Home Novel Seram/Misteri KUBUR BERNYAWA
BAB 9 : Jhaznarul Mimpi Hantu!

Pada malam itu, keluarga Jhaznarul mengajak keluarga Firdee Aqasha untuk menjamu selera di rumah mereka. Jhaznarul hendak melepaskan hajat Firdee Aqasha yang hendak makan kepah. Kuantiti kepah yang dibekalkan terlalu banyak, tidak terhabis oleh mereka sekeluarga.

Manakala keluarga Firdee Aqasha pula menerima pelawaan itu dengan senang hati. Lagipun, keluarga Firdee Aqasha dan keluarga Jhaznarul sudah bagaikan adik-beradik. Kedua ibu bapa mereka telah bersahabat sejak dari zaman muda lagi dan tradisi itu diteruskan pula oleh anak-anak mereka. Bertapa uniknya persahabatan antara dua buah keluarga ini.

“Alhamdulillah rezeki kita dapat makan kepah malam ni. Dah lama tak makan kepah.” Zafarul Zaini yang merupakan bapa kepada Firdee Aqasha mengucap syukur dengan rezeki kurniaan ALLAH swt.

“Kebetulan Jhaz bawa balik banyak, apa salahnya kalau kita saling berkongsikan? Kami sekeluarga tak terhabis kalau nak makan kepah ni,” balas Fizaham pula (bapa kepada Jhaznarul).

“Nasib baik nenek tua tu berikan kau buah tangankan? Kalau tak memang tak merasalah makan kepah malam ni,” galak Firdee Aqasha mengusik Jhaznarul.

Manakala Jhaznarul pula menjeling tajam pada Firdee Aqasha. Hantu betul. Dalam diam dia kenakan aku. Jhaznarul pura-pura tidak dengar dengan usikan Firdee Aqasha dan meneruskan suapan isi kepahnya yang terlalu manis. Puas dapat makan kepah bersaiz besar malam ini.

“Baik betul nenek tua tu yang berikan kau kepah, Jhaz. Kita patut berterima kasih pada nenek tua tu.” Muzie Azirah ibu kepada Jhaznarul menyokong kata-kata Firdee Aqasha membuatkan sahabatnya itu melukis segaris senyuman di atas bibir.

Haah. Berterima kasih sangatlah. Kalaulah ma dan pa tahu apa yang dah jadi pada kami semua, pasti ma dan pa pun takkan berterima kasih pada nenek tua tu. Hee ... nak kena lunyai juga si Firdee ni. Mulut celopar betul sama dengan perangai hantu dia. Kutuk Jhaznarul di dalam hati.

“Betul tu Jhaz. Kita patut berterima kasih pada dia.” Firdee Aqasha sengaja menyimbah minyak ke dalam api yang sedang menggelegak naik.

“Kau pun patut berterima kasih pada dia juga. Kalau tak, mana mungkin kau dapat makan kepah yang sedap ni,” dalam selamba Jhaznarul memulangkan paku buah keras pada Firdee Aqasha membuatkan jejaka itu menetas senyuman.

Setan punya Jhaz. Senyap-senyap dia kenakan aku. Firdee Aqasha tidak bersuara lagi. Hidangan malam itu terus dinikmati dengan penuh rakus.

Ibu bapa kedua buah keluarga itu, berbual sakan sambil menikmati saki-baki hidangan yang masih banyak. Begitu juga dengan Jhaznarul, Firdee Aqasha serta adik-adik kedua jejaka ini.

Dalam asyik menikmati hidangan yang jarang-jarang diperolehi, tiba-tiba mata Jhaznarul menangkap satu kelibat manusia yang sedang berdiri tegak di bawah sebatang pokok besar yang berada betul-betul di hadapan tingkap dapur mereka. Kelibat manusia yang berjaya ditangkap oleh mata Jhaznarul sedang memerhatikan ke arah mereka. Tidak berkelip-kelip mata manusia yang berada di sana. Makin lama Jhaznarul perhatikan, makin dalam pula manusia itu membalas balik. Namun, perbuatan Jhaznarul ini tidak diperasan oleh sesiapa pun kecuali dirinya sendiri. Jhaznarul sendiri tidak mahu membuka mulut untuk memberitahu akan hal itu kepada sesiapa jua termasuk keluarganya.

Tiba-tiba sahaja, hati Jhaznarul dilanda ombak tsunami dengan amat kuat sekali. Setelah diteliti betul-betul, Jhaznarul seakan-akan mengenali kelibat bayangan manusia itu. Namun, untuk memberitahu pada Firdee Aqasha, Jhaznarul tidak mempunyai kekuatan kerana apa yang dilihat oleh mata kasarnya, kemungkinan besar tidak benar. Dia tidak mahu tertipu oleh ilusi matanya sendiri.

Tak mungkin dia. Aku yakin bukan dia. Masakan dia mahu datang sebegini jauh semata-mata untuk memerhatikan kami. Untuk apa dia mahu lakukan begitu? Kami tidak ada kaitan langsung dengan dia. Ah, persetankanlah. Mungkin hanya igauan aku saja. Jhaznarul cuba menyedapkan hatinya sendiri.

Tiba-tiba sahaja kelibat manusia yang ternyata seorang lelaki itu menyengih pula pada Jhaznarul. Seraya dengan itu, bulu tengkuk Jhaznarul meremang dengan mendadak. Hatinya bagaikan dipalu gong bertalu-talu. Jhaznarul pantas mengambil air kosong di sisinya lalu meneguk rakus. Sekali lagi dia menghala pandangan matanya meluruskan ke arah pokok besar itu, namun kehairanan menetas pula di benaknya. Masakan dalam sekelip mata sahaja lelaki itu boleh lenyap. Jhaznarul cuba mencari lagi kelibat manusia itu tetapi hampa sahaja kerana kelibat itu benar-benar sudah tiada di tempat asalnya.

Jhaznarul beristighfar panjang di dalam hati. Mungkin itu hanyalah khayalan aku sahaja. Mana mungkin orang datang sini tanpa tujuan. Tapi kenapa sengihan dia menyeramkan aku? Aku rasa bukan dia yang sebenar. Ah, sudahlah. Aku tak nak fikirkan lagi hal yang mengarut tu.

Seusai makan malam, keluarga Firdee Aqasha meminta diri untuk pulang dan Jhaznarul pula meminta diri untuk naik ke atas. Begitu juga dengan adik Jhaznarul yang bernama Jhazfeena. Masing-masing mempunyai agenda yang tersendiri pada malam itu. Jhaznarul ingin melayan matanya sahaja, manakala Jhazreena, apa lagi kalau bukan hendak main laman muka buku.

Mata Jhaznarul terpaku sebaik sahaja pintu biliknya dibuka. Keadaan biliknya sudah berubah dalam sekelip mata dan akal waras Jhaznarul tidak dapat menerimanya dengan mudah.

“Apa dah jadi ni? Tak mungkin. Tak mungkin. Tak mungkin aku kembali semula ke hutan tu. Aku kan dah ada di rumah. Aku tak boleh masuk dalam bilik ni. Aku kena beritahu ma dan pa,” kaki Jhaznarul memusing semula ke belakang dan sekali lagi dia terpasung. Gerak langkahnya ternyata berat hendak meneruskan apa yang diagendakan dalam minda. Air liur yang menuruni tekak Jhaznarul benar-benar rasa berpaku.

“Ya ALLAH. Apa dah jadi rumah aku ni? Takkan kami kembali ke hutan tu semula. Mana keluarga aku? Ma. Pa. Feena.” Jhaznarul melaung-laung nama setiap orang ahli anggota keluarganya tetapi laungannya tidak bersahut.

“Astaghfirullahalazim. Takkan aku sorang-sorang kat sini,” dada Jhaznarul semakin dipalu debaran rasa yang entah apa iramanya. Dia sendiri tidak dapat mentafsirkannya.

Baru sahaja dia ingin memanggil semula ibu bapanya, tiba-tiba dia melihat wajah seseorang yang menyapa di skrin matanya. Wajah yang rentung itu menyengih sehingga menampakkan barisan gigi yang cukup hitam legam serta runcing-runcing ketajamannya. Makin lama, wajah itu makin menghampirinya sehingga Jhaznarul rasa lemah untuk melarikan diri.

“Kenapa dia ikut aku? Bukan aku yang seru dia. Ini semua Firdee punya pasal. Kenapa aku yang menjadi mangsa,” sekali lagi tekak Jhaznarul menelani air liur yang hampir kering.

“Cu ... mana nak lari cu. Nenek dah dekat ni. Jangan lari cu. Tolong nenek cu.” Nenek tua yang separuh rentung itu makin mendekatkan dirinya kepada diri Jhaznarul. Jhaznarul cuba menapak ke belakang namun kakinya terasa berat sekali untuk terus bergerak.

“Jangan ganggu saya nek. Saya tak kejutkan nenek. Pergi! Pergi! Jangan ganggu saya.” Jhaznarul mula berteriak ke arah nenek tua itu.

“Cu ... jangan buat nenek macam ni cu ... Tolong nenek cu.” Nenek tua itu sudah pun merapati dirinya dengan Jhaznarul dan tiba-tiba sahaja tubuh Jhaznarul dipeluk erat oleh nenek tua itu.

Ketika berada di dalam pelukan nenek tua itu, Jhaznarul dapat merasakan lidah nenek tua itu menjilat batang tengkuknya dengan rakus. Makin lama makin basah tengkuk Jhaznarul membuatkan jejaka itu tidak selesa langsung.

“Ya ALLAH, aku dah nak mati ke ni? Nek .... jangan bunuh saya nek. Nenek ...” Jhaznarul menjerit sekuat hati. Nenek tua itu ketawa nyaring yang cukup menyeramkan.

“Kamu milik nenek, cu ...” suara nenek tua itu bergema semula sambil ketawa yang cukup menyeramkan. Tengkuk Jhaznarul sekali lagi menjadi mangsa rakus jilatan lidah nenek tua itu.

“Nek, lepaskan saya. Saya bukan hak nenek. Lepaskannnn ...” Jhaznarul meronta-ronta untuk melepaskan diri. Tiba-tiba sahaja dia merasakan tubuhnya bergegar kuat dan sayup-sayup dia mendengar suara mamanya sedang memanggil.

“Ma ....” Jhaznarul terbangun dari lenanya. Satu badan dibanjiri peluh dingin. Mata Jhaznarul menerawang di sekeliling sebelum dia mampu menarik nafas lega. Dia masih di bilik rupanya.

“Astaghfirullahalazim. Apa dah jadi pada kau ni, Jhaz? Terpekik, terlolong macam orang kena rasuk,” suara tegas Fizaham mengejutkan Jhaznarul dari terus bermimpi. Aturan pernafasan masih tidak menentu. Jhaznarul masih gagal menenangkan dirinya sendiri.

“Kau mimpi apa Jhaz sampai berpeluh macam ni? Dah solat Isyak?” tanya Muzi Azirah pula.

Perlahan-lahan Jhaznarul beristighfar dan menyeka peluh dingin yang membasahi dahinya. Mata Jhaznarul sekejap dipejam dan sekejap dibuka. Seketika selepas itu, barulah pandangan Jhaznarul melurus memandang kedua ibu bapanya. Baru juga air liur dapat menuruni rengkungnya dengan laju. Tidak berpaku lagi.

“Jhaz mimpi hantu.” Jhaznarul terpaksa berterus-terang.

“Mainan tidur tu. Dah solat sebelum tidur tadi?” tanya Muzie Azirah sekali lagi dan Jhaznarul mengangguk lemah.

“Sekarang ni, Jhaz pergi ambil air sembahyang dan solat sunat pula. Mudah-mudahan tidur Jhaz tak diganggu lagi.” Fizaham memberi arahan dan dipatuhi oleh anak bujang mereka itu.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Ebriza Aminnudin