Sedar tidak sedar, cuti semester pertama sudah pun berakhir pada minggu
itu. Kini para pelajar Kolej Imansyah telah kembali ke rumah sewa masing-masing
sebelum memulakan pengajian mereka semula pada hari Isnin.
Riuh sungguh suara anak-anak bujang yang menginap di rumah yang disewakan
kepada mereka. Ketika sesi mengemas bilik dan rumah juga, mulut masing-masing
bagaikan murai tercabut ekor. Bermacam-macam cerita yang dilagukan sehingga
bingit telinga jiran-jiran yang mendengar. Sebuah rumah mereka hanya menyewa
berlima sahaja. Malas hendak membuka tawaran menyewa beramai-ramai kerana takut
tiada keserasian. Lagipun, mereka sudah selesa ke mana sahaja berlima.
Apa yang uniknya tinggal menyewa di situ, buah hati masing-masing juga
menginap di kawasan perumahan yang sama. Merekalah yang mengajak kaum Hawa
untuk menemani mereka di kawasan perumahan itu. Rumah kaum Hawa pula hanya
selang beberapa buah rumah dari rumah mereka. Bagus betul perancangan yang
telah diaturkan oleh kaum Adam ini. Tidak mahu berenggang langsung dengan buah
hati masing-masing. Rindu sangatlah konon kalau berjauhan. Itu semua alasan
kaum Adam yang sentiasa ingin berdekatan di sisi kaum Hawa.
Sebagaimana kaum Adam, kaum Hawa juga hanya menyewa berlima sahaja. Mudah
hendak bergerak di dalam kumpulan tanpa ada suara-suara sumbang yang akan
menyengat halwa telinga mereka. Mereka bahagia dengan aturan perjalanan
kehidupan mereka pada saat ini. Siapa yang sanggup berjauhan dengan pakwe
sendiri beb. Kan?
“Alhamdulillah. Akhirnya selesai juga kita mengemas rumah, kan?” Syed
Dahuri menarik nafas lega melihat rumah sewa mereka kini teratur dan kelihatan
begitu sempurna sekali.
“Syukur. Lepas ni bolehlah berjimba-jimba pula. He he he,” Firdee Aqasha
menyengih nakal.
“Haa, adalah agenda dia tu,” sampuk Khirulnizan pula.
“Sudah pastilah. Dah penat-penat mengemas siang hari, malam hari mestilah
kita nak hiburan untuk melepaskan lelah. Takkan kau orang tak rindu kot. Kerat
jari akulah.” Firdee Aqasha masih melencong akal fikirannya.
Mereka hanya menyengih kerana Firdee Aqasha memang bijak membaca fikiran
teman-temannya itu. Pantas sahaja jari-jemari Firdee Aqasha menekan nama Era
Kasmiran setelah dia mengeluarkan telefon genggamnya dari kocek seluar. Dia
menanti seketika sebelum mendengar suara halus lemak merdu menjawab
panggilannya di talian sana.
“Assalamualaikum sayang. Buat apa tu?” begitulah nada romantis Firdee
Aqasha ketika menelefon Era Kasmiran. Memang dasar buaya tembaga. Tapi
senakal-nakal Firdee Aqasha, dia tidak pernah sekali pun menduakan Era
Kasmiran. Bagus juga lelaki ini, kan?
“Waalaikumussalam yang. Baru habis mengemaslah. Penat giler,” adu Era
Kasmiran.
“Alah, kita orang kat sini pun sama juga situasinya. Haa, apa kata malam ni
kita keluar makan nak?” kail Firdee Aqasha.
“Berdua ke?” sengaja mahu mengusik si buah hati. Awal-awal lagi Era
Kasmiran sudah tahu, tidak mungkin Firdee Aqasha akan keluar berdua dengannya.
Selalunya mereka sering berdating
secara berjemaah iaitu dengan empat pasangan lagi. Jadi jumlah keseluruhannya,
lima pasangan akan keluar bertemu janji sekaligus.
“Alah, macam tak biasa pula. Lima pasanganlah. Berdua saja mana syok. Tapi
kalau dah nikah, berdua barulah syok. Kalau ramai-ramai, nanti kacau angin
pula. Kan sayang?” cukup bermakna sekali nada ucapan Firdee Aqasha.
“Gatailah yang ni. Pukul berapa nak keluar malam nanti?” cepat-cepat Era
Kasmiran menukar topik perbualan. Bukan boleh dilayan sangat, karang otak warna
rasmi Digi pula akan muncul di minda Firdee Aqasha.
Firdee Aqasha ketawa sakan apabila Era Kasmiran menukar topik perbualan.
Senak pula perut sesudah dapat menyakat si buah hati. “Macam biasalah, lepas
Maghrib.”
“Okey. Nanti sayang bagi tahu mereka yang lain,” janji Era Kasmiran.
“Okey sayang. Jumpa nanti ya. I love
you.”
“I love you too, yang. Bye.”
Punat telefon genggam terus ditekan off.
Mencebik sahaja teman-teman yang mendengar perbualan manja lagi miang Firdee
Aqasha. Bermacam-macam ayat mereka mencemuh Firdee Aqasha tetapi jejaka yang
berjiwa enteng itu hanya mengeraskan tubuh serta menulikan telinga. Lantaklah,
buah hati dia, suka hati dialah hendak layan bagaimana pun. Kan?
Pada malam itu sebagaimana yang dijanjikan, lima pasangan telah keluar ke
gerai berhampiran rumah sewa mereka sebaik sahaja selepas solat Maghrib. Mereka
memilih meja yang terletak dihujung sekali agar senang untuk berbual-bual.
Lagipun, mereka tidak suka dijadikan perhatian para pengunjung yang lain.
Maklumlah, kesemua mereka kan agak kecoh sikit. Takut pula mendapat cemuhan
daripada pelanggan yang ingin menjamu selera.
Dari satu cerita ke satu cerita mereka bualkan sehinggalah tercetusnya
cerita roh nenek tua yang mereka temui semasa perkhemahan tempoh hari.
“Aku masih tak boleh lupalah wajah nenek tua masa perkhemahan kita tempoh
hari. Masih terasa seram di dada.” Zunika yang mula-mula menimbulkan topik ini.
“Kau orang memang dah tak ingat ke pada nenek tua tu?” sambung Zunika
apabila frasanya tidak mendapat sambutan.
“Kalau boleh, kami semua tak mahu ingat dah tentang apa yang berlaku. Kita
lupakan sajalah. Kita anggap perkara ni tak pernah berlaku. Aku tak mahu benda
ni mengganggu fikiran kita pula sampai boleh menjejas pelajaran kita.”
Khirulnizan berkata tegas.
“Maaf bi. Ney tak sengaja.” Zunika segera memohon maaf apabila dia melihat
roman wajah masing-masing sudah pun bertukar corak. (Baby panggilan Zunika buat
Khirulnizan. Manakala Honey pula panggilan Khirulnizan buat Zunika. Setelah
diringkaskan, jadilah ‘bi’ dan ‘ney’).
“Tak apa. Lupakan ajelah ya. Kau orang semua pun macam tu juga,” pinta
Khirulnizan dan teman-teman yang lain hanya mengangguk lesu.
Sementara itu, roman wajah Jhaznarul memang berubah langsung. Selera
makannya pula terbantut sesudah mendengar nama nenek tua itu dibangkitkan semula.
Bagaimanalah Jhaznarul tidak berubah, sepanjang cuti semesternya dia telah
diganggu oleh kehadiran roh nenek tua itu di dalam mimpinya setiap kali dia
tidur. Nenek tua itu muncul dalam rupa dan keadaan yang cukup mengerikan. Waktu
tidur Jhaznarul sememangnya berganjak kerana dia cukup sukar untuk tidur malam.
Dia jadi takut pada rasa mengantuknya setiap kali tiba waktu malam. Jhaznarul
telah menjadikan siang hari sebagai waktu tidurnya dan malam hari sebagai waktu
jaganya. Sudah seperti burung hantu pula jadual tidur Jhaznarul. Muka Jhaznarul
kelihatan sedikit cengkung dan agak pucat tidak bermaya. Selera makannya juga
telah putus.
“Habib, kenapa muka cengkung sangat? Habib tak cukup tidur ke?” Husnarisyam
yang menyedari perubahan diri Jhaznarul tidak dapat menahan diri untuk bertanya
dan sekali gus mengetahui posisi diri Jhaznarul yang sebenarnya.
“Haahlah. Aku baru perasan. Kau sakit ke Jhaz?” Aziham melontar ayat tanya.
“Tak adalah. Aku sihat-sihat aje.” Jhaznarul seolah-olah cuba
menyembunyikan keadaannya yang sebenar.
“Sihat apa kalau muka dah pucat macam ni teruk? Betul kau tak apa-apa ni?
Macam mengalami masalah kronik saja aku tengok,” balas Nisrinah mengena tepat
pada permasalahan yang sedang Jhaznarul alami.
“Betul aku tak ada apa-apa. Kau orang jangan risaulah. Aku cuma kurang
vitamin aje. Nanti okeylah muka aku,” sangkal Jhaznarul masih berusaha
menyembunyikan masalah yang dialaminya. Malu pula hendak diceritakan pada
teman-teman akan kehadiran nenek tua itu di dalam mimpinya.
“Habib, kalau betul-betul tak sihat, bagi tahu. Esok kita pergi jumpa
doktor,” risau Husnarisyam melihat keadaan Jhaznarul di kala itu.
Jhaznarul memaksa diri menetas senyuman di pinggir bibirnya sambil
mengangguk-anggukkan kepala untuk menenangkan hati Husnarisyam.
“Dia tak perlu jumpa doktor tapi dia kena jumpa psikitaris,” ketawa Firdee
Aqasha sesudah dapat mempersendakan Jhaznarul. Tiba-tiba sahaja wajah Firdee
Aqasha basah disimbah air kepala. Tersentak jejaka itu.
“Woi, siapa yang mandikan aku air kelapa?” bengang sungguh Firdee Aqasha di
kala itu.
“Nenek tua tu yang mandikan kau. Mulut tu jangan celopar sangat,” balas
Husnarisyam tanpa riak berdosa waima bersalah sekali pun.
Keadaan itu telah meletuskan ketawa di pinggir bibir masing-masing. Padanlah
dengan muka Firdee Aqasha, suka bergurau tidak kena tempat.