PROLOG 1
Kematian adalah proses di mana roh meninggalkan
jasad dan menetap di alam barzakh sebelum dibangkitkan semula pada hari kiamat
kelak bagi dihitung segala amalannya. Manusia tidak terlepas daripada merasai
kematian kerana setiap yang awal pasti ada akhirannya. Itu adalah hukum ALLAH
yang harus kita patuh. Jika kita berlari ke serata alam sekalipun untuk
mengelak maut namun tatkala ajal telah menjemput kita pasti kita akan kembali
semula kepada-Nya.
Mati
adalah lumrah kehidupan manusia biasa. Tetapi mati yang bagaimana yang kita nak
lalui? Adakah mati dalam keadaan berdosa tanpa membawa sebarang amal? Atau mati
sebagai manusia yang bertakwa sehingga namanya menjadi sebutan para penghuni
langit? Semuanya bergantung kepada diri kita sendiri. Jika perintah ALLAH dan
Rasulnya kita patuhi hanya semata-mata untuk mengejar keredhaan maka selamatlah
kita di sana kelak.
Bagaimana
pula rasanya kematian? Pasti kita semua pernah terbaca kisah bagaimana sakitnya
kematian itu seolah-olah 300 bilah pedang tercucuk di setiap anggota badan sedangkan
itu adalah cara paling lembut malaikat Izrail mencabut nyawa hambanya yang
bertakwa. Jadi bagaimana pula dengan sakitnya kematian kita? Pasti tidak
terperi bukan?
Kita
hanya boleh membaca, kita hanya boleh mendengar dan kita hanya boleh melihat
tetapi kita tidak boleh merasai sendiri kematian itu. Kerana sekali kita mati,
kita tidak mampu lagi kembali hidup ke dunia untuk menceritakan kepada manusia
betapa sakitnya sakaratulmaut. Kita tidak mampu lagi berpesan-pesan pada yang
hidup agar menjaga amal supaya tidak terseksa di sana kelak. Kerana kematian
itu menjadi pemisah kepada segala-galanya.
Pemisah
di antara suami dan isteri, pemisah di antara ibu atau bapa dengan anak,
pemisah di antara adik beradik dan saudara mara, bahkan berpisah dengan orang
yang kita cintai dan kasihi. Bersediakah kita menghadapi hari tersebut? Tepuk
dada dan tanyalah diri masing-masing. Yang pasti sebagai seorang manusia tidak
dapat dibohongi kiranya terdapat sekelumit rasa takut yang bersarang di jiwa
tatkala panggilan maut bertandang. Itu adalah lumrah.
Bagaimana
pula alam selepas kematian atau lebih dikenali dengan nama alam barzakh?
Mendengar atau membaca tentangnya pun adakalanya dapat menaikkan bulu roma.
Sebab apa? Sebab terlalu pedihnya azab seksaan yang ALLAH timpakan kepada
hambanya yang berdosa. Tetapi amat hebat sekali berkat yang ALLAH limpahkan
kepada hambanya yang beriman dan beramal soleh.
Alam
barzakh adalah satu persinggahan sebelum manusia menempuh alam akhirat. Jika
manusia menganggap kehidupan adalah susah, maka alam barzakh adalah jauh lebih
susah. Dan jika mereka menganggap alam barzakh adalah tersangat susah maka alam
akhirat akan menjanjikan kesusahan yang tidak dapat dijangkau oleh akal fikiran.
Berakhir
sudah kisah tentang kematian. Sekarang kita beralih pula kepada kehidupan yang
dilalui kita kini. Alam dunia. Alam dunia adalah suatu keseronokan bahkan
ibarat syurga bagi mana-mana manusia yang mengejar dunia. Tetapi bagi mereka
yang mengejar akhirat, alam dunia ini diibaratkan hanya sebagai satu
persinggahan. Persinggahan mengumpul pahala dan redha Ilahi sebelum bertemu
denganNYA kelak.
Dunia
ini menyimpan seribu satu macam kisah. Mungkin adakalanya kisah tersebut seolah-olah
tidak masuk akal bahkan kedengaran seperti mitos dan tahyul semata-mata.
Terpulang kepada fikiran manusia untuk menilainya sebagaimana. Tetapi yang
pasti di sebalik kisah yang dikatakan tidak logik tersebut pasti ada kebenaran
yang terselit di dalamnnya. Mungkin kita terlupa satu perkara. Apabila ALLAH
berkehendakkan sesuatu maka jadilah ia. KUN
FAYAKUN!!
Firman
ALLAH S.W.T di dalam surah Yassin (ayat 82) yang bermaksud:
“Sesungguhnya
perintah-Nya apabila dia menghendaki sesuatu hanyalah berkata kepadanya ‘Jadilah!’ maka terjadilah ia.”
PROLOG
2
Reykal menunggang motosikal manakala Hanif menjadi
pemboncengnya. Tenku pula menunggang berseorangan. Mereka membelah kesunyian
dan keheningan malam. Hanya deruman enjin motosikal yang menjadi halwa telinga.
Tinga-tiang lampu memuntahkan cahaya namun jalan yang mereka lalui masih
kelihatan suram dan kelam. Sang bulan pula tidak memunculkan dirinya.
Bersembunyi di mana-mana di sebalik awan.
Walaupun
ingin cepat pulang ke rumah namun mereka bertiga masih berhati-hati.
Keselamatan itu tetap diutamakan. Tiada kenderaan yang berada di belakang
mahupun menggunakan jalan bertentangan dengan mereka bertiga. Yang ada hanyalah
mereka bertiga sahaja. Jam telah menunjukkan tepat pukul 12.00 malam. Lazimnya
waktu-waktu begini sering menjadi pilihan pencanai cerita seram memunculkan
momok di dalam kisah yang dibuat oleh mereka. Entah mengapa detik 12.00 malam
seringkali dikaitkan dengan sesuatu makhluk yang bersifat halus tidak dapat
dikenalpasti. Mungkin juga detik itu pintu-pintu yang membataskan di antara dua
alam terbuka dengan luas. Makhluk-makhluk dari alam sana bebas masuk ke alam
manusia bagi menyesatkan cucu cicit Adam. Atau juga mencari pendamping untuk
mereka.
Pedal
minyak terus dipulas. Jarum meter menunjukkan kelajuan dianggarkan 80 kilometer
sejam. Tidak terlalu perlahan dan tidak juga terlalu laju. Masing-masing
berharap dapat segera pulang ke rumah dan segera melupakan segala yang terjadi
pada hari itu.
Selang
setengah jam memulas pedal minyak, Reykal memberi signal lalu memberhentikan
motosikal di bahu jalan. Tenku memperlahankan motosikal lalu berhenti
bersebelahan Reykal dan Hanif.
“Kenapa
kau berhenti?”tanya Tenku. Dia sebolehnya ingin segera cepat pulang ke rumah.
Tidak mahu singgah di mana-mana lagi.
“Korang
perasan tak satu benda?”tanya Reykal. Wajahnya beraut serius.
“Apa?”serentak
suara Tenku dan Hanif berpadu menanyakan soalan yang sama.
“Kita
dah lalu jalan yang sama dekat hampir tiga kali! Takkan korang tak
perasan?”nada suara Reykal sedikit meninggi. Matanya merenung ke arah Hanif dan
Tenku silih berganti.
Hanif
dan Tenku terpempan seketika. Seolah-olah baru tersedar dari mimpi yang
panjang. Mereka terlingas-lingas melihat jalan yang dilalui oleh mereka itu.
Jalan yang lurus dan terdapat hutan kecil di simpang jalan tersebut. Setahu
mereka hutan kecil itu menjadi laluan pintas oleh mereka untuk pulang ke rumah.
Namun pada waktu-waktu begitu untuk meredah hutan tersebut selama 10 minit
membuatkan mereka berfikir dua kali. Biar mereka menggunakan jalan jauh asalkan
selamat tiba di rumah.
Tapi
kini mereka bertiga kebingungan. Sepatutnya sejak dari tadi lagi mereka telah
tiba di rumah. Tapi telah hampir setengah jam sejak keluar daripada hospital
tetapi mereka masih tidak sampai-sampai juga!