Home Novel Seram/Misteri Roh rumah sewa
Bab 9 ; Mail dan Osman diganggu

Bab 9

Keesokan paginya pagi-pagi lagi keluarga pakciknya sudah keluar. Rafael hanya duduk di rumah bersama ibunya menunggu Kak Langnya yang bakal balik tengahari tersebut. Kak Lang Rafael berkahwin dan tinggal di Johor bersama suami dan seorang anaknya yang baru berusia 2 tahun. Rafael menemani emaknya ke pasar pagi itu kerana ibunya hendak makan besar pada tengahari itu. Rafael terpaksa membantu ibunya memasak kerana rumahnya memang tidak ada pembantu. Ibunya lebih suka membuat kerja rumah menggunakan kudrat sendiri terutama memasak untuk keluarga sendiri. Ibunya bercadang ingin memasak nasi beriani kari kambing sebagai juadah istimewa. Keluarga Pak Lang memang amat suka makanan berasaskan kambing terutama kari air tangan ibu Rafael.

Selepas menemani ibunya di pasar, Rafael membantu ibunya memasak. Rafael sudah biasa dengan kerja di dapur kerana ibunya sudah mengajarnya sejak dari kecil lagi. Rafael membantu memotong bahan-bahan masakan. Tepat pukul 11.30 keluarga kakaknya datang. Tengahari itu mereka makan besar.

(((((((((((((((((((((((((((((

Setelah 3 hari bercuti, Rafael kembali semula ke Gerik. Dia sampai ke rumah sewanya pada pukul 5 petang. Rafael segera memunggah barangan naik ke rumah. Apabila Rafael sedang sibuk mengambil barang di bonet keretanya, seseorang memanggil namanya;

“Assalaimualaikum cikgu” Rafael menoleh ke belakang. Kelihatan Mail dan Osman jalan beriringan dengan membawa parang dan cangkul. Tentu baru balik dari menebas kebun Risda.

“Waalaikumussalam. Baru balik menebas ker?” tanya Rafael ramah. Dia bergerak ke jalan besar. Mereka bersalaman.

“Mana motor?”

“Motor cabuk tu patut diletakkan di muzuim cikgu. Asyik meragam jer,” gomel Osman.

“Oit. Motor cabuklah tulah mengangkut kau ke hulur ke hilir. Pergi pekan pun lepas kau tahu,” marah Mail.

“Hahahaha. Janganlah touching. Aku gurau jelah.”

“Lainkali kau kutuk aku. Jangan kau naik motor aku tu.”

“Ala merajuk pula. Eh! Semalam kau kata kalau cikgu dah balik kau nak beritahu dia. Beritahulah cepat” Kata Mail sampai mencuit lengan Mail Keding. Mail melihat pandangan di sekitar. Seolah-olah ada seorang yang memandangnya. Mail merapatkan wajahnya ke telinga Rafael.

“Cikgu… jom kita pergi kedai Pak Abu. Saya cerita kat sana. Sayapun haus ni,” kata Mael.

“Macam serius sahaja bunyinya tu” teka Rafael.

“Memang serius cikgu.”

“Mailah naik kereta saya.”

“Takpelah cikgu… kami ni kotor, berlumpur. Kami jalan kaki sahaja. Lagipun kami bawa cangkul dan parang ni. Nak singgah dahulu rumah Osman ni,” Rafael mengangguk.

((((((((((((((((((((((((((((((

Sampai di gerai Pak Abu, Rafael melihat Mail Keding dan Osman sedang sedap minum air sejuk. Dia lambat sedikit kerana ingin bersolat Asar dahulu di rumah.

“Assalaimualaikum,” sapa Rafael.

“Waalaikumusalam,” sambut mereka berdua dan bersalaman sesama sendiri.

“Apa yang kamu hendak cerita itu sampai tak boleh cerita di rumah?” tanya Rafael tidak sabar.

“Cikgu pesan dulu makanan dan minuman” Rafael memanggil isteri Pak Abu untuk memesan makan makanan dan minuman. Perutnya memang lapar kerana dari Shah Alam tadi hingga kini dia tidak menjamah makanan. Hanya berhenti di rehat dan rawat untuk membeli minuman bagi menghilangkan dahaga.

“Ha. Ceritalah Mail.”

“Cikgu… selama cikgu duduk rumah tu, cikgu tak kena ganggu ker?” Rafael tersenyum.

“Secara fizikal belum… secara batin sudah. Tapi takdelah pula beri keburukan kepada saya. Kenapa?” tanya Rafael.

“Si Mail ni sudah kena kacau cikgu, bukan sahaja dia… saya pun kena juga,” sampuk Osman. Mail menyalakan api rokoknya.

“Kena kacau?” air minumannya sampai.

“Pertama… hari Jumaat. Saya buat kerja menebas kebun Pak Zuki. Tanah Pak Zuki bersempadanan dengan tanah kebun rumah yang cikgu duduk sekarang ini. Tengah syok menebas, saya dengar orang menebas. Saya amati betul-betul rupanya bunyi itu datang dari kebun sebelah. Saya pergi tengok siapa yang menebas. Saya tengok cikgu yang menebas” Rafael memandang Mail Keding.

“Pukul berapa Mail?”

“Dalam pukul 6 petang.”

“Kan saya balik ke Shah Alam lepas Jumaat.”

“Betul tu cikgu. Tapi masa itu saya tidak ingat lagi yang cikgu sudah balik ke Shah Alam. Saya tegurlah orang tu yang saya anggap cikgu.”

(((((((((((((((((((((((((((

“Menebas ke cikgu? Rajin nampak?” sapa Mail Keding ramah. Tiada balasan. Entiti yang dianggap Cikgu Rafael itu terus leka menebas. Amboi cikgu ni sombong nampak. Getus hati Mail.

“Cikgu marah saya ke saya tidak betulkan pintu rumah cikgu. Saya minta maaflah cikgu. Saya sibuk sangat dengan projek Risda. Inipun saya lari sekejap bersihkan kebun Pak Zuki… dia sudah bising kebun dia saya tak tebas-tebas. Katanya meracun rosakkan pokok. Nanti esok saya datang betulkan pintu tu.”

“Kau jangan nak usik pintu tu!” Cikgu Rafael memandang Mail. Wajahnya membengis dan matanya memerah. Mail Keding terundur. Dia terkejut melihat wajah Rafael. Semasa itulah baru Mail teringat semalam Cikgu Rafael ada memberitahunya hari ini selepas Jumaat Rafael akan balik ke Shah Alam. Mail tidak tunggu lama dan mengambil langkah seribu. Rafael cepat berlari menuju ke motornya dan menghidupkan enjin motosikalnya.

(((((((((((((((((((((((((((((((

“Pintu?” Rafael bermonolog sendiri.

“Ya. Pintu… tentu ada sesuatu tentang pintu. Saya takutlah hendak betulkan pintu rumah cikgu tu. Cikgu carilah orang lain,” Mail Keding memang tidak berani lagi membaiki pintu rumah. Takut diapa-apakan setelah diberi amaran oleh entity yang merupai Rafael.

“Tapi saya rasa bukan pintu depan. Pintu depan... pintu biasa” Rafael diam untuk berfikir.

“Yes! Pintu Berukir di dapur. Pintu itu penghulu tidak benarkan sesiapapun membukanya. Mungkin pintu itu.” Ya… pintu berukir pelik yang ada di rumah bawah.

“Walaupun pintu manapun cikgu. Saya tetap tidak mahu betulkannya,” Mi Rafael sampai… mereka bertiga mendiamkan diri apabila makcik Fatimah ada berhampiran. Makcik Fatimah terkenal dengan gelaran internet bergerak. Apa yang dibualkan di gerai… malam itu sudah heboh satu kampung. Setelah makcik Fatimah berlalu pergi.

“Bukan itu sahaja. Sayapun nampak benda yang pelik” kata Osman pula.

“Benda pelik?” tanya Rafael ingin tahu.

“Selepas subuh pagi semalam, saya seorang diri berjalan kaki ke kebun hendak menoreh… masa itu mangkuk 2 ekor ni Mail dengan Darus belum bangun lagi. Terpaksalah saya pergi dulu berjalan kaki sebab banyak getah perlu ditoreh bahagian saya. Orang kampung semua lebih suka pajak dengan saya daripada 2 ekor ni. Menoreh ini ada seninya… bukan main toreh aja.”

“Oit! Kutuk aku pulak. Kalau kami tak tolong ingat larat ke kau nak menoreh seorang?” sampuk Mail.

“Ala. Aku bergurau jelah. Bagi aku cerita dulu. Misteri ni.”

“Betul tu. Osman bergurau je tu Mail. Sambung cerita tu Osman.”

((((((((((((((((((((((((((((((((

Osman bersiul-siul sambil menjinjing keperluan menorehnya. Beg sandang buruknya pula disandangnya di bahu. Beg sandangnya itu berisi bekalan makanan dan minuman yang disediakan oleh emaknya. Ayahnya pula sejak menghidap sakit jantung hanya duduk rumah sahaja makan duit pencen bekerja dengan Majlis Daerah. Osman berjalan seorang diri kerana Mail dan Darus masih lagi belum bangun tidur. Suasana sekeliling masih lagi gelap kerana matahari belum lagi menampakkan sinarnya. Ayam berkokok bersahut-sahutan. Sesekali Rafael bertembung dengan mereka yang mahu pergi menoreh.

“ Harini dua puluh ekar aku kena toreh. Perghhh, mati aku buat kerja sorang-sorang. Yang si Mail dengan Darus ni tidur mati agaknya. Itulah main gitar sampai pukul 3 pagi kat tembok siapa suruh? Tok Ketua pun satu. Tak dengar ke mereka berdua itu merambu tengah-tengah malam buta kat tembok simpang masuk rumah dia. Tah-tah dia join sekali, bukan boleh percaya Tok Ketua tu” gomel Osman sendirian bagi menghilangkan kebosanan berjalan sendiri. Dari jauh kelihatan rumah papan yang disewa Rafael. Entah kenapa hatinya berasa seram sejuk.

“Eh ! terang sahaja rumah cikgu ni? Dah balik ker? Awal benar balik. Kata esok. Banyak kerja kot,” Osman kini berjalan berhadapan rumah cikgu. Matanya tertangkap pandangan batang tubuh manusia sedang duduk di tangga… pakaiannya seperti seorang panglima. Guru silat mana tersesat tu? Getus hati kecil Osman. Dia mempercepatkan langkahnya tanpa memandang kembali, takut yang duduk di tangga rumah Rafael adalah orang gila yang baru keluar Tanjung Rambutan.

“Kamu hendak ke mana?” sergah satu suara yang seakan dekat dengan cuping telinga. Osman memusingkan badannya ke belakang. Dia terperanjat apabila melihat guru silat itu tadi sudah berada di belakangnya. Osman memandang semula tangga itu tadi… tiada orang yang kelihatan.

Bagaimana orang ini boleh berada di belakang tanpa aku dapat rasakan sedangkan jarak tangga ke jalan lebih kurang 60-70 meter? Ilmu apa yang dia pakai?

“Encik, saya hendak ke menoreh ke kebun sana. Hari-hari saya lalu di sini. Encik nak pau saya ker? Saya ambil upah je menoreh. Lepastu bahagi 2 dengan tuan tanah. Manalah saya ada duit kalau encik nak pau. Bekal nasi goreng dengan kopi mak saya buat adalah,” sempat pula Osman berloyar buruk.

“Aku cukup pantang orang lalu depan aku tak hormatkan aku wahai cucu cicit moyang Badar. ” Osman terkejut. Tidak ramai orang luar yang tahu bahawa dia adalah keturunan panglima terkenal pada zaman silam… iaitu Panglima Badar.

“Macamana kamu tahu asal usulku?” tanya Osman. Kekudanya telah dipasang. Dia tahu lelaki di hadapannya bukan calang-calang orang. Mujur Osman mewarisi ilmu silat dari ayahnya.

“Kamu memasang kekuda nampaknya. Kamu hendak lawan dengan siapa? Dengan aku?” guru silat tersebut cuba menumbuk ke arah perut Osman. Tapi mujur Osman telah bersedia dan dapat mengelak.

“Aku cukup pantang orang pukul curi. Aku tidak mahu berkelahi dengan kamu. Dari manakah kamu datang? Macamana kamu tahu asal usul aku? Adakah kamu ada dendam dengan panglima? Panglima sudah lama mati,” nada bahasa Osman telah bertukar dari saya encik kepada aku dan kamu kerana marah dengan tindakan orang yang tidak dikenali itu tadi.

“Hahahahahaha. Panglima memang sudah lama mati. Dahulu dia berkawan baik denganku. Sejak berkampung di sini dan datangnya Syeikh Maulana. Dia sudah menjauhkan dirinya daripada aku. Malah dipasungnya aku dalam rumah itu. Inikah balasannya terhadap aku setelah apa yang aku lakuakan dulu. Kini aku bebas.. selama lebih 100 tahun aku terkurung. Aku bebas. Aku ada tuan yang baru. Hahahahahahahaa” makhluk tuhan itu mengilai. Terasa seram di pendengaran Osman.

“Memang patut kau dipasung makhluk dilaknati Allah!” Osman membaca sesuatu dan menghembus ke arah makhluk durjana tersebut. Makhluk itu segera menghilangkan diri sambil ketawa mengejek Osman. Setelah makhluk itu menghilangkan diri Osman membaca beberapa surah yang diajar oleh gurunya. Barulah semangatnya datang balik. Osman bergegas ke kebun.

(((((((((((((((((((((((((((

“Mana tunggu dah. Lepas ini kalau saya hendak pergi kebun… tunggu siang-siang sikit. Tak mahu saya lalu sorang-sorang depan rumah cikgu. Buatnya dia tunggu… nak uji ilmu saya. Mampus saya nanti. Dah berapa lama saya tidak amalkan ilmu silat dan agama yang bapa saya ajarkan. Asyik ngikut bebudak ni jer.” Sempat lagi Osman mengenakan Mail.

“ Aku mana mengajak. Kau yang nak mengikut. Kata boring dengar leter emaklah. Rumah tu panaslah,” tingkah Mail.

“Hehehehehehe,” Osman hanya tersengih.

“Ada ilmu juga kamu ini ye Osman.”

“See the leglah cikgu. Saya bukan macam Mail ini. Depan pompuan berani. Baru jumpa kembar cikgu dah mencicit lari sampai jatuh parit,” Rafael dan Osman tergelak besar. Mail hanya menghembuskan asap rokoknya ke udara.

“Sedap betul lu kenakan gua yer Os. Takpe, ada ubi ada batas. Ada hari boleh balas,” Mail merajuk.

“Alalalalalala. Merajuk pulak. Ini kalau Siti Exora nampak ni… mesti jatuh saham. Ala… aku gurau jelah. Hari ni hari kau… esok lusa macam biasa aku pula kena,” Osman memujuk Mail.

“Siapa pula Siti Exora tu. Nama macam artis.”

“Ala… anak dara kat pekan tu sebelah cikgu. Jumpa masih Mail masukkan duit dalam Bank. Awek tu jaga kaunter. Mail ni mengayat terus lekatlak tu. Sebab tu dia rajin mengambil upah. Katanya nak meminang cepat,” Mail hanya tersengih.

“Wah! Bagus-bagus. Niat dah ada tu. Insya Allah Allah akan bagi rezeki. Osman dan Mail, saya ada satu rancangan.”

“Rancangan apa itu cikgu?” tanya Mail.

“Apa kata malam ini awak berdua tidur di rumah saya. Saya rasa hendak merungkai misteri di bilik belakang. Kenapa penghulu beria benar tidak mahu saya membuka bilik tersebut. Tentu semua misteri mengenai rumah itu berpunca dari bilik tersebut,” cadang Rafael.

“Cikgu jangan buat pasal. Nanti kena marah dek Tok Ketua,” sanggah Mail.

“Kamu takut ke Mail? Akupun ingin tahu juga apa isi dalam bilik itu. Semasa kita jaga rumah tu, Tok Ketua menghalang keras kita buka pintu bilik itu,” Mail tetap tidak bersetuju.

“Kalau kita tidak beritahu Tok Penghulu. Takkan dia tahu. Jangan pecah di mulut… biar pecah perut. Misteri ini kita perlu rungkaikan Mail. Sampai bila mereka hendak ganggu kita semua,” pujuk Rafael.

“Jomlah teman aku. Kata kawan. Kita tolonglah Cikgu Rafael ni. Sekurang-kurangnya ada apa-apa berlaku. Kau ada,” Osman memujuk Mail.

“Yelah-yelah. Tapi kalau berlaku apa-apa. Aku lari sahaja dahulu. Sebarang risiko kau dan cikgu tanggung sendiri.”

“Macam itulah member,”

“Ok. Kalau jadi selepas Isyak kita jumpa di sini,” Mail dan Osman mengangguk.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh NaimTamdjis