Kumpulan pelajar
Imansyah terus mendapat van yang disewa dan memboloskan diri masing-masing
masuk ke dalamnya. Firdee Aqasha selaku pemandu van terus memecut sehingga van
itu sampai ke bawah. Dia tidak memandang langsung pada cermin belakang untuk
melihat adakah nenek tua itu mengikut mereka ataupun tidak. Resah dadanya masih
dilambung ombak tsunami. Aturan pernafasannya masih belum kembali normal.
“Kita nak balik terus ke?” tanya Zunika.
“Entah. Aku pun tak pasti. Dah tengah malam ni. Aku takutlah nak drive. Risyam macam mana? Dah sedar?”
Firdee Aqasha memberitahu dan sekaligus bertanyakan perihal keadaan
Husnarisyam.
Jhaznarul mengerling ke arah Husnarisyam yang masih mengakukan dirinya.
Tiada tanda-tanda dia akan bergerak. Terkejut sangat gamaknya sehingga jatuh
trauma begitu.
“Belum. Keadaan dia masih kaku macam tadi. Sekali tengok persis patung
cendana versi moden.” Era Kasmiran memberitahu sambil tergelak melalui hidung.
Tidak tahan dia melihat Husnarisyam sebegitu. Hisy, tak baik sungguhkan
ketawakan teman yang di dalam kesusahan.
“Kau jangan nak buat lawaklah Miran. Aku tengah risau ni tengok keadaan
Risyam macam tu.” Jhaznarul tidak senang melihat pada sikap Era Kasmiran yang
seolah-olah tidak ambil berat akan apa yang terjadi pada Husnarisyam.
“Maaf. Maaf. Aku tak sengaja. Yang, kat depan tu bukan motel ke? Kita
singgah di situ sajalah malam ni. Esok pagi baru kita berangkat pulang.” Era
Kasmiran memohon maaf pada Jhaznarul dan pada lewat itu juga skrin matanya
dihamparkan dengan bangunan yang bercahaya. Dia yakin di situ memang terdapat
motel.
Kini kesemua mata yang berada di dalam van itu melurus ke arah di mana
terdapatnya bangunan kecil yang ditunjukkan oleh Era Kasmiran. Ya. Terdapat
tulisan ‘Motel Mamu Arries’ di situ. Alhamdulillah, malam ini mereka sudah ada
tempat untuk berteduh. Lebih baik tidur di motel daripada tidur di tengah hutan
yang diganggu.
“Okey, malam ni kita berehat di Motel Mamu Arries saja. Mudah-mudahan masih
ada lagi bilik kosong buat kita. Aku pun tak larat nak drive ni. Masih tegang dengan kejadian tadi.” Firdee Aqasha membuat
keputusan bagi pihak teman-temannya.
“Lain kali buat lagi benda yang tak senonoh. Seronok kena kacau?” sindir
Nisrinah berperisa cili padi.
“Aku buat apa?” Firdee Aqasha pura-pura tidak tahu.
“Tepuk dada tanyalah diri kau sendiri apa yang telah kau buat. Jom masuk,
aku dah penat ni.” Nisrinah malas mahu membuka gelanggang persilatan kata
dengan Firdee Aqasha. Badan yang penat harus direhatkan barang seketika.
Kesemua mereka masuk ke dalam Motel Mamu Arries dan terus ke meja
pendaftaran. Ada seorang lelaki berusia dalam lingkungan 40an sedang berdiri di
situ sambil tersenyum. Mereka terasa senang dengan sambutan mesra yang
diberikan oleh penyambut tetamu di situ.
“Kami nak dua bilik pak cik. Masih ada bilik kosong?” Syed Dahuri
mendahului yang lain dalam urusan pendaftaran.
“Bilik kosong masih ada. Nak tempah berapa malam?” tanya pak cik penyambut
tetamu itu.
“Untuk malam ni saja pak cik. Esok pagi kami dah nak balik.” Syed Dahuri
menjawab lagi.
“Oh. Panggil saja pak cik ni Mamu Arries. Daripada mana ni?” tanya
penyambut tetamu itu yang ingin dipanggil Mamu Arries.
“Kami berkhemah di dalam hutan sana. Tapi kami semua berasa tak sedap hati,
sebab itulah kami turun dari sana ke sini,” jujurnya Syed Dahuri menceritakan
perihal mereka.
Mamu Arries menggangguk sambil mencatat sesuatu sebelum menyerahkan dua
kunci bilik kepada mereka. “Ini kuncinya. Eh, budak perempuan tu pasai apa?
Nampak macam terkejut saja? Dia tersampuk ka atau ternampak sesuatu?” terserlah
kepekatan dialek utara Mamu Arries. Tersengih mereka dalam diam.
“Sebenarnya Mamu Arries, kami ternampak sesuatu. Kawan saya ni tak pernah
tengok benda tu, terus jadi kaku macam ni,” terang Aziham pula.
“Dah jadi patung cendana moden pun.” Era Kasmiran masih tidak lupus kata
gurauannya.
“Miran!” marah Zunika dan Nisrinah serentak. Manakala Jhaznarul dan yang
lain hanya menjeling geram pada Era Kasmiran yang cuba menyembunyikan tawanya
tetapi terlepas juga melalui hidung walaupun mulut tertutup.
Sekali lagi Mamu Arries mengangguk kepalanya. Pasti depa telah mengganggu
sesuatu ketika di sana. Kalau tak, aku tak yakin budak perempuan ni akan
tersampuk sampai macam ni sekali. Hati Mamu Arries kuat menyatakan pendapatnya.
Jarang sekali perkara seumpama ini terjadi kerana sudah berpuluh pelajar yang
membuat perkhemahan di sana, tidak ada satu kumpulan pun yang mengalami keadaan
seperti ini.
“Tak pa. Biaq Mamu Arries ubat dia. Kita serah pada ALLAH. Mudah-mudahan
kawan hangpa ni akan pulih seperti sedia kala.” Mamu Arries terlebih dahulu
mengambil wuduk sebelum menjalan sesi perubatan pada Husnarisyam. Kemudian, dia
mengambil semangkuk dan sebaldi air serta tujuh biji limau purut sambil membaca
sesuatu ke dalam mangkuk dan baldi air itu. Selesai sesi membaca ayat-ayat suci
al-Quran, Mamu Arries memerahkan pula limau purut ke dalam baldi air itu. Baldi
diserahkan pada kaum Hawa untuk memandikan Husnarisyam. Selepas gadis itu
sedar, Mamu Arries meminta mereka untuk meminumkan Husnarisyam dengan air
penawar yang dibacanya.
Kesemua arahan Mamu Arries dituruti dan alhamdulillah berkat keyakinan pada
ALLAH yang Maha Satu, akhirnya Husnarisyam dapat dipulihkan semangatnya dari
terus menjadi patung cendana. Roman wajah Husnarisyam masih pucat tidak
bermaya. Badan Husnarisyam agak lembik sedikit. Namun, syukur segala-galanya
telah kembali pulih sebagaimana biasa.
“Alhamdulillah. ALLAH telah membantu kita dengan menyelamat gadis yang tak
berdosa ni. Baiklah, hangpa semua pi tidoq. Berehat. Dah tentu hangpa semua
letihkan? Mudah-mudahan malam ni baik-baik saja.” Mamu Arries mengarahkan
mereka ke bilik masing-masing. Mereka tidak membantah kerana sememangnya mereka
amat letih yang teramat sangat di kala ini.
Motel Mamu Arries ini merupakan motel setingkat sahaja. Tidak ada
bertingkat-tingkat. Jadi kesemua bilik bertapak di atas tanah. Permandangan
fauna yang menjadi santapan mata mereka membuatkan mereka kecut perut.
Ketakutan masih bersisa. Ketika berada di dalam bilik, mereka tidak tidur
berasingan. Malahan mereka berdekatan sambil memeluk sesama sendiri. Cukup
takut untuk berenggang walaupun dalam jarak yang paling dekat. Mata mereka pula
meliar ke sana sini. Seolah-olah sedang mengawasi sesuatu. Dalam berjaga-jaga,
tidak semena-mena ...
“Argh!” Nisrinah menjerit sakan. Jeritannya bergema terlalu kuat sehingga
mengejutkan teman-temannya yang sedia takut.
“Kau kenapa ni Nisrin?” Aziham menelan liurnya sambil menajam pandangannya
ke arah Nisirinah yang masih belum mahu berhenti dari membuat acara jeritan
sekampung.
“Tangan siapa yang pegang pinggang aku?” suara Nisrinah seakan-akan hendak
menangis. Antara keluar dengan tidak.
Kesemua mata terus melorot ke arah sebelah tangan pucat hangus terbakar
yang kukuh di pinggang Nisirinah. Terkedu mereka seketika tanpa sebarang
lantunan suara. Seketika kemudian, mata mereka menyorot pula ke arah lubang
tingkap yang sedikit renggang dan di sana kelihatanlah nenek tua yang mukanya
rentung sedang memandang tajam ke arah mereka sambil menayangkan giginya yang
tajam meruncing. Nenek tua itu menyeringai seketika.
“Cu .... tolong nenek cu ....” Sebaik sahaja mendengar suara yang
mendayu-dayu itu berkumandang di corong telinga mereka, terus suara jeritan
yang maha kuat lagi maha menggegarkan terlantun dari rongga tekak
masing-masing. Mereka tidak membuang masa lagi lalu terus berlari berteraburan
keluar dari bilik motel itu.
“Cu ... jangan pergi. Tolong nenek cu ...” sekali lagi suara nenek tua itu
merayu-rayu pada mereka membuatkan jeritan mereka bertambah kuat.
Sebaik sahaja mereka tiba di ruang legar hotel itu, badan masing-masing
terkaku apabila melihat kumpulan kaum Adam juga sudah keluar dari bilik mereka.
Keseluruhan badan kaum Adam menggigil dan menggeletar. Kaum Hawa pasti, mereka
juga telah diganggu oleh nenek yang sama.
“Kenapa kau orang keluar kat sini?” tanya Nisrinah pada kaum Adam.
“Aku rasa nenek tu ikut kitalah. Habis badan aku dan Firdee ditarik-tarik.
Lagi mau tunggu? Kami cabut keluarlah dari bilik. Aku rasa kita tak selamatlah
di sini.” Syed Dahuri menyatakan apa yang telah berlaku pada diri mereka
sebentar tadi.
“Kami pun mengalami benda yang sama. Nenek tu dah mula menyentuh. Aku
takut. Aku tak nak tinggal kat sini lagi. Jomlah balik.” Aziham bersependapat
dengan kaum Adam.
“Kalau begitu, kita beredar sekarang. Apa kata kau orang?” Zularman tidak
mahu menunggu lagi. Mereka harus keluar dari kawasan itu sekarang juga. Tidak
sanggup lagi dipersendakan oleh nenek tua yang rentung itu lagi.
“Hai. Hangpa semua tak tidoq lagi ka? Buat apa kat sini? Tak rasa penat?”
teguran suara Mamu Arries membuatkan mereka melontarkan jeritan sekali lagi
sebelum mengurut-urutkan dada masing-masing.
“Mamu Arries buat kami terperanjat aje. Astagfirullahalazim.” Jhaznarul
mengurut dadanya.
“Muka hangpa pucat semacam ni pasai apa? Apa yang dah jadi kat hangpa
sebenaqnya? Cuba cerita kat mamu.” Mamu Arries yakin mereka telah mengganggu
sesuatu di dalam hutan sana sehingga semangat jahat itu datang menganggu mereka
sesuka hatinya.
“Masa kami berkhemah di dalam hutan tu, tak semena-mena kami terjumpa kubur
sesat.” Jhaznarul mula membuka cerita.
“Kubur sesat?” Mamu Arries mengerut dahinya.
“Ya, mamu. Kubur sesat tu bernyawa. Lepas keluar asap berkepul-kepul,
muncul roh nenek tua yang terbakar. Kami tak sengaja mengganggu dia.” Syed
Dahuri pula menyambung cerita daripada Jhaznarul.
“Bernyawa?” sekali lagi dahi Mamu Arries berkedut seribu.
“Kami dah tak tahan lagi, mamu. Kami rasa kami kena pergi malam ni juga
dari sini. Terima kasihlah mamu kerana layan dan terima kami seadanya. Ada umur
kita jumpa lagi.” Khirulnizan meminta diri.
“Duit hangpa ni macam mana? Nanti mamu pulangkan balik.” Mamu Arries baru
hendak membuka lacinya untuk mengambil duit sewa motel yang telah dibayar
tetapi dihalang oleh Jhaznarul.
“Tak payahlah mamu. Kami halalkan saja. Jom.” Jhaznarul pantas mengajak
teman-temannya mengambil beg masing-masing sebelum beredar dari Motel Mamu
Arries.
Sejurus selepas mereka pergi, Mamu Arries menggeleng-gelengkan kepalanya
dan terasa pelik dengan sikap mereka semua.
“Mana ada kubur sesat atau kubur bernyawa di hutan sana? Tak pernah aku
dengaq pun sesiapa yang jumpa kubur tu? Aku yakin, depa ni telah membangkitkan
sesuatu yang sudah lama lena. Orang lain tak pernah dikacau pun. Alih-alih depa
saja yang dikacau. Hangpa tak rasa pelik ka?” Mamu Arries menutup kembali lampu
motelnya sebelum masuk ke bilik istirehatnya.