Keriuhan suara kaum
Adam setelah mereka membuat acara pecutan dari kubur bernyawa itu, telah
mengejutkan lena kaum Hawa yang sedang enak diulit mimpi yang indah. Merungut
kaum Hawa dengan gegaran suara kaum Adam.
“Apa yang mereka bising lagi tu? Tak reti-reti nak tidurkah?” Era Kasmiran
menarik nafasnya sambil merungut.
“Entah apalah yang mereka buat tengah-tengah malam ni.” Aziham juga terasa
geram apabila telinganya bingit disapa oleh suara-suara sumbang kaum Adam.
Husnarisyam yang tidak tahan mendengar suara carca marba kaum Adam telah keluar
dari khemahnya. Pecah sungguh mengantuknya di kala itu. “Hei, apa yang kau orang
bising-bising ni? Kau orang tahu tak dah pukul berapa sekarang? Tak reti-reti
nak tidur?” Husnarisyam menyinga dan biji matanya meluruskan ke arah Firdee
Aqasha, Syed Dahuri, Khirulnizan dan Zularman. Tiba-tiba sahaja Husnarisyam
melihat keempat-empat jejaka itu berpelukan sesama sendiri sambil menggeletar
tahap tidak boleh cakap. Husnarisyam mengerut dahinya tanda tidak faham.
Kenapa pula berpelukan sesama sendiri? Dah buang tabiat ke? Omel
Husnarisyam di dalam hati.
“Hei, kenapa kau orang ni berpelukkan sesama sendiri? Macam orang tak betul
aje? Dah buang tabiat ke?” sekali lagi suara singa Husnarisyam melantun keluar.
Keempat-empat mereka tidak mampu untuk mengeluarkan sebarang suara. Pelukan
sesama sendiri makin dieratkan. Hal itu sungguh luar biasa sekali dan tidak
pernah sekali pun disaksikan oleh Husnarisyam membuatkan gadis itu
menggaru-garu dagunya yang tidak gatal.
“Cer citer dengan aku, kau orang ni kenapa? Betul-betul dah buang tabiat
ya?” bebola mata Husnarisyam masih tepat melurus ke arah mereka berempat.
Husnarisyam dapat melihat dengan jelas sekali air liur yang begitu sukar cuba
ditelan oleh mereka berempat. Suara masing-masing masih terkurung di dalam petinya.
Hanya jari telunjuk mereka sahaja yang menunjukkan ke arah Husnarisyam.
Dia orang ni apa hal ya? Apa yang dia orang tunjukkan? Semakin pening
Husnarisyam hendak memahami bahasa isyarat tubuh yang ditunjukkan oleh mereka
berempat. Tiba-tiba sahaja bebola mata Husnarisyam melencong ke arah sebelahnya
dengan mengikut isyarat tangan keempat-empat jejaka itu. Husnarisyam memandang
dari atas sehinggalah ke bawah objek yang berada di sebelahnya tanpa rasa takut
mahupun gerun. Sedangkan kaum Adam sudah pun menggigil sakan. Ada di antara
mereka sudah mahu terkucil di situ juga.
“Siapa yang bawa nenek tua ni ke sini, hah?” lantang sungguh lontaran nada
suara Husnarisyam kepada kaum Adam. Hairan sungguh kaum Adam melinat pada
telatah Husnarisyam yang tidak sedikit pun mempamerkan riak takut pada
wajahnya. Siap boleh tanya dengan selamba sekali.
“Nenek ikut mereka cu .... Tolong nenek cu .... Nenek dari kubur sesat di sana. Mereka telah
menggerakkan nenek. Tolong nenek cu ....” mendayu-dayu suara nenek tua itu
menjawab pertanyaan Husnarisyam membuatkan gadis itu mematung tanpa suara.
Husnarisyam tidak mampu hendak membuat apa-apa walaupun untuk membuka langkah
seribu. Matanya semakin terpasak pada raut wajah nenek tua yang kelihatan
hangus.
“Apa dah jadi ni?” Jhaznarul tiba-tiba keluar dari khemahnya. Al-Quran
masih lagi kukuh di dalam genggamannya. Dia tidak berganjak sedikit pun dari
terus berdamping dengan buku suci ALLAH itu.
“Cu .... tolong nenek cu ....” nenek tua yang melihat Jhaznarul terus
meluru ke arahnya.
Jhaznarul sekali lagi terkedu kerana dia tidak menyangka teman-temannya
telah membawa nenek tua itu ke tapak perkhemahan mereka. “Hei, kau orang bawa
dia ke sini eh? Kau orang dah hilang akal ke?” kini rengkung Jhaznarul pula
amat payah hendak menelan sebarang liur.
“Kami mana tau dia nak ikut. Kami dah buat acara pecutan tadi.” Syed Dahuri
membela diri.
“Kau orang sengaja menempah nahas. Aku dah cakap, jangan pergi tapi kau
orang degil. Sekarang kau orang tengok, apa yang kau orang bawa pula. Isy.”
Jhaznarul menggeletar di hadapan khemahnya.
“Cu .... tolong nenek cu ....” nenek tua itu hendak memegang bahu Jhaznarul
tetapi nenek tua itu tidak dapat berbuat demikian apabila di tangan Jhaznarul
masih kukuh tergenggam al-Quran.
“Argh!” tubuh nenek tua itu terdampar jatuh tetapi dia tidak berputus asa
dan cuba bangun untuk menghampiri Jhaznarul lagi.
“Cu .... buangkan buku itu cu. Tolong nenek cu ... Nenek merayu, tolong
nenek cu ...” sekali lagi nenek tua itu terpelanting ke belakang. Manakala kaki
Jhaznarul pagaikan terpasung di situ tanpa mampu untuk bergerak.
“Apa yang kecoh-kecoh ni? Orang nak tidur pun tak senang. Kau orang ni tak
ada akal ke, dah tengah-tengah malam buat bising? Suara siapa yang bingit tu?”
Zunika yang terganggu tidurnya sudah tidak tahan lagi lalu keluar untuk
menyelesaikan sendiri kekecohan yang sedang tercetus.
Kaum Adam hanya membisu seribu bahasa. Tidak mampu untuk membaling atau
melontarkan sebarang suara. Kaki mereka bagaikan terpasung di tanah tanpa mampu
bergerak sedangkan tubuh badan mereka masih berpelukan sesama sendiri. Keadaan
kaum Adam pada waktu itu cukup menghairankan Zunika dan sesekali dia berasa
lucu melihat tayangan perdana yang jarang ditonjolkan.
Zunika ketawa geli hati sebelum melontarkan suaranya semula. “Kau orang ni
kenapa berpelukan macam ternampak hantu? Ke kau orang ni dwi?” Zunika terus
mempersenda mereka sehingga terbangkit rasa sakit hati di hati Khirulnizan.
“Cakap sopan-santun sikit. Kami bukan macam itulah.” Khirulnizan
mempertahankan dirinya dan rakan-rakan yang lain.
“Habis, yang berpelukan tu kenapa? Haa ... yang kau macam patung cendana
ni, apa hal pula Risyam?” Zunika semakin pelik melihat keadaan teman-temannya
yang berada di luar lingkungan bulatan biasa. Pertanyaan Zunika langsung tidak
dibalas oleh Husnariyam. Hanya mata gadis itu sahaja yang menyorot ke arah
hadapan seakan sedang melihat sesuatu.
“Kau tengok apa kat depan tu?” Zunika turut mengekori gerak mata
Husnarisyam dan tiba-tiba sahaja ...
“Cu ... tolong nenek cu ... Tolong nenek ....” suara nenek tua itu kembali
mendayu-dayu meminta pertolongan daripada Zunika pula.
Terbalalak mata Zunika pada waktu itu. Patutlah mereka berpelukan,
menggigil dan terpasung bagaikan patung cendana. Rupa-rupanya ada kejadian yang
berlaku. Zunika menelan liurnya. Dadanya dilambung amukan perasaan yang cukup
sukar untuk dimengertikan.
“Cu .... tolong nenek cu ...” sekali lagi kedengaran suara nenek tua itu
merayu dan cuba menghampiri Zunika.
“Hei, siapa yang bawa dia ke sini? Cepat siap! Tercegat apa lagi? Kau orang
nak mampus ke? Aku masih sayangkan nyawa aku.” Zunika tidak berlengah lagi lalu
dia masuk ke dalam khemah dan mencapai senaskah al-Quran (nasib baiklah
Jhaznarul selalu mengingatkan mereka agar membawa al-Quran ketika berkhemah
untuk keselamatan, katanya. Tidak disangka, naskah itu begitu berguna sekarang)
dan terus berkhemas setelah menggerakkan teman-temannya yang lain. Tidak
sanggup lagi untuk berlama-lama di situ.
Mereka berkemas apa yang patut dan bersedia untuk membuat acara pecutan ke
arah van yang telah disewa oleh mereka yang berada di bawah bukit. Nasib
baiklah mereka tidak berkhemah jauh dari tempat van ditinggalkan. Kalau tidak,
aniaya sahaja.
Husnarisyam masih menjadi patung cendana. Dia tidak mampu bergerak walau
seinci pun. Dia masih terkejut dengan keadaan itu. Jhaznarul yang melihat
keadaan Husnarisyam terus mencempung buah hatinya untuk dibawa ke van mereka.
Walaupun Jhaznarul tahu memegang seorang gadis yang bukan muhrim itu haram
tetapi di dalam keadaan darurat begini, rasanya tidak salah kot. Iyalah, takkan
hendak ditinggalkan pula Husnarisyam seorang diri di situ. Buatnya nenek tua
itu membawa gadis kesayangannya ke dalam kubur, takkah naya namanya tu?
Daripada dia berputih mata, lebih baik dia selamatkan dahulu habibinya.
“Cu ... jangan tingggalkan nenek cu. Tolong nenek cu ...” nenek tua itu
tetap meraung dengan suara yang cukup mendayu-dayu kepada mereka. Namun tidak
seorang pun daripada mereka yang mahu menunggu ataupun menolong nenek tua yang
cukup mengerikan itu. Lagi pantas acara pecutan yang mereka lakukan. Di saat
itu, sakit kaki pun tidak terasa lagi. Yang penting, nyawa mereka selamat.