Jam telah menunjukkan pukul 8.00 malam. Raiman
terbaring kebosanan. Jika diikutkan ini adalah hari kedua Raiman berada di
hospital tersebut. Tiada apa yang boleh dilakukan. Hanya terbaring dan
termenung. Mujur jururawat yang bernama Aini itu sudi menemani dirinya. Itu pun
tidak lama. Hanya sekadar berbual tidak sampai 10 minit kerana wanita itu
mempunyai banyak tugas yang perlu dilakukan.
Raiman
mengeluh. Pagi tadi dia telah menjalani imbasan. Dan seperti yang dijangka,
kaki kirinya di bahagian betis telah patah. Buat sementara waktu hanya balutan
tebal tesebut menghiasi kakinya bermula dari paha sehinggalah ke hujung kaki.
Mungkin dalam 2 atau 3 hari lagi balutan tersebut akan berganti dengan simen.
Raiman mengira waktu untuk keluar daripada hospital tersebut. Dia benar-benar
bosan. Tidak betah lagi untuk berada di situ lagi.
Raiman
melihat tirai di sebelah. Sehingga saat ini dia masih belum mengetahui siapa
penghuni di katil bersebelahannya itu. Tiada pula kelihatan saudara mara yang
datang melawat. Ingin bertanyakan perkara tersebut kepada Aini tetapi lidahnya
terasa berat dan kelu. Lantas soalan tersebut hanya dipendamkan sahaja. Hendak
membuka tirai tersebut, Raiman bimbang tindakannya menyebabkan pesakit tersebut
terganggu. Sesekali kedengaran bunyi besi katil berkeriuk dan suara
terbatuk-batuk kecil.
“Apa
khabar sahabat?”
Teguran
tersebut membuatkan Raiman tersentak. Rupa-rupanya rakan sepejabat dan
serumahnya datang melawat. Bilangan mereka adalah enam orang. Buah tangan yang
dibawa oleh mereka diletakkan di atas kabinet kecil bersebelahan katilnya.
Raiman tersenyum gembira menerima lawatan mereka. Hatinya berasa lapang untuk
seketika. Sekurang-kurangnya ada juga yang sudi melawatnya.
Mereka
rancak berbual bertanyakan itu dan ini kepada Raiman. Sesekali gelak ketawa
menghiasi perbualan mereka. Raiman berasa terhibur sekurang-kurangnya.
Kesakitan yang dialmi terasa luput dari fikiran. Tetapi dalam pada itu, matanya
mencari-cari susuk tubuh Fatimah tetapi ternyata wanita itu tidak datang melawatnya.
Raiman mengeluh kecewa tetapi tidak disedari oleh rakan-rakan yang lain. Mereka
sibuk berbual dan bergelak ketawa.
“Shhhhhh!!
Diam sikit! Aku nak tidur!”
Lantunan
suara lelaki yang garau tersebut dengan nada marah membuatkan mereka semua
terdiam. Masing-masing menikus apabila dimarahi sebegitu. Raiman cuba melihat
katil yang berada di sebelahnya itu melalui celah-celah tirai yang terdedah.
Tetapi hampa kerana dia gagal melihat apa-apa. Lantas Raiman menggunakan bahasa
isyarat menyuruh rakan-rakannya agar memperlahankan suara. Rakan-rakannya itu
akur dan mereka kembali berbual dengan nada suara yang sedikit rendah.
“Aku
nak ke tandas sekejap. Nak terkucil.”ujar Yahya. Lantas dia berlalu menuju ke
tandas yang terletak di hujung wad tersebut. Untuk ke tandas perlu melalui
katil di sebelah Raiman itu.
Sebaik
melepaskan hajat, Yahya berjalan sambil bersiul keluar dari tandas. Sebaik
melalui katil di sebelah Raiman, tidak semena-mena angin bertiup dan tirai
terkuak kecil. Yahya terpandang ke arah katil tersebut. Wajahnya serta merta berubah
pucat. Mulutnya terlopong lantaran kejutan yang melampau. Bulu romanya tidak
semena-mena meremang. Lantas dia berlari mendapatkan rakan-rakannya yang
mengelilingi katil Raiman.
“Kau
ni apahal? Dah macam nampak hantu saja aku tengok.”tegur salah seorang rakan
sepejabat mereka.
Yahya
menggeleng berulang kali. Matanya asyik tertancap ke arah katil yang terhadang
dengan tirai hijau itu. Liurnya ditelan berulang kali.
“Aku
rasa waktu melawat dah nak tamat. Jom kita balik. Lagipun kita semua kerja kan
besok.”Yahya berdalih. Dia sebenarnya tidak sanggup lagi untuk berada di situ
lama-lama.
Rakan-rakan
yang lain akur dengan kata-kata Yahya. Mereka akhirnya meminta diri untuk
pulang. Raiman mengucapkan terima kasih atas kesudian rakan-rakannya itu datang
melawat. Namun dia perasan akan perubahan yang terdapat di wajah Yahya. Ada
sesuatu yang disembunyikan oleh rakan sepejabatnya itu.
Mereka
menaiki kereta yang dipandu oleh Yahya pulang ke rumah masing. Yahya akan
menghantar seorang demi seorang ke rumah mereka sebelum pulang ke rumahnya
sendiri. Di dalam perjalanan Yahya banyak mendiamkan diri. Sehinggalah ditegur
oleh salah seorang rakan mereka barulah Yahya bersuara.
“Aku
sebenarnya sedang fikirkan apa yang tegur kita masa dekat wad tadi?”
Kata-kata
Yahya membuatkan rakan-rakannya terpinga-pinga.
“Apa
maksud kau Yahya? Kami tak faham?”satu suara muncul daripada seat belakang.
Yahya
mengeluh. “Begini sebenarnya. Masa aku keluar dari tandas tadi, tirai yang
tutup katil sebelah Raiman tu terselak. Dan aku nampak jelas katil tu kosong!
Tak ada penghuni pun. Tu yang aku terperanjat besar. Seram aku.”Yahya berterus
terang.
Berubah
raut wajah semua yang berada di dalam kereta.
“Habis
siapa yang tegur dan marah kita tadi?” Rasa seram mula menyelinap dalam hati
masing-masing.
“Itu
aku tak tak tahu. Tapi aku rasa hospital tu ada gangguan. Terutama wad itu.
Sebab masa kita nak ke kereta, aku sempat dongak dan lihat ke arah wad Raiman
tinggal tu. Dekat tingkap wad tu, aku nampak dengan jelas ada sesuatu benda
hitam sedang duduk bertenggek memerhatikan kita.”tokok Yahya lagi.
“Kenapa
kau tak cerita dekat kami awal-awal.”marah salah seorang rakan mereka.
“Aku
takut sangat. Tak sempat nak cerita dekat korang.”Yahya kesal sendiri dengan
sikapnya.
“Habis
macam mana dengan Raiman?”
“Aku
tak tahu.”Yahya menggeleng kepala. “Aku berharap moga dia selamat.”lanjutnya
lagi. Dalam hati dia berharap agar sahabatnya itu bebas daripada sebarang
gangguan. Bibit risau jelas terpancar di wajahnya.
Raiman berbaring santai di atas katil. Kehadiran
rakan-rakannya sebentar tadi sedikit sebanyak mengurangkan jua rasa bosan yang
bersarang selama ini. Jam telah menunjukkan hampir pukul 12.00 malam. Raiman
menarik selimut. Matanya mula berasa digayuti beban. Sambil memancing
mimpi-mimpi indah, Raiman mengiringkan badannya ke sebelah kanan.
Tidak
semena-mena pandangannya terarah ke tirai tersebut. Raiman cuba mencuri lihat
di sebalik tirai tersebut tetapi malang kerana tiada langsung ruang yang
terdedah. Raiman mengeluh sendirian. Hatinya mendesak kuat ingin melihat siapa
individu yang berada di katil sebelahnya ini.
Tiba-tiba
Raiman kedengaran seolah-olah kaca yang dihempas ke lantai. Pada mulanya
perlahan dan makin lama bunyi itu semakin kuat. Bunyi tersebut berulang-ulang.
Raiman menelan liurnya sendiri. Dia menajamkan pendengaran untuk mendengar dari
arah mana bunyi tersebut berhasil. Ternyata bunyi tersebut datang daripada
tandas yang terletak di hujung wad tersebut.
Serentak
itu, bau kemenyan semerbak menusuk ke hidung Raiman. Semakin lama bau tersebut
semakin kuat sehingga membuatkan Raiman sukar untuk bernafas. Raiman menekup
hidungnya menggunakan tangan. Dia tidak tahan dengan bau kemenyan yang begitu
kuat tersebut. Terasa menyesakkan dada dan menyempitkan pernafasan.
Namun
tidak lama, bauan kemenyan tersebut berganti dengan bau yang sangat busuk.
Seolah-olah terdapat longgokan sampah bersama bangkai di dalam wad itu. Raiman
menahan loya yang teramat. Tangannya menekup hidung namun bau tersebut masih
kuat terhidu di hidungnya. Seolah-olah ia menyelinap masuk melalui celah-celah
jarinya. Raiman dapat merasakan bila-bila masa sahaja isi perutnya akan keluar
kerana tidak tahan dengan bau busuk tersebut.
Tidak
lama kemudian, bunyi kaca pecah tersebut menjadi senyap. Baru sahaja Raiman
ingin menarik nafas lega, bunyi tersebut berganti pula dengan lolongan anjing
yang bersahut-sahutan. Sungguh mendayu dan mampu menaikkan bulu roma siapa
sahaja yang mendengarnya. Yang pasti, bunyi lolongan anjing tersebut turut
datang daripada tandas tersebut!
Raiman
semakin tidak tentu arah. Dia cuba untuk bangun melarikan diri tetapi kaki
kirinya yang patah menjadi penghalang. Mahu tidak mahu dia terpaksa menghadapi
semua ini.
Semakin
lama bunyi lolongan tersebut semakin kuat dan berselang seli dengan bunyi kaca
pecah. Perlahan-lahan bibir Raiman terbuka dan membaca ayat suci al-Quran bagi
dijadikan pendinding. Hanya itu yang termampu dilakukan oleh dirinya kala ini.
Peluh renik mula membasahi wajah. Sekujur tubuhnya menggeletar menahan rasa
takut yang begitu menggasak.
Tiba-tiba
tirai yang mentabiri katil bersebelahannya itu bergoyang. Semakin lama semakin
kuat. Dan daripada katil tersebut, Raiman dapat mendengar dengan jelas suara
parau milik seorang lelaki sedang mengerang kesakitan. Manakala bunyi lolongan
anjing dan kaca pecah tersebut telah lenyap. Memikirkan pesakit di katil
sebelah mungkin sedang dalam kesakitan, Raiman cuba memanjangkan tangan untuk
menyelak tirai tersebut.
Tetapi
tindakannya terhenti apabila bunyi erangan tersebut bertukar kepada ketawa.
Ketawa yang pada mulanya kecil lalu bertukar menjadi besar. Suaranya terasa
melantun-lantun dan bergaung di dalam wad tersebut. Kemudian, suara ketawa
tersebut berhenti. Perlahan-lahan kedengaran berdengung-dengung suara seperti
kumpulan lebah sedang mengerumuni bunga bagi mendapatkan madu. Apabila diamati,
Raiman dapat menangkap suara yang sama sebentar tadi kini sedang bertutur dalam
bahasa Siam seolah-olah sedang membaca sejenis mantera.
Raiman
menelan liurnya sendiri. Hatinya memberontak untuk melihat apa yang sedang
berlaku di katil sebelahnya itu. Lantas Raiman menjangkaukan tangannya. Jarinya
mencecah tirai. Lalu tirai dicapai dan diselaknya sedikit. Kelihatan seorang
lelaki tua, berkepala botak dan sedikit berisi sedang terbaring di atas katil
dengan mata yang terpejam. Raiman menarik nafas lega.
Dalam
keadaan begitu dia hanya dapat melihat sisi wajah lelaki tua tersebut sahaja.
Raiman cuba bangun untuk melihat wajah lelaki tersebut sepenuhnya. Secara
tiba-tiba lelaki tua tersebut berkalih kepadanya dengan mata yang terbeliak,
lidah yang terjulur panjang sehingga ke leher. Mukanya sangat membengis dan
kelihatan amat menyeramkan! Raiman menjerit sekuat hati lantas menutup semula
tirai tersebut. Kejutan sekali lagi menghambat dirinya apabila lengannya disentuh
oleh sesuatu. Raiman menjerit histeria.
“Kenapa
ni encik?”tanya Aini.
Dia
yang bertugas pada malam itu terdengar jeritan Raiman bergegas masuk ke dalam
wad kerana bimbang sesuatu yang buruk berlaku. Raiman tercungap-cungap seperti
pelari 100 meter. Matanya membulat melihat ke arah Aini. Dadanya berombak
kencang menghirup nafas. Semangatnya terasa direnggut sama sekali. Tidak pernah
dia dilanda kejutan sebegitu. Aini melihat ke arah Raiman dan ke arah tirai
yang mentabiri katil di sebelahnya itu. Kemudian Aini mengetap bibir
seolah-olah dihurung rasa bersalah.