Home Novel Thriller/Aksi BLAZE BODYGUARD
BLAZE BODYGUARD
Angel_k20
25/10/2025 16:33:54
342
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
BAB 9

TERINGAT itu, Rayyan tersengih sendiri. Tak sangka Qarizh akan terjatuh cinta juga kepada perempuan cengeng. Aralyn Awliya itulah, detektif persendirian yang sentiasa bekerjasama dengan Qarizh untuk menyelesaikan kes terpencil.

"Qarizh, Qarizh." Sengihannya terukir lagi. Lucu apabila teringatkan semula kata-kata Qarizh dulu.

Namun, sengihannya tidak lama. Memori 15 tahun dahulu bersama Qarizh dinyah jauh-jauh. Walaupun mereka akan bekerjasama lagi, tapi entah bila. Mereka sedang menunggu arahan terbaru daripada DSP Haireen.

Fikirannya diarahkan semula kepada Syafiq. Cepat-cepat Rayyan berjalan ke kereta dengan langkah dibuntuti oleh Hana. Hatinya kuat mengatakan bahawa Syafiq memang ada di situ, di dalam kereta. Terus tebakannya mengena sasaran apabila sampai saja di situ, dia melihat Syafiq sedang khusyuk meneliti skrin tablet.

"Boss!" sengih Syafiq.

"Kenapa keluar tak beritahu tadi?" tanya Rayyan. Pintu kereta dibuka dan tempat pemandu diambil.

"Nak bagitahu tapi aku nampak Boss tengah berbual dengan DSP Haireen tadi. Tak naklah kacau. Lagipun aku dapat info terbaru daripada Ace," jawab Syafiq.

"Apa dia?" Enjin kereta dihidupkan lalu tingkap diturunkan.

Dia berpaling ke arah Hana yang berada di dalam kereta yang diparkir bersebelahan dengan keretanya. Mata mereka bersabung dan senyuman manis terbit dari bibir masing-masing. Setelah mengucapkan selamat tinggal, Hana segera menekan pedal minyak lalu pergi dari situ.

Figura Syafiq yang sedang menatal skrin tablet pula dipandang. Setelah dapat apa yang dimahukan, Syafiq segera membuka mulut.

"Pasal kes Blue Rose Baharu tu. Abang Dark kata kita kena selidik betul-betul pasal Sir Alfred," kata Syafiq.

"Sir Alfred?" Dahi Rayyan berkerut.

"Ya." Syafiq menghulurkan tabletnya kepada Rayyan.

Wajah Sir Alfren Tyson memenuhi ruang pandangan Rayyan. Banyak informasi mengenai tokoh korporat itu yang dipaparkan di situ. Tiada yang menarik bagi Rayyan sehinggalah sorotan matanya tiba di perenggan akhir.

"Patutlah dia nak sangat projek Hibiscus Tower tu." Tanpa sedar mulutnya menggumam.

"Kan Boss?" Syafiq mengambil kembali tabletnya yang dihulur daripada Rayyan.

"Pagi esok kita adakan meeting tergempar dengan semua anggota team kita. Tapi sebelum tu, kita kena pergi ke tempat lain sekejap. Tengok mayat." Terus Rayyan memulakan pemanduan tanpa mempedulikan wajah Syafiq yang mula berubah hijau apabila perkataan mayat disebut.

JAM menunjukkan pukul 9 malam. Ren Hau memberhentikan keretanya di tapak pembinaan projek Hibiscus Tower yang belum pun dimulai proses pembinaan. Apa yang dapat dilihat di situ hanyalah tanah landai yang dipenuhi dengan rumput serta lalang setinggi paras pinggang.

Projek Hibiscus Tower hanya akan dimulai proses pembinaannya pada bulan hadapan, iaitu dua minggu dari sekarang. Banyak lagi masa yang mereka ada untuk menyiasat tapak pembinaan itu sebelum proses pembinaan mula dijalankan, iaitu langkah pertamanya melibatkan pembersihan kawasan.

"Boss nak tengok-tengok dulu ke kawasan ni?" tanya Ren Hau.

"Mestilah. Dah memang itu yang kita rancang dalam meeting dua hari lepas kan?" jawab Rayyan.

Ren Hau tersengih. Sengaja dia buat-buat tanya kepada bosnya yang seorang ini. Lagipun mereka berdua sahaja malam ini. Rasa macam seram pula berdua di sini, yang mana tapak pembinaan ini asalnya sebuah tapak perkuburan lama pada era jajahan Jepun.

Keluasan tapak projek itu kira-kira 1.5 juta kaki persegi, iaitu lebih kurang keluasan Menara Berkembar Petronas (KLCC). Jadi, jenuh jugalah kalau nak berjalan, tambah-tambah pula tengah malam buta seperti sekarang.

Namun, dia tahu yang mereka takkan pergi jauh pun. Syafiq sudah pin siap-siap lokasi yang disyaki. Jadi, mereka berdua akan terus bergerak ke situ dengan berjalan kaki. Harap-harapnya, urusan mereka dipermudah dan pencarian membuahkan hasil.

"Jom gerak." Rayyan membuka pintu kereta dibuka lalu tanah dipijak.

Enjin kereta dimatikan. Ren Hau turut mengikut jejak Rayyan, keluar dari kereta lalu berdiri di sebelah bosnya. Lampu suluh bersaiz sederhana kecil diberi kepada Rayyan, lalu dia sendiri menyuluh-nyuluh ke serata arah dengan lampu suluh miliknya.

"Dark kata di sini ada binaan bawah tanah. Jadi, tugas kita malam ini ialah cari di mana jalan masuk ke markas Blue Rose Baharu tu." Rayyan memperingatkan tugas mereka berdua malam ini.

Dua hari lepas, mesyuarat tergempar antara kumpulan mereka menyimpulkan bahawa untuk peringkat awal, Sir Alfred Tyson akan disyaki sebagai The Great Father berdasarkan segala bukti yang diperoleh setakat ini. Namun, untuk tidak menimbulkan sebarang perkara yang membuatkan lelaki tua itu sedar dirinya disyaki, mereka akan bergerak secara senyap-senyap.

Pihak polis juga sudah dimaklumkan mengenai deduksi awal mereka, cumanya Rayyan meminta agar informasi ini ditanda sebagai top secret. Ini bermakna, hanya anggota tertinggi polis dan pasukan Hana yang tahu secara terperinci mengenai hal tersebut.

Rayyan tidak mahu pisang berbuah dua kali. Oleh kerana itu jugalah dia meminta agar DSP Haireen memilih dengan teliti siapa anggota tertinggi polis yang benar-benar telus dan amanah dalam menjalankan tugas. Pasukan Hana juga begitu, dia meminta agar DSP Haireen meletakkan anggota polis yang benar-benar dipercayai sahaja ke dalam pasukan itu.

"Okey, Boss," jawab Ren.

Ren Hau kembali mengingat pelan yang dirangka oleh pasukan mereka. Pada siang hari, mereka akan bekerja seperti biasa. Gerak langkah dinormalkan sebaik mungkin kerana pelan ini hanya diketahui oleh mereka berlapan sahaja; Rayyan, Ren Hau, Syafiq, Grace, Aariz, Khayra, Light dan Cindy. Mereka mengecualikan Eve daripada pelan disebabkan tidak mahu merisikokan keselamatan gadis itu.

Lebih baik Eve tidak tahu menahu langsung. Itu yang terbaik.

Operasi lapangan mereka akan berjalan pada waktu malam. Letih memang letih kerana bakal tidak cukup rehat. Namun, demi memastikan stamina mereka sentiasa tinggi, jadual tugas telah diatur sebaik mungkin. Tiada kesilapan yang dibenarkan wujud!

Untuk siang hari, seperti biasa Rayyan akan bekerja layaknya sebagai bos. Ren Hau pula akan sentiasa menjadi penemannya ke sana ke sini. Syafiq akan kekal bekerja di dalam pejabat. Namun, tugasnya akan berkait dengan Khayra yang akan melakukan tugas pengintipan di pejabat HR Holding sebagai pegawai pemasaran baharu.

Khayra masuk ke syarikat itu dengan menggunakan identiti baharu. Puan Alysa, itulah nama Khayra sekarang. Tahi lalat palsu dan cermin mata turut dipakai oleh wanita itu demi melicinkan lagi penyamaran. Tiada siapa yang mengenalinya sebagai Princess Devil di situ.

Sementara Grace, Cindy dan Light pula, mereka bertiga ditugaskan untuk menjaga ahli keluarga Dato' Campbell. Grace khusus untuk Eve, Cindy untuk Natalie dan Light untuk Dato' Campbell sendiri. Ke mana sahaja mereka pergi, pengawal peribadi ini akan ikut.

Untuk waktu malam pula, Rayyan akan berganding dengan Ren Hau untuk mencari pintu masuk makmal Blue Rose Baharu yang dipastikan oleh Aariz terletak di tapak pembinaan Hibiscus Tower. Hari Jumaat dan Sabtu menjadi pilihan kerana Sabtu dan Ahad merupakan hari cuti umum. Jadi, sebagai ketua, Rayyan akan mempunyai stamina tinggi untuk bekerja secara efisien pada hari Isnin.

Jika pintu masuk dijumpai, Light dan Cindy akan masuk ke situ sebagai ahli baru pasukan penyelidik. Pangkalan data personel makmal akan digodam terlebih dahulu oleh Syafiq bagi menunjukkan bahawa Light dan Cindy merupakan penyelidik baharu yang dihantar khas oleh Sir Alfred Tyson untuk membantu menyempurnakan penciptaan Blue Rose Baharu.

Itulah perancangan awal mereka dan untuk ini, persediaan memang dilakukan dengan rapi. Tindakan yang bakal dilakukan jika pintu masuk tidak dijumpai juga turut dirancang. Daripada sekecil-kecil perkara sampailah sebesar-besarnya, semua itu diatur kemas oleh Aariz yang bertindak sebagai pakar strategi kumpulan mereka.

"Tak nampak apa-apa yang abnormal pun kat sini," komen Ren Hau.

Ingatannya kepada isi mesyuarat pada dua hari lepas terus sirna dek sepanjang menyuluh-nyuluh ke serata arah, tiada pula ternampak di matanya sesuatu yang pelik di situ. Selalunya kalau ada binaan bawah tanah, pasti akan ada sesuatu yang menunjukkan jalan untuk ke pintu masuk.

"Tapi tak bermakna usaha kita sia-sia," jawab Rayyan.

Rayyan menghalakan lampu suluhnya ke satu laluan kecil. Ada kesan tayar di sekitar jalan yang sedikit becak. Laluan itu menghala ke kawasan hutan. Tapi sayang, hutan itu bukan lagi kawasan pembinaan.

Ini bermakna, hutan itu tidak termasuk dalam kawasan tanah milik syarikat mereka. Maknanya juga, terdapat kemungkinan besar yang makmal itu mungkin tidak berada di bawah tanah Hibiscus Tower. Jadi, kenapa HR Holding nak sangat projek itu? Entah-entah...

"Nak teruskan?" Ren Hau tiba-tiba bertanya, meminta pendapat Rayyan.

"Dah alang-alang ni." Rayyan mengangkat kening seraya tersengih. Dia perlu buktikan andaiannya tadi.

"Faham, Boss." Ren turut tersengih.

Tanpa membuang masa, mereka berdua segera menapak ke depan, melangkaui kawasan tanah milik mereka. Dengan erti kata lain, mereka kini menceroboh tanah milik orang. Namun, saat itu mereka yakin bahawa pencarian malam ini bakal membuahkan hasil. Suara percakapan yang sayup-sayup kedengaran dari depan yang membuktikan telahan mereka!



Previous: BAB 8
Next: BAB 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.