Home Novel Seram/Misteri JASAD
BAB 7 - HOSPITAL BERHANTU

Raiman bergerak menggunakan kerusi ronda meronda di kawasan taman. Walaupun pada mulanya dilarang oleh para jururawat terutamanya Aini dengan menasihatkannya supaya berehat. Tetapi Raiman tetap berdegil. Dia tidak mahu terkurung dan terperap di dalam wad sahaja. Tambahan dengan kejadian pada malam semalam membuatkan dia berasa kurang senang berada di dalam wad tersebut. Seolah-olah terdapat sepasang mata yang sedang memerhatikan segala tingkah laku dan gerak gerinya sepanjang masa.

Raiman ada menceritakan kejadian tersebut kepada Aini, tetapi wanita itu kelihatannya seperti berdalih apabila mengatakan Raiman hanyalah bermimpi. Jawapan tersebut mengundang rasa tidak puas hati kepada Raiman sedangkan kejadian tersebut dirasakannya benar-benar berlaku. Dia percaya terdapat sesuatu yang Aini sembunyikan daripada pengetahuannya. Raiman sangat pasti tentang hal itu.

Kerusi roda yang menampung dirinya berhenti berhadapan dengan sebuah tugu perhiasan. Terdapat kolam ikan kecil yang mengelilingi tugu tersebut. Raiman leka memerhati anak-anak ikan berwarna-warni berenang riang. Sedikit sebanyak dengan melihat kebebasan dan keriangan ikan-ikan tersebut mengundang rasa tenteram dan damai di hatinya. Untuk ketika itu.

“Dah lama anak tinggal dekat sini?”

Teguran tersebut membuatkan Raiman berkalih. Kelihatan seorang lelaki separuh abad sedang berdiri dengan menggunakan tongkat tidak jauh daripadanya. Raiman melemparkan senyuman.

“Baru sahaja pak cik. Dalam dua, tiga hari ni.”Raiman menjawab sekadar berbasa basi.

“Kena apa kaki tu?”soal pak cik itu lagi.

Raiman melihat kakinya yang berbalut sekilas. “Kemalangan pak cik.”jawab Raiman ringkas.

Pak cik tersebut tersenyum hambar. Dia berjalan perlahan-lahan dengan berpangkukan tongkat merapati Raiman.

“Benda dah nak jadi. Malang tu tak berbau orang cakap. Pak cik pula dah hampir setahun duduk di hospital ni. Tak keluar-keluar lagi.”ujar pak cik itu.

Raiman mengerutkan keningnya. “Lamanya? Pak cik sakit apa?”

“Kencing manis. Hmm.. Masa muda macam kamu pak cik tak jaga pemakanan. Inilah padahnya.”jawab pak cik tersebut.

Raiman hanya mengangguk-angguk. Secara tidak langsung kata-kata pak cik itu seolah-olah satu nasihat dan pengajaran untuk dirinya juga.

“Tiada orang datang melawat kamu ke?”tanya pak cik itu.

Raiman menggeleng. “Semalam ada. Tapi hari ini mungkin tak adalah kut.”

“Keluarga tak datang?”soal pak cik tersebut lagi.

Raiman menggeleng. “Mereka tinggal jauh.”jawab Raiman tanpa menjelaskan perkaran yang sebenar.

“Kamu tinggal wad mana?”Pak cik tersebut ingin tahu.

“Saya tinggal dekat Wad Cempaka.”jawab Raiman ringkas.

Sebaik mendengar nama wad tersebut disebut, pak cik tersebut tersentak. Raut wajahnya berubah. Dia kelihatan seperti takutkan sesuatu. Dia melihat sekilas wad tersebut yang berada di tingkat 3. Lantas dia terkocoh-kocoh berjalan menjauhi Raiman. Seolah-olah ada sial terdapat pada nama yang disebut oleh Raiman tadi. Raiman terpinga-pinga melihat reaksi pak cik tersebut yang semakin menjauh. Lantas pandangannya dihalakan ke arah Wad Cempaka yang kelihatan suram dan kelam apabila dilihat daripada jauh. Tanpa disedari sepasang mata turut sedang mengintai dan memerhati Raiman di sebalik jendela Wad Cempaka.



Raiman memerhati tirai yang menghadang katil di sebelahnya itu. Kelihatan tenang seolah-olah tiada apa-apa yang menakutkan. Raiman tetap berwaspada. Dia berbaring sambil mata tidak lepas memerhatikan tirai tersebut. Dalam hatinya berdoa agar kejadian semalam tidak berulang lagi. Bahkan dia turut menyesali tindakannya membuka tirai tersebut malam semalam.

Baru sebentar tadi, Aini telah berpesan kepadanya supaya menekan butang kecemasan seandainya terdapat apa-apa masalah. Raiman akur dengan arahan tersebut. Butang kecemasan tersebut hanya terletak di hujung kepalanya sahaja dan boleh dijangkau menggunakan tangan.

Baru sahaja Raiman ingin melelapkan mata, tiba-tiba dia terdengar bunyi dengungan seperti gerombolan lebah. Apabila diamati ia adalah butiran bahasa Siam seperti mantera yang didengarinya pada malam semalam. Raiman menelan liur. Jantungnya berdegup kencang seolah-olah ingin melompat keluar daripada dadanya. Matanya yang separuh kuyu kini terbuka luas.

Raiman menoleh melihat tirai di sebelah kanannya. Kelihatan tirai tersebut beralun-alun. Kemudian kedengaran bunyi besi katil bergegar. Semakin lama semakin kuat. Tidak semena-mena bulu roma Raiman meremang. Bau busuk menerawang menusuk masuk ke hidung sehingga membuatkan Raiman berasa loya. Raiman melihat kawasan sekeliling. Tidak semena-mena dia terlihat satu susuk tubuh sedang berdiri menghadapnya di hadapan laluan menghala ke tandas. Apabila diamati, ia adalah lelaki tua yang berada di sebelah katilnya itu!

Liurnya ditelan berulang kali. Kelihatan kaki lelaki tua itu tidak berpijak tanah. Wajahnya terlindung dengan kesuraman wad tersebut kerana lampunya telah dimatikan. Yang tinggal hanya lampu kecil di hujung kepala Raiman. Raiman memejamkan matanya erat. Tubuhnya menggigil menahan rasa takut yang melampau. Apabila matanya dibuka, ternyata orang tua tersebut masih di situ. Bahkan dia semakin dekat!

Raiman menjadi cemas. Tangannya cuba diangkat untuk memicit butang kecemasan tetapi seluruh tubuhnya terasa lumpuh. Raiman mengesotkan tubuhnya sehingga ke birai katil apabila kelibat lelaki tua itu semakin hampir. Bau busuk semakin kuat menusuk ke hidung. Kini, wajahnya telah kelihatan kerana terbias dengan cahaya.

Matanya terbeliak kemerahan, lidahnya menjulur panjang dan tirus di hujung, wajahnya kehitaman dan tubuhnya kelihatan sasa dengan tatu-tatu menyeramkan memenuhi badan. Raiman terasa seakan mahu menangis berhadapan dengan situasi tersebut. Lantas matanya dipejamkan seerat mungkin sambil mulut terkumat kamit membacakan ayat suci al-Quran. Hanya itu satu-satunya pelindung yang selamat untuk dirinya pada ketika ini.

Lama Raiman berkeadaan sebegitu sebelum dia membuka mata sebaik memastikan tiada lagi bauan dan bunyi yang kedengaran. Tepat seperti yang dijangka, kelibat lelaki tua itu telah tidak kelihatan. Raiman memerhati sekeliling tetapi tiada apa. Seolah-olah lelaki tua itu tidak pernah muncul. Tirai tersebut juga kelihatan tenang dan tidak beralun seperti tadi. Raiman menarik nafas lega. Peluh yang membasahi dahi diseka.

Raiman berbaring semula dalam keadaan normal. Sebaik matanya dihalakan ke arah siling, Raiman terperanjat besar. Lelaki tua itu sedang bertenggek di atas alang lampu sedang memerhatikannya dengan mata yang terbelalak dan lidah yang terjelir-jelir. Raiman menjerit sekuat hati. Serentak itu, lelaki tua itu melompat ke atas tubuh Raiman.

Ternyata orang tua tersebut memiliki berat yang cukup luar biasa. Raiman sukar sekali untuk bernafas kerana dadanya ditindih dengan berat yang tidak tertampung olehnya. Raiman bergelut untuk melepaskan diri. Lelaki tua itu mencekik leher Raiman. Telapak tangannya terasa keras seperti batu, bahkan kukunya yang panjang mencekam kuat leher Raiman sehingga mengalirkan darah. Kekuatannya terasa begitu luar biasa tidak sepadan dengan usianya. Raiman menggelepar cuba melepaskan diri. Dia cuba menjerit meminta tolong tetapi jeritannya tersangkut di kerongkong dan tertelan semula ke dalam.

Kini, dia dan lelaki tua itu saling menghadap antara satu sama lain. Dia dapat melihat dengan jelas wajah orang tua itu. Sangat menyeramkan! Mulut lelaki tua itu terbuka dan dari situ keluarlah lendiran darah yang amat busuk menyimbah ke muka Raiman. Raiman terkapar-kapar tidak mampu berbuat apa-apa. Lendiran darah tersebut amat banyak sehingga ada yang Raiman tertelan. Dia terludah-ludah tetapi semakin banyak lendiran darah yang masuk ke mulutnya.

Dengan kekuatan yang bersisa, Raiman menjerit sekuat hati.

“ALLAHHUAKBAR!”

Serentak dengan jeritan tersebut, Raiman terjaga daripada mimpinya. Nafasnya tercungap-cungap. Sekujur tubuhnya bermandi keringat. Dada Raiman berombak kencang menghirup nafas. Mimpi ngeri yang dialaminya sebentar tadi terasa seperti benar-benar berlaku. Raiman menarik nafas dan menghembus berulang kali bagi menstabilkan semula pernafasannya. Kemudian Raiman beristighfar setelah berasakan dirinya semakin tenang.

Sekitar lehernya terasa pedih seolah-olah terluka. Raiman mengangkat perlahan-lahan tangannya dan menyentuh sekitar leher. Terasa cecair basah di sekitar lehernya. Cecair tersebut diseka dan dilihat oleh Raiman lambat-lambat. Ternyata ianya darah! Leher Raiman benar-benar terluka seperti yang dialami oleh mimpinya tadi. Jantung Raiman kembali berdetak kencang.

Perlahan-lahan bola matanya digerakkan ke seluruh kawasan wad tersebut. Raiman berwaspada dengan sebarang kemungkinan. Liurnya ditelan kasar berulang kali. Kelibat lelaki tua tersebut tidak kelihatan. Kini, pandangannya terarah tirai yang menutupi katil bersebelahannya itu. Raiman nekad untuk menyelak tirai tersebut. Dia tidak menghiraukan sebarang kemungkinan yang berlaku. Dia tidak sanggup lagi untuk berhadapan dengan gangguan sebegitu. Raiman menjangkau tirai tersebut. Baru sahaja jarinya mencecah permukaan tirai, tidak semena-mena tirai tersebut terselak dengan kuat sendirinya.

Kelihatan orang tua tersebut sedang bersila di atas katil sambil menghadap ke arah Raiman. Kepalanya tertunduk ke bawah. Debaran di jantung Raiman semakin memuncak. Tiba-tiba, lampu yang sedari tadi terpadam bernyala dengan sendirinya. Kemudian, bernyala berkelip-kelip seolah-olah kuasa eletrik lemah lalu terpadam semula. Sebaik fenomena itu selesai, kelibat orang tua tersebut telah hilang!

Raiman cemas tercari-cari kelibat orang tua tersebut. Ternyata lelaki tua itu bukan manusia biasa atau sememangnya bukan manusia. Raiman pasti tentang hal itu. Matanya terlingas ke serata ceruk. Berasa tidak sedap hati, Raiman mengangkat wajahnya ke atas perlahan-lahan. Namun hatinya lega apabila lelaki tua itu tidak bertenggek di alang lampu seperti yang disangkanya. Tetapi kelegaanya itu tidak lama apabila telinganya menangkap bunyi sesuatu di bawah katil. Apabila diamati kedengaran bunyi seperti suara orang sedang menderam. Suaranya garau dan menggerunkan. Raiman menelan liurnya sendiri.

Perlahan-lahan kepalanya dijengukkan ke bawah katil. Walaupun perasaan takut begitu menekan jiwanya tetapi Raiman tetap meneruskan niatnya. Belum sempat kepalanya menjenguk ke arah bawah katil, tiba-tiba lelaki tua tersebut muncul secara mengejut. Dia terbaring di atas lantai dengan wajah yang membengis dan berlumuran darah.

Raiman menjerit sekuat hati tetapi suaranya tidak keluar dan hanya bergema di kerongkong sahaja. Lelaki tua itu mencapai lengan Raiman dan merentapnya sehingga jatuh daripada katil. Raiman terjelupuk di atas lantai. Dia mengaduh kesakitan. Kaki kirinya terasa seakan-akan dicucuk-cucuk dan dihiris-hiris. Kesakitan yang dialami begitu menyengat.

Lelaki tua itu tertawa dengan suara yang garau. Matanya mencerlung melihat Raiman. Lidahnya mula terjelir-jelir menjulur panjang. Raiman mengengsot perlahan-lahan ke arah belakang cuba menjauhi lelaki tua itu. Tetapi kaki kirinya menghalang Raiman bergerak dengan lebih cepat. Raiman bergerak dalam kepayahan.

Lelaki tua itu merangkak menuju ke arah Raiman dengan pantas. Sekelip mata, orang tua tersebut telah berada di hadapan wajah Raiman. Mata antara mereka berdua bertentang. Raiman menelan liur menahan rasa takut yang tidak terhingga. Tubuhnya menggigil ketakutan. Lelaki tua itu mula membaca mantera di dalam bahasa Siam tanpa sepatah pun tidak difahami oleh Raiman.

Raiman mengetap rahang. Dia tidak ada cara lain melainkan dia perlu melawan. Dengan kekuatan yang terkumpul, Raiman melibas wajah lelaki tua itu dengan sekuat hati. Tiada kesan yang dialami. Lelaki tua itu menderam marah. Matanya merah bernyala seperti bebola api. Serentak itu satu libasan kuat hinggap ke wajah Raiman pula. Raiman terpelanting dan berguling beberapa kali sehingga kepalanya terhantuk kaki besi katil di hadapannya. Keadaanya semakin lemah.

Orang tua itu melompat dan menerkam ke arahnya. Raiman benar-benar kehilangan tenaga dan upaya. Lelaki tua itu mencekik kuat leher Raiman. Cengkamannya cukup kuat dan sukar untuk Raiman meloloskan diri. Raiman bernafas tersendat-sendat. Lelaki tua itu mula membuka mulut.

Raiman dapat mengagak tindakan susulan yang akan dilakukan oleh lelaki tua tersebut. Raiman memejamkan matanya. Lantas bibirnya terketar-ketar terbuka dan membaca ayat Kursi. Dia hanya mampu bertawakal kepada ALLAH pada saat itu. Baru sahaja beberapa potong ayat dibaca, orang tua tersebut menjerit nyaring sebelum berubah menjadi kepulan asap tebal dan terus terbang keluar daripada wad menerusi jendela.

Raiman menarik nafas lega. Dia terbaring lemah di atas lantai. Aini secara kebetulan menjalankan rondaan, terkejut melihat Raiman terbaring di atas lantai. Segera dia berlari mendapatkan lelaki tersebut. Aini memangku Raiman di atas pahanya. Air matanya terasa ingin gugur melihat keadaan Raiman yang kelihatan benar-benar lemah dengan kesan luka di leher. Aini menampar lembut pipi Raiman berulang kali untuk menyedarkannya.

“Saya nak keluar dari hospital ini.”

Sejurus berkata sedemikian, Raiman terus pengsan tidak sedarkan diri di pangkuan Aini.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.