Home Novel Thriller/Aksi BLAZE BODYGUARD
BLAZE BODYGUARD
Angel_k20
25/10/2025 16:33:54
342
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
BAB 8

"KE mana pulalah budak ni pergi?" Panjang leher Rayyan meninjau-ninjau keberadaan Syafiq.

"Eh, aku pergi dululah. Kut-kut si Falcon tu dah tunggu di dalam kereta. Budak tu bukan boleh pakai. Macam kaulah Qarizh, suka tidur time conference." Dalam minta diri, sempat lagi dia membahan Qarizh.

Qarizh hanya membalas dengan membuat muka toya. Memang tak kuasa nak layan sebab apa yang Rayyan cakap itu betul. Memang itulah zahirnya di mata kasar manusia. Cuma mereka semua tidak tahu yang matanya saja nampak tertutup, tapi sebenarnya dia dengar saja semua perkara yang dibentangkan oleh para pembentang konferensi.

"Hana, jom." Rayyan mengajak pula si buah hati.

Hana segera bersalam dengan Aralyn, siap berpelukan lagi. Ucapan "bye-bye" meniti bibir tidak putus-putus. Rayyan dan Qarizh yang menengoknya hanya mampu berserah, tak faham dengan perangai wanita. Memang macam itu ke sisterhood?

Ternyata sisterhood agak berbeza dengan brotherhood. Jika Hana dan Aralyn boleh mesra seawal pertemuan kali pertama, lain pula gayanya dengan Qarizh dan seorang lagi rakan karibnya yang bernama Adwan.

Terus fikiran Rayyan melayang ke memori pertemuan awal mereka bertiga pada 15 tahun lepas, iaitu kejadian yang menjadikan status mereka bertukar daripada orang asing kepada kawan baik. Ketika itu, Rayyan sudah menjadi sebahagian daripada keluarga Dr. Aiman.

Imbas kembali...

"ASSALAMUALAIKUM, uncle, aunty."

Hari sudah hampir maghrib dan mereka berempat sedang bersiap-siap ingin masuk ke rumah setelah berkelah di taman. Namun, sebelum sempat Rayyan, Amirul, Dr. Mira dan Dr. Salim masuk ke dalam rumah, mereka dikejutkan dengan ucapan salam daripada dua suara remaja lelaki. Terus Rayyan menoleh, ingin melihat gerangan yang tiba-tiba datang pada petang hari.

Seorang bermuka ketat dan seorang lagi berwajah serius.

"Siapa mereka?" tanya Rayyan kepada Dr. Mira.

Rayyan hanya melihat lagak dua orang remaja itu. Pertanyaannya tadi dibiarkan sepi oleh Dr. Mira tapi tak apa, nanti dia akan tanya lagi sekali. Mungkin wanita itu teruja menerima tetamu cilik tersebut, kerana itu terlupa nak menjawab soalan Rayyan.

"Aiman kat mana?" tanya si muka ketat, yang wajahnya ada iras orang Arab.

"Kat mana lagi? Mestilah kat atas, tengah main game tembak-tembak," jawab Dr. Mira sambil mulutnya memuncung ke arah si muka serius.

"Abang Aiman memang macam tulah Abang Qarizh," kata si muka serius, atau Adwan namanya.

"Aku dah cakap kan jangan panggil aku abang. Kau nampak aku ni tua sangat ke? Panggil aku The King, okey?" marah si muka ketat, atau Qarizh namanya.

"Kalau kau The King, aku Boss. Adwan, The King, panggil aku Boss." Rayyan yang sedari tadi melihat drama sebabak di hadapannya terus memotong cakap tersebut.

Berani!

Ya, dia memang berani. Walaupun itu kali pertama dia berjumpa dengan Qarizh dan Adwan, namun kesah apa dia? Yang pasti dia mahu orang notice kewujudannya di sini. Tak adalah nanti dia jadi halimunan, berkelip-kelip di sini tapi orang tak sedar.

"Kau siapa?" Serentak Qarizh dan Adwan berpaling ke arah Rayyan yang sedang duduk di sofa dengan kaki disilangkan gaya bos.

"Aku Rayyan Razien. Adik Aiman, abang Amirul," jawab Rayyan sambil menayangkan sengihan. Sengaja nak tunjuk kuasanya yang tidak seberapa di sini.

Qarizh diam seketika sebelum menghamburkan ketawa mengejek. Oh, jadi inilah budak yang baru lepas operate itu? Wah, tak padan dengan sakit tapi ada hati nak berlagak.

Adwan pula masih menjadi budak baik, tidak ketawa tetapi bergegar juga badannya menahan tawa. Boleh tahan berlagak juga pesakit yang seorang ini. Geli hati sungguh mereka berdua berasa dengan perangai budak itu.

"Kenapa kau nak kami panggil kau Boss? Berlagak gila," kata Qarizh.

"Sebab boleh." Dua patah saja jawapan Rayyan beri, kemudian dia tersengih lagi.

Qarizh pula apabila melihat sengihan itu, berasap hatinya. Pantas tanpa kiraan satu, dua atau tiga, dia bangun dari sofa lalu berdiri di depan Rayyan. Kepada remaja itu, dia menayang muka garang lalu berkata, "Kalahkan aku, baru aku akan panggil kau Boss. Aku juga akan jadi kawan kau sampai bila-bila."

"Okey. Jadi, kau nak buat challenge apa?" tanya Rayyan.

"Pecahkan rekod aku sebagai pelajar yang setiap tahun mendapat ranking nombor satu bagi seluruh tingkatan," jawab Qarizh dengan senyuman sinis kekal di bibir.

"Kacang aje. Kau tengoklah. Aku akan jadi pegang ranking nombor satu dalam kalangan pelajar tingkatan tiga dalam exam kali ni, juga exam akan datang," kata Rayyan, juga sambil tersenyum sinis.

Sebagai remaja yang berdarah panas, Rayyan menyambut cabaran tersebut dengan penuh semangat. Sebenarnya, dia berasa bosan kerana tiada kawan. Maka baginya, remaja yang bernama Qarizh dan Adwan itu sangat sesuai dibuat kawan walaupun jelas mereka bertiga berbeza usia.

Mengikut kata Dr. Mira, Qarizh adalah pelajar tingkatan lima, manakala Adwan pula pelajar tingkatan satu. Sedangkan dia si Rayyan Razien, pelajar tingkatan tiga. Terang lagi bersuluh jarak usia antara Rayyan dan dua orang lagi itu berbeza dua tahun.

Jika dilihat daripada challenge Qarizh pula, perlawanan dengan remaja itu bukanlah dari segi beradu kekuatan fizikal. Qarizh masih ada rasa perikemanusiaan dengan tidak mengajak Rayyan bergasak walaupun tahu sebelum ini Rayyan handal berlawan kerana pernah menyertai kejuaraan tae kwan do peringkat negeri.

Kerana kecederaan teruk akibat kemalangan sehingga terpaksa terlantar di katil hospital berbulan-bulan lamanya, Qarizh hanya mencabar Rayyan supaya mendapat tempat pertama dengan markah keseluruhan 95% daripada keseluruhan jumlah 100 orang pelajar tingkatan tiga dalam peperiksaan bulan Ogos. Itu saja.

Qarizh mencabar inteligen kerana dia memang terkenal sebagai top scorer tingkatan lima. Daripada semua pelajar tingkatan lima berjumlah 120 orang, Qarizh memegang takhta nombor satu setiap kali peperiksaan dijalankan. Jadinya, adillah. Inteligen lawan inteligen.

Malah, Qarizh bertahan di posisi itu sejak berada di tingkatan satu lagi. Kiranya sejak tingkatan satu sampailah sekarang tingkatan lima, Qarizh merupakan pelajar yang tidak dapat dikalahkan inteligennya oleh sesiapa pun daripada kalangan pelajar batch dia.

Kini, pemegang takhta inteligen terbaik bagi batch tingkatan satu adalah Adwan Haffaz. Bagi tingkatan dua, tiga dan empat, posisi itu masih kosong kerana pemegang takhta nombor satu tidak mencapai tahap inteligen terbaik iaitu 95% daripada skor keseluruhan subjek yang dipelajari oleh mereka.

Beberapa minggu berlalu setelah kejadian pada petang itu. Peperiksaan bulan Ogos akhirnya berlalu jua dan keputusan peperiksaan tersebut memang sudah boleh dijangka siapa top scorer bagi tingkatan satu, tiga dan lima. Siapa lagi kalau bukan Adwan bagi tingkatan satu, Rayyan tingkatan tiga dan Qarizh tingkatan lima.

"Tak sangka aku kena kawan dengan mamat kerek lagi poyo macam kau." Itu ayat yang Qarizh ucapkan kepada Rayyan saat mereka bertemu lagi.

"Kau tak boleh tarik balik janji tu. Kau kena jadi kawan aku sampai bila-bila." Rayyan tersenyum menang.

Qarizh mencebik. Tapi tepat seperti janji, Qarizh akhirnya berkawan dengan Rayyan. Namun, tidak semudah itu dia betul-betul menerima Rayyan sebagai sahabat. Masih ada banyak ujian yang perlu Rayyan lalui dan semestinya ia tidak akan berakhir begitu sahaja.

Rayyan tahu niat Qarizh yang satu itu tapi peduli apa dia? Dia yang nak berkawan dengan Qarizh jadi dia terima saja apa yang Qarizh buat. Tapi, Rayyan juga seperti Qarizh perangainya. Walaupun secara zahirnya orang akan nampak dia terima apa jua yang Qarizh buat, tapi realitinya tidak sebegitu.

Hari ini Qarizh prank dia supaya pergi bersihkan stor sukan. Katanya, baguslah exercise sebab nanti tak adalah badan naik lemak. Kan biasanya kalau pesakit terlantar di hospital, badannya akan berisi sebab lama tak berjalan? Itulah yang Qarizh kata.

Rayyan mengangguk saja walaupun kata-kata Qarizh bukannya boleh pakai. Ramai saja pesakit di hospital kurus kering kerana sakit. Jadi, sebab malas nak bergaduh, Rayyan setuju saja untuk membersihkan juga stor sukan itu tapi semestinya dengan cara kotor.

"Cikgu, Abang Qarizh kata dia free hari ni. Dia nak tolong saya bersihkan stor sukan," kata Rayyan kepada Cikgu Jasmi, guru sukan yang mengelola hari sukan sekolah pada hari ini.

"Yakah? Bagus! Qarizh, cikgu memang salute dengan kamu. Penat-penat main angkat berat pun sanggup lagi tolong Rayyan," puji Cikgu Jasmi.

Qarizh yang berada di sebelah Rayyan terus melemparkan senyuman plastik kepada Cikgu Jasmi. Kemudian, matanya dijeling tajam kepada Rayyan yang tersenyum mengejek memandangnya. Memang kurang asam ini budak!

'Tunggu kau, tunggu.' Qarizh menayangkan sengihan geram.

'Always.' Rayyan juga tak nak kalah.

Setelah Cikgu Jasmi beredar dari situ, pantas Rayyan dan Qarizh masuk ke dalam stor sukan. Segala peralatan yang bersepah, mereka susun elok-elok. Namun, Qarizh tetap Qarizh. Panjang akalnya kalau bab mengenakan orang.

Rayyan sedang susun bola keranjang, dia pula sengaja menyepahkan bola itu. Bergolek-golek ke lantai. Rayyan pula apa lagi, naik geramlah. Qarizh menayangkan muka mengejek, Rayyan boleh tahan lagi. Tapi apabila Qarizh sengaja menjatuhkan gegelung warna-warni, Rayyan pun naik angin.

"Qarizh Zahwan!" Serentak dengan tempikan, dia menyepak bola sepak ke arah Qarizh. Hasilnya dush! bola itu mendarat tepat ke muka remaja itu.

"Rayyan Razien!" Qarizh marah. Pantas dia mengambil bola keranjang lalu membuat spike tepat ke muka Rayyan. Hasilnya, Rayyan juga tidak sempat mengelak.

"Aduh!" Rayyan jatuh terduduk.

Melihat Rayyan mengaduh sakit, Qarizh gelak semahu-mahunya. Dendam berbalas! Rayyan pula apabila melihat Qarizh bersungguh-sungguh mentertawakannya, dia membalas dengan turut membuat spike ke muka Qarizh.

Tapi malang, kali ini Qarizh berjaya membaca pergerakannya sekali gus mengelak hunjaman bola tersebut. Hasilnya, bola itu menghentam jendela bilik sukan dan "pranggg!!!" pecah berkecai cermin tingkap.

"Alamak!" Rayyan dan Qarizh saling berpandangan sesama sendiri sambil menelan liur yang terasa melekat di kerongkong. Habislah mereka...

Kejadian itu membuatkan mereka berdua dipanggil ke bilik disiplin dan insiden ini membuatkan rekod Qarizh sebagai pelajar terbaik tercalar. Semuanya gara-gara Rayyan yang membuatkan tingkat geramnya mencanak naik.

"Kamu ni Qarizh Zahwan, sepatutnya jadi contoh kepada junior. Ni, tak. Kamu..." Panjang berjela Cikgu Hamid marahkan Qarizh.

"Kamu pula Rayyan Razien. Kamu sakit, kan? Kalau dah tahu sakit, kenapa volunteer bersihkan stor sukan tu? Kalau kamu collapse, kami nak jawab apa dengan mak bapak kamu? Sengaja nak kami..." Marah yang diterima oleh Rayyan lagi panjang.

"Kamu pula Cikgu Jasmi. Dah tahu si Rayyan ni baru lepas operation, kenapa cikgu ikutkan sangat rajin budak tu? Cikgu sepatutnya..." Bebelan kepada Cikgu Jasmi memang paling panjang antara mereka bertiga yang berada di dalam bilik disiplin itu.

Penat berleter, akhirnya Cikgu Hamid duduk. Termengah-mengah nafasnya dek membebel tanpa brek. Pantas tangannya mencapai botol air lalu meneguk air laju-laju. Kering tekaknya dek terlalu lama bercakap tak henti-henti.

"Sekarang ni siapa nak bersihkan stor sukan tu? Nak ganti cermin tingkap tu? Cuba cakap?" Nampaknya Cikgu Hamid tidak habis lagi membebel.

Dia menyambung pula bebelannya dengan bercakap perihal pelajar contoh, perangai baik, budi pekerti, hormat menghormati, sampailah akhirnya dia senyap sendiri dek habis modal bercakap. Sudahnya, dia melepaskan Rayyan dan Qarizh dengan syarat takkan ulangi perbuatan itu lagi.

"Dia tak denda kita ke?" bisik Rayyan.

"Berani dia nak denda? Tak pasal lepas ni sekolah ni lingkup sebab tak ada sponsor," balas Qarizh dengan bersahaja.

Rayyan tergelak. Faham sangat maksud Qarizh. Pasti sebab keluarga Qarizh yang selalu memberi sumbangan besar kepada sekolah. Jadi, pihak sekolah mungkin akan serba salah kalau mendenda Qarizh walaupun Qarizh yang buat hal. Termakan budi orang kata.

"By the way, aku puas hati tengok muka kau macam tayar pecah," komen Qarizh. Dia maksudkan wajah Rayyan yang merah-merah akibat kena spike bola tampar tadi.

"Kalau muka aku macam tayar pecah, muka kau pula macam beruang kutub tak cukup nutrisi," bidas Rayyan.

Muka Qarizh pun apa kurangnya, merah juga sebab kena balingan bola tadi. Jadi, sebelum Qarizh naik angin, cepat-cepat dia lari dari situ sambil gelak-gelak apabila nampak muka Qarizh mula berubah tona.

"Nak gaduh ke?" laung Qarizh.

Dia menghambat Rayyan sesungguh hati. Tapi malang, dia terlupa yang Rayyan belum sembuh sepenuhnya. Jelas di matanya Rayyan berhenti berlari lalu terbongkok-bongkok sambil menekan dada. Apabila mendekati remaja itu, dia nampak muka Rayyan merah menyala dan nafasnya tercungap-cungap.

Tatkala itu, Qarizh mula diserang panik.

"Rayyan, kau okey?" Qarizh memegang bahu Rayyan.

Rayyan menggeleng sambil cuba menarik nafas dan menahan sakit. Silapnya juga kerana berlari terlalu laju padahal Dr. Salim sudah berpesan supaya jangan buat benda berat.

"Aku bawa kau ke bilik rawatan." Pantas Qarizh memapah Rayyan ke bilik rawatan yang terletak tidak berapa jauh dari situ.

Sampai di bilik itu, doktor yang bertugas segera menjalankan pemeriksaan memandangkan dia sedia maklum sejarah Rayyan. Nafas lega terhembus dari mulutnya apabila setelah diperiksa, Rayyan tidak apa-apa. Hanya terlalu letih sahaja dek buat aktiviti lasak.

"Jangan paksa diri sangat ya," pesan doktor.

Rayyan mengangguk. Dia membiarkan sahaja tangannya dicucuk dengan IV drip bagi mengalirkan air ubat ke dalam tubuhnya. Dia sudah terbiasa, jadi benda itu bukan lagi menjadi masalah buatnya. Tapi berkerut jugalah mukanya apabila doktor itu tidak jumpa urat dan terpaksa cucuk dua kali.

Sementara itu, Qarizh pula melihat doktor itu mencucuk Rayyan dengan muka pucat. Tertutup-tutup matanya apabila menengok gaya doktor. Seriau sangat rasanya apabila jarum panjang lagi tajam itu dicucuk ke kekura tangan Rayyan.

"Weh, aku minta maaf," kata Qarizh setelah doktor itu berlalu pergi dari situ.

"Untuk apa?" tanya Rayyan.

Rayyan faham maksud Qarizh tapi betul, dia jadi begini bukan kerana salah Qarizh yang mengejarnya tadi. Salahnya sendiri yang terlupa dirinya bukan sihat sangat. Inilah jadinya apabila terabaikan pesanan ibu bapa yang selalu mengingatinya agar menjaga diri sendiri.

"Sebab buat kau macam nilah." Qarizh berdehem, saja menutup malu. Jatuh machonya hari ini di depan Rayyan.

Rayyan tergelak perlahan apabila melihat riak wajah bersalah Qarizh. Kalaulah dadanya sudah tidak sakit, pasti dia bantai gelak habis-habisan kepada seniornya itu. Wajah Qarizh ketika ini memang merah habis dek cuak dan semestinya jatuh saham.

"Bukan salah kau." Rayyan melontarkan pandangan ke siling.

"Tak, memang salah aku pun kau jadi macam ni. Jadi, aku minta maaf betul-betul kat kau. Tapi kalau kau buat hal lagi, aku tak jamin aku boleh tahan." Dalam minta maaf, sempat Qarizh bagi ugutan.

"Yalah, yalah." Rayyan mengangguk. Malas nak panjangkan kes. Bukan ada faedah pun.

Kejadian di sekolah diketahui oleh ahli keluarga angkat Rayyan. Dr. Mira paling marah apabila tahu kenakalan Rayyan dan Qarizh di sekolah. Balik dari sekolah, terus Dr. Mira mendenda Qarizh dengan mesti mengajar Rayyan sukatan mata pelajaran yang akan tertinggal esok kerana Rayyan diberikan cuti sakit.

"Qarizh, aunty juga nak kamu jaga Rayyan." Arahan mandatori lain diberi lagi kepada anak muda itu.

"Baik, aunty." Laju saja Qarizh mengangguk setuju.

"Weh, kau jangan serius sangat. Aku okey ajelah," kata Rayyan, perlahan.

"Ya, aku tahu kau okey. Tapi mak bapak kau tengah tengok tu. Aku kan budak baik, mestilah aku tunjuk baik depan mereka," balas Qarizh.

"Talam dua muka." Terus Rayyan mencubit paha Qarizh. Mengaduh remaja itu dibuatnya.

"Aku cakap betul apa?" Nak balas balik, tak boleh. Sudahnya Qarizh hanya menggerutu dalam diam.

Rayyan ketawa melihat riak wajah Qarizh. Yeay, dia menang lagi! Lantas, dia membuka pintu bilik lalu berjalan ke katil. Tubuhnya direbahkan di atas tilam empuk, nikmat sangat rasanya.

"Kau nak makan apa? Nanti aku request dengan bibik suruh masakkan untuk kau," tanya Qarizh sambil menyandar di dinding dengan tangan disilang ke dada.

"Tak nak. Tak ada selera," jawab Rayyan.

"Kalau macam tu tak payah makan," sahut Qarizh seraya berura pergi dari situ. Dah orang tak nak makan, buat apa nak paksa kan?

"Tapi aku rasa aku ada selera kalau kau yang masak," kata Rayyan. Tiba-tiba sangat sampai membuatkan langkah Qarizh terhenti.

"Kau ingat kau tu girlfriend aku ke sampai nak aku masak untuk kau?" Pantas Qarizh berpaling kepada Rayyan sambil jelingan tajam diberi kepada juniornya itu.

"Why not?" Rayyan tahan senyum apabila idea untuk kenakan Qarizh itu tiba-tiba muncul dalam kepalanya.

"Gila." Gedegang! Qarizh menutup pintu kuat-kuat sampai bergegar bilik itu.

Melihat tindakan Qarizh, Rayyan gelak lagi semahu-mahunya sampaikan berbatuk-batuk. Seronok betul mengusik Qarizh!

Tapi, serius Rayyan terkejut apabila tiba-tiba Qarizh masuk ke dalam biliknya dengan menatang dulang berisi semangkuk sup ayam panas, sepinggan nasi dan segelas air kosong. Speechless sekejap. Dia ingat Qarizh tak ambil serius pun gurauannya tadi.

"Kau memang husband material." Itu komen Rayyan ketika mencicip sedikit kuah sup ayam yang dimasak oleh Qarizh.

Sedap sangat!

"Mestilah. Aku nak jadi lelaki paling baik kepada isteri aku," jawab Qarizh sambil tersenyum-senyum.

"Cara kau cakap tu macam dah ada makwe. Siapa dia? Beritahulah," pinta Rayyan sambil muka nakal ditayang kepada Qarizh.

"Makwe? Mana aku ada. SPM pun tak lepas lagi ada hati nak bercinta. Aku cakap pasal future. Kau faham future? Hidup kena ada pelan." Qarizh jawab soalan Rayyan dengan memberi motivasi percuma.

Rayyan mencebik, lantas sup itu dihirup lagi dengan sudu. Serius sedap sampai tak sedar pun kuah sup hampir habis tapi nasi tidak dijamah walau sedikit.

"Kau suka perempuan jenis macam mana?" tanya Rayyan lagi.

Sengaja buka bual sebenarnya. Tak adalah nanti Qarizh tenung dia makan sampai segan pula nak makan. Nanti tak pasal-pasal tak habis padahal makanan terlalu sedap.

"Setakat ni secara spesifiknya aku tak tahu lagi aku nak yang macam mana, tapi yang pasti aku tak suka yang cengeng. Titik," jawab Qarizh, tegas lagi nyata.

Rayyan terus ketawa apabila mendengar ciri-ciri gadis yang tidak disukai oleh Qarizh. Harap-harapnya, suatu hari nanti Qarizh takkan dapat isteri cengeng sebab selalunya apa yang kita tak nak itulah yang kita akan dapat.

"So, kau pula?" Qarizh pula menyoal balik.

"Aku? Entah. Aku tak fikir pun pasal benda tu. Lagipun aku tak tahu lama mana aku dapat hidup. Aku kan tak normal macam orang lain. Tempoh satu tahun pertama ni waktu paling crucial bagi aku," jawab Rayyan, reda lagi pasrah.

Dia tahu tempoh satu tahun pertama selepas pemindahan jantung merupakan tempoh yang paling tinggi kebarangkalian untuk badannya menolak jantung baharu. Jadi, dia sudah bersedia mental dan fizikal dan reda andai nyawanya tidak panjang.

"Kau ni." Hati Qarizh terusik.

"Aku cakap betul kan?" Rayyan tayang senyum.

"Aku tak nak dengar. Full stop. Jangan cakap benda ni lagi." Qarizh menutup telinga, nak dengar benda sedih-sedih.

Rayyan ketawa lagi tatkala melihat reaksi Qarizh. Tak sangka sayang juga Qarizh kepada dia walaupun baru sahaja kenal. Itu pun selalu gaduh. Tak adanya aman setiap kali mereka bertemu.

"Dah, makan cepat. Habiskan semua sekali. Penat tau aku masak. Ni tengok tangan aku, luka kena pisau." Qarizh tunjuk jarinya yang berbalut.

Entah buat ke berapa kali lagi hari ini Rayyan ketawa melihat lagak Qarizh. Alahai, Qarizh Zahwan. Muka kemain ketat tapi bila kena dengan orang yang tepat, automatik skru mukanya jadi longgar.

'Siapa agaknya perempuan yang berjaya cairkan jiwa si glasier itu?' Rayyan tertanya-tanya.


Previous: BAB 7
Next: BAB 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.