Pemuda botak itu semakin laju melarikan diri. Dia tidak sangka bahawa orang yang disekat perjalanan tadi sangat ampuh dalam seni pertahanan diri. Begitu senang pengikutnya ditewaskan. Malah dia berasa takjub apabila keris Aduka terbang menewaskan kesemua pengikutnya. Larian dipercepatkan, dia perlu segera kembali ke pangkalannya. Dia mahu meminta bantuan ketuanya. Ketuanya juga bukan calang-calang orang, pernah berguru dengan Adi Wijaya di Gunung Semanggol. Tanpa disedari, pemuda botak itu terlanggar akar kayu dan terjatuh. Dia terduduk seketika dan mengurut-urut buku lalinya yang terasa sakit.
“Aduh!” Buku lalinya berasa sakit apabila dia cuba bangun. Dia terduduk semula. Kemudian kedengaran seperti anak-anak pokok di hadapan matanya dilanggar seperti dilalui seseorang.
“Siapa?” soal pemuda itu lantang. Akhirnya keluarlah Aduka dan Kamel dari luar kawasan hutan. Baju mereka dibasahi darah. Keris juga masih kejap di dalam genggaman. Rasan tinggal di jalan tadi bersama pemandu kereta kuda untuk menjaga barang dagangannya.
“Aku. Yang kau nak habiskan riwayat tadi. Kenapa lari bila aku tewaskan pengikut kau satu per satu? Takut? Mahu memanggil ketua kau?” soal Aduka. Pemuda botak itu mula berasa takut. Rupanya orang yang ditahannya bukan sembarangan orang.
“Ma...ma... maafkan hamba. Ha... hamba tersilap du... duga,” ujar pemuda botak itu tergagap-gagap sambil kedua-dua belah tangan membuat isyarat meminta maaf. “Tadi bukan main cabul mulut kau! Tiada maaf bagi kau,” balas Aduka. Lantas dia melompat tinggi lalu mencantas kepala pemuda botak itu dengan kerisnya. Kepala terpisah daripada badan dan bergolek ke tanah. Manakala badan pemuda botak itu masih lagi dalam posisi duduk. Darah memancut-mancut keluar sebelum badan pemuda itu rebah ke tanah. Endai, pandu aku berjumpa dengan ketuanya. Aku mahu habiskan kesemuanya. Jamulah darah mereka puas-puas, bisik Aduka kepada makhluk yang bersatu di tubuhnya.
“Kamel, mari kita ke pangkalan mereka. Kita habiskan mereka semua supaya tidak ada lagi orang yang mengganggu urusan perdagangan,” ajak Aduka. “Perintah dijunjung,” akur Kamel. “Mari kita bawa kepalanya kepada tuan mereka. Aku mahu melihat sejauh mana ilmunya.”
JARAK pangkalan ketua pemuda botak itu tidaklah jauh. Hanya setengah jam perjalanan jika berjalan kaki pada zaman moden. Kamel memegang kepala yang dipenggal tadi. Darahnya masih lagi meleleh keluar. Di pintu masuk, mereka berdua telah ditahan oleh pengawal. Pengawal itu terkejut apabila melihat kepala sahabat mereka dipegang Kamel.
“Tuan hamba berdua siapa?” soal pengawal itu sambil bersiap sedia. “Hamba pedagang yang diserang sahabat tuan hamba. Hamba mahu berjumpa dengan ketua tuan hamba,” jawab Aduka tenang.
“Tuan hamba telah membunuh kawan hamba. Hamba akan bunuh tuan hamba!” tegas salah seorang pengawal lalu cuba menyerang Aduka.
“Tunggu!” jerit seseorang. Pengawal itu memberhentikan langkahnya hendak menikam Aduka yang telah bersedia. Dia menoleh ke belakang dan melihat arahan itu daripada ketuanya.
“Kau bukan lawannya,” ujar lelaki pertengahan usia. Lantas lelaki itu mendekati Aduka. “Ampunkan hamba, waris Panglima Hitam. Hamba tidak tahu yang diserang adalah rombongan tuan hamba. Jika hamba tahu, hamba tidak akan benarkan pengikut hamba menahan,” ujar lelaki itu.
“Kenapa tuan hamba begitu baik? Takut melawan hamba? Bagaimana tuan hamba mengenali hamba?” tanya Aduka. Dia kehairanan bagaimana ketua perompak itu mengenalinya.
“Tidak. Cuma patik begitu menghormati ayah tuan hamba, Panglima Hitam. Kami masa muda dahulu pernah beradu. Ternyata Panglima Hitam begitu ampuh dan tidak mudah ditewaskan. Hamba tidak berhajat untuk berlawan dengan anaknya. Ternyata anaknya juga begitu ampuh seperti ayahnya. Hamba sudah tua, tidak betah lagi berlawan,” jawab lelaki itu lembut.
“Oh, rupanya tuan hamba adalah sahabat ayah hamba. Maafkan hamba,” ujar Aduka sebelum bersalaman dengan lelaki itu.
“Tidak mengapa. Nampak baju tuan hamba berlumuran darah. Jantan, ambil persalinan baru yang terbaik di rumahku. Berikan kepada anak ini dan kawannya,” arah lelaki itu. Seorang pemuda berambut panjang memberi hormat dan mengangguk. Seketika kemudian dia berlari ke rumah ketuanya untuk mengambil baju.
“Tidak perlu susah-susah.”
“Anggaplah ini tanda kemaafan dan hadiah daripada hamba. Juga sebagai kenang-kenangan daripada sahabat lama ayah tuan hamba.”
“Baiklah.” Seketika kemudian pemuda berambut panjang tadi kembali semula dengan membawa dua pasang pakaian yang amat cantik.
“Ambillah. Baju sutera terbaik buatan China,” ujar lelaki itu sambil menghulurkan dua pasang baju kepada Aduka.