Home Novel Seram/Misteri KUBUR BERNYAWA
BAB 2: Jhaznarul memberitahu rakan-rakan yang lain akan wujudnya Kubur Bernyawa

Jhaznarul tercungap-cungap ketika sampai di tapak perkhemakan mereka. Wajahnya masih pucat tidak berdarah. Gerak larian Jhaznarul telah mengejutkan seisi khemah. Bukan kaum Adam sahaja yang terkejut melihat tingkah Jhaznarul tetapi kaum Hawa juga turut menyumbangkan rasa terkejut mereka (kesemua kaum Hawa terjaga apabila mereka terasa tapak perkhemahan mereka bergegar dengan sesi larian yang dilakukan oleh Jhaznarul. Sebab itulah mereka menapak keluar dari khemah masing-masing.)

Biji mata masing-masing meluruskan ke arah Jhaznarul yang kelihatan tercungap-cungap melepaskan lelah setelah pecutan lariannya berakhir. Jhaznarul memegang kepala lututnya sambil berusaha untuk mengatur aturan pernafasannya yang semakin bercanggah. Dia menarik nafasnya berkali-kali sebelum menghembuskannya keluar. Mata rakan-rakannya masih tidak lepas menatap gelagat Jhaznarul yang mengundang kehairanan di denai sanubari masing-masing.

“Eh Risyam, kenapa dengan habib kau tu? Dia baru lepas dikejar hantu ke?” cukup nakal sekali Era Kasmiran bersuara.

 

“Hisy mulut. Cuba jangan celopar sangat. Kita kat dalam hutan ni,” marah Husnarisyam yang terasa dipersendakan oleh Era Kasmiran.

“Pergilah tanya habib kau kenapa dia buat acara pecutan beratus-ratus meter tu? Apa yang dia nampak?” gesa Nisrinah pula.

 

“Aku tak sedap hatilah. Kau orang tengok muka Jhaz, pucat semacam.” Zunika pula melahirkan rasa mencengkam di lubuk sanubarinya.

“Kau tercegat apa lagi? Pergilah tanya. Ambik berat sikit tentang diri dia.” Aziham menolak Husnarisyam ke arah Jhaznarul.

 

“Habib, kenapa pucat semacam ni? Habib nampak apa?” akhirnya Husnarisyam terpaksa mengalah dengan kehendak rakan-rakannya untuk bertanyakan Jhaznarul apa yang telah terjadi pada jejaka itu.

 

“Haahlah Jhaz. Kau ni kenapa ya? Dahlah buat acara pecutan, muka tu pula pucat macam mayat.” Syed Dahuri tidak dapat menahan rasa yang mencengkam di dalam hati lalu diluahkan dengan kadar segera. Boleh membusut nanah di kotak mindanya jika diasak membuat spekulasi yang bukan-bukan

.

“Hisy, mayat-mayat jangan sebutlah dalam hutan ni. Kau ni Dahuri, mulut macam tong gas yang bocor. Suka hati dia saja nak cakap apa pun. Tak berlapik pula tu.” Zularman menjegilkan matanya buat Syed Dahuri yang bermulut lancang ketika itu.

 

Syed Dahuri mengangat jari telunjuk dan jari hantunya menandakan ‘peace’ buat Zularman. “Maaf. Aku tak sengaja.” Syed Dahuri segera memohon maaf.

 

“Tak sengaja konon. Dah memang dasar mulut hampeh tu memang tak boleh nak cover.” Khirulnizan pula menokok usikan agar menjadi lebih menarik lagi untuk mengenakan Syed Dahuri.

 

“Eh, sudahlah. Kalau kau orang asyik bertengkar, macam mana kita nak tahu masalah Jhaz.” Zunika tidak tahan lagi dengan sikap kaum Adam itu lalu terus mematikan usikan yang semakin berlanjutan.

 

“Jhaz, ada apa-apa yang kau nak beritahu kami?” tanya Aziham memfokuskan semula pandangannya ke arah Jhaznarul.

 

Jhaznarul menarik nafasnya dalam-dalam dan panjang-panjang sebelum menghela keluar semula. Beberapa kali juga Jhaznarul berkelakuan begitu sehingga kehairanan di hati teman-temannya membusung dengan agak parah. Entah apalah yang telah Jhaznarul lalui sebentar tadi.

 

“Habib, kenapa diam aje ni? Cakaplah pada kami, apa yang habib nampak atau apa yang terjadi pada habib?” Husnarisyam semakin menggesa Jhaznarul selagi pertanyaannya tidak berjawab.

 

“Tak ... tak ada apa-apa. Kau orang masuk tidur dululah.” Jhaznarul cuba mengelak dari terus disoal bertalu-talu begitu. Ukiran senyuman juga cuba dilakarkan walaupun kelihatan seolah-olah seperti terpaksa. Sebentar kemudian, kelihatan Jhaznarul mengambil wuduk dengan air kosong yang masih bersisa di dalam teko. Kemudian, dia masuk ke dalam khemah sambil melagukan ayat-ayat suci al-Quran tanpa menghiraukan rakan-rakannya yang masih tercengang dengan perubahan sikapnya sebentar tadi.

 

“Peliklah sikap Jhaz, kau orang tak rasa begitu ke?” Era Kasmiran cuba mencernakan fikiran teman-temannya yang lain dengan apa yang terhidang di mata mereka.

 

“Aku rasa, pasti ada sesuatu yang dah berlaku pada Jhaz. Kalau tak, dia tak mungkin ketakutan macam tu. Tak nampak riak mukanya dia, pucat betul.” Nisrinah bersetuju dengan pendapat teman-temannya yang lain.

 

“Hah, yang kau diam macam patung cendana apasal? Dah hilang kata-kata? Tak nak sumbang suara macam selalu?” kali ini balingan kata-kata oleh Syed Dahuri dilontarkan buat Firdee Aqasha.

“Yang, cuba awak pergi tanya Jhaz, apa yang dia dah alami? Dia datang dari mana tadi?” Era Kasmiran menggesa Firdee Aqasha untuk mengorek rahsia daripada Jhaznarul.

 

“Aku malaslah nak ambil tahu hal dia. Takkan kau orang tak tahu, dia mana suka kongsi cerita. Dah .... dah .... jangan nak menyibuk, pergi tidur. Esok nak bangun awal.” Firdee Aqasha seakan-akan menghalau kaum Hawa daripada terus menyibuk hal Jhaznarul. Sebenarnya dia mempunyai agenda tersendiri untuk mengorek rahsia Jhaznarul. Biar hanya dia dan Jhaznarul sahaja menyelesaikannya.

“Ek’eleh. Suka hati dia aje nak halau orang. Ingat kami ni minah kepoh ke? Jom tidur. Buang karan aje kalau kita gesa Firdee.” Husnarisyam mencebik lalu menarik tangan teman-temannya untuk masuk ke dalam khemah semula.

 

Sebenarnya Husnarisyam agak berkecil hati dengan Jhaznarul yang tidak mahu berkongsi cerita dengannya. Ah, lantaklah. Dia sudah cuba yang terbaik untuk mengambil hati Jhaznarul tetapi jika jejaka itu sendiri yang menolak, apa yang mampu dilakukannya lagi. Kan? Nasib baiklah teman-temannya yang lain tidak membantah lalu menuruti langkah Husnarisyam untuk masuk ke dalam khemah semula.

 

Sesudah kelibat kaum Hawa tidak kelihatan di layar mata kaum Adam, pantas Firdee Aqasha mengajak mereka masuk ke dalam khemah di mana adanya Jhaznarul. Tali yang bersimpul mati di urat akal mereka harus dileraikan agar lena mereka jerap sebentar lagi. Teman-teman Firdee Aqasha tidak membantah, lalu mengekori langkah yang diatur oleh jejaka itu ke dalam khemah Jhaznarul.

Terhenti seketika pembacaan al-Quran Jhaznarul apabila melihat teman-temannya sudah pun menyempit ke dalam khemah yang hanya mampu membuat dua hingga tiga orang sahaja. Dia pasti, mereka ingin tahu apakah yang telah dilaluinya sebentar tadi.

 

“Jhaz, kau jangan mengelak lagi daripada kami. Cuba kau berterus-terang apa yang terjadi sebenarnya, sampai muka kau pucat tak berdarah?” Firdee Aqasha memegang lembut pergelangan tangan Jhaznarul dengan harapan menggunung tinggi agar jejaka itu mahu bercerita pada mereka.

Jhaznarul menarik nafasnya lagi ke dalam dan menghelanya keluar dengan perlahan-perlahan. Bebola matanya tajam memanah ke arah wajah teman-teman yang berada di hadapannya. Dia cuba mengukir senyuman sekali lagi tetapi ternyata hambar.

“Kalau aku cakap, kau orang jangan gelakkan aku ya?” Jhaznarul tidak mahu dijadikan bahan ketawa oleh teman-temannya. Bukannya dia tidak tahu sikap teman-temannya itu. Pantang ada tergelincir sikit, pasti yang empunya diri akan dijadikan bahan untuk senaman perut mereka.

“Cerita ajelah. Kami takkan ketawa.” Zularman memberi jaminan.

 

“Tadi, masa aku jalan-jalan dalam hutan, tiba-tiba kaki aku tersepak benda keras. Bila aku belek-belek benda keras apa yang aku sepak, rupa-rupanya batu nisan yang tak bertanda. Aku rasa kubur sesatlah.” Jhaznarul masih terbayang lagi bagaimana rupa kubur sesat yang dilihat oleh mata kasarnya sebentar tadi.

 

“Tak semena-mena lepas tu, aku tengok kubur tu berasap seolah-olah bernyawa. Dalam kepulan asap tu, muncul seorang nenek tua yang cukup ngeri mukanya pandang aku. Apa lagi, aku terus cabutlah. Mana mau aku tunggu lagi. Pertama kali dalam seumur hidup aku lalui pengalaman ngeri macam ni. Hee ...” Jhaznarul meraup wajahnya berkali-kali. Sisa peluh masih lagi berbaki di dahinya. Sesekali kelihatan dia menelan air liur yang cukup sukar sekali mengalir di celahan rengkungnya.

 

Semuanya yang mendengar kelihatan kecut perut kecuali Firdee Aqasha yang kelihatan berseri-seri roman wajahnya. Teman-teman yang melihat agak kehairanan dengan perubahan mendadak pada raut wajah Firdee Aqasha. Adalah tu benda mengarut yang bakal dirancangkannya. Otak Firdee Aqasha bukannya lurus sangat, bengkang-bengkok semedang.

 

“Hah, yang kau sengih-sengih macam baru menang loteri ni kenapa? Pelik pula aku tengok.” Syed Dahuri meluahkan apa yang terbuku di dalam dadanya.

“Eh, baguslah kalau kau jumpa kubur sesat. Kat mana tu lokasinya? Cepat bagi tau aku.” Firdee Aqasha mendesak.

“Kau nak buat apa dengan kubur tu?” Jhaznarul mula berasa tidak sedap hati.

 

“Adalah. Kau bagi tau dulu lokasinya, nanti aku bagi tau kau.” Firdee Aqasha terus menggesa.

 

“Kau jangan nak buat benda-benda yang mengarut.” Jhaznarul masih lagi merahsiakan lokasi di mana terletaknya kubur bernyawa itu (itulah yang digelarkan oleh Jhaznarul). Hatinya cukup-cukup berat melihat pada keterujaan Firdee Aqasha di tahap luar biasa.

 

“Kau jangan banyak songeh boleh tak? Di mana lokasinya?” Firdee Aqasha melurus tepat pandangan ke arah Jhaznarul.

“Di sebelah kanan kawasan air terjun. Tapi kau kena ke dalam sikit baru akan nampak kubur bernyawa tu,” akhirnya Jhaznarul terpaksa mengalah dengan kehendak Firdee Aqasha.

“Terima kasih Jhaz. Lepas ni aku akan jadi kaya.” Firdee Aqasha ketawa bagaikan orang hilang akal.

“Eh, kau nak buat apa sebenarnya dengan kubur tu? Bila pula kubur tu boleh bagi kau jadi kaya raya?” Jhaznarul masih statik dengan pertanyaannya.

 

“Aku nak minta nombor ekor kat nenek tua tu. Pasti nenek tua tu tak lokek untuk berikan nombor ramalannya. Siapa nak ikut aku? Kau orang tak nak jadi kaya ke?” Firdee Aqasha mengumpan teman-temannya yang lain (kecuali Jhaznarul) untuk turut serta dalam misinya yang julung-julung kali dilakukan itu.

 

“Siapa yang tak nak kaya. Aku ikut kau, Firdee.” Syed Dahuri mula menyengih jahat. Terumpan juga dia dengan ajakan Firdee Aqasha.

“Aku pun ikut sekalilah. Manalah tahu nasib badan, kan?” Khirulnizan pula menyatakan persetujuannya.

 

“Kau tak nak ikut kami, Zular?” seboleh-bolehnya Firdee Aqasha ingin mengajak Zularman sekali, barulah mereka ada teman untuk berjalan beriringan. Biar genap angkanya, jangan ganjil.

“Aku malaslah.” Zularman menolak lembut.

“Cakap ajelah kau ni penakut. Malas konon,” umpan Khirulnizan.

 

“Hei, aku bukan penakut okey. Aku ...” Zularman ingin menyambung tetapi pantas dicantas oleh Firdee Aqasha.

“Kalau bukan penakut, jom ikut kami. Buktikan kejantanan kau tu,” kening Firdee Aqasha terangkat sedikit memandang Zularman. Dia yakin umpannya akan mengena kali ini membuatkan Zularman tidak mampu untuk mengelak lagi.

“Okey. Aku akan buktikan yang aku bukan penakut. Jomlah. Tunggu apa lagi?” Zularman sudah pun mula bergerak. Terlebih semangat pula daripada Firdee Aqasha.

 

“Eh, kau orang ni serius ke nak pergi minta nombor ekor? Jangan cari nahas boleh tak?” Jhaznarul yang sedari tadi memasang telinga, terus menyampuk. Seboleh-bolehnya dia ingin menghalang mereka dari melakukan perbuatan haram itu. Dia langsung tidak bersetuju dengan rancangan mereka. Iyalah kan, main nombor ekor itu pun dikira haram. Sama seperti judi. Betul tak?

 

“Ada kau nampak muka kami ni main-main ke? Sudah tentulah kami serius. Relakslah Jhaz. Jangan kalut sangat. Takkan ada apa-apa yang terjadi. Percayalah pada kami.” Firdee Aqasha cuba meyakinkan Jhaznarul yang kelihatan sudah pun cuak dengan rancangan baik telah diaturkan.

“Kau jangan cakap besar Firdee. Aku tak sukalah cara kau orang ni. Kan ada cara yang halal untuk jadi kaya, kenapa kau pilih cara yang haram ni?” seboleh-bolehnya Jhaznarul masih berusaha menghalang mereka dari pergi ke sana.

“Kau jangan kolot sangatlah, Jhaz. Kalau kau tak nak pergi, duduk sini diam-diam. Baca Quran kau tu. Urusan kami jangan masuk campur.” Firdee Aqasha agak berang dengan sikap Jhaznarul yang cuba mengongkong mereka.

 

“Yalah Jhaz. Lagipun, kami hanya cuba nasib. Bak kata orang, untung sabut timbul, untung batu tenggelam. Tak salahkan kalau kami sekadar mencuba. Hanya untuk suka-suka saja, bukannya jadi amalan pun.” Syed Dahuri pula menyokong apa yang dikatakan oleh Firdee Aqasha.

“Kalau jadi apa-apa, jangan cakap aku tak beri amaran.” Jhaznarul agak terkilan dengan sikap teman-temannya itu. Dia tidak mampu lagi untuk menghalang, hanya mampu bertawakal agar mereka akan selamat di dalam perjalanan. Susah kalau dapat teman sedegil mereka.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.