Ustaz Rahman telah memulakan pengajarannya di dalam Pendidikan Islam yang
wajib diambil oleh setiap pelajarnya. Kesemua pelajar tekun mendengar apa yang
disampaikan oleh Ustaz Rahman itu. Tidak ada seorang pun di antara mereka yang
mengelat dengan membuat kerja sendiri. Subjek pada hari itu cukup menarik minat
mereka iaitu tentang alam roh.
“Untuk pengetahuan semua, kehidupan sehubungan dengan roh bagaikan sinar
sehubungan dengan matahari. ALLAH swt telah menentukan satu kebiasaan di mana
cahaya dan cuaca terang akan terjadi selama matahari terbit. Manakala ALLAH swt
juga memberi kehidupan pada jasad selama roh masih ada,” terang Ustaz Rahman
lagi menyambung kepada perbincangannya sebelum ini.
“Ustaz, bolehkah kita mengetahui tentang roh dengan mendalam lagi.
Bagaimana kita hendak mempelajari tentang alam roh ini?” tanya salah seorang
pelajar yang turut berada di dalam kelas itu.
“Sebenarnya roh itu urusan ALLAH. Kita tidak boleh mempelajari tentang roh
dengan terlalu mendalam. Nabi Muhammad saw sendiri tidak terburu-buru untuk
menyingkap tabir rahsia hakikat roh bagi mereka yang bertanya. ALLAH swt
memerintah Nabi dan Rasul-Nya untuk menyampaikan kepada mereka, bahawa roh
adalah rahsia urusan ALLAH swt, di mana ilmu dan kekuasaan roh itu hanya khusus
bagi Zat-Nya. Sedangkan kita mengetahui tentang roh hanya sedikit sahaja.”
Ustaz Rahman menjelaskan lagi soalan yang ditanya kepada dirinya.
“Ustaz, ada kemungkinankah terdapat roh-roh yang tidak tenteram?” tanya
Zularman ingin tahu.
“Roh-roh yang tidak tenteram ini ada. Bukannya tidak ada. Kemungkinan
besar, roh-roh yang tidak tenteram ini diakibatkan oleh sesuatu. Contohnya,
mungkin suatu masa dulu sebelum dia meninggal dunia, dia ada berhutang tetapi
tidak sempat untuk dilangsaikannya. Maka dengan itu, roh ini akan hadir semula
ke bumi tetapi bukan niat untuk mengganggu cuma untuk memberitahu kepada
warisnya agar hutang itu dapat dilaksanakan,” jelas Ustaz Rahman.
“Kalau mereka yang mati kemalangan atau terlibat dalam pembunuhan, adakah
roh-roh ini juga tidak tenteram?” Zunika pula melayangkan soalan.
“Di dalam kes sebegini, roh-roh ini akan mengambil satu jangka masa untuk
kembali kerana dia belum bersedia untuk meninggalkan jasadnya. Bagi mangsa
pembunuhan, kemungkinan besar roh yang tidak tenteram ini akan kembali untuk
mencari pembunuhnya. Dia hanya akan tenteram jika pembunuhnya menerima
pembalasan yang setimpal. Mungkin juga bagi mangsa pembunuhan, dia tidak
disemadikan dengan sempurna membuatkan terbangkitnya roh itu sehinggalah dia
disemadikan dengan sempurna. Bagi yang terlibat di dalam kemalangan,
kemungkinan besar dia masih belum bersedia meninggalkan jasadnya dan ingin
kembali meneruskan kehidupannya yang sedia ada. Semuanya kemungkinan terjadi
dengan izin ALLAH. Kita tidak tahu apa yang telah direncanakan ALLAH terhadap
roh-roh yang tidak tenteram ini,” begitulah penjelasan Ustaz Rahman terhadap
pertanyaan yang telah dikemukakan.
“Mungkinkah roh-roh yang tidak tenteram ini kembali ke bumi semula
semata-mata untuk membalas dendam, andai kematiannya tidak direlai?” tanya
Nisrinah pula.
“Mungkin. Siapa tahu? Mungkin dia ada motif yang tersendiri untuk
memberitahu kita yang masih hidup. Mungkin ada sesuatu yang belum disempurnakan
dan harus disempurnakan oleh warisnya. Semuanya berkemungkinan besar kerana
kita tidak tahu kenapa mereka tidak tenteram di alam barzakh. Namun, mereka
yang mempunyai perjanjian dengan syaitan, roh mereka tidak akan tenteram selagi
perjanjian itu tidak terlerai. Jadi, jangan cuba bermain dengan api,” pesan
Ustaz Rahman sebagai tanda peringatan buat para pelajarnya.
“Jadi ustaz, jika kita sering diganggu oleh roh yang kita sendiri tidak
tahu asal-usulnya, berkemungkinan besarkah menandakan roh itu ingin kita
membantunya untuk menyelesaikan sesuatu yang mungkin belum selesai?” tanya Syed
Dahuri pula.
“Ya. Mungkin roh sesat itu ingin kita membantunya tetapi roh itu tidak tahu
bagaimana caranya sehingga ia memunculkan dirinya di hadapan kita. Semuanya
berkemungkinan dengan izin ALLAH swt kerana kita tidak akan tahu kenapa ALLAH
mewujudkan mereka di bumi. Tapi yang nyata, roh tidak akan mengganggu manusia
selain jin dan syaitan. Dua makhluk ALLAH inilah yang akan membuat kita percaya
akan wujudnya hantu atau yang seangkatan dengannya.” Ustaz Rahman tidak pernah
menghampakan para pelajarnya yang telah mengemukakan soalan. Walaupun seberat
mana soalan itu, akan dicuba untuk menyelesaikannya.
Sesudah segala pertanyaan mereka telah dijawab oleh Ustaz Rahman, kumpulan
Adam dan Hawa saling bertukar pandangan sesama sendiri. Mereka yakin mereka
sudah mendapat jawapannya walaupun masih di dalam keadaan yang samar.
“Kau orang rasa roh nenek tua ini berada di dalam kumpulan yang mana?”
tanya Husnarisyam secara rambang.
“Entah. Aku sendiri tak pasti. Tapi kalau ayat dia yang sering berulang,
‘cu, tolong nenek cu’, pastilah dia dari kalangan yang ingin kita
menyempurnakan hajat yang belum sempurna.” Nisrinah seolah-olah sudah mendapat
satu petunjuk.
“Tapi, apa hajat dia tu?” tanya Zularman pula.
“Itu yang kita perlu cari. Apakah hajat nenek tua itu sehingga rohnya
terbangkit semula.” Nisrinah berkata dengan tegas sebelum menghantarkan dirinya
ke alam pemikiran semula.
“Tapi ingat seperkara, jangan main sprit
of the coin. Aku tetap tak setuju. Mungkin ada cara lain yang kita boleh
bantu nenek tua ini.” Jhaznarul tetap tega dengan sesuatu yang tidak diredhai
oleh hatinya sendiri.
Tersungging senyuman teman-teman yang lain mendengar pada amaran yang
semakin tegas daripada Jhaznarul.