Home Novel Thriller/Aksi BLAZE BODYGUARD
BLAZE BODYGUARD
Angel_k20
25/10/2025 16:33:54
342
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
BAB 6

FAIL, kertas dan segala dokumen di atas meja ditolak ke depan. Pen di tangan turut diletakkan lalu kepalanya dipicit perlahan. Ya Tuhan, senak sungguh otaknya menghadap kerja hari ini. Teramat banyak!

Matanya kemudian tertancap pada sehelai sampul surat di tepi meja. Berserta dengan keluhan, sampul surat itu ditarik perlahan lalu isi dalamnya dikeluarkan. Lantas, dia membaca semula cetakan-cetakan aksara di atasnya. Aduhai, bertambah senak otaknya.

Isi fail yang diberikan oleh Hana itulah yang membuatkan air mukanya berubah keruh semalam. Kerana itu dia bersetuju sahaja dengan permintaan perempuan itu untuk menjadi partner nanti. Mungkin dengan hadir ke majlis itu, simpulan fikirannya dapat dileraikan.

Tok! Tok! Tok!

Tanpa menunggu Rayyan memberikan kebenaran, Ren Hau terlebih dahulu masuk lalu berdiri tegap di depannya. Riak wajahnya bagaikan tertera pelbagai perkhabaran tak terluah.

"Ada apa?" tanya Rayyan. Matanya kekal tertancap di atas helaian kertas sampul surat.

"Kami dah inform ketua pengurus untuk lawat site projek Hibiscus Tower petang ni. Boss available tak?" Soalan dibalas dengan soalan.

"Eve dah okey ke?" Rayyan mengerutkan muka.

"Cik Eve sendiri yang request nak pergi juga hari ni," jawab Ren Hau.

"Kau pergi dengan Dark. Aku tak available," putus Rayyan. Masanya telah dicuri oleh si buah hati.

"Baik." Ren Hau mengangguk faham. Lantas, dia segera keluar dari pejabat bosnya.

Pemergian Ren dipandang dengan ekor mata. Kemudian, matanya kembali tertancap ke helaian kertas yang mengandungi beberapa maklumat. Turut disertakan sekali di dokumen tersebut adalah gambar mangsa pembunuhan. Fikirannya terarah kembali kepada perbualan semalam.

Imbas kembali...

"JANGAN cakap yang kau nak minta aku jadi partner untuk majlis ni," ujar Rayyan.

"Memang aku nak kau jadi partner aku untuk majlis tu pun," balas Hana.

"Kau yakin ke nak aku represent profiler dari Kuala Lumpur? Skil aku tak adalah hebat macam mereka." Rayyan menggaru kepalanya yang tidak gatal.

"Aku yakin dengan skil kau. Kau ada sijil Master of Criminal Justice. Pernah bekerja sebagai felo penyelidik di universiti dekat Jepun tu. Kau tu criminal profiler. Lupa ke?" Hana menjawab, yakin.

"Masalahnya sekarang, aku tak terlibat secara langsung dengan penyiasatan kau semua. Inspektor Farah kan ada? Dia profiler terhebat negeri ni," ujar Rayyan.

"Kalau Inspektor Farah ada, tak adalah aku minta kau jadi partner aku. Masalahnya, dia cuti bersalin sekarang. Dia baru aje beranak semalam," balas Hana.

Jawapan Hana sangat kukuh. Di negeri ini, dalam jabatan kepolisian, hanya Inspektor Farah yang betul-betul diakui kredibiliti sebagai profiler penjenayah. Orang lain pun ada, tapi skil mereka sangat jauh ketinggalan jika nak dibandingkan dengan inspektor itu.

"Okeylah, aku setuju." Akhirnya, Rayyan memberi kata putus.

Sama saja setuju atau tak setuju sebabnya dia mesti bersetuju untuk menemani Hana. Dengan tiadanya Inspektor Farah untuk menolong, pasukan polis menemui jalan buntu bagi menyelesaikan kes. Jadi, nak tak nak, dia tiada alasan lain lagi untuk menolak ajakan tersebut.

Ini kerana, selepas Inspektor Farah, hanya dia yang diakui skil untuk membuat profiling memandangkan mereka berdua pernah menjadi felo penyelidik di universiti yang sama. Inspektor Farah dan dia pernah menjadi rakan sekerja suatu ketika dahulu.

"Yeay! Sekarang, aku rasa lega. Terima kasih, my abang bodyguard." Hana melontarkan senyuman manis kepada Rayyan.

MEMORI dua hari lepas di warung tepi jalan terlayar di fikiran. Semalam dan berlanjutan hingga hari ini, Hana masih berkursus di Melaka. Hanya pukul 10 pagi tadi barulah gadis itu tamat kursus dan bergegas balik ke sini.

Dia mesti cepat kerana pukul 3 petang nanti, majlis perjumpaan bersama para profiler penjenayah dari seluruh negeri akan bermula di balai polis kontinjen negeri. Jadi, kalau tak nak letih, Hana mesti cepat-cepat sampai dan berehat sekejap.

"May, panggil Falcon masuk bilik aku kejap," suruh Rayyan kepada Grace melalui interkom.

"Sekejap, Boss," jawab Grace.

Dua minit menunggu, akhirnya Syafiq memunculkan diri. Lantas, tanpa berlengah, pantas Rayyan menyuruh Syafiq mendekatinya lalu dokumen di dalam sampul surat diberikan kepada hacker itu.

"Bluerk!" Syafiq menekup mulut. Tengkuknya dipegang kemas. Cepat-cepat dia meletakkan semula dokumen itu ke atas meja.

"Apa ni Boss? Kenapa bagi dekat aku?" Muka Syafiq pucat.

"Petang ni, kau ikut aku ke balai polis. Aku nak kau jadi partner aku," beritahu Rayyan.

"Hah?" Syafiq terpinga-pinga.

"Aku perlukan pertolongan kau lepas balik dari balai nanti. Kita akan ke tempat pembunuhan tu berlaku," kata Rayyan seraya menunjuk ke arah dokumen tadi.

"Tapi, kenapa aku? Dahlah aku tak berapa suka tengok mayat-mayat ni," protes Syafiq.

Tekaknya meloya melihat keadaan mayat di dalam gambar. Buruk berulat, anggota badan dikerat kepala, tangan, kaki, betis, lengan, perut dan paha. Semua anggota yang terpisah tersebut diatur semula oleh ahli forensik di atas meja bedah bilik mayat.

"Mayat-mayat ni disyaki sebagai bahan buangan eksperimen Blue Rose Baharu. Tu sebab aku nak kau ikut aku nanti ke tempat mayat-mayat tu dijumpai," terang Rayyan.

Dia tahu yang Syafiq memang tidak suka dengan benda-benda macam ini. Tapi, sampai bila? Apa guna ada skil perkomputeran tinggi tapi nak bantu kesan penjenayah pun tak boleh?

Sekarang, pihak polis daripada jabatan sekuriti siber pun tengah mati kutu untuk mencari klu media yang boleh mensabitkan kes pembunuhan tersebut dengan eksperimen gila The Great Father. Pokok pangkalnya, semua pihak sedang buntu.

Dalam tempoh tiga bulan selepas kematian Father, Malaysia bebas daripada berita-berita penemuan mayat mengerikan semacam ini. Sungguh mereka tidak menjangka bahawa sekejam ini The Great Father membuat "serangan balas" kepada pihak keselamatan negara pada kali ini.

Ketua penjenayah itu seolah-olah berkata kepada pihak berkuasa, "Aku telah kembali tetapi dengan kekuatan lebih dahsyat." Buktinya, selain daripada mayat-mayat seperti dalam gambar, banyak juga mayat terapung dijumpai di dalam lombong. Semua mayat itu ada kesan tusukan jarum, kulit mereka kebiru-biruan dan bersisik.

"Okeylah. Tapi, aku perlu buat apa je?" Syafiq akhirnya bertutur setelah berfikir dua tiga kali.

Kes Blue Rose Baharu. Kes itu memberi impak mendalam dalam hidupnya. Peristiwa dia hampir kehilangan Rayyan pada tiga bulan lalu cukup membuatkan hatinya diamuk marah dengan The Great Father. Dia tidak boleh berdiam diri!

"Bagus soalan tu. Tapi, aku akan cakap nanti. Pukul 2.15 petang nanti kita bertolak," ujar Rayyan.

"Okey," akur Syafiq. Lantas, dia berlalu keluar dari bilik Rayyan.

Figura Syafiq yang menghilang di sebalik pintu dipandang dengan tiada perasaan. Kemudian, jam tangannya dikerling sekilas sebelum kertas yang berselerak di atas mejanya disimpan kembali ke dalam sampul surat.

Masa masih lagi berbaki lebih kurang tiga jam untuk dia ke balai polis. Sudahnya, dia kembali menarik fail-fail kerjanya lalu kerja yang tertangguh tadi disambung kembali. Banyak betul dokumen syarikat yang dia perlu baca. Penat gila!

"RAYYAN," tegur Hana.

Dia baru sampai ke balai polis kontinjen negeri. Sebaik sahaja dia memarkirkan keretanya di lot parkir, kereta Rayyan pula masuk ke lot parkir tersebut lalu diparkirkan bersebelahan dengan keretanya.

"Awal sampai?" Rayyan membuka pintu kereta.

"Awal mananya encik abang? Dah pukul 2.50 petang," gelak Hana. Kemudian, dia melihat kepada Syafiq yang berdiri di sebelah Rayyan.

"Hai, Apik!" sapa Hana.

Berseri-seri wajahnya apabila melihat side kick Rayyan turut hadir. Dia memang tahu pun yang budak itu tak berapa suka dengan benda-benda hodoh. Cuba kalau beri benda comel-comel, pasti dia melompat sampai ke bintang. Jadi, apabila budak itu hadir ke majlis ini, ia sesuatu yang baharu.

"Hai, Kak Yong." Syafiq turut tersengih melihat Hana.

Segak. Itu figura seorang Hana Mikayla di matanya apabila memakai uniform polis. Nampaklah kewibawaannya dalam menguruskan kes jenayah. Hana memang sangat sesuai dengan Rayyan yang memang berwibawa dalam semua urusan.

"Jom," ajak Rayyan.

Dalam berjalan memasuki dewan acara, matanya turut meliar ke sekeliling. Pandangannya tajam menganalisis figura-figura yang turut hadir di majlis petang ini. Seperti tebakannya, muka-muka mereka semua nampak familiar.

"Rayyan Razien!" panggil seseorang dari belakang.

Mendengar itu, pantas Rayyan menoleh ke belakang. Tanpa sedar, bibirnya automatik mengoyakkan senyuman suka apabila figura itu bergegas mendapatkannya lalu bersalaman dengannya.

"Profesor," tegur Rayyan.

"Lama betul saya tak jumpa kamu. Terakhir sekali masa jamuan perpisahan," ujar lelaki tua yang dipanggil "Profesor".

"Kamu buat apa dekat sini? Ke, jangan cakap yang kamu ganti Farah?" tebaknya pula.

Tebakan tersebut mengenai sasaran. Tanpa kata, Rayyan hanya mengangguk mengiakan soalan tersebut. Mahu dikata apa lagi? Memang dia ke sini untuk menggantikan Inspektor Farah.

Prof. Dr. Harun merupakan penyelianya ketika membuat Sarjana (Master). Jadi, dia tak hairan kalau orang tua itu boleh menebak dengan tepat tujuan kehadirannya di sini. Sekilas ikan di air, sudah tahu jantan betina.

"Bagus." Prof. Dr. Harun menepuk perlahan bahu Rayyan. Bangga dia mempunyai anak didik yang berjaya sepertinya.

"Cuma itulah saya ingatkan kamu sambung PhD. Kata hari tu nak sambung," katanya pula.

Mendengar soalan itu, Rayyan berasa terpukul. Memang benar dia pernah meluahkan hasrat hati ingin menyambung pengajian sehingga ke peringkat Doktor Falsafah (PhD). Itu impiannya. Cuma saja rezekinya untuk sambung belajar belum kunjung tiba kerana apabila balik ke Malaysia, dia terlalu sibuk menguruskan syarikat.

Lagipun dia fikir, inilah masanya untuk membalas jasa Dato' Campbell yang sangat berjasa kepadanya sejak dulu sampai kini. PhD itu nanti-nantilah. Dia mahu menstabilkan dahulu krisis syarikat ini, juga menyelesaikan kes The Great Father.

PhD- Ijazah Doktor Falsafah merupakan tahap tertinggi dalam akademik. Bukan calang-calang orang berjaya menggenggam PhD. Berapa ramai calon PhD tersungkur sebelum menemui garis penamat. Jadi, sebelum menyambung PhD, dia perlu memastikan segala anasir luar yang bakal mengganggunya dalam perjalanan PhD diminimumkan sebaik mungkin.

"Hasrat tu ada, tapi belum masanya. Insya-Allah apabila dah selesai semua benda yang saya perlu buat, saya sambung PhD," jawab Rayyan sambil tersengih.

Hana pula apabila mendengar jawapan Rayyan, semakin dia berasa kagum kepada lelaki itu. Ingatkan sudah cukup dengan Master, tapi tak sangka Rayyan ini sejenis yang suka belajar lagi, lagi dan lagi. Otaknya diperbuat daripada apa ya? Nak sambung sampai PhD tu!

Tolonglah siapa-siapa beritahu dia macam mana nak jadi macam Rayyan. Dia sendiri pun awal-awal lagi sudah mengaku kalah. Dapat sarjana muda pun cukuplah, dia sudah tidak larat untuk belajar lagi.

"Oh, ya. Prof., kenalkan Inspektor Hana Mikayla dan Syafiq Azzim." Rayyan memperkenalkan Hana dan Syafiq kepada gurunya.

"Hana, Syafiq. Kenalkan ni supervisor aku masa buat Master di Jepun dulu, Prof. Dr. Harun." Dia memperkenalkan pula Prof. Dr. Harun kepada Hana dan Syafiq.

Fikiran Hana pantas kembali ke realiti. Terus dia melihat kepada Prof. Dr. Harun lalu bertukar senyuman. Syafiq juga dilihat berbuat sama sepertinya. Lantas, tanpa berlengah lagi, mereka berempat bergegas masuk ke dalam dewan.

Pemandangan pertama yang singgah di mata mereka semua setelah menjejakkan kaki ke dalam adalah suasana menenangkan. Sama seperti majlis lain, acara ini juga formal.

Agenda perjumpaan ini adalah untuk saling berkenalan sesama sendiri bagi mengukuhkan usaha kerjasama antara pihak polis dan pakar profiler. Di samping itu, acara juga bertujuan untuk bertukar pandangan mengenai beberapa kes jenayah yang sedang hangat diperkatakan oleh pihak media.

Di satu sudut, kelihatan beberapa orang anggota polis beruniform saling bercakap sesama sendiri. Di meja lain pula, turut serius duduk berbincang beberapa figura berpakaian biasa. Rayyan meneka, mereka adalah geng profiler.

Setelah mengambil tempat dan juruacara memulakan majlis, mereka dihidangkan dengan ucapan ringkas daripada ketua polis negara, ketua polis negeri dan wakil kehormat daripada pihak profiler. Seterusnya, mereka ditunjukkan pula dengan beberapa kes jenayah yang berjaya diselesaikan.

"Mengantuknya." Hana menguap perlahan sambil menekup mulut.

"Kesian. Mesti penat kan?" bisik Rayyan.

Dalam kesuraman cahaya dek pembentangan kes masih berjalan, Rayyan memandang Hana di sisinya. Nampak lingkaran hitam di bawah mata gadis itu akibat berjaga malam dan tidak cukup rehat.

"Kata dekat orang. Kau pun sama penat juga," gelak Hana perlahan.

Wajah Rayyan di sebelahnya dipandang. Raut wajah jejaka itu pun nampak teramat letih. Dia tahu yang Rayyan pun sibuk dengan tugasnya di pejabat sana. Tapi, tetap juga dia meluangkan masa bagi menemaninya.

Dalam diam, Hana menyoal dirinya sendiri. Adakah dia tidak ada sifat empati dalam diri dengan meminta Rayyan datang ke sini walaupun dia tahu jejaka itu teramat sibuk? Kejamkah dia?

"Tak puas lagi ke tenung aku?" Rayyan memalingkan mukanya ke arah Hana. Pandangan mereka bertembung.

"I'm sorry," ujar Hana perlahan.

"Untuk apa?" tanya Rayyan. Lembut suaranya.

"Segalanya," jawab Hana.

"No need, sayang. Untuk kau, semuanya boleh." Rayyan mengoyakkan senyuman menenangkan buat buah hatinya.

Mata mereka berdua saling beradu lagi untuk entah kali ke berapa. Tiada kata terluah dari bibir. Hanya mata hati saling berbicara sesama sendiri. Namun, percakapan senyap mereka serta-merta terputus apabila satu suara tegas menegur dari belakang.

"Sweet sungguh. Lambat lagi ke kau berdua nak kahwin, hah?"



Previous: BAB 5
Next: BAB 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.