Home Novel Thriller/Aksi BLAZE BODYGUARD
BLAZE BODYGUARD
Angel_k20
25/10/2025 16:33:54
342
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
BAB 5

RAYYAN memberhentikan keretanya di hadapan sebuah warung tepi jalan. Sang buah hati mahu berjumpanya di situ. Maka, dia layankan saja walaupun tempat itu tidak berkelas macam restoran mewah yang selalu dikunjunginya.

"Sini," panggil Hana. Dia melambai-lambai ke arah Rayyan sambil tersengih-sengih.

"Buang tabiat ke apa kau ni hah?" Rayyan meletakkan smart key keretanya di atas meja. Lantas, dia menarik kerusi lalu melabuhkan punggungnya.

"Ha'ah. Buang tabiat," gelak Hana seraya memanggil pelayan.

"Teh panas satu, mi goreng mamak dua. Tu aje," beritahunya kepada pelayan yang mengambil order.

Setelah mengucapkan terima kasih dan pelayan berlalu pergi, Hana kembali menumpukan perhatian kepada Rayyan di hadapannya. Dengan muka tersenyum-senyum, dia menenung lagi raut wajah tunangnya.

Kesian, nampak keletihan. Tapi, demi dia, Rayyan sanggup juga keluar setelah perjumpaan dengan DSP Haireen di balai polis selesai tadi. Jejaka itu membuatkan hatinya semakin hari semakin sayang!

"Dah puas tenung aku?" tegur Rayyan.

"Tak lagi," jawab Hana selamba. Kemudian, dia tertawa kecil.

"Ya Allah, seram sungguh aku tengok kau malam ni." Rayyan menggosok-gosok lengannya. Bulu romanya berasa merinding.

"Kenapa kau nak jumpa aku? Urgent macam tak ada hari esok," tanyanya pula. Pelik sungguh permintaan gadis ini.

Soalan Rayyan disambut dengan senyuman oleh Hana. Memang urgent pun perkara yang nak dibincangkan malam ini dengan Rayyan. Tapi, dia nak perut jejaka itu kenyang terlebih dahulu sebelum dia memberitahu berita tersebut.

"Macam mana jumpa Kak Julia tadi? Sakit tak?" Hana mengelak daripada menjawab soalan Rayyan.

"Kak Julia? Haha. Macam biasalah akak tu. Kalau tak dera aku, tak sah," jawab Rayyan.

Teringat dia hal petang tadi ketika berjumpa jururawat yang dipanggil Kak Julia. Misi bertubuh gempal itu diamanahkan oleh Dr. Maria untuk menolong seorang doktor pelatih di bawah seliaannya untuk memberikan ubat kepadanya pada setiap tarikh tertentu.

"Aku ingat lagi hari tu. Nampak macam sakit gila kau kena cucuk dengan ubat baru," ujar Hana.

Memorinya terimbas hari pada dia membawa Rayyan ke hospital untuk berjumpa dengan ibunya. Kebetulan, hari itu merupakan masa yang disetkan untuk check-up keadaan terbaru jejaka itu.

Hari itu juga merupakan hari paling membuatkannya malu. Selain daripada terkantoi dengan Kak Julia dia sukakan Rayyan, foto mereka berdua ketika majlis makan malam syarikat akhbar Nadi Kota turut sampai ke tangan ibunya.

Tapi, hari itu jugalah hari yang membuatkan dirinya berasa di awang-awangan. Hatinya berbunga-bunga. Luahan berani mati Rayyan kepada ibunya betul-betul membuatkan jejaka itu sangat macho di matanya.

"Tadi pun sakit juga. Ni kau tengok ni." Rayyan menunjukkan kekura tangan kirinya kepada Hana. Nampak beberapa kesan tusukan jarum dan sedikit bengkak.

"Tak cukup dengan tempat ni, tempat ni pun dia cucuk. Katanya tak jumpa urat. Alasan sangat. Aku tahulah dia geram tengok urat timbul kat tangan aku," ceceh Rayyan.

Ujaran Rayyan serta-merta menghamburkan tawa Hana. Sampai merah-merah mukanya dek ketawa terlalu banyak. Ya Allah, tegang pipinya. Cara Rayyan mengadu macam budak kecil!

"Aduh, senak perut aku." Hana cuba berhenti ketawa.

"Seronok aje kan kau gelakkan aku." Rayyan turut tertawa melihat Hana ketawa.

Namun, kedatangan pelayan ke meja makan mereka segera mematikan tawa tersebut. Setelah makanan dihidangkan dan mereka mengucapkan terima kasih serta pelayan itu berlalu pergi, mereka kembali berbicara.

"Aku sengaja oder teh panas untuk kau," kata Hana seraya menolak cawan berisi air teh yang berasap nipis ke depan Rayyan.

"Malam-malam macam ni, tak elok minum ais," ujarnya pula.

"Ya ya aje. Tu depan kau tu apa? Bukan jus epal ke?" perli Rayyan.

"Aku tak apa. Kau tu tak boleh." Laju Hana mencantas.

"Kenapa?" uji Rayyan.

Betul, memang tak elok dia mengambil minuman berais malam-malam. Atas dasar masalah kesihatan, memang sudah lama dia tidak meminum sebarang minuman berais. Hanya apabila menghadiri majlis tertentu, barulah air berais masuk ke perutnya.

"Aku sayangkan kau," jawab Hana spontan.

Jawapan Hana serta-merta membuatkan Rayyan ketawa geli hati. Ya Allah, jin apakah yang merasuki Hana Mikayla malam ini? Jin asyik ke? Masya-Allah, tunangnya mana pernah berani cakap macam itu.

"Kau period eh?" Spontan juga Rayyan bertanya.

"Eii! Aku tampal juga mulut kau nanti." Cepat-cepat Hana menunduk ke bawah. Pipinya berasa panas. Psikik ke apa si Rayyan ni?

Reaksi Hana mengesahkan kepelikan yang melanda diri Rayyan sejak tadi. Menurut artikel yang dibacanya sebelum ini, jika seseorang wanita itu datang bulan, mood menjadi tidak stabil. Ada kalanya cepat marah, terlebih bahagia, mudah menangis, suka makan, dan banyak lagilah.

"Dah, makan." Segera dia mengubah topik. Kalau Hana naik hantu, siapa nak kawal?

Hana akhirnya mengangkat muka lalu memakan mi gorengnya dengan senyap. Malu dek tebakan Rayyan masih terasa. Ini semua salah hormon yang membuatkan mood dia terlebih gembira.

"Oh ya. Macam mana kau boleh ada dekat dewan tu pagi tadi?" Rayyan memecahkan suasana sunyi.

"Sebenarnya, aku ke sana sebab nak jumpa informan. Dia tu rakan sekerja aku masa kat Nadi Kota. Wartawanlah senang katanya. Tapi, masa aku sampai tu, aku ternampak kau dan Cik Eve macam dalam kesusahan. Jadi, aku tolonglah," jawab Hana. Mi gorengnya disuap lagi ke dalam mulut.

"Oh..." Rayyan mengangguk faham.

"Jadi, malam ni? Kenapa kau nak jumpa aku?" tanyanya pula.

"Boleh tak kalau aku jawab lepas kita siap makan? Aku risau kalau kau tak lalu makan aje nanti. Dahlah kau tak makan apa-apa pun lagi sejak balik dari hospital," pinta Hana.

Dia tahu yang selepas balik dari hospital pukul 6.30 petang tadi, Rayyan terus ke balai polis untuk berjumpa DSP Haireen. Kata wanita itu, ada hal mustahak yang perlu dibincangkan olehnya dengan Rayyan.

Jadi, pelan asal berjumpa pada pukul 8 malam diawalkan pada jam 7 malam. Elok sahaja Rayyan sampai di sana, azan maghrib berkumandang. Setelah menunaikan solat maghrib, mereka berdua terus duduk semeja berbincang.

Perbincangan mereka berdua berlanjutan sehingga azan isyak kedengaran. Setelah pasti tiada apa-apa perkara berbangkit, barulah mereka bersurai. Rayyan datang ke warung ini pun hanya selepas menunaikan solat isyak di surau balai polis. Itu yang diberitahu oleh DSP Haireen kepadanya tadi.

"Okeylah okey." Rayyan mengalah. Cepat-cepat dia menghabiskan makanannya yang masih berbaki separuh di dalam pinggan.

Jam tangan dikerling sekilas sebelum pandangannya tumpah semula ke wajah Hana yang sedang memakan makanan. Senyuman kecil terbit di hujung bibirnya. Waktu macam sekarang pun gadis kesayangannya masih berada di luar untuk bertugas.

"Kau stake out malam ni?" tanya Rayyan.

"Tak. Tapi aku tak boleh balik lagi," jawab Hana seraya mengesat bibirnya dengan tisu.

"Kenapa?" soal Rayyan.

"Tunggu Fahmi dan Sarjan Lan," jawab Hana sepatah.

"Mana mereka?" tanya Rayyan lagi. Tak perlu tanya kenapa Hana perlu tunggu lelaki itu. Tak lain tak bukan, pasti untuk berbincang hal tugas.

"Kejap lagi sampai," beritahu Hana seraya bangun dari kerusi. Dia mahu membayar makanan mereka.

"Hana, biar aku yang bayar." Rayyan menahan Hana daripada menghulurkan duit kepada juruwang di kaunter.

"Eh, biar aku ajelah yang bayar. Aku yang ajak kau datang sini," bantah Hana.

"Dengar cakap suami, sayang." Pantas Rayyan terlebih dahulu menghulurkan not RM 50 kepada juruwang.

Dia kemudiannya berpaling kepada Hana yang terkejung di sebelah. Senyuman kemenangan diberikan kepada gadis itu. Wajah Hana kelihatan merah menahan malu. Apatah lagi, juruwang di depan tersenyum-senyum melihat drama mereka berdua.

"Jom, My Darling Cik Tunang," ajak Rayyan seraya berlalu keluar dari warung.

Mendengar itu, Hana segera mengejar langkah Rayyan. Apa ini, Rayyan? Bila masa mereka berkahwin? Amboi, belum nikah lagi dah nak control ke apa? Ah, tak sukalah macam ini!

"Aku tak control kau, my darling. Sebagai lelaki, tak gentleman untuk aku biar kau bayar. Itu bukan prinsip aku." Bagaikan memahami rentak hati Hana, Rayyan bersuara. Dia kemudiannya berhenti melangkah lalu berpaling ke belakang.

"Lagipun, apa sangat dengan makanan berharga tak sampai RM 20?" senyumnya pula.

Melihat itu, Hana menarik nafas panjang. Lantas, batang tubuh Rayyan didekati. Di depan Rayyan, dia menyilang tangan lalu membuat muka tak puas hati.

Dia tak suka mana-mana lelaki membelanjakan harta kepadanya selagi mana lelaki itu belum menjadi miliknya yang sah. Dia tak nak jadi pisau cukur! Dia bukan perempuan macam itu.

"Dah-dahlah buat muka. Kau tahu tak? Muka kucing dekat warung tu lagi cantik daripada kau bila kau buat muka macam tu," ujar Rayyan. Muka cemberut Hana digelaknya sepuas hati.

"Rayyan!" Hana melepaskan keluhan kasar. Geram, tahu tak?

"Chill," ujar Rayyan. Senyuman diberikan lagi kepada Hana.

Jangan dilayan marah si Hana. Garang gadis itu mampu membuatkan anak-anak buahnya berserta anak-anak buah gadis itu sendiri kecut perut. Dia? Nasib baik okey saja. Dia tahu macam mana nak pujuk Hana. Buktinya, sekarang.

Jiwa Hana nampaknya tak jadi nak marah lama-lama apabila dibandingkan dengan kucing. Padanya, dia perlu cantik. Dia mesti lagi cantik daripada mana-mana perempuan atau benda di mata Rayyan.

"Jadi, boleh kau bagi tahu aku sebab sebenar kau minta aku datang sini?" pintanya pula.

"Kejap." Hana mendapatkan keretanya lalu membuka pintu belakang penumpang. Sehelai sampul surat diambil lalu dihulurkan kepada Rayyan.

"Balik ni, bukalah. Aku ada kursus kat luar negeri esok dan lusa. Sebab tulah aku tak boleh tunggu esok untuk beri benda ni dekat kau," beritahu Hana.

Rayyan menyambut huluran sampul surat tersebut. Tapi, dia langsung tidak mendengar cakap Hana. Dengan selamba, dia membuka sampul itu lalu menarik isi di dalamnya. Segala aksara yang tercetak di atas helaian kertas tersebut dibaca sepintas lalu.

Namun, bacaannya terhenti pada perenggan akhir. Lambat-lambat, dia memandang wajah tunangnya dengan riak wajah meminta kepastian. Tapi, anggukan daripada Hana serta-merta membuatkan air mukanya berubah keruh.

"Boleh tak kau jadi partner aku, Rayyan? Please..." pinta Hana dengan wajah penuh berharap.


Previous: BAB 4
Next: BAB 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.