Kelima pasangan itu telah memilih di
tepian pantai untuk tempat perbincangan mereka. Sesudah membeli ayam goreng di
salah sebuah restoran makanan segera, mereka terus membentang kain dan mula
menikmati hidangan tersebut sebelum memulakan sebarang perbincangan. Mereka
tidak kisah jika harus berkongsi makanan kerana itu akan mengeratkan lagi kasih
sayang di antara mereka.
“Okey, kita hendak mulakan dari mana untuk menyelesaikan masalah ni?” tanya
Zularman sesudah perut mereka kekenyangan.
“Masalah ni makin lama makin rumit. Mula-mula Jhaz yang sering
berhalusinasi bertemu dengan roh nenek tua itu dan sekarang ....” belum pun
lagi Nisrinah menamatkan ayatnya, Jhaznarul sudah pun mencantas dengan pantas.
“Aku bukan berhalusinasi tapi aku nampak dengan mata kepala aku sendiri.
Nenek tua tu benar-benar wujud di depan aku. Aku tak gila atau mental, okey?”
penafian keras daripada Jhaznarul telah menetas senyuman di pinggir bibir
masing-masing.
“Okey, aku minta maaf. Dulu, nenek tua tu sering muncul di hadapan Jhaz,
tapi sekarang dia dah mula muncul depan kau orang semua. Aku takut, kalau dia
muncul di depan kelas atau dewan kuliah, pasti pensyarah kita akan pening
kepala. Sebabnya, siapa pula yang akan menghalang kau orang? Kami memang tak
laratlah,” panjang lebar Nisrinah merungkaikan apa yang bermain di mindanya.
Masing-masing menarik nafas sedalam yang mungkin. Betul juga apa yang Nisrinah
katakan.
“Nenek tu dah mula menunjukkan taringnya. Dulu, kau orang cakap besar,
sekarang ni kau orang pula kena tempias sebagaimana Jhaz.” Aziham cuba
mengingatkan kaum Adam agar jangan terlalu cakap besar akan hal-hal mistik ini.
Kini mereka yang sering bercakap besar pula menerima bahananya.
“Yang aku tak fahamnya, apa sebab-musababnya nenek tua itu terus mengekori
dan mengganggu kita. Dan yang paling pelik, nenek tua itu hanya menganggu
kumpulan lelaki sahaja sedangkan kami bebas dari sebarang gangguan. Kami akan
terbabit sama jika kau orang ada bersama.” Zunika pula melontarkan apa yang
berada di benaknya.
“Aku pun tertanya-tanya juga, kenapa kumpulan kita yang menjadi sasarannya,
sedangkan kumpulan perkhemahan yang lain tak ada pun menerima gangguan macam
ni.” Husnarisyam juga tidak mahu ketinggalan dari terus menyatakan pendapatnya.
“Untuk soalan kau orang semua, kami memang tak ada jawapan. Kami sendiri
bingung memikirkan kaitan antara roh nenek tua itu dengan kita semua.”
Khirulnizan cuba membalas persoalan yang membelitkan akal mereka semua.
“Hmm .... excuse me. Bukan kita
semua tapi kumpulan kau orang aje. Kami semua selamat sejahtera sehingga kini.
Alhamdulillah dan kami harap kami takkan melalui pengalaman sebagaimana kau
orang.” Era Kasmiran membetulkan kenyataan daripada Khirulnizan.
“Ya, ya, ya ... kau orang memang selamat setakat ni. Tapi nanti ... belum
tentu lagi.” Khirulnizan agak bengang dengan kenyataan demi kenyataan yang
dihulurkan oleh kaum Hawa yang terang-terang menyalahkan mereka.
“Hei Nizan, mulut kau tu jangan cabul sangat ya? Aku tak mau melalui
pengalaman macam kau orang. Aku tak sekuat kau orang.” Aziham memberi amaran.
Keras. Amaran dari Aziham menetas sengihan di pinggir bibir Khirulnizan.
Manakala yang lain-lain cuma menyembunyikan sengihan masing-masing.
“Kau orang ada idea bagaimana caranya kita hendak tahu kenapa roh nenek tua
itu mengganggu kita sejak kita pulang dari perkhemahan tu?” Syed Dahuri ingin
cepat-cepat menyelesaikan hal ini. Tidak sanggup lagi untuk menempuhi
pengalaman sebagaimana pagi tadi. Serik. Menakutkan. Ngeri pun ada.
“Aku ada caranya tapi aku tak pasti sama ada kau orang sanggup atau tidak
untuk melakukannya,” laju sahaja Era Kasmiran mengemukakan cadangan yang sedang
bermain di mindanya sedari tadi.
“Bagaimana caranya? Cuba kau beritahu kami,” pinta Jhaznarul sambil
meluruskan tepat pandangannya pada Era Kasmiran.
Era Kasmiran menarik nafasnya dalam-dalam sebelum menyampaikan caranya. “Spirit of the coin. Kita menyeru roh
nenek tua itu di dalam permainan ini dan cuba tanya kenapa dia mengganggu kita.
Tapi kita haruslah mempunyai jiwa yang berani untuk melakukannya. Aku tak
nampak cara lain selain cara itu,” terluah juga apa yang berada di fikiran Era
Kasmiran sebentar tadi.
“Apa? Spirit of the coin? Mengarut.
Aku tak setuju. Benda-benda tu semua khurafat. Kau orang nak menyekutukan ALLAH
ke? No. Aku langsung tak setuju. Tak
mungkin tak ada cara lain.” Jhaznarul menolak mentah-mentah apa yang
dicadangkan oleh Era Kasmiran.
“Tapi aku setuju. Aku memang dah tak nampak cara lain selain cara yang
Miran katakan. Kita hanya mencuba nasib, bukannya menyekutukan ALLAH. Jhaz,
kali ini aje. Lepas dapat jawapannya, kita takkan main dah benda alah tu.”
Firdee Aqasha pula berpendapat di sebaliknya. Dia bersetuju dengan apa yang
dicadangkan oleh Era Kasmiran.
“Kau dah gila ke Firdee? Kau nak bermain dengan roh? Bagaimana kalau roh tu
tak nak balik dan merasuki badan salah seorang daripada kau orang, hah? Dari
dia hanya muncul di depan, kini dia menetap pula di dalam badan kita. Walau apa
pun, aku tetap tak setuju,” sekali lagi Jhaznarul menolak dengan keras. Dia
tidak sanggup untuk mengambil sebarang risiko dengan melancarkan permainan itu.
Dia tidak mahu teman-temannya mengalami masalah bermain dengan roh. Cukuplah dengan
apa yang dia alami dan dia tidak mahu mereka pula menjadi sasaran ataupun
mangsa roh nenek tua itu.
“Aku rasa, aku akan turut serta dalam permainan yang dicadangkan oleh
Miran. Aku sendiri dah buntu mencari jawapannya. Jhaz, kita harus cuba. Kalau tak
cuba manakan kita tahu,” cadangan Era Kasmiran mendapat sokongan daripada
Khirulnizan pula sesudah Firdee Aqasha menyetujuinya.
“Boleh tak kau orang jangan menempah maut? Aku tak mahu apa-apa jadi pada
kau orang kerana aku sayangkan kau orang sebab itu aku tak setuju,” dengan
senafas nada Jhaznarul melafazkan apa yang menjadi pegangan hatinya.
“Aku yakin masih ada cara yang lain tetapi bukan dengan cara ini,” sambung
Jhaznarul lagi.
“Hah, apa kata kalau kita pergi berjumpa dengan Mamu Arries. Kita boleh tanya
sejarah Hutan Simpanan Kaffi. Manalah tahu mungkin dia tahu sesuatu kejadian
yang melibatkan Hutan Simpanan Kaffi sehingga terbangkitnya roh yang telah lama
lena?” Aziham yang sedari tadi mendiamkan diri telah bangkit dengan cadangan
yang agak bernas.
“Haa, cadangan Azi aku setuju. Cara tu lebih molek dari cara yang pertama
tadi. Ada ke nak main seru-seru roh. Memang cari nahas betul.” Jhaznarul tidak
membantah apa yang dicadangkan oleh Aziham malah mendapat sokongan penuh
daripadanya.
“Tapi aku keberatanlah nak ke sana semula. Hati aku tak sedap. Sedangkan
jauh pun kita diganggu, apatah lagi kalau dah dekat. Ngerilah aku.” Syed Dahuri
pula menolak cadangan Aziham.
“Susahlah kalau tak sepakat macam ni? Cara apa yang kita ada lagi kalau
semua cara ditolak mentah?” Husnarisyam merungut.
“Oh, my mom.” Zunika melatah
ketika sebiji bola baling betul-betul jatuh di tempat mereka sedang berbincang.
Berdegup kencang dadanya. Ingatkan apa ke tadi, rupanya hanyalah sebiji boa.
“Maaf. Maaf kalau kami telah mengejutkan awak semua. Kumpulan saya tak
sengaja terpukul bola sehingga jauh begini,” lelaki itu mengambil bola yang
jatuh sambil tersenyum memandang mereka.
Mata masing-masing menajam tatkala seraut wajah menyapa di layar pandangan
mereka. Seketika kemudian, mata mereka bertelagah sesama sendiri. Mulut yang
terkunci barulah mampu dibuka semula.
“Eh, itu bukan Mamu Arries ke?” tanya Firdee Aqasha.
“Iyalah. Itu memang Mamu Arries. Dia buat apa di sini?” pertanyaan Era
Kasmiran benar-benar menyentap tangkai hati mereka.
“Takkan dia ikut kita macam roh nenek tua tu kot?” Zularman mula rasa tidak
sedap hati.
“Aku tak sedap hatilah,” wajah Aziham sudah pun berubah romannya.
“Jom, kita kejar Mamu Arries. Aku dapat rasakan Mamu Arries ada memegang
satu kunci untuk semua persoalan kita. Tapi aku masih tak pasti, sama ada Mamu
Arries ada kaitan dengan roh nenek tua itu ataupun tidak.” Syed Dahuri tidak
mahu bertangguh lagi lalu laju sahaja langkah kakinya mencari kelibat Mamu
Arries yang menyapa skrin mata mereka sebentar tadi.
Jhaznarul, Firdee Aqasha, Khirulnizan dan Zularman juga turut mengekori
gerak langkah Syed Dahuri dan memesan pada kaum Hawa agar jangan ke mana-mana.
Tunggu mereka sehingga mereka pulang.
Setengah jam kemudian, kaum Adam pulang dalam keadaan yang cukup hampa
kerana Mamu Arries hilang bagaikan pelesit. Sekejap sahaja dia muncul dan terus
pergi entah ke mana. Mereka tidak mampu untuk mencarinya. Kaum Hawa hanya
menghela nafas yang agak berat akibat dari kekecewaan itu. Jika tidak, sudah
pasti salah satu persoalan mereka bakal terjawab.