"TAK boleh! Boss dah gila ke nak join mereka?" marah Syafiq.
Rayyan menggaru kepalanya yang tidak gatal. Tak sangka pula sebaik sahaja dia menyuarakan hasrat hatinya, terus Syafiq membantah habis-habisan. Lagilah ideanya rasa seperti disekat apabila Ren Hau dan Grace turut tidak bersetuju.
"Lah, kenapa pula tak boleh? Bukannya susah pun," balas Rayyan.
Betul, tak susah pun. Dia sudah fikir semasak-masaknya mengenai pelannya sejak balik daripada mengintip di hutan berhampiran tapak projek Hibiscus Tower lagi, iaitu dua hari lepas. Setelah yakin dan pasti, barulah dia beritahu pelannya itu kepada anak-anak buahnya.
"Kalau jadi apa-apa kat Boss, kami macam mana? Pelan kita macam mana?" bidas Syafiq.
"Kau ni buat macam tak kenal aku pula." Soalan Syafiq dibalas dengan bersahaja.
"Sebab kami kenal Bosslah kami tak setuju." Syafiq menyilang tangan ke dada.
Cuba cakap siapa dalam kalangan mereka bertiga itu yang tidak kenal dengan personaliti seorang Rayyan Razien? Keras kepala, degil, tak dengar cakap orang. Macam-macamlah! Pening mereka dengan ulah bosnya itu.
Mereka tahu yang Rayyan ada pelbagai idea bernas dan strategi padu walaupun ketika berada dalam bahaya atau saat getir. Namun, Rayyan juga hanyalah manusia biasa yang punya kelemahan. Jadi, Rayyan perlu fikir betul-betul konsekuensi yang bakal diterima jika pelan yang dirancang bertukar sebaliknya.
"Aku cuma nak bebaskan tawanan aje. Untuk itu, kenalah masuk ke sarang mereka." Rayyan masih sama seperti tadi, kekal membela diri.
Syafiq, Ren Hau dan Grace hanya mampu melepaskan nafas kasar. Lelah dengan perangai Rayyan yang jika A katanya, maka A juga jawapannya. Langsung tak goyah. Keyakinannya setinggi langit!
Tadi, Rayyan menyuarakan hasrat hatinya ingin menyusup masuk ke dalam makmal Blue Rose Baharu. Tapi kalau Rayyan yang akan menyamar sebagai pekerja makmal, bermakna pelan asal mereka akan berubah sebab sepatutnya Light dan Cindy akan menyamar.
"Boss kan dikenali ramai. Takkanlah orang-orang Sir Alfred tak kenal Boss." Akhirnya Syafiq suarakan juga rasa bimbangnya.
"Mereka takkan kenal punya," jawab Rayyan.
"Maksudnya?" Serentak Syafiq, Ren dan Grace menentang mata Rayyan.
"Aku kan ada Grace, stylist pakar dalam penyamaran. Aku juga ada Ren Hau, bodyguard yang handal bertumbuk. Dan semestinya aku ada Syafiq yang geliga otaknya untuk jahanamkan sistem mereka. Jadi, jangan risaulah," jawab Rayyan dengan bersahaja.
"Boss..." Semakin pening Syafiq, Ren dan Grace dibuatnya.
"Okey. Kira pelan ni jadi." Tanpa memberi peluang kepada anak buahnya yang bertiga itu membalas lagi, terus Rayyan menutup bicara.
"Habis tu Light dan Cindy macam mana? Takkan mereka tak buat kerja?" Ada lenggok tak puas hati daripada nada Syafiq.
"Siapa kata mereka tak buat kerja? Aku dah ada pelan baik punya untuk mereka berdua tu," balas Rayyan sambil tersenyum-senyum.
Melihat kepada reaksi Rayyan, terus terangkat kening Syafiq, Ren Hau dan Grace. Muka mereka juga berkerut-kerut. Apa lagi yang si Boss ini rancang sebenarnya? Misteri pula.
"Okey, bersurai. Dah, pergi buat kerja masing-masing." Rayyan menyandarkan belakangnya ke kerusi, sambil tangannya membuat isyarat keluar kepada Syafiq, Ren Hau dan Grace. Tanda ketetapan sudah dibuat dan keputusannya tidak boleh diubah lagi.
Syafiq, Ren Hau dan Grace hanya mampu akur dengan arahan tersebut. Apa boleh buat kalau bos sendiri sudah nekad. Harapnya semua pelan berjalan lancar walaupun jauh di sudut hati, tergayut perasaan bimbang dan tidak yakin.
HARI yang dirancang tiba jua. Rayyan dan Eve berjalan dengan tenang melepasi kawalan imigresen pelepasan antarabangsa untuk penerbangan ke Amerika Syarikat. Usai urusan di situ, mereka berdiri di satu sudut. Di sisi mereka, berdiri Aariz dan Khayra yang bertindak sebagai pengawal peribadi.
"Dark." Rayyan mendekati Aariz lalu berbisik sesuatu.
"Okey," kata Aariz seraya membetulkan topi sudunya. Pelitup mukanya juga turut dibetulkan.
Rayyan tersenyum penuh makna. Bahu Aariz ditepuk dua kali sebagai isyarat bahawa dia percaya kepada skil lelaki itu. Figura Khayra yang berada di samping Eve yang sedang leka dengan telefon turut dipandang. Kepada Khayra, senyuman bermakna turut diberi. Pokok pangkalnya, dia percaya kepada semua anggota bawahannya.
Beg bagasi ditinggalkan kepada Khayra untuk dijaga. Terus Rayyan berlalu ke tandas dengan menggalas beg sandang. Setelah beberapa ketika, Aariz pula masuk ke tandas. Mereka berdua keluar dari situ hanya setelah lima minit berlalu tetapi tidaklah bersama-sama. Aariz keluar dulu barulah Rayyan pula keluar.
"Mana satu Boss, mana satu Dark?" Bulat mata Eve apabila melihat figura Rayyan dan Aariz yang berada di depannya.
"Ini Dark." Khayra menunjuk ke arah Aariz. Mana mungkin dia tidak kenal lelaki itu. Suaminya. Cinta halalnya.
"I rasa macam tak percaya. Boss dan Dark macam kembar bila pakai mask dan outfit sama." Tidak habis-habis Eve berasa takjub dengan figura Rayyan dan Aariz yang dirasakan amat mirip sekali.
Tinggi lebih kurang sama. Rupa paras kedua-duanya tak usah cakaplah, memang good looking. Sekali pandang macam artis, sepuluh kali pandang pun tetap macam artis. Patutnya Rayyan dan Aariz letak jawatan dan jadi artis ajelah. Senang.
"Well." Rayyan pandang Aariz, kemudian dia tersengih sendiri. Memang mirip pun.
"Dark, aku serahkan tugas aku kepada kau. Pandai-pandailah kau bagi alasan kalau ada siapa-siapa minta jumpa. Cakap aje kau tak sihat, di luar kawasan, atau apa-apalah. Yang penting orang tak boleh tahu yang kau menyamar jadi aku," kata Rayyan sekali gus berpesan kepada Aariz.
"Okey, Boss." Aariz turut tersengih dari sebalik pelitup mukanya.
Terkejut juga dia semalam apabila tiba-tiba saja Rayyan nak jumpa. Hal mustahak katanya. Sesampainya dia dan Khayra di pejabat Rayyan, mereka berdua disambut dengan keberadaan semua ahli kumpulan mereka.
Rayyan memberitahu tujuannya mengumpulkan semua orang, iaitu dia mahu menyelamatkan semua tawanan makmal Blue Rose Baharu. Tetapi dalam masa yang sama, dia juga mahu operasi itu dilakukan senyap-senyap. Sampai masanya terus "boom!" hancur terus makmal itu.
Namun, semua ini takkan terjadi kalau dia berada di Amerika Syarikat atas dasar lawatan kerja. Sebagai bodyguard rasmi Eve, dia perlu mengiringi gadis itu ke mana sahaja Eve pergi. Jadi, pertolongan Aariz amat diperlukan dalam hal ini. Aariz perlu menyamar sebagai Rayyan dan bertindak sebagai bodyguard Eve.
Kemudian untuk lawatan kerja kali ini, Natalie merengek mahu ikut sekali. Katanya nak belajar mengurus perniagaan dengan Eve. Merayu merengek dia minta kebenaran dengan Dato' Campbell supaya benarkan ikut kakaknya. Kerana itulah Khayra terpaksa ikut sekali. Nak harapkan Cindy seorang melayan Natalie, takutnya tak pasal-pasal arwah budak itu dikerjakan.
"Sampai pun si Natalie ni. Lambat betul," cemuh Eve.
Natalie tiba dengan diiringi oleh Cindy. Bergaya sakan Minah Salleh itu dengan outfit musim luruh. Langsung tak nampak seperti mahu pergi bekerja tetapi hanya nak pergi makan angin. Eve tahu itulah tujuan sebenar Natalie nak ikut sekali pergi ke Amerika Syarikat.
"Jangan gaduh-gaduh tau," pesan Rayyan kepada Eve.
Eve membalasnya dengan cebikan. Dia tak tahulah selama mana dia boleh bertahan dengan Natalie sepanjang tiada Rayyan bersamanya. Aariz dan Khayra yang menjaganya kali ini. Itu pun Rayyan beritahu pada saat akhir. Ada misi khas, itu kata Rayyan kepadanya dan dia pula tidak bertanya lebih-lebih.
Dia okey saja dengan dua orang bodyguard baharu itu tetapi jauh di sudut hati, dia takut mereka berdua tidak mampu menahannya daripada bertekak dengan Natalie. Tahu-tahu sajalah bagaimana ganasnya dia dan Natalie kalau bergaduh.
"Aariz, ingat tu. Keselamatan Eve prioriti utama tapi identiti aku nombor satu. Jangan sampai terkantoi." Rayyan berpesan pula kepada Aariz tetapi dengan nada separa berbisik, bimbang didengari oleh Natalie yang semakin mendekat.
"Okay. Good luck to us, Boss." Aariz mengangguk.
Berpuas hati dengan segala persiapan di sini, Rayyan segera merendahkan topi sudunya lalu menunduk sedikit. Kakinya diorak pergi dari situ, melepasi figura Natalie yang tertoleh-toleh memandangnya. Barangkali hairan kenapa ada dua orang lelaki yang berpakaian sama di situ.
"Natalie, cepatlah! Kita dah nak masuk kapal terbang ni," panggil Eve.
Konsentrasi Natalie terganggu. Terus dia berpaling ke arah Eve dan "Rayyan" yang berada di samping kakaknya itu. Mukanya berkerut seketika, kemudian beransur kendur. Pelanduk dua serupa mungkin? Lagipun "Rayyan" ada di depan. Laju-laju dia berjalan ke arah Eve.
"Kau jangan cakap apa-apa dengan Boss. Dia tengah sakit tekak. Tak ada suara. Kalau nak apa-apa minta aje dengan Cik Rara atau Cindy okey. Dah, cepat. Nanti kena tinggal."
Dari sebalik tiang, Rayyan tersengih melihat adegan itu. Pandai Eve cipta alasan untuk mengaburi fikiran Natalie. Bagus! Lantas tanpa membuang masa, Rayyan segera berjalan keluar dari balai menunggu itu melalui laluan pintu ketibaan.
Tempat parkir kereta dituju lalu setelah mendapatkan keretanya, dia segera memecut laju dari situ. Masalah pertama telah selesai dan kini, dia bersedia untuk melaksanakan misinya. Namun, belum pun sempat dia sampai di pejabat, tiba-tiba telinganya dikejutkan dengan panggilan telefon.
"Ada apa, Falcon?" tanya Rayyan setelah menekan earbudnya.
"Kak Yong..." Suara Syafiq terputus di situ.
"Kenapa dengan Hana?" Rayyan mengerutkan muka.
"You're dead meat, Rayyan Razien!" Satu suara garang menerjah kokleanya.
'Alamak...'Terus Rayyan menelan liur.