Home Novel Seram/Misteri Roh rumah sewa
bab 8 ; Selawat Syifa

Bab 8

Seperti yang dirancangkan, Rafael balik ke rumahnya pada hujung minggu tersebut. Hampir sebulan lebih dia tidak balik ke rumah kedua orang tuanya. Selepas solat Jumaat Rafael terus bertolak ke Shah Alam. Perjalanan ke Shah Alam mungkin mengambil masa 4 ke 5 jam. Hari Isnin adalah hari cuti Maulidur Rasul. Di Malaysia ini, jika cuti lama sahaja mulalah berpusu-pusu balik ke kampung atau bercuti. Mujurlah jalan balik ke Lembah Kelang tidak sesak berbanding jalan ke utara. Rafael memandu kereta dengan lancar ke arah lembah kelang. Rafael membuka radio IKIM FM. Dan kebetulan pula Ustaz Zahazan membicarakan tentang jin. Rafael khusyuk mendengarnya ;

“Ada 5 jenis jin. Jin Syaiton, Jin Arwah, Jin Ifrit, Jin Al Amir dan Jin Jan. Jin ini ada banyak fungsinya mengikut nama itu tadi. Jin syaiton terus-terusan menyesatkan kita hingga akhir zaman. Jin arwah akan menyerupai arwah orang-orang kita dan cuba menyesatkan kita. Al-Amir, jin yang suka meniru perbuatan kita supaya dapat menakutkan kita. Kemudian jin Al Jan… hidup seperti manusia. Ada muslim dan tidak muslim. Dan akhir sekali jin ifrit, jin yang boleh menjadi khadam kepada manusia. Dia boleh jadi pendamping kepada orang muslim ke arah kebaikan mahupun mendampangi ke arah keburukan. Jin ini boleh memudaratkan manusia pada akhirnya” terang Ustaz Zahazan.

“Saya tertarik ustaz jin sebagai pendamping. Bagaimana caranya?” tanya juruhebah.

“Selalunya dukun atau bomoh yang tidak berlandaskan Islam akan berdamping dengan jin. Sebab apa? Sebab membantu mereka membuat kerja kotor. Kononnya membantu mereka berubat. Membantu bomoh-bomoh ini tadi mengenakan atau menganggu orang lain. Menyihirkan orang lain. Itu maksud mendamping yang tidak baik. Kononnya jin ini khadam kepada tuan mereka… tetapi sebaliknya manusia itu akan menjadi khadam kepada jin. Manusia yang menyeru dan memberi makan kepada jin. Manusia yang syirik kepada Allah kerana meminta bantuan kepada makhluk… bukan kepadaNya” terang Ustaz Zahazan lagi.

“Kalau berdamping secara baik pula.”

“Sama-sama beribadat kepada Allah. Berdamping ke jalan Allah. Saya ada satu cerita dimana Rasulullah berdakwah kepada kaum jin. Pada suatu hari, Rasullullah ingin berdakwah kepada dunia jin. Baginda mengajak rakan-rakan untuk menemaninya, tetapi hanya Abdullah Bin Mas; ud yang mahu. Mereka berdua pergi ke tempat yang tinggi di Mekah. Sampai di suatu tempat Baginda berhenti. Baginda membuat garisan bulatan dengan kaki baginda. Mas’ud hairan dengan tindakan Baginda. Wahai Mas’ud, kamu jangan melebihi garisan yang aku buat ini. Kelak kamu akan ditimpa bencana. Kemudian baginda berdiri dan mula membaca ayat Al-Quran.. kemudian datanglah makhluk jin itu berbondong-bondong sehingga Mas’ud sukar untuk melihat dan mendengar suara Baginda.

Setelah beberapa lama berselang, jin itu pergi berbondong-bondong juga ibarat awan ke langit. Masih tinggal beberapa kelompok sebelum kelompok itu pergi juga pada fajar menyinsing. Setelah semuanya pergi Baginda bertemu dengan Mas’ud. Baginda bertanya… adakah kamu tertidur Mas’ud? Mas’ud menjawab. Tidak Rasullullah. Sesungguhnya saya berkali-kali meminta bantuan, tetapi saya mendengar kamu memberikan isyarat kepada tongkat kepada jin-jin supaya mereka duduk. Rasullullah menjawab… aku takut jika kamu keluar dari bulatan itu kamu akan bertimpa bencana kerana aku tidak dapat menjamin kamu bertahan daripada sambaran sebahagian daripada mereka. Kisah ini bermaksud bahawa sesetengah jin diperbuat daripada api di mana mungkin kita manusia biasa tidak akan dapat menahan sambarannya.”

“Masya Allah. Di dalam Al-Quran banyak sebut pasal jin ni ustaz?”

“Dalam Al-Quran sendiri ada surah Al-Jin. Saya petik sedikit Surah Al-Jin ayat 11 yang bermaksud… Dan sesungguhnya di antara kami ada orang orang yang shalih dan diantara kami ada (pula) yang tidak demikian halnya. Adalah kami menempuh jalan yang berbeda beda. Surah ini menunjukkan bahawa jin itu adanya muslim dan kafir. Ayat 6 surah yang sama bermaksudDan bahwasannya ada beberapa orang laki laki diantara manusia meminta perlindungan kepada beberapa laki laki diantara jin, maka jin jin itu menambah bagi mereka dosa dan kesalahan. Dimana jin itu boleh dijadikan khadam.”

“Bagaimana jika jin itu menganggu manusia ustaz?”

“Jin ini macam kita juga. Dia makan dan ada tempat tinggal. Dalam Shahih Muslim… bila seseorang masuk rumahnya, lalu menyebut nama Allah ketika masuk dan ketika makan, maka setan berkata kepada kelompoknya. Tidak ada penginapan bagi kamu dan tidak ada makanan malam bagi kamu. Jika seseorang itu masuk rumahnya dan tidak menyebut nama Allah, maka setan berkata kepada kelompoknya : Kamu mendapatkan penginapan. Dan jika seseorang tidak menyebut nama Allah ketika makan, maka setan berkata kepada kelompoknya : Kamu akan mendapatkan penginapan dan makanan untuk malam. Untuk mengelakkan amalkan sehari-hari sebelum tidur ayat 3 kul. Insya Allah tidak akan diganggu. Atau amalkan selawat Syifa”

“Boleh ustaz sebutkan bagaimana selawat Syifa itu”

“Bismillahirrahimhir rahim. . ALLAAHUMMA SALLI ‘ALAA SAYYIDINAA MUHAMMADIN THIBBIL QULUUBI WA DAWAA-IHAA WA ‘AAFIYATI ABDAA NI WA SYIFAA IIHA. WA NUURIL ABSHAARI WA DIYAAIHAA WA ‘ALAA AALIHII WA SHAHBIHII WA BARIK WA SALLIM. Maksudnya ; Ya Allah berilah rahmat ke atas penghulu kami Nabi Muhammad yang dengan berkat baginda engkau menyembuhkan hati-hati, menjadi penawar dan menyihatkan tubuh badan dan juga member kesembuhan penyakit serta mengurniakan cahaya penglihatan dan kurniakan juga kurniakanlah juga rahmat keberkatan dan kesejahteraan ke atas keluarga dan sahabat baginda. Hembuskan ke atas air masak kemudian minum. Insya Allah.”

“Baiklah saudara yang dirahmati Allah. Memandang Ustaz kita sudah berselawat Syifa, kita berhenti sebentar dan saya akan putarkan selawat syifa dendangan kumpulan Hijjaz” Radio mula memainkan selawat Syifa yang dialunkan oleh kumpulan Hijjaz. Rafael mengikutinya dengan tujuan untuk menghafal bait-bait selawat.

‘ALLAAHUMMA SALLI ‘ALAA SAYYIDINAA MUHAMMADIN THIBBIL QULUUBI WA DAWAA-IHAA WA ‘AAFIYATI ABDAA NI WA SYIFAA IIHA. WA NUURIL ABSHAARI WA DIYAAIHAA WA ‘ALAA AALIHII WA SHAHBIHII WA BARIK WA SALLIM.’ Rafel mengikut alunan zikir tesebut. Rafael cuba mengingatkan di dalam hati. Tamat sahaja aluan selawat, perbincangan kembali bersambung.

“Bolehkah manusia memasuki dunia jin ustaz?”

“Jika Nabi Muhammad boleh masuk… kita juga boleh. Tetapi dengan izinNya. Dalam Kitab Gharaib Wa'ajaaibul Jinn karangan Al-Muhadith al-Qadi Badruddin as-Syubli, di halaman 99 ditulis suatu tajuk ‘Hukum ke atas isteri yang suaminya dilarikan jin'. Diceritakan di dalam bab tersebut, bahawa pada zaman Umar al-Khattab (r.a.) menjadi khalifah, seorang perempuan mengadu kepada Umar tentang kehilangan suaminya (dilarikan jin). Umar bertanyakan wanita tersebut dan membenarkan dakwaannya. Umar memberi hukum, perempuan itu terpisah dengan suaminya dan hendaklah ber'idah selama 4 tahun. Sesudah genap ber'idah, dia mendatangi Umar sekali lagi untuk meminta kebenaran berkahwin.Setelah berkahwin dengan suami yang kedua, suami pertama yang hilang dahulu muncul semula dan mereka bersengketa kerana perempuan itu ada dua orang suami.Mereka mendatangi Umar semula kerana dialah yang membenarkan perempuan itu berkahwin.Umar berkata kepada suami pertamanya mengapa kamu menghilang diri begitu lama. Lalu lelaki itu menjawab dengan mengatakan beliau mempunyai alasan yang kuat kerana, dia ditawan oleh jin sepanjang masa dia hilang tersebut. Dia akhirnya dibebaskan.

Umar memberikan pilihan kepada suami yang pertama itu iaitu, sama ada hendak bersama dengan isterinya, dia akan memfasahkan perkahwinan kedua, atau dia menceraikan isterinya kerana ada suami yang kedua dan dia berhak mendapat kembali mahar yang dibayarnya semasa berkahwin dahulu. Jadi tentang manusia ini ke dunia jin memang wujud. Allahualam.”

“Masya Allah. Baiklah masa begitu mencemburui kita. Kita berjumpa dengan Ustaz pada minggu hadapan untuk mengupas lagi dunia perubatan islam. Terima kasih ustaz” Rafael memperlahankan radionya.

“Adakah aku diganggu oleh jin” Secara tidak sengaja Rafael terpandang cermin pandang belakang. Kelibat Endai lengkap memakai baju silat kelihatan duduk di belakang. Rafael beristifar… dan mengalihkan pandangan di jalan di hadapan. Radio Ikim dikuatkan semula yang kebetulan memainkan aluanan selawat. Rafael membaca surah 3 kul. Dia melihat cermin pandang belakang semula. Tiada kelibat Endai yang kelihatan.

“Mungkin aku terlampau fikirkan hal ini. Astafirullah.”

(((((((((((((((((((((((((((((

Rafael sampai di rumah hampei Maghrib. Kebetulan pakcik alang sebelah ayahnya daripada Johor datang ke rumah kerana mahu bercuti di Shah Alam. Katanya anak mereka sibuk hendak pergi ke I City. Keluarnya sahaja Rafael dari kereta, pakcik alang yang menyambutnya… mungkin ayahnya masih belum balik dari pejabat manakala ibunya sedang sibuk di dapur. Tetapi air muka pakcil Rafael berubah apabila dia melihat tempat duduk belakang. Dia memegang bahu Rafael dan minta Rafael berganjak. Rafael yang mahu mengambil bungkusan madu di tempat duduk belakang hairan dengan tindakan pakciknya.

“Kamu bawa balik benda yang sepatutnya kamu tidak bawa balik. Ikut pakcik baca 3 kul” Rafael mengikut sahaja arahan pakciknya. Ini mesti kerja si Endai ni. Rafael mengaminkan doa yang di sebutkan oleh pakciknya. Selepas berdoa, pakciknya melihat ke kiri dan ke kanan… melihat samada makhluk tersebut masih berada di situ.

“Alhamdulillah… makhluk itu mesti menumpang kamu dari lebuhraya tadi. Mari kita masuk… mulakan kaki kanan dan bismillah” Rafael mengambil madu yang diletakkan di tempat duduk belakang. Azan Maghrib berkumandang. Masuk di dalam rumah riuh rendah cucu pertama dan kedua pakcik Rafael kedengaran. Rupanya selain pakcik Rafael dan keluarganya… menantu dan cucunya turut bersama di dalam percutian itu. Rafael bersalaman dengan menantu pakciknya Abang Deli, orang Kelantan. Kemudian bersalaman dengan anak-anak pakciknya dan akhir sekali bersalaman dengan ibu dan makciknya yang sibuk di dapur. Rafael kemudian masuk segera ke biliknya yang sudah lama ditinggalkan untuk mandi dan mengambil wuduk kerana pakciknya yang alim itu mahu segera menunaikan solat Maghrib berjemaah.

((((((((((((((((((((((((((((((

Ayah Rafael balik semasa kami sedang bersolat Mahgrib berjemaah. Selepas berjemaah bacaan yassin diadakan dan Rafael tahu apakah sebabnya. Kemudian diikuti dengan sedikit tazkirah di mana ayah Rafael turut sama mengikutinya. Selepas tazkirah, diikuti pula sembahyang isyak berjemaah. Selepas solat, orang perempuan terkocoh menyediakan makan malam manakala aku, ayah, pakcik dan abang Deli menonton televisyen. Rumah meriah dengan suara cucu dan anak-anak pakcik.

“Macamana dengan sekolah tempat kamu mengajar Rafael?”

“Semuanya ok pak lang. lama-lama tak biasa juga. Tapi Alhamdulillah sudah biasakan diri.” Ayahnya hanya menghisap rokok sahaja. Tingkap ruang tamu dibuka bagi memudahkan asap keluar.”

“Jauh pandangan, luas pengalaman. Macam abang kamu, seluruh dunia pergi berjalan.”

“Semua anak-anak aku merantau lang. Tinggal aku berdua dengan along kamu. Makan pun tak masak sekarang ni dah. Makan luar. Along kamu malas masak. Katanya makan berdua sahaja baik makan luar” ada nada merajuk dalam suara ayahnya.

“Ala long… ini semua putaran hidup. Kita bujang, kemudian berdua, kemudian ada anak-anak. Akhir sekali kita akan ditinggalkan berdua apabila anak-anak ada kehidupannnya sendiri. Kita kena reda. Tapi masa inilah kita boleh dating berdua dengan isteri kita. Macam mula-mula dulu” pujuk pakcik Rafael. Letus juga ketawa ayahnya.

“Yalah… aku faham tu.”

“Abang… makanan dah siap. Mari semua makan. Alang” ajak ibu Rafael. Mereka semua bangun menuju ke meja makan.

((((((((((((((((((((((((((((

Selepas makan, orang lelaki masih berbual-bual. Pak Lang yang baru pencen menceritakan pengalamannya selama 30 tahun bekerja makan gaji sebagai pembantu perubatan. Macam-macam perkara yang terjadi.

“Untung kau, Umur 55 tahun dah boleh pencen… duduk rumah. Aku ni dah umur 63 masih lagi duduk di pejabat. Uruskan syarikat. Entah bila anak-anak aku boleh ambil alih perniagaan aku ni” gomel ayah Rafael. Mulalah tu ayah ni…

“Insya Allah… bila tiba masanya terbukalah hati mereka tu hendaknya.”

“Aku harapkan Rafael, tapi dia minat mengajar juga. Yang seorang tu hendak sangat jadi juruterbang. Kata bagi masa 10 tahun. Bagi dia puas bawa flight tu baru hendak nolong aku meniaga. Akhirnya ke sudah… dah 15 tahun” pakcik Rafael hanya tersenyum.

“Sabarlah. Insya Allah tak kemananya syarikat kau tu. Anak-anak kau ni semuanya pandai-pandai. Mesti mereka boleh uruskan bila tiba masanya.”

“Oklah. Aku nak masuk tidur dulu. Letih aku menghadap kerja-kerja pejabat. Dah tak macam muda-muda dulu” ayah Rafael bangun dan menuju ke bilik tingkat atas biliknya. Diikuti oleh menantu dan anak cucu pak lang yang mahu tidur awal. Jam menunjukkan pukul 11 pakcik dan Rafael tinggal berdua di ruang tamu.

“Kamu jangan ambil hati apa yang ayah kamu kata. Biasalah orang tua. Mengomel sahaja kerjanya.”

“Saya faham pak lang. Ayah sayapun sudah berumur,,, memang patut berehatpun. Tapi berniaga bukan jiwa kami adik beradik.”

“Entahlah. Pak lang harap along kamu cepat-cepatlah tolong ayah kamu. Kasihan ayah kamu,” Rafael mengangguk.

“Pakcik… pakcik nampak apa dalam kereta saya?” pakciknya yang sedang mengira biji tasbih berhenti membilang biji tasbihnya. Dia beristifar,

“Ada entiti menyerupai seorang panglima dari segi pakaiannya duduk di kerusi belakang. Lengkap bertengkolak dan berkeris. Seperti panglima di zaman silam. Tidak mustahil kerana jin hidup lama daripada manusia,” Pakciknya beristifar. Kemudian menyebut kalimah Allahuakbar beberapa kali.

“Owh,”

“Lain kali sebelum keluar rumah baca doa. Beristifar. Baca apa yang patut. Semasa memandu sentiasa berzikir. Insya Allah benda itu tidak mengikut.” Rafael hanya mengangguk, Baginya masalah yang dihadapi semakin berat. Tetapi belum masanya lagi dia memberitahu sesiapa mengenai hal ini. Dia akan cuba menghadapinya sendirian

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.