"JALAN! Jalan aku kata! Lembab macam kura-kura!" Suara Bojeng memenuhi bangsal.
Melengking suaranya memarahi semua mangsa yang nak tak nak aje turun ke makmal bawah tanah. Ada yang sengaja mengeraskan badan dan tidak kurang juga yang berdegil, meronta ingin melepaskan diri.
"Bangun, budak nerd!" Bojeng menyepak pula betis Rayyan.
Rayyan terus meraung walaupun jelas sepakan tersebut tidaklah berapa menyakitkan. Dia mahu memastikan Bojeng berasa yang dia semakin bertambah sakit selepas ditumbuk oleh Ren Hau dan disepak pula Bojeng.
"Diamlah kau. Memekak aje!" Bojeng hilang sabar. Terus dia menarik belakang baju Rayyan bagi membangunkan tubuhnya yang masih tertiarap akibat ditumbuk oleh Ah Cheng tadi.
"Masuk aku kata!" Dia menolak Rayyan ke muka pintu makmal bawah tanah.
"Bojeng, slow sikit. Mati budak tu, aku penggal leher kau." Pantas Ren Hau menghentikan niat Bojeng yang ingin menolak jatuh Rayyan ke bawah.
"Huh!" dengus Bojeng.
"Apa tengok-tengok? Cepat turun!" jerkahnya pula kepada mangsa-mangsa lain yang menggigil ketakutan.
Melihat Bojeng yang semakin menyinga, cepat-cepat saki baki mangsa yang masih tidak turun bergegas menuruni tangga ke bawah tanah. Tiada guna berkeras dan cuba melepaskan diri kerana natijah yang bakal diterima akan menyakitkan.
"Kali ni aku lepaskan kau, nerd." Bojeng mendengus kasar lalu turut turun ke bawah.
Kini yang tinggal di dalam bangsal hanyalah Rayyan, Ren Hau, dan beberapa orang anak buah Tuan Long berserta penjerat kerja yang sedang bersiap-siap untuk kembali ke markas mereka. Ren Hau tidak mahu menimbulkan syak lalu dengan suara garang, dia menyuruh Rayyan turun ke bawah.
Rayyan mengikut rentak Ren Hau mengikut arahan tersebut dengan patuh. Sesekali dia buat-buat menangis perlahan-lahan, berjalan terhincut-hincut dan beg sandangnya dipegang erat. Lakonan harus menjadi kerana makmal itu dipenuhi dengan kamera litar tertutup.
Jalan untuk tiba ke makmal agak panjang. Mereka perlu berjalan lebih 300 meter ke arah utara sebelum tiba di sebuah pintu utama. Di kiri dan kanan jalan, terdapat pintu-pintu kecil yang menempatkan mangsa penipuan kerja sebelum ini. Bilik itu tidak ubah seperti penjara.
Sebaik sahaja tiba di pintu utama, Rayyan disambut dengan pemandangan menyilaukan mata. Suasana makmal itu terang dengan cahaya putih dan keadaan itu sama seperti bilik dalam filem sains fiksyen.
Semua mangsa terbaru berkumpul di sini. Mereka dihimpunkan di tengah-tengah bulatan dengan beberapa orang pengawal dilengkapi senjata berupa M-16 berdiri di segenap sudut. Mungkin senang untuk tembak saja mana-mana mangsa yang cuba melarikan diri.
Mata Rayyan meliar ke segenap arah. Dia tidak dapat melihat keadaan sebenar keseluruhan makmal sebelum ini kerana lalat pengintip yang dilepaskan tempoh hari kehabisan bateri. Lalat itu hanya mampu bertahan selama tiga hari dan malang sekali ia tidak sampai ke sini.
"Nerd, ke sini kau." Bojeng memanggil Rayyan dengan isyarat jari telunjuk.
Rayyan berpaling ke kiri dan ke kanan, berlagak seolah-olah tidak rela dan perlukan bantuan. Dia memandang Light, tetapi Light pula cepat-cepat menekur lantai atas arahannya sebelum ini, iaitu jangan tunjuk yang mereka saling mengenali. Rayyan juga memandang mangsa-mangsa lain, pun jawapan yang diperoleh turut sama.
"Pergi ajelah orang panggil tu!" Ren Hau menepuk kepala Rayyan dengan buntut M-16.
'Ampun, Boss!' Sekali lagi Ren menelan liur. Terbayang di mata jumlah gajinya yang bakal kian surut. Ah, bala betul!
"Bb... baik." Cepat-cepat Rayyan berjalan mendekati Bojeng.
Wajah bengis Bojeng dipandang dengan pandangan takut dibuat-buat. Dia membiarkan saja Bojeng menepuk dan menunjal kepalanya. Segalanya Rayyan rela demi membuatkan lakonannya menjadi sebaik mungkin.
"Kau ni mesti anak mak kan? Sikit-sikit menangis. Geram aku nak lempang." Bojeng acah-acah ingin menampar Rayyan.
Rayyan mengelak. Mukanya dibuat lagi dengan gaya seperti ingin menangis. Betul-betul menjiwai watak.
"Hah, menangis, menangis lagi. Aku lempang betul kang baru tahu." Bojeng mengangkat tinggi tangannya, bersedia untuk menampar Rayyan.
"Bojeng! Dahlah tu. Tak habis-habis buli budak baru." Ren Hau memegang kejap tangan Bojeng, menghalangnya daripada menampar Rayyan.
Cukup-cukuplah Rayyan cedera dek ditumbuk tadi. Kesian pula tengok wajah tampan itu merah di sana sini pula kalau kena lempang. Kekuatan Bojeng pun boleh tahan tinggi juga. Sekali kena tampar, kalau tak berbirat pasti pecah darah.
"Ikut suka hati akulah aku nak buli siapa pun. Kau jangan masuk campur, apek!" balas Bojeng.
"Yang kau suka buli dia tu dah kenapa? Dia bukannya budak kau pun!" tingkah Ren Hau seraya menolak Bojeng ke belakang.
"Ah, aku tak kira!" Bojeng pula menolak Ren Hau hingga terundur beberapa langkah ke belakang.
"Kau macam cabar aku." Ren menayangkan senyuman sinis.
"Ya, memang aku cabar kau! Sebab kaulah aku dah tak ada kuasa kat sini. Tak guna!" jerkah Bojeng.
"Hahaha." Ren Hau menghamburkan tawa.
"Mari." Matanya kemudian menikam tajam figura Bojeng yang kini bersedia dalam mod menyerang.
Suasana mula berubah hawa daripada dingin kepada panas. Muka Bojeng yang sedia garang berubah semakin bengis dan wajah Ren Hau yang sedia tegas turut bertukar rona. Bulatan yang menempatkan mangsa baharu itu terus kelihatan seperti arena tarung.
Para balaci Tuan Long yang berjaga di situ mula saling pandang memandang sesama sendiri. Teruja melihat ketua baharu mereka akan bertarung dengan bekas ketua kerana dengar khabarnya, Ah Cheng itu handal dan tangkas bergasak. Sebab itulah Tuan Long menjadikan Ah Cheng sebagai ketua di sini.
"Hiargh!" Bojeng meluru laju ke arah Ren lalu tanpa membuang masa, buku limanya dilayangkan ke wajah itu.
"Lembab!" Ren mengelak serangan itu dengan mudah.
"Sial!" Bojeng cuba pula membentes kaki Ren Hau namun malangnya, cubaannya tidak berjaya.
"Rasakan ni." Ren Hau melompat ke udara lalu dengan kelajuan maksimum, dia membenamkan lututnya ke perut Bojeng.
Purrr...!
Tersembur air liur Bojeng ke udara. Badannya terhumban ke belakang dan dia jatuh terlutut sebelum bergolek beberapa kali di lantai. Menggelepar dia dek menahan sakit maha hebat.
Ren Hau mendarat penuh bergaya di lantai "arena". Mulutnya tidak henti-henti menayangkan senyuman sinis. Sengaja memadankan muka Bojeng sekali gus memberi amaran kepada anak-anak buahnya yang lain agar jangan berani mencabarnya.
Matanya kemudian melirik ke arah Rayyan. Dia nak tengok macam mana reaksi bosnya itu dengan tindakan tadi. Dapat tebus kesalahan kerana menumbuknya tak? Tapi malang, Rayyan tidak memberi apa-apa reaksi. Terus Ren Hau melepaskan keluhan kecil.
Nampak gayanya, memang gajinya akan dipotong bulan ini. Aduhai, nasib badan!
"Jaga kau Ah Cheng. Aku akan balas dendam." Bojeng bangun seraya meludah ke tepi. Lalu dengan badan terbongkok-bongkok, pantas dia keluar dari situ.
"Jangan lupa balas dendam tu," laung Ren Hau. Kemudian, dia ketawa keras.
"Kenapa kau semua diam? Gelaklah! Hahaha!" Ren Hau memaksa pula anak-anak buahnya supaya turut ketawa keras. Yang mana tidak ketawa sepertinya, dia sepak satu-satu. Memang kejam sungguh!
Ren Hau menarik nafas puas hati. Gayanya ketika ini persis seperti sebelum mengenali Rayyan beberapa waktu dahulu, iaitu sebelum dia berhenti kerja sebagai tentera dalam Private Military Company (PMC) di luar negara.
Dulu, dialah manusia paling kejam dalam organisasi itu. Pangkatnya tinggi. Tapi selepas satu insiden hitam yang mengorbankan belasan nyawa kanak-kanak tidak berdosa, dia tidak mahu lagi bekerja sebagai tentera PMC walaupun insiden itu jelas bukan salahnya.
Dia hanya mengikut suruhan orang atasan supaya "membersihkan" sarang penjenayah berbahaya dengan mengebom tempat tersebut. Namun, tidaklah dia menyangka bahawa pada saat akhir, ketua penjenayah membawa masuk seramai 19 orang kanak-kanak yang diculik ke dalam bangunan tinggal itu. Bom jangka yang dipasang tidak sempat dihentikan dan semua yang ada di situ mati dibom.
Insiden tersebut memberi kesan trauma yang amat mendalam kepada dirinya. Nyawa kanak-kanak itu melayang dalam sekelip mata. Sepatutnya dia menyelamatkan mereka, bukannya membunuh. Sejak itulah dia berhenti kerja dan keluar dari PMC.
"Kau semua, bawa mereka semua ni masuk ke tempat masing-masing," arahnya pula kepada para anak buah.
Serentak si anak buah menurut perintah. Para mangsa dipegang lalu dibawa ke "lokap" masing-masing seperti yang dirancang sebelum ini. Namun, tiba saat seorang anak buahnya ingin membawa Rayyan pergi, pantas dia menyuruh agar berhenti.
"Budak nerd ni bagi aku uruskan sendiri." Ren Hau menarik kolar baju Rayyan lalu mengheretnya keluar dari situ.
"Nice shot, Ace," kata Rayyan dengan perlahan sambil tersenyum senget.
"Alah Boss, janganlah potong gaji aku. I'm sorry, okay?" Ren juga turut bersuara perlahan, hampir tidak nampak seperti dia sedang berkata-kata dengan Rayyan.
"Takut sangat aku potong gaji," balas Rayyan.
"Mestilah," jawab Ren Hau.
"Penakut rupanya kau ni," perli Rayyan.
"Alah Boss," rayu Ren Hau.
"Aku akan betul-betul potong gaji kau kalau kau tak buat lebih baik daripada tadi," kata Rayyan.
"Hah? Tadi tu tak cukup baik lagi ke?" Ren mengerutkan muka. Tak faham maksud Rayyan.
"Belum cukup rencah," jawab Rayyan lalu masuk ke dalam bilik yang akan didudukinya.
Jawapan Rayyan memang sangat tidak dijangka. Terkedu terus Ren Hau di situ. Terkebil-kebil matanya memandang Rayyan yang memandangnya dengan sengihan terzahir di wajah. Buat beberapa saat dia blur sebelum akhirnya, otaknya dapat menangkap maksud bosnya itu.
"Okey, Boss." Ren Hau turut membalas sengihan Rayyan.