“Alhamdulillah. Sampai juga kita di rumah dengan selamat. Syukur.” Zunika
melafazkan rasa syukurnya pada Yang Maha Satu. Barulah rasa selamat tersemat di
dalam diri masing-masing.
“Eh, kau orang nak ke mana tu?” Era Kasmiran pantas mengajukan soalan
apabila dilihatnya kaum Adam sudah hendak masuk rumah.
“Nak baliklah. Berehat. Penat tadi masih melekat tau,” balas Firdee Aqasha.
“Oh, kau orang aje penat? Habis kami ni jalan dalam ais tadi? Ingat tak penat
ke? Jom ke taman dulu. Ada hal sikit nak bincang.” Era Kasmiran telah membuat
keputusan buat mereka semua. Antara mahu dengan tidak, terpaksalah mereka
membuntuti langkah Era Kasmiran menuju ke taman permainan yang berada
betul-betul di hadapan rumah sewa mereka. Rumah sewa mereka ini berbentuk
bulatan mengelilingi taman permainan yang terbentang luas di hadapan mata.
Unikkan?
“Apa yang sayang nak bincang sangat ni?” tanya Firdee Aqasha dengan rasa
malas sekali. Rasa mengantuk sudah pun menyapa tubir mata masing-masing dan
meminta mereka untuk terus melakukan aktiviti kuak lentang di atas katil
sendiri.
Mata teman-teman yang lain juga terus melorong ke arah Era Kasmiran. Era
Kasmiran menarik nafas panjang-panjang sebelum meluahkan sebarang kata. Hal ini
akan membabitkan hati dan perasaan orang yang tersayang juga. Era Kasmiran
memulakan lafaz bismillah di dalam hati serta menetas senyuman di pinggir
bibir.
“Kau orang perasan tak? Setiap kali ada Jhaz dan Firdee, pasti nenek tua tu
akan muncul di depan kita. Aku rasa kehadiran nenek tua tu ada kaitanlah dengan
mereka berdua ni,” setelah mengumpul kekuatan begitu lama, barulah Era Kasmiran
mempunyai keberanian untuk mengeluarkan fakta dan frasa.
“Aku memang dah lama perasan akan hal ni. Tapi aku malaslah nak cakap.
Takut ada orang terasa hati pula,” sampuk Nisrinah dengan pantas tanpa sempat
kaum Adam membuat pembelaan diri.
“Aku yakin, lepas ni pasti hidup kita akan diganggu oleh kehadiran nenek
tua tu. Ini semua Firdee punya pasallah. Kenapa dia bawa nenek tua pada kita.”
Zunika tidak melepaskan peluang untuk menuduh Firdee Aqasha yang punya angkara.
Berubah roman wajah Firdee Aqasha yang sedang meluruskan pandangan pada
wajah-wajah yang berada di hadapannya. Sakit hati betul tatkala dituduh begitu.
“Apahal pula aku yang kena tuduh ni? Jangan salahkan aku sorang, salahkan
Jhaz juga sebab dia yang bertanggungjawab membangkitkan roh nenek tua tu. Kalau
tak dia yang merayau-rayau, pasti dia takkan terjumpa kubur sesat yang bernyawa
dan pastilah juga dia takkan membangkitkan roh nenek tua yang telah lama
bersemadi di dalamnya.” Amboi Firdee Aqasha, jika sudah mendapat peluang, pasti
tidak akan disia-siakannya dalam melencong setiap patah perkataan yang
merupakan tuduhan buat Jhaznarul.
Kali ini pandangan Jhaznarul pula menajam ke wajah Firdee Aqasha. Amboi,
sedapnya mulut dia mengata aku. Walhal, kebangkitan roh nenek tua tu dia yang
mula dulu.
“Sopannya mulut kau tuduh aku. Aku mengaku aku yang mula-mula terjumpa
kubur sesat bernyawa tu tapi kau kena ingat Firdee, aku tak membawa dia pulang
ke khemah kita. Aku tak seru dia untuk minta nombor ekor. Siapa yang seru dia
sampai dia ikut kita pulang kalau bukan kau? Pandai-pandai kau nak letakkan
semua kesalahan pada aku ya. Ingat tu,” giliran Jhaznarul pula melilit Firdee
Aqasha dengan kesalahan yang telah dilakukannya.
Terdiam Firdee Aqasha ketika menerima serangan balas daripada Jhaznarul. Di
dalam hati, dia cukup menyesal melaksanakan niat serongnya. Kini bahana bukan
dia seorang sahaja yang dapat tetapi semua teman-temannya turut merasai sama.
“Kalau Firdee semua dah maklumlah. Benda aneh apa yang dia tak pernah buat?
Otak dia sentiasa serong. Niat tak betul lagi, macam manalah tak bangkitkan roh
nenek tua tu.” Zunika menajam bebola matanya ke arah bebola mata Firdee Aqasha.
Sakit betul hatinya kerana terpaksa menempuhi pengalaman seumpama itu. Kalau
pengalaman menarik tidak apalah juga, ini pengalaman seram, siapa yang mahu
mengalaminya, kan?
“Jangan salahkan aku sorang saja tau. Dahuri, Nizan dan Zular pun sertai
aku juga sebab nak cepat kaya.” Firdee Aqasha masih membela dirinya.
“Eh, tolong sikit. Aku ikut kau orang sebab kau orang yang cabar aku. Untuk
membuktikan yang aku bukan penakut, aku terpaksa bersetuju, walhal aku tak
mahupun pada mulanya. Kan Jhaz?” Awal-awal lagi Zularman sudah membuat penafian
sebagai benteng pembelaan diri. Jhaznarul menganggukkan kepalanya tanda
mengiakan perbicaraan yang keluar dari pinggir bibir Zularman.
Bangga pula Aziham yang mendengar pengakuan Zularman. Dia sudah dapat
mengagak, Zularman tidak mungkin akan mengikut mereka tanpa sebab. “Aku dah
dapat agak pun yang Zular ikut kau orang pasti bersebab. Kalau tak, dia lebih
suka ikut Jhaz. Kau memang tak gunalah Firdee membabitkan Zular sekali.” Riak
tidak puas hati masih kukuh melekat pada wajah Aziham.
“Darl aku dan ‘bi’ kau, aku tahu mereka memang suka sesuatu yang baru
sebagaimana Firdee. Ingat begitu mudah nak kaya dengan mengambil jalan pintas?
Mudah mendapat bencana adalah.” Nisrinah menyeranah mereka bertiga.
“Lain kali, cuba cari kubur sesat di kawasan lain pula. Mana tau boleh jadi
jutawan terus. Lepas tu, kau orang kena bela pula benda alah tu. Daripada tubuh
badan sihat, jadi satu kerja pula kena bela pendamping malam,” selamba sahaja
lorongan kata Zunika menuju tepat ke wajah Firdee Aqasha, Syed Dahuri dan
Khirulnizan. Roman wajah Zunika ketika itu bagaikan antara hendak ketawa dan
tidak telah membangkitkan rasa geram di dalam hati ketiga-tiga jejaka itu.
“Kalau kami jadi jutawan, kau orang juga yang senang. Nak apa pun mudah
kami berikan.” Khirulnizan tidak mahu mengalah dengan mudah.
“Haah, lepas tu anak bini yang jadi mangsa pendamping-pendamping kau orang.
Entah-entah anak yang bini kau orang kandungkan adalah anak pendamping kau
orang, nak macam tu?” Tegak sahaja biji mata Zunika melurus dengan tajam
menusuk ke mata Khirulnizan. Terdiam jejaka itu.
“Kenapa diam? Dah hilang kata-kata?” sindir Aziham.
“Sudah ... sudah. Memang kami mengaku kami salah dalam hal ni. Tapi kau
orang janganlah terlalu menekan kami. Kami dah pun tertekan selama ni terutama
sekali aku. Firdee yang seru, aku yang parah diganggu.” Jhaznarul terus
mengangkat punggungnya untuk pulang ke rumah. Malas lagi dia hendak menadah
telinga mendengar bebelan pada kaum Hawa.
“Kau nak ke mana tu?” tanya Zularman pantas.
“Nak balik. Aku mengantuk.” Jhaznarul terus laju menghayunkan langkah.
“Habib.” Panggil Husnarisyam pada kekasih hatinya. Langkah Jhaznarul
terhenti dan kepalanya dilencongkan memandang pada Husnarisyam.
“Janganlah ambik hati pada kata-kata mereka tu. Kita semua tertekan
sekarang. Insya-ALLAH, habibi akan cakap pada mereka agar tidak menyalahkan
sesama sendiri. Ya?” pujuk Husnarisyam.
“Terima kasih habibi. Hanya habibi yang faham habib. Habib mengantuk ni.
Habib masuk dulu ya. Habibi pun kena rehat juga tau. Jangan terlalu fikir
sangat.” Jhaznarul melayangkan senyuman manisnya hanya untuk Husnarisyam.
Husnarisyam membalas senyuman itu.
Tiba di hadapan pintu pagar rumah sewa kaum Adam, Husnarisyam tidak masuk,
hanya menghantar langkah kaki Jhaznarul sehingga ke dalam rumah sebelum dia
kembali menyertai teman-temannya yang lain.
“Assalamualaikum,” begitulah Jhaznarul yang sudah terbiasa gerak lidahnya
akan memberi salam terlebih dahulu sebelum masuk ke dalam rumah walaupun rumah
itu tiada berpenghuni. Amalan yang diamalkan sejak dari kecil lagi. Memang
sudah sebati dengan diri.
“Salam cu. Nenek datang. Tolong nenek cu.”
Tiba-tiba kaki Jhaznarul terpasung apabila dia melihat roh nenek tua yang
mengekori mereka tadi kini berada di ruang tamu rumah sewanya. Molek sahaja
duduk di atas sofa ihsan daripada pemilik rumah sewa itu sambil tersengih
memandang dirinya. Gulp! Air liur Jhaznarul terasa kering untuk ditelan.
“Cu .... tolong nenek cu ...” tangan nenek tua itu memanjang memaut tubuh
Jhaznarul membuatkan jejaka itu tersentak lalu terlolong keluar semula dari
rumah sewa mereka.
Kesemua rakan-rakan Jhaznarul seakan-akan terkena renjatan elektrik sebaik
sahaja kepala masing-masing melencong ke arah wajah Jhaznarul yang kelihatan
pucat lesi dengan terpekik terlolong begitu.
“Kenapa dengan Jhaz tu?” Nisrinah yang terlebih dahulu bertanya.
“Manalah aku tahu,” balas Firdee Aqasha pula.
“Macam terkena sampuk aje?” Era Kasmiran pula diserang kehairanan dan
ditambah sedikit rencah ketakutan.
“Nampak macam itulah. Tapi ...” Aziham mendiamkan diri. Dibiarkan sahaja
ayat tergantung sebegitu.
“Tapi apa?” tanya Zularman dan teman-teman yang lain secara serentak.
Takkanlah nenek tu ... Aziham tidak sanggup untuk melafazkannya walaupun
hanya bergema di dalam hati.
“Tapi apa Azi?” tekan Dahuri.
“Tak ada apa-apalah.” Aziham tidak mahu meneruskan perbualan mereka.
“Aku risaulah tengok habib tu. Wajah dia dah cengkung sekarang macam
takutkan sesuatu,” emosi Husnarisyam diserang dengan rasa simpati yang
menggebu.
“Kau ni kenapa Jhaz? Terpekik terlolong macam orang kena rasuk.” Era
Kasmiran terlebih dahulu bertanya ketika Jhaznarul menghampiri mereka semua.
Tidak sampai lima minit sahaja Jhaznarul pulang dan kini sudah keluar semula
dari rumah sewa itu.
Muka Jhaznarul kelihatan terlalu pucat sekali. Aturan pernafasannya sudah
berteraburan. Jhaznarul cuba menenangkan dirinya sebelum mengeluarkan sebarang
bicara.
“Aku nampak nenek tua tu di ruang tamu kita. Dia pegang tubuh aku dengan
tangannya yang memanjang. Aku terus larilah. Siapa yang nak tunggu lagi,” muka
mereka semua berubah pucat dengan frasa yang baru dikeluarkan oleh Jhaznarul.
“Kau biar betul nenek tua tu ada di rumah kita? Kau jangan main-main Jhaz.”
Syed Dahuri tidak senang mendengar apa yang Jhaznarul beritahu mereka.
“Kau gila perkara ni aku nak main-main. Kalau kau orang tak percaya, jom
ikut aku masuk dalam.” Jhaznarul meminta mereka semua untuk mengikutnya.
Sama ada kaum Adam mahupun kaum Hawa, tiada siapa yang menangguhkan gerak
langkah lagi, lalu mereka mengekori Jhaznarul ke rumah sewa kaum Adam itu.
Apabila sampai di muka pintu pagar rumah sewa kaum Adam, pantas sahaja Syed
Dahuri menahan kaum Hawa dari terus masuk ke dalam rumah.
“Kau orang nak ke mana?” tanya Syed Dahuri sambil mengangkat keningnya
sebelah.
“Kami nak masuk ke dalamlah. Tengok ada ke tak nenek tua tu. Salah ke?” Era
Kasmiran tidak berpuas hati apabila langkah mereka dihalang.
“Memang salah sebab kau orang nak masuk ke kawasan larangan kaum Adam. Kena
tangkap nanti, tak pasal-pasal kahwin free.
Habis impian nak pakai baju pengantin masa bernikah kelak,” tanpa secalit pun
rasa bersalah Syed Dahuri mengeluarkan frasa.
Mencebik kaum Hawa yang mendengar. Alah, bukan nak masuk ke dalam pun.
Setakat menjenguk apalah sangat. Berkira betul Dahuri ni. Itulah gamaknya yang
bermain di minda kaum Hawa.
“Sekarang baik kau orang balik. Nanti kalau ada perkembangan, kami akan
beritahu.” Syed Dahuri memujuk dengan nada yang cukup lembut.
Kaum Hawa terpaksa akur dengan kehendak Syed Dahuri. Lalu mereka mengatur
langkah untuk pulang ke rumah sewa mereka.