Bab 13
“Nampaknya main hantu dengan cubaan meracun tidak berjaya
Dato Maharaja. Liat pula nyawa Si benggali putih itu. Apakah cara lain yang
Dato fikir kita patut lakukan sekarang?” tanya Tuanku Sultan Amirul Shah kepada
Dato Maharaja yang duduk bersila. Kini Tuanku Sultan mencemar duli ke rumah
Dato Maharaja di Pasir Salak. Selain untuk mengutip cukai hasil padi penduduk…
Tuanku Sultan ingin berbincang dengan Dato Maharaja Lela tentang tindakan
seterusnya bagi menghapuskan Birch.
“Kita bunuh Birch tuan. Kita upah orang darat,” cadang Dato
Maharaja. Perbualan mereka terhenti apabila Panglima Badar naik ke ruang tamu
di mana Tuanku Sultan dan Dato Maharaja sedang berbicang.
“Ampun Tuanku dan Dato… maafkan tuan hamba kerana menganggu
Tuanku dan Dato berbincang. Hamba terpaksa menganggu Dato kerana Birch ada di
halaman rumah ingin berbincang dengan Tuanku," Sultan Amirul Rashid berdiri
diiikuti oleh Dato Maharaja.
“Apa yang si benggali putih mahu? Suruh dia masuk mengadap.”
“Ampun Tuanku. Birch mahu berjumpa dengan Tuanku di laman
rumah sahaja,”
“Sungguh kurang hajar!” Sultan Amirul Rashid murka dan
bergegas turun ke laman rumah dan diikuti oleh Panglima Badar dan Dato
Maharaja. Dari muka pintu terlihat Birch yang misainya melentik bersama 6 orang
askar Gurkha bersenjata istinggar sedang menunggu di bawah kerusi panjang
berukir cantik di bawah pokok Rambutan. Di sisinya yang sedang berdiri adalah
Mr Frank, pegawai muda British yang membantu Birch menjalankan tugasnya. Sultan
Amirul Rashid segera menuju ke arah Birch dan orang-orangnya. Birch langsung
tidak berdiri apabila Sultan Amirul Rashid berada di hadapannya. Malah dengan
selamba menghisap cerut.
“Apa yang kamu mahukan Birch? Apa maksud tujuan kamu datang
ke mari?” tanya Sultan Amirul Rashid murka. Nadanya suaranya agak tinggi
sedikit.
“Tuanku, saya datang ke mari ingin tahu apa tujuan Tuanku
datang ke Pasir Salak? Saya dengar cerita Tuanku Sultan mahu mengutip hasil
padi penduduk kampung,” jawab Birch dengan bahasa melayu dengan lancar. Tidak
ada cacat celanya kerana British telah melatih pegawai-pegawainya bertutur
bahasa melayu dengan sempurna. Tujuannya adalah memudahkan pegawainya berurusan
dengan orang melayu dan memudahkan mereka menjajah negara ini.
“Tujuan aku datang ke mari bukan urusan kamu. Ini negeri aku…
dan aku berhak berbuat apa sahaja terhadap negeri aku,” Sultan betul-betul
murka. Kata ganti telah bertukar dari beta kepada aku.
“Tuanku, saya penasihat Tuanku. Jadi saya ingatkan Tuanku
bahawa kuasa Tuanku hanyalah mengutip zakat sahaja. Bukan cukai… bukankah
perjanjian Pangkor menyatakan bahawa orang British mengutip cukai. Tuanku hanya
berhak ke atas agama dan adat melayu sahaja. Bukankah Tuanku dan keluarga
Tuanku sudah dapat 5,000 syiling perak sebulan? Malah semua orang gaji Tuanku
British bayar gajinya. Gaji Panglima dan Dato Maharajapun British bayar. Tidak
cukupkah lagi?” kata Birch angkuh.
“Aku bukan orang gaji! Aku pegawai istana menjaga Pasir
Salak!” tegas Dato Maharaja.
“Sabar Dato Maharaja. Perkara ini tidak boleh diselesaikan
dengan pertelingkahan,” Panglima Badar cuba meredakan api kemarahan Banginda
Sultan dan Dato Maharaja. Takut pula dia ada pertumpahan darah akan berlaku
jika api kemarahan tidak dibendung.
“Jadi apa yang kamu mahu Birch?” tanya Tuanku Sultan.
“Segala hasil padi yang Tuanku Sultan kutip perlulah kembali
kepada pejabat cukai semula dalam tempoh seminggu,”
“Aku takkan serahkan walau sebutir padipun!” jawab Tuanku
Sultan.
“Tuanku, Tuanku tidak berhak keatas hasil padi itu walau
apapun caranya. Jika tidak kami akan rampas,” jawab Birch sedikit tinggi.
“Rampaslah kalau kau berani!”
“Tuanku sudah lupa Perjanjian Pangkor? Frank… kamu bacakan
apa yang Perjanjian Pangkor itu tulis,” Frank teragak-agak untuk membaca isi
salinan Perjanjian Pangkor yang dibawanya. Birch yang masih duduk memandang
Frank yang berdiri di sisinya.
“What going on with you? Just read what the Perjanjian wrote.
Don’t afraid with them… we have weapon than the orang utan only have keris and
tombak. They could not do anything. Just read Frank… this is my order,” tegas
Birch. Frank terpaksa menuruti perintah Birch dan membuka fail yang mengandungi
salinan Perjanjian Pangkor.
“Maafkan saya Tuanku, Dato dan Panglima. Saya hanya menurut
arahan. Di dalam Perjanjian Pangkor yang ditandangi oleh ayahanda Tuanku,
Kerajaan Perak bersetuju untuk melantik seorang penasihat British bagi
menasihati Tuanku di dalam semua perkara kecuali agama dan adat resam melayu.
Armarhum juga bersetuju untuk menyerahkan hal percukaian kepada kerajaan British,”
terang Mr. Frank dengan perlahan tetapi jelas. Mr. Frank begitu menghormati
orang melayu dan berhati-hati apabila bercakap. Tidak seperti Birch yang
angkuh.
“Ha. Well, Tuanku dengarkan apa isi Perjanjian Pangkorkan.
Segala hal berkaitan cukai perlu diberi kepada British,” nada Birch angkuh.
“Tapi kamu semua sudah melampau. Dahulu janji cukai bijih
sahaja. Ini kamu kenakan cukai kepala, cukai hasil hutan, cukai padi, cukai
emas malah cukai berumahpun kamu kenakan. Kamu semua sudah melampau!” bentak Sultan
Amirul.
“Tuanku, jika saya tidak kutip cukai bagaimana mahu bayar
gaji Tuanku dan orang-orang Tuanku. Bayar gaji askar.”
“Beta tidak akan serahkan walau satu senpun!” bentak Sultan
Amirul Rashid lalu dengan pantas mengambil fail di tangan Frank dan mengoyaknya.
Birch bangun dan tersenyum… cerutnya dibuang ke tanah.
“Tuanku… Tuanku. Itu cuma salinan sahaja. Yang asli ada di
London. Saya beri masa tiga hari untuk Tuanku serahkan. Jika tidak saya akan
arahkan askar saya rampas hasil padi Tuanku. Ingat Tuanku… 3 hari. Come on
guys,” Birch mengarahkan orang-orang untuk beredar.
“Kurang ajar!” Tuanku Sultan mengeluarkan keris Dendam Tak
Sudah dari sarungnya. Tindakannya itu segera dihalang oleh Dato Maharaja dan
Panglima Badar. Kesemua tentera yang ada mengacukan istanggar tepat kepada
kepala Tuanku Sultan.
“Tuanku… jangan buat apa-apa yang bodoh. Askar saya sedia
untuk bertindak jika saya diapa-apakan. Kelak merana badan,” Birch berlalu
pergi dengan askar-askarnya. Tuanku Sultan ditenang oleh Dato Maharaja dan
Panglima. Setelah Birch berlalu pergi dan hilang daripada pandangan.
“Panglima! Beta titahkan kamu cari orang darat yang boleh
membunuh Birch keparat tu! Ambil keris ini dan sembahkan kepada Tok Batin
Sempah. Dia tahu maknanya,” titah Sultan Amirul dijunjung oleh Panglima.
((((((((((((((((((((((((
“Jadi betullah Birch dibunuh atas keangkuhannya?”
“Ya betul. Kerana mulut badan binasa. Maka Panglima Badar
terus berjumpa dengan Tok Batin Sempah. Tok Batin Sempah yang faham apabila
ditunjukkan keris Dendam Tak Sudah. Maksud keris itu adalah hukuman mati perlu
dijalankan kepada seseorang secara mandatori. Tun Batin Sempah sudah terlalu
tua dan tidak lagi gagah untuk berkelahi. Maka di serahkan kepada Sekuntum.
Sekuntum menjalankan tugasnya itu semasa Birch sedang mandi di tepi Sungai
Perak. Sekuntum yang handal melontar lembing telah melontar tepat di dada
Birch. Kemudian British menghantar satu rejimen askar yang berpusat di Pulau
Pinang,” Tok Penghulu menyambung ceritanya ;
((((((((((((((((((((((((((
Panglima Badar yang sedang beristirehat di rumah ibu terkejut
apabila seseorang meneriak namanya. Panglima Badar membukakan tingkap.
“Aku di sini.” Laung Panglima apabila tingkap dibuka. Datang
pembantunya Pendekar Helmi dengan tercungap-cungap di bawah rumah.
“Ada apa tuan hamba berlari seperti tidak cukup tanah?” tanya
Panglima Badar kehairanan.
“Sultan dan Dato Maharaja telah ditangkap oleh tentera
British Panglima,”
“Apa? Sultan dan Maharaja telah ditangkap! Pendekar Helmi!
Pukulkan beduk! Kamu kumpulkan orang-orang kita! Kita bedil British malam ini
juga. Berkumpul di Kampung Sauh. Malam ini kita mengamuk!” arah Panglima Badar.
“Baik Panglima!” Pendekar Helmi bergegas berlari untuk
memukul beduk dan mengumpulkan orang-orangnya. Panglima Badar masuk ke dalam
rumah dan segera ke bilik beradunya untuk bersiap.
“Kenapa abang?” tanya isterinya sambil mengendong anak
bongsunya.
“Sultan dan Dato Maharaja telah ditangkap. Abang hendak bertempur
dengan mereka,” Ditukarnya bajunya kepada baju perang. Lengkap dengan baju
besi. Diambilnya keris sundang Dendam Tak Sudah yang masih belum dikembalikan
kepada Tuanku Sultan selepas membunuh Birch.
“Endai… bersatulah denganku,” katanya sebelum mengucup keris
keramat itu.
“Aku akan membantumu… tubuhmu kelak tidak akan dapat
ditembusi ubat bedil. Kamu tidak akan kelihatan di mata askar British,”
kedengaran suatu suara di cuping teling Panglima. Panglima keluar dari
biliknya… dia mencium kesemua anak-anaknya.
“Ayah, berilah saya peluang berjuang dengan ayah,” kata anak
sulungnya apabila hendak memeluk bapanya. Setelah pelukan terlerai.
“Tidak anakku Azmi, kamu masih lagi muda. Banyak ilmu yang
belum aku ajarkan kepada kamu. Bawa emak kamu dan adik-adik ke rumah pakcik di
Kuala Kedah. Berkampung di sana sehingga aku datang. Jika ayah tidak datang
melebihi 3 purnama, anggaplah ayah gugur di medan perang. Kamu menjadi ketua
keluarga dan terpulanglah kepada kamu samada ingin kembali ke sini atau mendiam
di sana,”
“Baiklah. Tetapi jika ayah gugur… saya akan menuntut bela,”
tekad anaknya.
“Boleh. Tetapi pastikan kamu sudah ada ilmu yang cukup
anakku. Kamu muda lagi, banyak yang kamu perlu belajar lagi,” Azmi anaknya
mengangguk.
“Esok pagi-pagi selepas Subuh bertolaklah kamu. Bawa dengan
kereta kuda kepunyaan Ayah. Rasanya perang aku berlaku… tidak selamat kamu
duduk di sini. Keris pusaka kita Sang Saka ada di dalam peti. Ambillah,
jadikanlah senjata melindungimu sepanjang perjalanan,” nasihat Panglima.
Kemudian panglima mencium dahi isteri
dan anak kecilnya yang menangis. Sebelum Panglima Badar melangkah pergi ;
“Ingat pesanku itu Azmi,” laungnya.
(((((((((((((((((((((((((((
“Kemudian terjadilah perang kecil di antara orang melayu
dengan British di pengkalan mereka di Taiping. British sebenarnya telah membuat
helah, Tuanku Sultan dan juga Dato Maharaja serta Sekuntum yang telah ditangkap
awal-awal lagi telah dihantar ke Pulau Pinang sebelum diektradisi ke Pulau
Sekel… tempat dimana mereka bertiga digantung. Walaupun begitu perang tetap
berlangsung selama seminggu. Selepas Panglima Badar cedera parah, Dato Bendahara
yang mengetuai pemberontak Melayu ketika itu berundur ke Kelantan. Panglima
Badar pulih dalam masa sebulan sebelum kembali ke Kuala Kedah bertemu
keluarganya. Kemudian mereka mengikut orang asli berkampung di sini,” cerita
Tok Penghulu panjang lebar.
“Endai, jin yang melindungi Panglima Badar,”
“Ya. Selain melindungi… Endai memastikan Panglima Badar terus
kebal. Apabila perkampungan ini dibuka… Endai dan jin yang lain ditugaskan
untuk mengawasi dan membuatkan kampung ini sukar dilihat oleh tentera British
yang masih lagi mencari saki baki pejuang. Rumah ini dibina oleh Panglima Badar
sebagai balai mengadap dan dibina menara untuk tujuan pertahanan jika British
menyerang. Sehinggalah Syeikh Maulana datang menjadi imam di kampung ini
apabila masjid dibuka 5 tahun kemudian. Syeikh Maulana telah berjaya membuka
pintu hati Panglima Badar untuk bertaubat dan membuang ke semua ilmunya. Ini
termasuk kesaktian keris Sultan dan juga kerisnya sendiri. Jinnya belaannya
juga turut dipasung tetapi kini muncul semula,” Tok Penghulu mengelengkan
kepala.
“Keris dan tombak yang digantung itu?”
“Kamu buka pintu bilik belakang?” tanya Tok Penghulu.
“Iya. Maafkan saya Tok Penghulu, naluri saya mengatakan
bahawa semuanya berpunca daripada bilik tersebut. Saya, Mail dan Osman
membukanya semalam,” jawab Rafael berterus terang.
“Kamu dapat buka peti besi tu?” tanya Tok Penghulu seperti
berminat.
“Ya. Saya dapat membukanya… kata jin tersebut saya ini
keturunan Sultan Amirul Rashid. Hanya keturunannya sahaja menurut jin tersebut
boleh membuka peti tersebut. Kenapa Tok penghulu?” tanya Rafael hairan melihat
sikap penghulu yang begitu teruja.
“Benar… ayah aku dahulu ada berkata… hanya waris Sultan
sahaja boleh membuka pintu itu dan mengambil hartanya. Sebab tok cuba pelbagai
cara untuk membuka… tetapi gagal. Apa yang kamu jumpa?”
“Keris, baju, mahkota dan juga wang emas,” jawab Rafael
jujur.
“Kamu tidak mengambilnya? Masih ada di dalam almari itu
lagi?” tanya Tok Penghulu.
“Tidaklah, saya takut jika barang itu belum ditawarkan… entah
apa yang terjadi nanti. Lagipun itu…” perbualan Rafael terganggu apabila
telefonnya berbunyi. Hanya rumah penghulu sahaja ada talian telekomunikasi.
Rafael meminta diri untuk menjawab telefon. Tertera nama Cikgu Din di skrin
telefon bimbitnya. Rafael menjawabnya;
“Assalaimualaikum. Ya Cikgu Din. Apa! Di mana? Baik-baik saya
datang sekarang juga,” Rafael menamatkan panggilan. Cikgu Din menelefonnya
untuk memberitahu Mail kemalangan dan mahu berjumpa dengannya petang itu juga
sebelum Cikgu Romei dipindahkan ke hospital Ipoh untuk mendapatkan rawatan
lanjut. Rafael melihat jam tangannya, hampir pukul 4 petang. Bagaimana Cikgu
Romei boleh kemalangan?
“Tok, saya pergi ke pekan… kawan saya kemalangan,”
“Kamu balik lambat?”
“Mungkin lambat. Tok tahulah ke pekan hampir sejam
berkereta.”
“Kamu beri kunci rumah kamu?” Rafael kehairanan.
“Untuk apa tok?”
“Tok nak tengok peti kamu tu. Nanti balik kamu singgah rumah
tok ambil balik kunci kamu,” Rafael tanpa berfikir panjang memberi sahaja kunci
rumahnya. Tok Penghulu tersenyum apabila mendapat kunci rumah Rafael. Di dalam
hatinya terdetik niat untuk mengambil harta di dalam peti tersebut. Niat yang
bakal membawa padah kepada dirinya!