SEBAIK sahaja kereta diparkir di depan pintu utama bangunan syarikat Campbell Corporation, Rayyan segera berlari masuk ke dalam bangunan itu. Anak kunci kereta dicampak kepada Pak Ajib si jaga, sambil tangannya membuat isyarat maaf atas kelakuannya yang agak tidak beradab. Dia nak cepat!
Pak Ajib yang sedia faham perangai Rayyan hanya tersengih. Kereta BMW i8 itu dituju lalu dengan lagak kereta itu seperti keretanya, Pak Ajib segera memandu BMW i8 itu ke tempat parkir yang sepatutnya.
"Cepatlah lif..." Resah gelisah Rayyan dibuatnya.
Berkali-kali butang lif ditekan namun lif seperti ingin bermain-main dengannya. Lambat betul lif dari tingkat paling atas itu sampai ke tingkat bawah. Macam tahu-tahu saja dia tengah kejar masa!
Sementara menunggu lif sampai, mesej daripada Syafiq ditenung lagi. Kata budak itu, Hana naik angin apabila melihat resume palsu yang berada di atas meja kerjanya.
Syafiq baru sahaja masuk ke dalam pejabatnya untuk meletakkan hardcopy resume itu. Sebab sakit perut punya pasal, laju-laju Syafiq berlari ke dalam masuk ke dalam bilik Rayyan. Tapi, tak sangka pula terlanggar Hana yang baru sampai. Berterabur kertas resume itu ke udara.
Sekeping kertas yang tercetak gambar pasport Rayyan berimej nerd jatuh tepat di atas kaki Hana. Gadis itu mengambil kertas itu dan semestinya menuntut penjelasan mengenai isi kertas. Syafiq terpaksa membocorkan rahsia dan kerana itulah Hana naik geram.
Ting!
Pintu lif terbuka. Cepat-cepat Rayyan masuk ke dalam lif bersama dengan beberapa orang pekerja yang ingin ke tingkat atas. Jenuh jugalah dia mengeluh dalam hati apabila boleh dikatakan setiap dua atau tingkat, pasti pintu lif akan terbuka. Sama ada orang nak masuk atau orang nak keluar. Stres Rayyan dibuatnya.
"Hana!" Sebaik sahaja sampai di pejabat, Rayyan segera membuka pintu.
Matanya menangkap figura Hana yang sedang membelek-belek beberapa helaian kertas dan fail yang terletak di atas meja kerjanya. Berdiri di depan gadis itu ialah Syafiq yang gelisah saja lagaknya.
"Apa kau buat kat sini? Tak kerja ke hari ni?" Langkah diorak mendekati Hana.
Jantungnya tidak habis-habis berdegup kencang dek kehadiran mengejut Hana di pejabatnya ketika ini. Fail yang Hana belek itu merupakan resume palsu dia dan Light yang baru dibuat oleh Syafiq. Entah apalah yang Hana fikir apabila melihat fail resume itu.
"Apa ni?" Sambil senyuman dibuat-buat tidak lekang dari bibir, Hana bertanya kepada Rayyan.
Kura-kura di dalam perahu, buat-buat tak tahu. Dia nak dengar penjelasan dari mulut Rayyan sendiri mengenai rancangan berbahaya itu. Tersilap langkah, pasti maut menanti. Hana tak nak benda itu terjadi!
"Err..." Rayyan membalas senyuman Hana dengan sengihan.
Ampun, tuanku puteri cik tunang! Bukan niatnya mahu merahsiakan pelan terbaru itu daripada pengetahuan Hana. Dia cuma belum ada masa yang sesuai untuk memberitahu hal itu. Tiap kali nak beritahu, ada-ada saja benda yang menghalang.
"Kita dah janji kan takkan ada rahsia antara kita." Senyuman Hana berubah kendur.
"Tak, Hana. Err..." Ah, semakin serba salah Rayyan dibuatnya.
"Nak merajuklah macam ni." Hana menyilang tangan ke dada.
Rayyan menggosok belakang tengkuknya. Tiba-tiba pula berasa kekok. Selama mereka bercinta, Hana tak pernah merajuk. Kalau tak puas hati, Hana akan terus cakap terus terang. Paling teruk pun kena marah berbakul-bakul. Jadi, apabila merajuk, macam mana nak pujuk cik tunang kesayangannya itu? Parah!
"Err, Hana. Aku... aku bukan sengaja tak nak bagi tahu. Kan Falcon kan?" Rayyan memandang Syafiq, meminta talian hayat.
"Err... ya. Betul tu. Boss lupalah tu. Dia dah rancang nak bagi tahu tapi tahu-tahulah macam mana jadual kerja sekarang. Padat sangat-sangat." Teragak-agak Syafiq membela Rayyan.
"Yalah tu," cebik Hana.
Dua keping dokumen yang berada di dalam fail di atas mejanya diambil lalu dibaca lagi entah buat ke berapa kali. Kemudian, figura Rayyan dan Syafiq pula dilihat silih berganti. Belakang badan disandar ke kerusi buat beberapa ketika sebelum dia bangun dari kerusi lalu mendepani Rayyan.
"My dear abang bodyguard." Tangan disilang ke belakang dan matanya memandang tepat ke anak mata Rayyan.
Aura gelap dan panas menyelubungi bilik.
Panahan mata Hana tepat menembusi jantung Rayyan. Rayyan menelan liur yang terasa lekat di kerongkong. Boleh nampak biji halkumnya bergerak-gerak. Masak dia kali ini kalau Hana betul-betul marah.
'Jangan mengaku kalah dengan perempuan, Rayyan Razien!' Pantas dirinya memberi amaran.
"Ya, my darling cik tunang." Tentangan mata Hana dibalas dengan renungan menenangkan.
Orang tengah marah perlu ditenangkan. Itu yang difikir oleh Rayyan. Dalam diam, dia menarik nafas lalu menghembusnya perlahan-lahan. Jantungnya juga perlu ditenangkan.
"Sampai hati tak bincang dengan aku," muncung Hana.
"Aaa... aku bukan tak nak bincang. Tapi aku..." Rayyan cuba membela diri tetapi belum sempat dia menghabiskan ayat, ayatnya terlebih dahulu dipotong oleh Hana.
"Tapi aku busy. Dah, tak payah bagi alasan tu," cebik Hana.
Sekali lagi Rayyan hanya mampu tersengih, kemudian mengusap-ngusap belakang tengkuknya. Memang dia silap kerana tidak beritahu Hana pasal rancangannya. Jadi, dia terpaksa terima sajalah kemarahan Hana.
"Err... kenapa kau datang sini sebenarnya?" tanya Rayyan. Cuba mengalih topik.
Sofa yang berada di depannya dituju lalu punggungnya dilabuhkan di situ. Kepada Syafiq pula, arahan supaya keluar dari situ diberi. Namun, belum sempat Syafiq melangkah, Hana menyuruh Syafiq turut duduk di sofa berdekatan Rayyan.
"Aku nak bagi tahu pasal kes mayat tanpa kepala. Benda ni dah viral di beberapa tempat dan aku agak ni mesti kerja The Great Father." Hana menghulurkan sebuah fail kepada Rayyan.
Buat apa marah lama-lama kepada encik tunangnya itu. Tengok muka Rayyan pun dia sudah rasa sejuk hati. Jadi, tadi itu, hanya acah-acah marah tambah merajuk aje sebab dia tahu siapa yang akan kalah. Dia juga yang terpaksa tarik balik muncung itiknya.
Tak apalah. Bukan fiil semula jadinya pun suka merajuk.
Huluran Hana bersambut. Rayyan membelek dokumen tersebut dengan dahi berkerut. Semuanya mayat tanpa kepala. Namun, yang menarik perhatiannya ialah kondisi mayat itu sendiri. Memang seperti kesan eksperimen Blue Rose Baharu.
Fikirannya berlayar ke hari dia dan Ren Hau mengintip makmal bawah tanah. Penjahat-penjahat itu juga menjinjit kepala manusia di dalam karung guni. Motif kepala-kepala itu dibawa ke situ masih menjadi tanda tanya sampai ke hari ini.
"Jadi?" Rayyan mengalihkan pula pandangannya kepada Hana.
"Daripada hasil ujian DNA, semua mayat ni berusia dalam lingkungan 25 hingga 35 tahun. Identiti semua mayat sepadan dengan orang yang dilaporkan hilang beberapa bulan lepas." Hana menghulurkan pula beberapa keping gambar mangsa yang dilaporkan hilang.
Rayyan mengambil gambar-gambar tersebut lalu membuat perbandingan dengan fail kes yang diperoleh oleh pihak polis. Menarik. Fakta kes menunjukkan bahawa semua mangsa hilang merupakan pemegang sarjana muda atau sarjana serta bekas pekerja industri kimia dan bioteknologi.
"Falcon." Rayyan menghulurkan pula fail kes itu kepada Syafiq.
Syafiq menyambut huluran tersebut lalu tanpa membuang masa, dia turut meneliti fail kes. Konklusi yang diperoleh olehnya juga sama seperti Rayyan, iaitu jika mereka tidak menyelamatkan mangsa culik yang berada di makmal bawah tanah itu, ada kemungkinan besar yang tawanan-tawanan itu akan menjadi mangsa eksperimen Blue Rose Baharu seterusnya.
"Semua mangsa tidak bekerja. Lokasi terakhir mereka berada sebelum hilang pun sama. Jadi, kami syak yang mereka semua ni diculik based on persamaan pada ciri-ciri tahap pendidikan dan lokasi terakhir," kata Hana lagi.
"Di mana last mereka pergi?" tanya Rayyan.
"Dekat pantai Port Dickson tu aje," jawab Hana.
"Oh." Rayyan mengurut dagu.
Fikirannya bersimpang siur dengan pelbagai informasi, klu dan andaian. Semuanya berterabur dan kabur sehinggalah akhirnya, dia memetik jari. Sekarang dia faham apa sebenarnya motif penjahat-penjahat itu membawa kepala ke makmal bawah tanah dan badan pula dilempar ke laut.
"Aku dah tahu!" Bercahaya mukanya.
"Tahu apa?" Hana mengerutkan dahi.
"Kes inilah," jawab Rayyan dengan bersahaja.
"Cepatlah kongsi analisis kau. Aku nak tulis laporan ni," pinta Hana sambil tersengih-sengih.
"Amboi dia, tadi merajuk," perli Rayyan.
"Dah tu nak aku merajuk balik ke macam mana? Dahlah buat keputusan tu tak bagi tahu aku. Ingat aku ni apa?" Terus berjela semburan Hana.
Krik krik.
'Bodoh kau Rayyan. Tak pasal-pasal dia naik angin semula sebab kau tak beritahu dia pasal pelan tadi.' Rayyan hanya mampu menayangkan sengihan kesal. Menyesal perli Hana tak kena tempat.
"Okeylah, aku jelaskan," akur Rayyan.
Terus dia membentangkan analisis awalnya berkenaan kes yang dibawa oleh Hana dan perkaitannya dengan pelan yang bakal dilakukan bersama Light. Terangguk-angguk Hana apabila mendengar penjelasan tersebut. Sesekali dia bertanya jika rasa tak faham atau penjelasan yang diberi perlu dijelaskan lebih terperinci.
"Perlukan pertolongan aku tak?" Hana maksudkan dengan pertolongan pihak polis kepada Rayyan.
"Buat masa sekarang tak perlu lagi. Aku proceed dulu dengan pelan asal. Kau jangan risaulah," jawab Rayyan.
"Hati-hati tau," pesan Hana.
"Ya, insya-Allah. Doakan kami." Rayyan memberikan senyuman menenangkan kepada Hana.
Hana mengangguk, berpuas hati jawapan Rayyan. Doanya semoga tiada apa-apa yang buruk terjadi kepada Rayyan sepanjang misi menyamar sebagai ahli alkimia yang baru nak minta kerja melalui agensi mencari kerja di bawah kelolaan syarikat yang disyaki milik The Great Father. Semoga semuanya baik-baik saja.