Home Novel Thriller/Aksi BLAZE BODYGUARD
BLAZE BODYGUARD
Angel_k20
25/10/2025 16:33:54
342
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
BAB 7

RAYYAN dan Hana serentak menoleh ke belakang. Sekonyong-konyongnya, mata mereka terbuntang luas. Jantung berdegup laju melebihi paras minimum. Oh tidak, air muka wanita bertubuh tegap dalam uniform polis di belakang sangat menakutkan!

"P... puan," tegur Hana, teragak-agak. Mukanya merona merah. Malu!

Tarikh perkahwinan mereka diset pada dua bulan dari sekarang, iaitu setelah Nenek Hasnah dan Dr. Maria pulang dari Tanah Suci Mekah. Kedua-duanya pergi ke sana untuk menunaikan umrah sekali gus mahu menunaikan hajat ingin bertamu di situ.

Dulu-dulu, mereka tiada peluang. Kini setelah peluang terbuka luas, inilah masanya untuk menunaikan hajat di hati yang ingin merasai kehidupan di tanah suci. Dek hati terikat kepada Mekah, Nenek Hasnah ingin menetap pula di situ selama tiga bulan.

Rayyan melayan sahaja kemahuan neneknya, siap belikan pula sebuah rumah di sana untuk nenek kesayangan. Adapun Dr. Maria, dia bertindak sebagai peneman Nenek Hasnah. Kerjanya di hospital, dia serahkan kepada orang lain lalu mengambil cuti tanpa gaji.

"Orang sibuk berucap kat depan, kau pula sibuk lovey-dovey di belakang. Amboi," perli DSP Haireen.

"Sorry, puan," pujuk Rayyan. Sengihan diberikan kepada DSP Haireen.

"Kau lagilah lebih. Siap bersayang-sayang bagai. Aku debik kang baru tahu." DSP Haireen acah mahu memiat telinga Rayyan.

"Cuba jadi macam Zahwan. Bagus budaknya walaupun tengah bercinta macam kau berdua juga," leternya pula lalu tersenyum kepada seorang lelaki muda di sebelahnya.

Ayat sinis DSP Haireen didengar oleh Rayyan dengan separuh telinga. Sekarang, hatinya panas melihat senyuman mengejek lelaki muda di sebelah DSP Haireen kepadanya. Amboi, seronok bukan main ya melihat DSP Haireen memarahinya, ya?

"Dah, dengar baik-baik orang bercakap kat depan," suruh DSP Haireen pula.

"Okey, puan," akur Rayyan. Sempat dia menjeling ke arah lelaki di sisi wanita itu. Ya Allah, rasa nak sepak!

Tit tit.

Satu mesej masuk ke inbox aplikasi chat telefonnya. Tanpa menunggu lama, pantas dia membuka aplikasi tersebut lalu mesej daripada penghantar dibuka. Sebaik sahaja mesej tersebut dibaca, sekali lagi dia berasa bengang. Ya Tuhan, anugerahkanlah kesabaran kepadanya.

"Kau okey tak ni?" bisik Hana.

Pelik dia melihat reaksi Rayyan sebaik sahaja membaca mesej. Riak wajah jejaka itu yang sentiasa tenang serta-merta berubah menjadi keruh. Dalam kesamaran cahaya lampu sebam pun, dia dapat melihat betapa merahnya muka Rayyan menahan geram.

"Tak okey," jawab Rayyan.

"Apa jadi?" tanya Hana. Prihatin.

"Ada malaun tu sengaja nak cari pasal dengan aku." Rayyan memejam mata. Nafasnya diatur agar pernafasannya lebih stabil.

"Siapa?" Hana mengerutkan muka. Jangan cakap yang musuh berani contact Rayyan secara terus!

"The King." Rayyan mengetap bibir.

"Hah?" Hana ternganga.

"Siapa?" tanyanya pula. Mukanya berkerut.

"Mamat Arab celup kat sebelah Puan DSP," jawab Rayyan dengan nada jengkel.

Mendengar jawapan Rayyan, cepat-cepat Hana menoleh ke belakang. Dia nampak DSP Haireen dan juga seorang lelaki lebih kurang seusia Rayyan di sebelah wanita itu. Itu kan lelaki yang dipanggil "Zahwan"? Takkanlah...

Buat seketika, Hana terpaku melihat figura itu. Zahwan itu sebenarnya The King?

Inilah kali pertama dia lihat gerangan jejaka itu. Selalunya dia mendengar sahaja Rayyan bercerita mengenai kawan-kawannya. Memang rupanya tak kalah kacak daripada Rayyan, tapi raut wajahnya kelihatan dingin dan beku. Terselit rasa sedikit gerun dalam hati Hana apabila melihat wajah itu.

"Bukan ke dia yang Puan DSP panggil Zahwan? Tapi memang padan kalau gelaran dia The King. Ada aura macam raja. Muka ketat semacam." Itu komen Hana terhadap lelaki itu.

"Kalau dia raja, aku apa?" balas Rayyan. Ada nada tak puas hati apabila Hana memuji lelaki lain.

"Kau imam aku," jawab Hana spontan, kemudian dia ketawa kecil.

Seronok tengok wajah Rayyan blushing. Harapannya juga semoga dengan usikannya tadi membuatkan geram Rayyan kepada lelaki itu surut sedikit dan isi konferensi pada hari ini boleh diberi fokus pada tahap maksimum.

"Dah, dah. Fokus." Cepat-cepat Rayyan buat-buat fokus. Sumpah hatinya kembang setaman dek dipuji.

Sekali lagi Hana tertawa kecil.

MAJLIS konferensi tersebut berakhir jua pada pukul 5.30 petang. Lewat setengah jam daripada atur cara asal dek penangan kerancakan pembentang dan pendengar bersoal jawab. Banyak input baharu yang diperoleh dengan masing-masing saling bertukar buah fikiran.

"Rajin pula kau datang sini." Itu ayat pertama yang diberi oleh Rayyan kepada orang yang dipanggil "Zahwan" oleh DSP Haireen apabila mereka berdua bersua muka setelah ruang konferensi lengang.

"Kau tak tahu ke aku memang selalu rajin?" balas lelaki itu.

"Tak, aku tak tahu. Yang aku tahu kau, Prof. Dr. Qarizh Zahwan ialah manusia paling pemalas kalau nak hadir konferensi macam ni. Macam-macam alasan kau bagi," bidas pula Rayyan.

"Ah, aku tahu kenapa kau tiba-tiba rajin. Ni mesti sebab DSP Haireen ugut nak bagi tahu rahsia kau kat awek cengeng kesayangan kau tu kan." Rayyan menayangkan sengihan lebar.

"Haih. Sampai sekarang aku teringat lagi tau kata-kata kau hari tu. Aku tak suka perempuan cengeng," ajuk Rayyan, sambil keningnya diangkat tinggi.

Memang perli tahap dewa, sengaja memulangkan paku buah keras kepada mamat beku itu. Lagi membuatkan dia semakin rancak mengata Qarizh atas muka ialah dia seronok melihat ekspresi profesor itu. Qarizh apabila geram, pasti telinganya akan merah.

"Diamlah kau." Qarizh membalas serangan Rayyan dengan cuba bersabar.

Figura Aralyn yang sedang berbual dengan Hana di suatu sudut dikerling dengan ekor mata. Ralit pula dua orang gadis itu berbual seolah-olah sudah kenal lama. Akrab sungguh. Padahal, hari ini baru bertemu buat kali pertama.

"Aku tak nak diam." Rayyan memang sengaja cari pasal.

Sengaja nak balas dendam kepada Qarizh yang sesuka hatinya tadi menghantar mesej berupa pelekat yang tertulis "padan muka". Siap bagi stiker anime chibi yang ditendang ke langit lagi. Mahunya Rayyan tak geram!

Kalau diingat balik, memang perangai mereka berdua bagaikan budak-budak tak cukup umur. Kena mengenakan antara satu sama lain bagaikan perkara wajib. Tak sah kalau tak buat setiap kali berjumpa depan mata. Walhal, mereka berdua adalah sahabat karib!

Rayyan Razien dan Qarizh Zahwan merupakan regu yang tidak dapat dipisahkan sejak dulu sampai kini. Mereka berdua saling mengenali antara satu sama lain sejak 15 tahun lepas. Brotherhood antara mereka sangat kukuh!

Aku mengata engkau, engkau mengata aku. Dua-duanya mulut tak ada insurans sejak lahir. Apa yang membezakan mereka hanyalah personaliti. Rayyan sejenis yang cool, manakala Qarizh pula jenis cold. Rayyan poyo, Qarizh kerek.

"Kau!" Qarizh menjegilkan matanya kepada Rayyan.

"Kau kalah." Sempat Rayyan menjelirkan sikit lidahnya kepada Qarizh, kemudian cepat-cepat berlari ke arah Hana.

Qarizh hanya mampu menahan geram melihat perangai Rayyan. Kalau tidak dikenangkan Aralyn dan Hana turut berada di sini, memang teruk dia kerjakan sahabatnya itu. Tak apalah, hari ini dia mengaku kalah. Padan mukanya juga sebab dia yang mulakan tadi.

"Aralyn, kenalkan ni Rayyan. Sahabat baik aku." Qarizh memperkenalkan Rayyan kepada Aralyn.

"Hai, Rayyan." Aralyn menyambut perkenalan tersebut dengan anggukan mesra.

"Hana, kau dah kenal kan mamat Arab ni? Ni kawan cari gaduh aku, Qarizh." Rayyan memaut mesra bahu Qarizh. Sempat dia mengangguk kepada Qarizh, kemudian menepuk-nepuk bahu jejaka itu. Kepada Hana dan Aralyn, dia hadiahkan sengihan.

Qarizh menjulingkan matanya ke atas. Tak kuasa nak layan perangai sewel Rayyan.

Aralyn dan Hana serentak ketawa. Seronok melihat persabahatan dua orang lelaki itu. Seorang kaki sakat, seorang kaki muka toya. Eloklah dua-dua. Sepadan sangat sebagai duo susah senang.

"Kita nak ke mana lepas ni, Rayyan?" Hana sengaja mengalihkan soalan.

"Kita pula nak ke mana lepas ni, Qarizh?" Aralyn turut mengikut rentak Hana.

"Apa lagi? Balik tidurlah. Dah, pergi balik semua. Charge energy siap-siap. Ada banyak lagi kerja kau semua kena buat lepas ni."

Hana dan Aralyn serentak berpaling ke arah suara yang menjawab soalan yang dituju kepada Rayyan dan Qarizh. Terus senyuman terbit di bibir masing-masing. Rayyan dan Qarizh turut tidak terkecuali. Tundukan hormat diberi kepada manusia yang berdiri di depan mereka berempat.

DSP Haireen membalas senyuman tersebut dengan senyuman lebar.

"Nanti tengok phone. Ada info terbaru pasal kes," kata DSP Haireen.

"Okey, puan." Serentak mereka berempat membalas arahan tersebut.

"Bagus." Senyuman diberi, kemudian DSP Haireen beredar dari situ.

Rayyan, Qarizh, Hana dan Aralyn segera membuka telefon pintar masing-masing. Terus bersinar wajah mereka. Memang informasi yang diberi oleh DSP Haireen sangat membantu untuk siasatan mereka.

"Falcon mana?" Tiba-tiba, Hana melontarkan soalan. Baru dia teringat akan kehadiran Syafiq di situ tadi.

"Falcon?" Rayyan juga baru tersedar akan keberadaan anak buahnya itu. Terus matanya melilau ke segenap dewan konferensi.

Syafiq tiada di situ.


Previous: BAB 6
Next: BAB 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.