tidak terkecuali, Eve. Seperti yang dijangkanya, riak terkejut jelas terlakar di wajah mereka berempat.
Haruslah pelik. Kenapa mereka perlu melindungi Dato' Campbell sedangkan orang yang menjadi target HR Holding adalah Eve Campbell?