Home Novel Thriller/Aksi BLAZE BODYGUARD
BLAZE BODYGUARD
Angel_k20
25/10/2025 16:33:54
342
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
BAB 10

RAYYAN dan Ren Hau serentak berpandangan sesama sendiri. Memahami apa yang perlu dibuat, mereka segera mematikan lampu suluh lalu cermin mata dilengkapi infra-red bagi memudahkan melihat dalam gelap tanpa dikesan oleh manusia segera dipakai.

Cermin mata itu merupakan ciptaan terbaharu Sarah al-Hanan, iaitu adik kepada Qarizh. Suruhan DSP Haireen agar Qarizh membantunya dalam kes ini membuatkan kerja mereka lebih mudah. Sarah yang merupakan jurutera teknologi sedikit sebanyak dapat membekalkan peralatan pengintipan berteknologi tinggi kepada pasukan mereka.

Dengan isyarat tangan, Rayyan mengarahkan Ren Hau supaya mereka pergi lebih dekat lagi. Ren Hau mengangguk faham dengan arahan tersebut. Lalu dengan penuh berhati-hati, Rayyan dan Ren segera berjalan ke depan tanpa membuat sebarang bunyi yang boleh menyebabkan kehadiran mereka di situ disedari oleh musuh.

Semakin lama mendekat, semakin jelas bunyi suara-suara menyapa koklea. Perbualan antara beberapa orang lelaki di depan juga semakin jelas kedengaran.

"Kau ni tak ada kerja ke? Pemalas sungguh."

"Dah kenapa kau cakap macam tu kat dia?"

Banyak lagilah kata-kata sekumpulan lelaki yang berjumlah lebih kurang lima orang yang berkumpul di depan sebuah bangsal buruk di depan. Asap rokok berkepul-kepul di udara. Rayyan syak mereka semua tengah bersembang sambil membahan sesama sendiri. Biasalah kalau sudah bertemu geng.

Melihat itu, Rayyan memberi isyarat kepada Ren Hau supaya pergi lebih dekat. Rimbunan semak samun yang memagari belakang bangsal buruk menjadi lokasi tujuan. Mereka ingin tahu apa yang ada di dalam bangsal itu dek hati kuat mengatakan bahawa di situlah pintu masuk ke makmal bawah tanah.

Namun, belum pun sempat bergerak, telinga mereka terlebih dahulu menangkap deru enjin kenderaan seperti van. Semakin lama semakin dekat dan terbukti telahan mereka benar. Sebuah van putih berhenti tepat di depan bangsal itu.

"Lambat betul kau ni. Puas aku tunggu. Berjanggut aku!"

"Kau tak tahu ke susah betul aku nak datang ke sini? Ada sekatan jalan raya tadi. Dahlah aku bawa kepala orang ni. Buatnya kena tahan, mampus aku!"

Rayyan dan Ren yang mendengar perbualan tersebut terus menelan liur. Macam itu saja bawa kepala orang? Angkut guna van dan berjaya melepasi sekatan jalan raya pula. Nampaknya, pihak polis perlu menggembleng tenaga lebih kuat daripada sekarang. Penjenayah semakin culas!

"Dah, tak payah bertekak kat sini. Cepat masuk. Tuan Long dah tunggu kat dalam. Bawa kepala-kepala tu sekali."

Dua orang penjenayah yang bertikam lidah tadi terus akur dengan arahan lelaki tersebut. Terus beberapa buah kepala manusia yang diletakkan di dalam karung guni dibawa masuk ke dalam bangsal. Penjenayah lain juga terus membuntuti langkah mereka sehingga akhirnya, kawasan bangsal dibiarkan kosong tanpa penjaga.

"Boss." Barulah Ren Hau berani membuka mulut.

"Jom." Rayyan memberi isyarat supaya teruskan niat tadi, iaitu mendekati bangsal.

Langkah diatur penuh waspada. Sedaya upaya mereka mengelak daripada terpijak ranting kayu kering. Tersilap pijak, nahas! Mahunya mereka kena kejar dengan malaun-malaun tersebut.

Mereka kini berdiri dalam jarak satu meter dari belakang bangsal. Semak samun dan pokok yang merimbun tinggi sehingga hampir mencecah tingkap bangsal seolah-olah memberi bonus tambahan kepada mereka. Terus Rayyan dan Ren berdiam diri di dalam semak bagi memeriksa keadaan.

Suasana di dalam bangsal sunyi sepi dengan tiada satu suara pun kedengaran. Kesempatan itu diambil oleh Ren Hau dengan terus bergerak betul-betul rapat ke jendela apabila mendapat isyarat kebenaran daripada Rayyan.

Sementara Ren Hau menghendap di tingkap, Rayyan pula bergerak perlahan-lahan merapati lubang di dinding bangsal. Kondisi bangsal yang uzur itu memudahkannya untuk menjadi mata kedua bagi Ren Hau dan seluruh ahli pasukan mereka nanti.

Pandangannya meliar ke seluruh isi dalam bangsal. Sama seperti sarang penjenayah lain, keadaan bangsal memang bersepah. Bekas makanan serta tin dan botol minuman bersepah di atas lantai. Di satu sudut, berselerakan puntung rokok.

Matanya menyorot pula ke lantai bangsal. Melihat kepada penjenayah-penjenayah itu yang seolah-olah ghaib, pasti ada sesuatu di lantai itu yang menjadi pintu untuk ke bilik bawah tanah. Ternyata benar telahan Rayyan apabila pandangannya jatuh pada "sesuatu" di atas lantai.

Sesuatu itu berupa pemegang besi berbentuk segi empat tepat. Ia terletak betul-betul di atas lantai kayu yang kelihatan seolah-olah tercabut sedikit daripada lantai asal. Kesan darah yang menitik daripada karung guni tadi juga terhenti di situ. Jadi, Rayyan yakin itulah pintu untuk ke makmal bawah tanah.

"Psstt..." Rayyan memanggil Ren Hau.

Ren berpaling kepadanya. Segera dia memberi isyarat bahawa pelan seterusnya akan dimulai. Ren memahami isyarat itu lalu tanpa membuang masa, dia menapak ke arah Rayyan. Sebuah kotak kecil bersaiz kotak cincin kemudiannya dihulur kepada pemuda itu.

Rayyan menyambut huluran Ren lalu membuka kotak itu. Terpapar di depan mata mereka seekor lalat berwarna hitam. Lalat tersebut diambil lalu diletakkan di atas telapak tangan. Setelah menghidupkannya, lalat pengintip itu dilepaskan ke dalam bangsal.

"Falcon, sedia." Rayyan mengetuk earbud sebanyak dua kali sebagai isyarat kepada Syafiq bahawa dia telah melepaskan lalat itu.

Kini, tugas Syafiq pula bermula. Syafiq akan mengawal lalat yang dilengkapi kamera dan perakam suara tersembunyi itu dari jarak jauh. Rayyan dan Ren akan turut dapat melihat rakaman itu tetapi bukan sekarang. Mereka kena pergi dulu dari situ.

Pandangan dijatuhkan sekali lagi ke dalam bangsal buat beberapa saat sebelum Rayyan memberi isyarat kepada Ren Hau supaya pergi dari situ. Tugas di sini sudah selesai. Mereka perlu bergerak menjauhi bangsal itu sementara menanti Syafiq memberi maklum balas hasil intipan sang lalat.

Perlahan-lahan dengan penuh senyap, Rayyan dan Ren Hau bergerak pergi situ. Namun, belum pun bergerak beberapa langkah, sekali lagi telinga mereka dikejutkan dengan bunyi enjin kenderaan yang dikenal pasti sebagai kereta. Bukan sebuah, tapi dua buah. Terus langkah dihentikan dan mereka kembali mengintip.

"Tolong jangan apa-apakan saya!"

Pang!

Bunyi tamparan kedengaran seiring dengan bunyi jeritan rayuan. Jelas terpapar di mata Rayyan dan Ren Hau akan figura beberapa orang lelaki dan perempuan yang diikat kemas dan diseret masuk ke dalam bangsal. Meronta pun tak guna. Hanya sepak terajang yang tawanan-tawanan itu dapat.

"Otak dah cerdik. Saintis alkimia, doktor perubatan lagi. Tapi, tak sangka pula yang kau semua ni bodoh sangat tak selidik dulu dengan siapa kau akan kerja. Asal ada jawatan kosong aje kau rembat," ejek seorang lelaki bertubuh kekar.

"Nasib budak-budak sekarang. Terdesak sangat nak kerja sebab nak duit. Yang untungnya kitalah sebab budak-budak ni bodoh!" sambung pula seorang lelaki berparut di pipi.

"Agak-agaknya, bos kita akan bagi bonus lebih tak? Hei, kita bawa empat orang bijak untuk buat dadah tu tau." Seorang lelaki bertubuh sedang pula menyahut.

"Aku yakin dia akan bagi punya. Sebelum ni dia tak pernah gagal bagi duit," kata pula lelaki terakhir yang masuk ke dalam bangsal bersama dengan tawanannya.

Serentak keempat-empat penjenayah itu meledakkan tawa, sementara tawanan-tawanan mereka menjerit-jerit ketakutan. Ada yang sampai menangis-nangis dan merayu-rayu minta dilepaskan. Sungguh mereka semua telah termasuk ke dalam mulut buaya!

Rayyan mengepal penumbuk. Nak saja dia balun semua malaun-malaun tak guna itu. Tapi apabila mengenangkan dirinya takkan mampu melawan kerana dia hanya berdua dengan Ren Hau sedangkan di situ ialah sarang musuh, dia terpaksa akur dengan penganiayaan tersebut.

Dalam hati, dia berdoa semoga semua mangsa yang tidak bersalah ini akan selamat. Akan segera dia gempur makmal ini supaya tiada lagi orang lain yang menjadi mangsa. Namun, ketika fikirannya kalut merancang strategi, tiba-tiba tercetus sesuatu dalam mindanya.

"We'll see." Terbentuk senyuman sinis di bibirnya


Previous: BAB 9
Next: BAB 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.