RESUME yang dibuat oleh Syafiq memang power kesannya. Ditambah dengan skil Rayyan dan Light yang pandai "goreng" dalam temu duga, akhirnya jawatan sebagai penganalisis dan penyelidik kimia dapat kepada mereka berdua.
Pada saat ini, mereka berdiri di sebuah jeti. Beberapa orang lelaki dan perempuan muda yang menerima tawaran seperti mereka juga sedang berdiri bersama-sama bagi menanti kehadiran bot yang bakal membawa mereka semua ke pulau.
Pulau Raya, itu lokasi tempat mereka bakal bekerja kelak. Masing-masing teruja mendapat kerja baharu dengan gaji lumayan. Ada yang bergelak ketawa, bergambar sesama sendiri dan tidak kurang juga yang menelefon keluarga untuk memaklumkan pemergian ke tempat kerja.
"Boss, mereka dah sampai." Light mencuit Rayyan lalu menunjuk ke arah sebuah bot besar yang boleh memuatkan lebih kurang 20 orang dalam satu masa.
"Okey." Rayyan menyimpan telefon ke dalam kocek seluar lalu membetul-betulkan rambut gaya nerd dia. Tamparan angin di jeti itu membuatkan rambutnya berasa agak berserabai walaupun dia memakai krim rambut.
Matanya kemudian melihat pula ke arah Light. Jejaka itu berpakaian kemas dengan aura tampannya dibiarkan terserlah. Patut saja ada beberapa orang gadis sibuk nak berkenalan tadi. Tidak seperti dia yang berpenampilan budak pandai baru habis sekolah. Nerd habis dengan rambut belah tepi dan cermin mata bingkai hitam berbentuk empat segi tepat.
"Tahniah semua dapat kerja." Seorang lelaki berpakaian kemas; sut hitam segera menyapa semua orang yang ada di situ sebaik sahaja turun dari bot.
"Terima kasih." Beramai-ramai mereka menyambut ucapan tahniah itu.
"Jom naik," ajak lelaki itu pula.
Semua orang yang berada di situ segera menurut arahan. Seorang demi seorang melangkah naik ke dalam bot. Tiba giliran Rayyan dan Light, Rayyan naik dulu dan diikuti oleh Light. Gaya nerd tetap kekal; beg galas dipeluk dan cermin mata pula beberapa kali dibetul-betulkan.
Lakonan harus mantap!
Perjalanan ke pulau mengambil masa satu jam. Mengantuk mereka dibuatnya apabila bot itu hanya bergerak perlahan. Deru angin sungai yang menerpa muka menjadi seolah-olah pengulit tidur. Beberapa kali Rayyan dan Light menguap panjang.
"Selamat datang ke Pulau Raya." Ayat itu menyambut pendengaran mereka sebaik sahaja turun dari bot. Beberapa orang lelaki dan wanita berdiri di jeti dan berlagak mesra menyambut kehadiran mereka.
Melihat itu, Rayyan tersenyum sinis. Matanya mengerling kepada Light, ingin melihat ekspresi tersembunyi wajah itu. Sama sepertinya, Light juga tersenyum sinis di hujung bibir. Mengerti sandiwara penyambut kehadiran mereka di situ.
"Jemput tuan puan semua ke dewan makan. Kami ada sediakan jamuan sempena meraikan kejayaan tuan puan semua dapat jadi sebahagian daripada kami," kata pula seorang lelaki lain.
Maka berteriak terujalah mereka semua apabila mendengar jemputan itu. Rayyan dan Light turut tidak terkecuali daripada turut berlakon; bersorak dapat makan percuma. Siapa aje yang tidak suka dapat makan sementelah jam pun sudah mencapai pukul 12 tengah hari. Lapar!
Tanpa membuang masa, mereka semua masuk ke dalam bangunan berwarna putih yang tersergam indah di pulau itu. Ruang makan dituju dan sesampainya di sana, beberapa hidangan yang amat menyelerakan sudah pun siap dihidangkan oleh pelayan yang bertugas.
"Wah." Bersinar-sinar mata semua yang melihat hidangan tersebut.
"Jemput makan semua. Makan kenyang-kenyang," pelawa lelaki bersut hitam tadi.
"Terima kasih." Cepat-cepat semua orang beratur untuk mengambil makanan masing-masing.
Suasana dewan makan hingar-bingar dengan percakapan berselang-seli ketawa. Meriah dan gamat apabila masing-masing bercerita mengenai keterujaan mendapat kerja yang dijanjikan gaji tinggi. Bukan senang nak dapat gaji sebegitu pada masa sekarang.
"Sedap kan lauk ni," kata Light kepada Rayyan.
"A'ah. Sedap sangat," balas Rayyan.
Dalam pada mulut ralit mengunyah makanan, anak mata kedua-dua mereka juga saling bertentang. Seakan-akan berkata-kata melalui isyarat gerakan anak mata. Tidak cukup dengan itu, sudu dan garpu di dalam pinggan juga saling berketuk. Itu adalah Kod Morse yang dipakai oleh Rayyan dan Light ketika ini untuk berhubung sesama sendiri.
'Aku rasa mereka letak sesuatu dalam makanan ni.' - Light.
'Memang pun. Aku dah mula rasa berat mata.' - Rayyan.
'Sama. Mengantuk sangat.' - Light.
Pegangan sudu di tangan Light terlepas. Perlahan-lahan ejen perisik muda itu tersungkur di meja. Nasib baik mukanya tidak tersembam ke dalam pinggan.
Rayyan menoleh ke sekeliling. Dengan pandangan samar-samar dan berbalam-balam, Rayyan nampak seorang demi seorang anak muda yang datang sekali dengannya tadi turut tewas di tempat masing-masing. Tidak berapa lama kemudian, mata Rayyan turut tertutup.
"MACAM mana keadaan Boss, Falcon?" Grace terus bertanya sebaik sahaja masuk ke dalam pejabat Syafiq.
"Okey aje. Efek ubat tidur menyebabkan Boss pengsan," jawab Syafiq seadanya.
Matanya lebih fokus kepada visual di skrin komputer yang dipaparkan oleh lalat pengintip. Sekali sekala anak matanya bergerak pula ke arah visual titik merah dan biru yang terpapar di skrin satu lagi. Titik-titik itu merupakan lokasi terkini Rayyan dan Light.
Grace mengangguk faham. Tadi risau jugalah dia apabila alat pengukur vital Rayyan tiba-tiba turun pada tahap rendah. Keadaan yang sama juga berlaku kepada Light. Kerana itulah cepat-cepat dia masuk ke pejabat Syafiq untuk bertanya khabar dan melihat keadaan terkini mereka berdua secara live.
Sebelum melepaskan Rayyan dan Light tadi, dia sudah menyiapkan kedua-dua orang itu dengan pelbagai teknologi pengintipan. Ada kamera tersembunyi yang dilengkapi mikrofon dalaman berbentuk butang baju. Ada juga cermin mata berkamera tersembunyi. Paling penting, alat penjejak turut dipasangkan di tapak kasut dan jam tangan.
Dari segi penampilan pula, Rayyan sendiri yang memilih untuk menjadi nerd. Jadi, dia merias wajah tampan itu mengikut kehendak tuan punya badan iaitu rambut belah tepi serta cermin mata besar berbingkai hitam empat segi tepat.
Memang berubah terus wajah Rayyan ketika itu. Tiada lagi Boss yang kacak bergaya melainkan nampak seperti orang lurus bendul. Tiada sesiapa pun yang akan mengenali Rayyan dalam versi begini.
Adapun penampilan Light, Rayyan meminta Grace supaya merias jejaka itu dengan gaya yang boleh menambat hati para gadis. Justifikasi tindakannya mudah sahaja, iaitu dia mahu gadis-gadis itu berbicara dengan Light. Mana tahu untung sabut timbul? Rezekilah kalau dapat informasi percuma.
"Lokasi mereka pula macam mana? Sama dengan kita jangka ke?" tanya Grace lagi.
"Ya, sama. Cuba kau tengok ni." Syafiq menghulurkan telefon pintarnya kepada Grace.
Grace menyambut huluran tersebut lalu meneliti video live yang terpapar di skrin. Visual video yang terpapar bergegar-gegar dan bunyi angin kedengaran berselang-seli dengan timbul tenggelam beberapa suara lelaki. Fahamlah dia yang ketika ini, Rayyan dan Light sedang dibawa keluar dari pulau itu dengan menaiki bot.
"Lepas ni pasti mereka angkut pakai van ke makmal tu," kata Grace. Dia merujuk kepada pelan penjahat-penjahat itu yang seterusnya.
"Dah boleh minta Ace standby kan?" tanya Grace.
"Sebaiknya macam tulah." Syafiq menghela nafas berat. Tugas Ren Hau pun bukan mudah. Tersilap sikit saja pasti musnah rancangan mereka.
"Okey, aku inform Ace. Apa-apa hal, bagi tahu aku," kata Grace.
"Okey." Syafiq membuat isyarat okey.
Berpuas hati dengan jawapan Syafiq, Grace segera keluar dari pejabat hacker itu lalu berlalu ke pejabat Ren. Pintu bilik Ren sedia terbuka dan kelihatan jejaka itu sedang membetul-betulkan baju, seolah-olah sedang membuat persiapan terakhir kali untuk kelihatan kacak di mata Grace.
"Ace." Grace berdiri di muka pintu.
"Grace." Ren Hau memberikan senyuman kepada Grace.
Keadaan senyap buat seketika. Hanya desiran alat pendingin hawa sahaja kedengaran berdesir memenuhi suasana. Ren Hau pandang Grace, Grace pandang Ren Hau.
"Semoga selamat balik ke sini." Grace turut membalas senyuman Ren Hau.
Jauh di sudut hati, kebimbangannya bergayut hebat. Mampukah lelaki itu bergaul rapatdan masuk geng dengan para pembunuh tersebut?