"PENATLAH aku tengok Boss kau semua ni," gelak Hana semahu-mahunya. Kejang perutnya dek ketawa tidak henti-henti sejak tadi.
"Boss kami, buah hati kau juga," balas Syafiq.
"Entahnya Kak Yong ni." Grace turut mengambil kesempatan ketawa melihat aksi yang dilakonkan oleh Rayyan.
"Nerd gila. Tak, aku tak nak mengaku yang dia ni tunang aku. Oh please. Sejak bila Rayyan Razien boleh jadi tak handsome macam ni," sahut Hana.
Aduhai, memang sesuatu betullah manusia bernama Rayyan Razien ini. Kadang-kadang tak faham juga dia dengan pemikiran jejaka itu. Ada-ada saja idea luar kotak yang dibuatnya.
Untuk kali ini, memang sungguh dia tidak menyangka yang Rayyan akan menyamar sebagai budak nerd. Sumpah tak handsome! Hilang terus gaya kacak, bergaya, dan berkarismanya. Aduh...
"Oh ya. Kenapa Kak Yong tiba-tiba datang sini?" tanya Grace.
Pelik jugalah dia dengan kehadiran tunang bosnya itu pada pagi ini. Dengan berpakaian biasa pula, macam nak pergi undercover atau stakeout ke mana-mana.
"Saja nak datang tengok kau semua," jawab Hana sambil tersengih.
"Sambil tu, aku bawa sesuatu. Pergilah tengok kat pantri." Dia menunjuk pula ke arah pantri di luar pejabat Syafiq.
Grace mengerutkan muka. Syafiq juga turut memberi reaksi sama. Apa yang Hana bawa ke sini? Kalau sebut pantri, pasti makanan. Makanan, kan? Pantas Grace dan Syafiq bangun dari kerusi lalu bergegas ke pantri.
"Wah!" Bersinar-sinar mata mereka melihat benda yang dibawa oleh Hana.
"Kak Yong, terima kasih!" Serentak Grace dan Syafiq melaung dari pantri.
"Makan elok-elok, jangan sampai tercekik!" Hana membalasnya dengan turut melaung.
Buat seketika, Hana menggeleng perlahan. Dia bawa roti sandwich dan bihun goreng saja tapi budak berdua itu teruja sampai begitu sekali. Mungkin suka hati dapat makan makanan yang dimasak sendiri olehnya pagi tadi.
Fokusnya kembali semula kepada rakaman video yang diperoleh daripada kamera pengintip yang dipasang pada subang telinga yang dipakai oleh Ren Hau. Sesekali dia tergelak apabila melihat raut wajah Rayyan dan ada ketikanya juga dia mengaduh seolah-olah dapat merasai apa yang dirasai oleh jejaka ketika ditumbuk dan diketuk kepala oleh Ren Hau dan disepak pula oleh Bojeng.
"Kesian." Hana menggeleng.
Hailah encik tunang. Mesti sakit kan kena tumbuk dengan Ren Hau? Itulah, tak ada penyakit cari penyakit. Hana hanya mampu mengucapkan takziah dalam hati kepada Rayyan. Memang taklah dia nak marah kepada Ren Hau. Lelaki itu hanya mengikut arahan Rayyan.
Sebenarnya, boleh saja Rayyan menyuruh pihak polis menyerbu makmal itu sebab sudah dapat lokasi. Tapi itulah dia cakap nak undercover sebab nak kumpul bukti dan approach orang penting sekali gus mangsa yang bekerja di situ.
Siapa orang yang dimaksudkan oleh Rayyan, tidaklah Hana tahu. Cuma yang dia tahu sekarang ialah penyamaran itu bakal memakan diri jika tersilap langkah. Itu yang pasti. Namun, apa yang lagi pasti ialah selepas ini, bukan hanya tumbukan dan sepakan sahajalah yang Rayyan akan dapat. Pasti lebih daripada itu dek karakter budak nerd selalunya digemari oleh pembuli.
"Haih, jadi mangsa bulilah kau lepas ni," gumam Hana.
Pada saat itu, tiba-tiba satu idea nakal timbul dalam benaknya. Wajah nerd Rayyan yang terpapar di skrin komputer segera ditangkap layar lalu dimasukkan ke dalam telefon pintarnya.
Nice! Sekarang, dia sudah ada modal untuk membahan jejaka itu nanti.
Ketawa kecilnya meletus. Terbayang di fikirannya reaksi Rayyan nanti. Habislah Rayyan Razien.
Berpuas hati dengan hasil "tangkapan" untuk mengenakan Rayyan kelak, Hana segera keluar dari pejabat Syafiq lalu mengambil tempat di meja makan pantri.
"Lama ke mereka akan undercover?" tanya Hana.
"Antara 10-14 hari bergantung kepada keadaan," jawab Grace sambil mengunyah bihun goreng.
"Boss tak bagi tahu kau ke?" tanya pula Syafiq. Dia yang sedang mengunyah roti sandwich terus berhenti mengunyah.
"Bagi tahu aje," jawab Hana sepatah.
"Cuma aku yang lupa." Sengihan diberi kepada Syafiq dan Grace.
"Lah, Kak Yong ni." Serentak Syafiq dan Grace menggeleng kecil.
"Rasa lama pula mereka undercover. Maknanya lama jugalah tak dapat contact Rayyan." Hana bersuara penuh pasrah.
Grace dan Syafiq terus berhenti menyuap makanan. Fokus diberi kepada Hana. Mata dipicing, bagi mencari sebab kenapa Hana bersuara sepasrah itu.
Nak kata tengah rindu, mustahil. Hana tidak pernah menzahirkan rasa hati kepada siapa-siapa. Jadi, mesti ada benda lain yang mahu disampaikan oleh gadis itu.
"Spill the tea," suruh Syafiq.
Nadanya kedengaran seperti amat berminat dengan maksud ayat "contact Rayyan". Grace juga turut bereaksi seperti Syafiq. Tidak sabar mahu mendengar apa yang bakal dibicarakan oleh Hana.
"Aku tak tahu benda ni ada kaitan ke tak jadi sebab itulah aku nak bincang dengan Rayyan. Tapi itulah Rayyan tak ada." Serba salah Hana ingin meluahkan kata.
"Boss tak ada, kami ada. Ace pun ada. Kami akan berhubung dengan dia esok. Nanti dia boleh bagi tahu Boss. Jadi, bagi tahu ajelah," pujuk Syafiq.
Dia faham apa yang dirasakan oleh Hana ketika ini; serba salah nak cakap sebab Rayyan tiada di sini. Rayyan kan bos. Selalunya apa-apa hal, mesti kena rujuk Rayyan dulu. Memang taklah mereka nak ambil tindakan sendiri.
"Kejap." Hana membuka beg sandangnya lalu menghulurkan sebuah fail berkulit lembut kepada Syafiq dan Grace.
"Dalam ni ada maklumat rekod keluar masuk Sir Alfred ke luar negara," beritahu Hana.
"Sebab dia ni dalam radar pemantauan pihak polis, kami kena alert dengan keberadaan dia. Jadi dapatlah rekod dia tu," kata Hana lagi.
Syafiq segera membuka fail itu lalu meneliti beberapa keping kertas yang berada di dalamnya. Tercetak di situ tarikh dan masa serta lokasi penerbangan sebelum ini, juga servis syarikat penerbangan mana yang diambil.
Pada pandangannya, tiada apa-apa yang abnormal dalam rekod itu sebelum tiba-tiba, otaknya dapat menganalisis sesuatu berdasarkan lokasi yang tertera di atas kertas. Terus bulat matanya. Wajahnya turut berubah.
"Cik Eve..." Syafiq memandang Hana.
Hana mengangguk.
Grace yang melihat jawapan Hana segera mengambil kertas-kertas itu dari tangan Syafiq lalu dia turut meneliti informasi yang tercetak. Terkumat-kamit mulutnya membaca setiap patah perkataan yang tertera dan buat seketika, dia turut memberi reaksi sama seperti Syafiq.
"Ya. Rekod ni menunjukkan yang Sir Alfred selalu pergi ke Amerika. Entah apalah dia buat kat sana, kami tak tahu. Tapi kami faham aje yang dia tu orang bisnes jadi mungkin nak pergi uruskan bisnes kat sana." Hana berjeda sebentar.
"Yang merisaukan aku ialah Eve pergi ke Amerika sebab nak menghadiri konvensyen perniagaan kan? Jadi, ada kemungkinan besar yang Eve akan bertembung dengan Sir Alfred," sambungnya pula.
"Dan kalau bertembung, pasti Sir Alfred akan ingat yang Abang Dark tu Boss," sahut Syafiq.
"Kalau dia ingat Dark tu Boss, maknanya Dark in a big, big, big trouble!" Hampir menjerit Grace apabila mengerti hakikat sebenar kedudukan mereka.
"Itu yang aku nak cakap." Hana mengeluh panjang. Khuatir dengan Eve dan kumpulannya di sana.
Seketika suasana beku. Seolah-olah dunia berhenti berputar. Nafas Syafiq dan Grace seakan tersekat di kerongkong. Senyap semua yang ada di meja makan. Masing-masing berfikir dalam mengenai masalah ini. Apatah lagi mengikut rekod, sekarang ini Sir Alfred sudah ada di Amerika. Konvensyen itu pula akan berlangsung esok. Kebarangkalian untuk mereka bertembung memang amat tinggi dan sukar dielak.
Sebelum ini, Sir Alfred telah mengesahkan ketidakhadirannya kepada pihak penganjur konvensyen. Kerana itulah Rayyan mengambil keputusan untuk bertukar tempat dengan Aariz. Entah kenapalah Sir Alfred itu tiba-tiba nak hadir pula. Jadi, solusi perlu dicari sebelum penyamaran Aariz terkantoi.
"Aku pergi bagi tahu Abang Dark." Syafiq segera bangun dari kerusi.
"Tapi Dark tak tahu pasal bisnes," balas Grace.
Terus niat Syafiq terbantut. Ya tak ya juga. Aariz tidak mahir bisnes bahkan langsung tidak tahu menahu pasal operasi projek syarikat mereka sama ada yang telah lepas, yang sedang berjalan atau akan datang. Memang habislah kalau bertembung. Nak goreng tak boleh!
"Tak apalah. Kau inform aje dulu kepada Dark. Pandai-pandailah dia handle benda ni." Hanya itu yang boleh Hana fikir sekarang.
"Okey." Syafiq akur.
Sungguh, dia pun tidak tahu macam mana nak bantu Aariz di sana. Dia tidak menjangka bahawa perkara ini akan berlaku. Jika tidak disebabkan Hana yang memberitahunya, pasti lagi parah keadaan Aariz dan semestinya Eve di sana esok.
'Perlu ke aku bagi tahu Ace? Tak silap aku team ketenteraan dia ada kat sana sekarang.' Syafiq melepaskan keluhan kasar.
Dia berkira-kira pula mahu meminta bantuan Ren Hau, tapi sebolehnya dia tidak mahu membebankan lelaki yang tengah undercover bersama Rayyan itu. Tugasan di sana sudah terlalu berat. Tapi sebab sebenarnya, bukan itu sahaja.
Dia tahu siapa sebenarnya lelaki bernama Ren Hau itu. Ren Hau bukan sekadar bodyguard elit yang bekerja di Campbell Corporation, malah bukan juga setakat anggota Team Satria Hitam. Identiti sebenar lelaki itu lebih daripada yang disangka.
Sama seperti Rayyan, Ren Hau juga bukan calang-calang orang. Itu faktanya. Tapi Syafiq diamkan saja.
"Tapi kalau tak bagi tahu, kemungkinan besar aku kena penyepak dia pula." Syafiq menggaru kepala.
"Ah, lantaklah." Syafiq mencapai telefon lalu menaip mesej kepada Aariz dan Ren Hau.
Beritahu kepada dua-dua. Habis cerita. Dalam hati, dia berdoa semoga tiada apa-apa yang buruk berlaku kepada semua ahli kumpulannya yang berada di Amerika ketika ini.Harapnya Aariz dapat mengatasi masalah ini sebaiknya dan Ren Hau juga mampumemberi buah fikiran bernas untuk membantu Aariz di sana.