Home Novel Thriller/Aksi BLAZE BODYGUARD
BLAZE BODYGUARD
Angel_k20
25/10/2025 16:33:54
342
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
PROLOG

THE GREAT FATHER bersandar dengan tenang di kerusi eksklusif barisan hadapan, sandaran tipikal dalam dunia korporat yang penuh dengan senyuman plastik. Fokusnya tajam pada figura seorang pemuda berkot biru tua yang sedang berjalan menaiki pentas utama sambil diiringi dengan tepukan gemuruh sidang hadirin.

Di skrin hadapan, terpampang gah nama jejaka itu berserta projek yang sedang dibentangkan. Pemuda itu kemudiannya berdiri dengan penuh karisma dan senyuman yakin terzahir di wajah tampannya. Lantas, dengan suara lantang dan berwibawa, dia memulakan bicara mengenai sebuah projek mega di bawah kelolaannya yang bakal mengubah landskap kota.

'Jahanam.' The Great Father menarik nafas panjang, tapi senyuman kekal terpamer.

"Tak sangka budak tu diam-diam ubi berisi." Seorang ahli lembaga pengarah yang berada di sebelahnya melepaskan keluhan kasar.

"Tengoklah siapa yang ajar dia sampaikan kau pun kalah. Ucap selamat tinggal sajalah kat bidaan ni. Apabila dia yang uruskan projek, kita automatik terus tak ada harapan," balas The Great Father.

"Hmm." Lelaki itu mengeluh lagi lalu menyandar di kerusi.

The Great Father hanya melihat sekilas rakannya itu, kemudian fokusnya kembali terarah kepada Pengarah Bahagian Sumber Manusia Campbell Corporation yang masih rancak membentangkan cadangan perniagaan di pentas. Pembentangan itu akan menentukan syarikat mana yang akan mendapat tender daripada pihak kerajaan.

'Kau tak pernah gagal beri kejutan kepada aku,  Rayyan Razien.' Hatinya berbisik dengan nyalaan api mulai marak di jiwa.

Fikirannya teringat kepada insiden tiga bulan lepas. Kerana anak muda itu, ASP Azman mati. Disebabkan jejaka itu jugalah segala kerja haramnya di negara ini musnah! Langsung tiada sisa yang tertinggal apabila pihak polis membuat operasi besar-besaran membanteras makmal dadahnya di sini.

'Tapi aku The Great Father. Aku tak pernah kalah. Sekali kau kacau aku, aku akan balas dengan 10 kali lipat.' Dia mengepal tangannya kemas-kemas. Api di dalam dada semakin menyala.

'Dulu mak bapak kau, sekarang kau pula cari pasal dengan aku. Memang keturunan kau ni jenis sial, sibuk hal orang!' gerutunya lagi dalam hati.

Fikirannya teringat pula kepada wartawan yang bernama Zainan Nazri dan Khairah Maryam, iaitu ibu bapa Rayyan Razien. Dua orang itulah pencetus segalanya, yang kemudiannya membuatkan Inspektor Khalid dan rakan setugasnya Korporal Johari sanggup masuk ke dalam kumpulan Mafia Death bagi membongkarkan kegiatan haramnya di sini.

'Tak cukup dengan mak bapak, anak-anak pun turut sama gatal tangan nak cari aku,' bisik hatinya lagi.

Selain Rayyan, hatinya turut menggelegak hebat terhadap Hana Mikayla dan Fahmi Ahmad. Kedua-dua orang pegawai polis berpangkat inspektor itu juga merupakan manusia laknat yang menjahanamkan kerjanya di sini. Gabungan tiga orang anak muda itu sungguh menyusahkan dia!

Bunyi tepukan bergemuruh lagi memenuhi dewan. Ketika ini, anak muda itu telah pun selesai membentangkan cadangan projek dan menunduk hormat kepada audiens. Kemudian, dengan langkah kemas dan teratur, dia berjalan menuruni pentas lalu bersalaman dengan para pesaingnya dari syarikat lain yang akan turut sama membentangkan kertas cadangan bagi membida tender projek bertaraf mega ini.

"Sir." Rayyan menghulurkan tangan kepadanya untuk bersalaman.

"Tahniah, Ryan. Tak sangka kamu dah sehebat ini. Sejuk hati saya tengok kamu. Bagus!" The Great Father menyambut huluran Rayyan dengan bangun dari kerusi lalu memeluk tubuh anak muda itu dan menepuk bahunya berkali-kali.

"Berkat ajaran Sir juga. Terima kasih atas tunjuk ajar selama ni." Rayyan membalas pujian The Great Father dengan merendah diri dan mengucapkan terima kasih.

The Great Father, dengan muka penuh kepura-puraan terus ketawa perlahan, mengangguk dan tersenyum lebar. Wajah pemuda itu dipandang lagi dengan topeng wajah besar hati dan suka pelajarnya berjaya begitu sekali. Walhal dalam hati, sumpah seranah meledak bagai lava gunung berapi.

Setiap senyuman Rayyan bagai tombak panas yang menghunjam ke dasar jantungnya. Siapa sangka rancangan teramat teliti yang dirangka oleh orang suruhannya dapat juga dihidu oleh jejaka itu. Hasilnya, seperti sekaranglah. Peratusan kemenangan tender projek ini jatuh ke tangan syarikatnya terus merundum ke tahap kerak bumi saat percubaan sabotaj ke atas Campbell Corporation dapat diatasi oleh Rayyan.

"Sama-sama. Semoga terus maju jaya. Ada rezeki mungkin kita boleh duduk semeja sambil berbual dan minum kopi sama macam dulu," balas The Great Father dengan wajah berseri-seri.

"Baik, Sir. Saya pergi dulu." Rayyan kemudiannya memohon diri untuk beredar.

The Great Father mengangguk dengan senyuman kebapaan kekal terpamer. Namun, matanya tak lepas daripada melihat figura pemuda itu berlalu pergi lalu bersalaman pula dengan tokoh korporat lain. Jelas lagi terang tahap keyakinan anak muda itu setinggi langit.

"Teruskan bersinar, Rayyan. Aku akan pastikan sinar tu padam dengan tangan aku sendiri…” gumam The Great Father, perlahan.

"Dan apabila tiba saatnya, takkan ada sesiapa pun dapat selamatkan kau," sambungnya pula lalu kembali duduk di kerusi.

"Hmm... hmm... hmmmmm..." Alunan primadona klasik Inggeris beralun perlahan di kerongkong, berdansa penuh kejam di ruang yang dipenuhi bisikan darah dan dendam.

Dia memejam mata, hanyut dalam menikmati melodi lagu kesukaannya sejak dulu hingga kini. Lagu kematian yang menyaksikan dia membunuh ramai orang dengan tangannya sendiri, termasuklah ibu bapa Rayyan, Hana dan Fahmi. Dan hari ini, jiwa psikopatnya kembali berteriak ganas laparkan darah anak muda itu!

"Aku ada di samping kau, Rayyan Razien. Tapi sayangnya kau tak tahu," bisiknya pula.

Ketawa kecilnya meletus. Namun dalam diam, matanya bersinar tajam menatap jantung milik Inspektor Khalid yang sedang berdegup dalam tubuh Rayyan. Sungguh, degupan itu seolah-olah memanggil tangannya yang sudah tidak sabar-sabar lagi mahu merobek jantung pengkhianat Mafia Death itu!

Next: BAB 1

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.