Bab 10
Malam itu selepas
Isyak mereka bertiga berjumpa di Gerai Pak Abu. Selepas minum dan berbual.
Mereka bertiga terus balik ke rumah Rafael. Jam di dashboard kereta menunjukkan
pukul 10 malam.
“Rumah cikgu ni bila tidak dipasang lampu semakin gelap pula
saya tengok,” kata Osman di tempat duduk belakang. Benar, rumah Rafael yang
hanya dipasangkan lampu di tangga menampakkan kesuraman. Kereta kini sudah
diparkir di hadapan rumah Rafael, mereka bertiga keluar daripada kereta. Rafael
naik tangga rumahnya dan membukakan pintu utama. Berkeriuk bunyi pintu apabila
Rafael menguak pintu rumahnya. Rafael menoleh ke belakang ;
“Apa yang tercegat lagi? Marilah masuk,” ajak Rafael yang
melihat Mail dan Osman masih lagi tercegat di laman rumah. Rafael masuk dan
membukakan lampu di ruang tamu. Mail dan Osman menaiki tangga dan masuk ke
dalam rumah. Rafael menutup pintu semula selepas mereka berdua masuk ke dalam
rumah.
“Jom kita ke rumah bawah,” ajak Rafael dan terus berlalu ke
rumah bawah. Mail dan Osman berjalan beririangan mengikuti Rafael dari
belakang. Apabila sampai di bilik di mana pintunya diukir cantik.
“Bilik inikan Mail dan Osman?” Rafael memandang Mail dan
Osman. Terdapat riak cuak di wajah Mail. Manakala Osman mulutnya terkumat-kamit
membaca sesuatu ;
“Allhumabariklana,” bacaan yang didengari oleh Rafael.
“Kamu baca doa apa tu Osman? Bunyi macam doa makan jer?”
tegur Rafael.
“Allah… bila dalam keadaan berdebar-debar, ayat saya bacapun
tunggang terbalik,” Osman beristifar.
“Cikgu, tak payahla kita buka pintu ni. Saya dah rasa lain
macam ni. Seram sejuk lutut saya.”
“Insya Allah takde apa. Mari kita baca ayat-ayat rukyah
bersama-sama.” Rafael mula membaca ayat-ayat rukyah diikuti oleh Osman dan
Mail. Selepas habis membaca… Rafael berdoa agar dijauhkan dari bala bencana dan
mendapat pelindungan daripada Allah. Selepas membaca doa, Rafael mengambil
segugus anak kunci rumah daripada poketnya.
“Kamu berdua sudah bersedia? Ingat… Allah bersama dengan
kita. Kita berlindung dari syaitan yang direjam,” Rafael mencuba semua kunci
yang ada. Akhirnya pada kunci yang keempat bunyi klik pada ibu kunci menandakan
bahawa ibu kunci sudah terbuka. Rafael segera membuka pintu itu dengan lafaz
assalaimualaikum.
“Waalaikumussalam.” Jawab Mail. Osman memandangnya dengan
pandangan menyinga.
“Kenapa pula engkau yang jawab?”
“Mak aku kata, orang bagi salam kita kena jawab. Salah ker?”
jawab Mail selamba.
“ Sudahlah tu,” Rafael mencium bau hapak dari dalam bilik
itu. Rafael membuka pintu seluas-luasnya. Hatinya tidak henti-henti berzikir.
Memohon perlindungan dari Allah. Pintu bilik dibuka.. nyata lampu biliknya
masih lagi boleh berfungsi. Mentol kuningnya masih menyala walaupun malap.
Rafael masuk ke dalam bilik. Kelihatan senjata lama seperti keris dan tombak
bergantung di dinding bilik. Rafael mendekatkan diri ke dinding dimana senjata
lama dilekatkan di dinding. Osman mengikuti langkah Rafael dan turut mengamati
senjata yang ada.
“Keris milik moyang saya panglima Badar dan Dato Maharaja.
Saya tahu sebab ayah saya pernah tunjukkan gambar keris itu,” Osman menunjukkan
dua keris yang dimaksudkan. Keris Dato Maharaja agak panjang berbanding keris Panglima
Badar. Hulunya diperbuat daripada emas. Keris Panglima Badar pula bersepuh
mutiara di hulunya. Kedua-kedua keris yang sarungnya diperbuat daripada kayu
nampak usang. Rafael menyentuh keris Dato Maharaja. Seperti keris yang pernah aku lihat dahulu dalam mimpi. Osman pula
menyentuh keris moyangnya.
“Patutlah bila saya tanya keris peninggalan moyang saya. Ayah
diam seribu bahasa. Rupanya di sini ianya disimpan. Tapi kenapa?” persoalan
yang bermain di fikirannya.
“Tentu ada cerita kenapa keris ini disimpan di sini.” Rafael
melihat keris yang ada. Ada 6 kesemuanya. Selain keris ada juga 4 lembing yang
digantung.
“Hak milik Istana Kuala Kangsar.” Mail menyebut tulisan jawi
yang tertera di pemegang kayu lembing.
“Boleh kamu baca jawi lama Mail?” tanya Rafael. Mail hanya
tersengih.
“Arwah atuk saya mengajar saya mengaji dan membaca jawi
tulisan lama cikgu.”
“ Senjata yang lama ini mungkin pemiliknya berkaitan antara
satu sama lain. Pejuang yang membunuh Birch dan melarikan diri dengan keluarga ke sini untuk
berkampung. Walaupun sudah berkampung di sini, tetapi mereka masih tidak berasa
selamat dan membuat kubu di sekeliling kampung. Rumah ini dibuat menara agar
mudah melihat pemandangan sekeliling kampung. Malah sebagai sebahagian daripada
tempat bertahan jika diserang tentera British,” Rafael membuat telahan.
“Dan apa yang Mail dan saya jumpa itu adalah makhluk yang
diseru untuk menjaga kampung ini,” telah Osman.
“Betul tekaan tuan dan cucu cicit moyang Badar.” Rafael dan
Osman menoleh ke arah suara yang garau tadi. Rafael terperanjat apabila Mail
duduk bersimpuh di atas lantai bilik. Matanya tertutup tetapi nampak pelipisnya
bergerak. Rafael memandang Osman.
“Kamu siapa yang masuk ke dalam tubuh kawanku ini?” tanya
Osman. Nampak gerak gaya seperti Osman bersedia.
“Namaku Panglima Endai… aku telah diseru pada tahun 1875.
Datang untuk menentang benggali putih. Aku bertuankan Panglima Badar. Tuan aku
yang baru ini adalah keturunan diraja Sultan Amirul Rashid yang digantung.
Sultan yang sangat aku junjung dan kasihi,” Rafael terperanjat dengan pengakuan
Mail yang kini telah dirasuk oleh Endai.
“Saya keturunan Sultan Amirul Rashid? Kalau saya berketurunan
raja, tentu ada gelaran tengku atau raja pada permulaan nama saya. Kamu cuba
menyesatkan saya. Kamu pembohong!” tingkah Rafael.
“Apabila British mula mencari siapa dalang pembunuh Birch.
Tuanku telah memerintahkan anak keduanya Raja Muazam lari ke Pattani. Sampai di
Pattani, Raja Muazam menyamar sebagai saudagar dan membuang ke semua gelaran
bagi anak-anak dan cucu-cucunya. Raja Muazam menjadi rakyat biasa dan
berdagang. Apabila keadaan reda, baru Raja Muazam membuat rumah di Kuala
Selangor di atas perlindungan Raja Sabtu anak kepada sultan Selangor. Jadi cucu
cicit dan piungnya iaitu kamu kekal tanpa ada nama Raja atau Tengku di awalan
nama. Tapi darah yang mengalir di tubuhmu adalah darah raja. Keturunan kamu
adalah Sultan Amirul Rashid.”
“Tapi ayah saya tidak pernah bercerita tentang hal ini.”
“Tentulah. Sebab moyang kamu Raja Muazam berwasiat agar susur
galurnya tidak diketahui oleh sesiapa. Ini adalah untuk keselamatan keluarga
diraja,” terang Endai lagi.
“Buragas?” tanya Rafael.
“Buragas ada di sebelahku. Dia sudah terlalu tua untuk
merasuk, Buragas warisan dari nenek moyang Batin Sempah. Umurnya sudah beratus
tahun dan hanya menunggu masanya. Sebelum itu, Buragas perlu jalankan tugasnya.
Barang kebesaran Tuanku Sultan Amirul Rashid perlu dipulangkan kepada tuannya.
Tuan, di dalam almari kayu itu ada peti.
Di situ ada keris dan barang kepunyaan Tuanku Sultan yang diamanahkan kepada
keturunan Panglima Badar untuk menjaganya. Tuan silalah ke almari itu untuk
melihatnya.” Tangan Mail menunjukkan ke satu arah dan Rafael melihat ke arah
yang ditunjukkan. Satu almari usang, Rafael memandang Osman. Osman mengelengkan
kepala tanda tidak bersetuju.
“Saya tengok dahulu. Jika berbahaya, barulah kita tamatkan
semuanya. Kita berlindung dengan nama Allah,” sifat ingin tahu Rafael mengatasi
segala-galanya. Rafael bergerak ke almari itu… dia membuka almari yang tidak
berkunci. Benar, terdapat kotak besi di bawah almari. Rafael mengangkatnya
keluar kotak besi itu yang tidak seberat mana dan meletakkan di atas lantai. Rantai
besi itu ada kuncinya.
“Adakah kuncinya ada di sini?” Rafael mengambil segugus kunci
dari dalam poket dan diangkat bagi memperlihatkan kepada Mail.
“Tidak. Tuan hanya perlu letakkan tangan kanan di atas pemuka
peti. Jika tuan seorang yang benar pewaris Sultan Amirul Rashid, kotak itu akan
terbuka sendiri,” terang Mail. Rafael meletakkan tangan di atas peti besi
tersebut. Secara automatik peti itu terbuka sendiri. Osman yang berminat untuk
mengetahui apakah isi peti tersebut duduk bersebelahan Rafael. Rafael membaca
bismillah sebelum membuka lebih luas dan melihat isi di dalamnya. Ada bungkusan
warna kuning dan Rafael mengambilnya. Apabila kain kuning itu diselak terserlah
keris sundang panjang bersalut emas di hulunya.
“Itulah keris sundang milik Sultan Amirul Rashid. Keris
ditempuh di Sriwajaya. Keris warisan kesultanan Perak. Nama kerisnya dendam tak
sudah. Keris yang banyak memakan nyawa. Diturunkan dari satu generasi ke satu
generasi. Keris ketiga selepas Taming Sari dan juga Keris Buana warisan kerajaan
kesultanan Melaka. Usah risau, keris itu sudah ditawarkan oleh Syeikh Maulana.
Kesaktiannya telah hilang. Pemakainya tidak lagi kebal,” jelas Mail yang telah
dirasuk oleh Endai.. Rafael mencabut keris itu dari sarungnya. Nampak berkarat
besinya kerana mungkin sudah lama tidak diperasapkan atau dijalankan upacara
basuh keris. Rafael meletakkan di lantai keris sundang tersebut. Dikeluarkan
tengkolak lusuh daripada dalam peti.
“Tengkolak rasmi diraja. Buatan Terengganu. Dipakai pada hari
terakhir dimana baginda Sultan ditangkap British,” kata Mail yang masih duduk
bersila. Rafael mengeluarkan satu lagi bungkusan dam membukanya. Pakaian rasmi
baginda Sultan berwarna kuning keemasan. Turut ada di dalam kotak besi itu
mahkota milik permaisuri diperbuat daripada belian dan emas padu. Malah barang
kemas milik permaisuri juga ada. Ada juga 10 uncang wang emas yang bertanda
Negeri Perak. Tentu nilainya beratus ribu,
“Kesemuanya adalah peninggalan Sultan Amirul Rashid kepada
pewarisnya. Dan tuan berhak ke atas semua barangan tersebut. Buragas puas hati
kerana dapat memberikan kesemuanya kepada tuan.”
“Saya harap kamu berdua jangan menganggap aku tuan kamu. Aku
bebaskan kamu dan jangan mendampingi aku dan menganggu penduduk kampung,”
perintah Rafael. Dia tidak mahu jin sebagai khadamnya walau apa juga alasan.
“Boleh. Tapi tuan kena jalankan upacara putus khadam. Tuan
kena sediakan alat-alatnya,”
“Apakah alatnya?”
“Ayam kampung hidup perlu disembelih dan diberikan kepada
kami. Pulut kuning dan bertih. Upacara
dilakukan pada bulan mengambang penuh di tepi Sungai Perak. Kami akan kembali
kepada asal kami,” Mail menjelaskan syaratnya.
“Itu syirik namanya!” bentak Rafael… suaranya agak meninggi.
“Tidak kisahlah syirik atau apa. Selagi tuan tidak
melakukannya… kami akan mendampingi tuan,” ada nada tegas dalam suara Mail.
“Kurang ajar!” Rafael membaca ayat kursi dengan kuat dituruti
oleh Osman. Tiba-tiba sahaja Mail menggigil. Setelah habis ayat Kursi dibaca…
Mail pengsan. Osman memangku kepala rakannya itu manakala Rafael bergegas ke
dapur mengambil air kosong. Dia membacakan selawat dan menyapu ke muka Mail.
Mail sedar,
“Apa yang berlaku tadi?” Osman dan Rafael mengucapkan
Alhamdulillah serentak.