Masing-masing menarik
nafas lega apabila van yang mereka sewa sudah selamat kembali ke tempat
asalnya. Riuh-rendah suara mereka dalam melafaskan erti kata yang
bermacam-macam intonansi. Di dalam kepala masing-masing kini cuma ada satu
tujuan iaitu tidak sabar-sabar untuk kembali ke rumah masing-masing dan
mendapatkan rehat yang secukupnya.
Kini kelihatan mereka sedang memunggah turun beg pakaian masing-masing dari
terus berada di dalam van. Sementara itu, Syed Dahuri dan Firdee Aqasha telah
ke kaunter pembayaran untuk melunaskan wang sewa van mereka itu.
“Hei kau orang, macam mana lima bungkus beg plastik kepah ni ada di sini?
Bukan kau orang tak ambik ke dari nenek tua tu?” lontaran vokal yang berupakan
pertanyaan dari rongga tekak Nisrinah benar-benar telah memeranjatkan mereka semua.
“Mana ada kita ambik kepah dari nenek tu? Yang ada sebungkus sajalah milik
Azi.” Era Kasmiran membetulkan fakta. Mungkin Nisrinah salah melihat.
“Jadi, kau orang cakap aku menipulah ya? Kejap ya.” Nisrinah telah
mengeluarkan lima bungkus beg plastik yang mengandungi kepah di dalam setiap
beg plastik itu. Penuh-penuh pula tu. Mata mereka sememangnya tidak mampu untuk
mempercayai apa yang sedang berlaku. Kehairanan demi kehairanan membelitkan
tali pusat akal mereka. Sedikit perasaan galau bercampur baur di dalam diri
masing-masing.
“Nampak tak apa yang aku pegang? Macam mana lima bungkus kepah ni boleh ada
di sini? Azi, kepah kau mana?” tanya Nisrinah dengan satu pandangan sinis ke
arah teman-temannya. Apa lagi, terloponglah mulut masing-masing dengan pemandangan
yang di luar alam itu.
“Kepah aku ada di sini.” Aziham menunjukkan kepahnya.
“Habis tu, yang lima bungkus ni siapa punya?” sekali lagi suara Nisrinah
berbaur sindiran.
Masing-masing mengangkat bahu tanda tidak tahu. Rasa gerun menyelinap masuk
tanpa mereka sedari.
“Sayang betul roh nenek tua tu dengan kau orang yang bertanggungjawab
melepaskannya. Sampai membekalkan buah
tangan. Bertuah badan.” Nisrinah mengusik sekaligus menyindir sehingga
menjentik rasa tidak senang di dalam hati kaum Adam.
“Hei, mulut kau tu sopan-santun sikit ya? Yang bertanggungjawab Jhaz dengan
Firdee aje, bukannya kami.” Khirulnizan menempelak.
“Haah, betul tu. Jhaz yang jumpa dulu. Firdee yang membangkitkannya. Jadi,
kami di zon terkecuali.” Zularman sudah pun bercekak pinggang membuatkan
Nisrinah ketawa geli hati.
Manakala Jhaznarul dan Firdee Aqasha hanya membutakan mata serta menulikan
telinga mereka kerana apa yang dikatakan itu benar-benar belaka. Tidak ada yang
salahnya.
“Haa ... Jhaz wajib ambik buah tangan dari nenek tua tu sebab kalau bukan
dia merayau di tengah-tengah hutan tu, pasti nenek tu takkan muncul.” Zunika
berkata selamba membuatkan telinga Jhaznarul berdesing.
Jhaznarul merengus dan terpaksa akur dengan buah bicara pedas yang semakin
menjunam ke arahnya. “Iyalah. Iyalah. Semuanya memang salah aku. Menyesal betul
aku merayau malam tu. Biarlah aku aje yang ambik buah tangan nenek tua tu.
Lagipun, bukan murah kalau nak beli kepah sekarang,” Jhaznarul telah pun maju
ke hadapan untuk mengambil kepah yang dibekalkan oleh nenek tua itu kepada
dirinya. Tersengih Nisrinah dengan kemenangan yang digenggamnya.
“Bagi aku sebungkus lagi, boleh Jhaz?” baru sahaja kepah berpindah ke
tangan Jhaznarul, pantas sahaja Aziham meminta sebungkus lagi. Dia yang
sememangnya hantu kepah, mana mungkin mensia-siakan buah tangan yang terbentang
di hadapan mata.
“Lah, teringin juga buah tangan dari nenek tua ni,” usik Jhaznarul sambil
memberikan sebungkus pada Aziham.
Tersengih-sengih Aziham menerima bungkusan kepah daripada Jhaznarul.
“Terima kasih Jhaz. Benda percuma, mana boleh tolak,” selepas mengambil kepah
dari tangan Jhaznarul, dia sudah bersiap-siap hendak pulang.
“Errr ... habib. Habibi nak sebungkus kepah boleh?” teringin pula
Husnariyam melihat pada saiz kepah yang besar-besar itu. Bukan senang nak jumpa
kepah yang bersaiz sebegitu. Alang-alang sudah ada di hadapan mata, baik rembat
sekali.
“Boleh. Nah.” Jhaznarul pula tidak lokek untuk memberikan sebungkus buat
buah hati kesayangannya.
Husnarisyam mengambil dengan hati yang cukup riang sekali.
“Hmm ... padanlah habib dan habibi, sama-sama gilakan kepah. Serasi betul
kau orang ya. Patutlah ALLAH telah tetapkan dua hati ini menjadi satu,” sindir
Nisrinah pada pasangan Jhaznarul dan Husnarisyam.
Berubah merah ala-ala tomato ranum roman wajah uda dan dara itu. Tiba-tiba
sahaja Nisrinah melarikan dirinya apabila dia melihat pasangan itu sedang
menghayunkan beg plastik yang terisi kepah kepadanya. Hisy, buatnya betul-betul
dua bungkus beg plastik terhempas di kepalanya, takkah naya tu? Tidak
pasal-pasal benjol seminggu. Tak sanggup, tak sanggup.
Seketika kemudian, terlantun gemersik ketawa dari rongga tekak Jhaznarul
dan Husnarisyam melihat pada aksi spontan Nisrinah yang terhidang di hadapan
mata mereka.
“Sayang, yang minta maaf ya sebab telah mencacatkan perkhemahan kita. Yang
janji takkan buat benda-benda yang mengarut tu lagi. Yang janji takkan timbul
huru-hara lagi. Sorrysayang.” Di
satu sudut kelihatan Firdee Aqasha sedang mengayat Era Kasmiran bagi sesi
pembujukan di atas apa yang telah berlaku.
“Betul ni? Jangan main nombor ekor lagi. Haram tu. Tak berkat tau duit yang
kita dapat. Sayang tak mau jadi kaya dengan duit nombor ekor,” nada suara Era
Kasmiran kini mengendur terus dan tidak jadi hendak melancarkan rajuk yang
berpanjangan.
“Ya .... yang janji akan cari kekayaan dengan membanting tulang empat kerat
ni. Yang takkan sia-siakan cinta sayang. Sebabnya, I love you so much,” manis berbisa mulut Firdee Aqasha dalam
melafazkan ayat cinta sehingga tercengkam naluri kewanitaan Era Kasmiran. Makin
lama gadis itu makin sayang pada Firdee Aqasha yang bijak menabur madu dari
racun berbisa.
“I love you too.” Era Kasmiran
membalasnya dengan malu-malu.
“Wei, sudah-sudahlah tu buat cinta Korea pula kat sini. Muaklah kami
tengok.” Syed Dahuri mencantas adegan asmara sebabak yang sedang tercetus
antara Firdee Aqasha dan Era Kasmiran. Kali ini roman wajah pasangan itu pula
yang memerah bagaikan tomato terlebih masak.
Rakan-rakan yang lain turut mencemuh ayat-ayat berbisa yang keluar dari celah
bibir Firdee Aqasha sehingga terlantun ketawa uda dan dara itu.
“Binawe punya member. Dia orang cemuh kita, sayang.” Firdee Aqasha menunjuk
penumbuk sulung ke arah mereka membuatkan ketawa masing-masing kedengaran
semakin kuat.
“Biarlah dia orang cemburu tu sebab tak reti nak romantik,” balasan berbisa
daripada Era Kasmiran.
“Haahkan. Patutlah dia orang macam kera kena belacan.” Firdee Aqasha
menokok tambah perisa cili padi sehingga terasa ke tulang tekak masing-masing.
“Kurang asam punya Firdee, tak kuasa kami nak jealous,” laung Khirulnizan pula. Dan sekali lagi masing-masing
meruahkan ketawa. Nampak riang sungguh kumpulan itu.
“Okeylah, aku nak balik dulu. Jumpa lagi semua. Jumpa lagi habibi.”
Jhaznarul melayangkan kenyitan mata buat pacarnya. Husnarisyam malu-malu
menerima layangan itu kerana Jhaznarul jarang sekali mahu romantik dengannya.
Mungkin hari ini sudah tersampuk dengan babak asmara spontan yang dilakonkan
oleh Firdee Aqasha dan Era Kasmiran membuatkan Jhaznarul agak lain sedikit.
“Jumpa lagi. Kirim salam bonda dan ayahanda ya? Bye.” Husnarisyam melambai-lambaikan tangannya buat Jhaznarul
sebelum menghilangkan diri di dalam perut bas yang membawanya menuju ke rumah.
Jhaznarul membalas lambaian Husnarisyam. Tenang hatinya melihat keindahan ciptaan
ALLAH yang dimiliki oleh Husnarisyam.
“Tunggu aku Jhaz. Kita balik sekali,” laung Firdee Aqasha sesudah
menghantar Era Kasmiran menaiki bas yang sama dengan Husnarisyam.
“Kenapa pula kau nak balik dengan aku? Kita tinggal serumah ke?” Jhaznarul
berseloroh dengan Firdee Aqasha.
Firdee Aqasha menayang sengihan yang cukup menjengkilkan buat Jhaznarul.
“Kau jangan lupa ya, yang rumah aku di belakang rumah kau. Kita berjiran jauh, remember? Haa ... kepah tu pula, bila
dah masak tolong pas sikit kat rumah belakang ya? Jangan makan sorang pulak.
Kedekut namanya tu,” balas Firdee tajam dengan seloroh Jhaznarul.
Jhaznarul gelak besar. “Haahlah. Macam mana pula aku boleh lupa yang kau
duduk belakang rumah aku. Mungkin otak aku dah biul hari ni.” Jhaznarul terus memulakan
langkahnya sebaik sahaja selepas berkata-kata.
Firdee Aqasha menggebam bibir. Aku lunyai juga kepala si Jhaz ni. Hee ...
Sambil membuntuti langkah Jhaznarul.