Home Novel Seram/Misteri JASAD
BAB 5 - HOSPITAL BERHANTU

HOSPITAL BERHANTU

Pagi itu seperti kebiasaan, Raiman bersiap-siap untuk ke tempat kerja dengan menunggang motosikal. Era 70-an sebegitu sememangnya sangat popular dengan motosikal Yamaha dua lejang. Raiman menyisir rambutnya yang ikal dan mengenakan pakaian yang rapi. Sempat jua dia melihat penampilan diri di cermin dengan memastikannya benar-benar kemas sebelum berlalu keluar dari bilik setelah menyembur pewangi.

Raiman memakai kasut dan menggalas beg sandang. Lalu enjin motosikal dihidupkan dan ditunggang membelah kesunyian jalan raya. Jam masih menunjukkan pukul 8.00 pagi dan masih terlalu awal kerana Raiman akan bermula kerja pada pukul 9.00 pagi. Oleh itu, kesempatan waktu yang terluang digunakan oleh Raiman untuk singgah sebentar di warung Pak Selamat untuk menikmati roti canai bersama teh tariknya yang cukup popular itu.

Sambil menunggang motosikal, Raiman bersiul-siul riang. Sejak Fatimah masuk kerja di ofis tersebut hatinya sentiasa berbunga-bunga. Manakan tidak, kejelitaan wanita itu cukup memikat hatinya. Fatimah sememangnya memiliki keayuan wajah Melayu asli. Jarang dia bertemu dengan wanita yang memiliki rupa paras sebegitu rupa. Sehingga menjadi igauan kepada dirinya siang dan malam. Mengingatkan wanita itu membuatkan Raiman tersenyum sendirian. Bukan apa, sehingga saat ini dia masih menyimpan perasaan terhadap wanita itu dalam diam.

Bahkan tidak pernah sekali pun, Raiman berbual dengan Fatimah atau menegurnya. Raiman akui dirinya seorang yang sangat pemalu untuk memikat perempuan. Yang dia tahu hanyalah melihat Fatimah dari jauh. Andai wanita itu melihat kepada dirinya, cepat-cepat Raiman berkalih ke arah lain atau berpura-pura melakukan kerja. Hanya itu yang mampu Raiman lakukan. Dia terlalu malu untuk memulakan perbualan dengan Fatimah walaupun hatinya kini hanya dipenuhi dengan wajah wanita itu.

Raiman berhenti di simpang jalan. Matanya dilingaskan ke sebelah kiri dan kanan jalan bagi memastikan tiada kenderaan yang lalu sebelum dia melintas jalan. Sebaik memastikan jalan tersebut selamat, Raiman pun memecut motosikalnya. Namun malang tidak berbau apabila sebuah kereta yang baru keluar daripada simpang berhadapan tidak sempat mengelak apabila melihat Raiman sedang meluru laju ke arahnya. Raiman sempat menekan brek dan cuba mengelak namun telah terlalu lewat. Motosikal yang dinaiki menghentam bonet hadapan kereta tersebut. Raiman terpelanting dan mendarat di atas bumbung kereta sebelum tergolek beberapa kali dan jatuh terhempas di atas tanah. Dia cuba bangun tetapi kesakitan yang dialami terasa merenggut tenaganya. Raiman jatuh semula di atas jalan. Dia tidak sedarkan diri.



Raiman membuka matanya perlahan-lahan. Pelupuk mata terasa berat namun digagahkan jua. Sebaik matanya terbuka, suasana putih mentabiri pandangan. Raiman tertanya-tanya pada dirinya sendiri di manakah dia berada sekarang. Dia melihat keadaan dirinya sendiri. Terdapat satu jarum yang tercucuk di atas belakang telapak tangannya dan bersambung melalui tiub yang mengalirkan air melalui bungkusan air yang tergantung di besi. Raiman termenung sejenak memikirkan bagaimana dia boleh berada di hospital. Akhirnya dia mula mengingati yang dia telah terlibat dengan kemalangan sebentar tadi. Raiman mengeluh berat.

Selimut yang membaluti tubuh di singkap. Kelihatan kaki sebelah kirinya berbalut dengan kain berwarna putih. Raiman meraba-raba wajahnya. Tiada kesan luka yang dirasai. Tidak tahu sekiranya ada lebam yang berada di situ. Kedua-dua tangannya terdapat kesan calar dan luka yang tidak begitu serius. Sekujur tubuhnya terasa sakit dan sengal-sengal. Raiman mengetap bibir menahan kesakitan. Dia melingaskan kepala melihat keadaan di dalam wad tersebut.

Kebanyakan katil adalah kosong dan kalau diikutkan hanya dia seorang sahaja yang berada di dalam wad itu. Katilnya terletak bersebelahan dinding. Tetapi..Raiman mengalihkan pandangan ke sebelah kanannya. Kelihatan tirai berwarna hijau ditutup menghadang pandangannya. Tirai tersebut sesekali terbuai-buai seperti ditiup angin. Sesekali kedengaran bunyi berkeriuk yang datang daripada besi katil. Seolah-olah terdapat orang yang sedang bergerak di atasnya. Raiman terasa lega apabila memikirkan dia tidak berseorangan di dalam wad tersebut.

Terdetik di hati Raiman untuk melihat penghuni di katil bersebelahannya itu. Desakan tersebut semakin lama semakin kuat. Akhirnya, Raiman terpaksa mengalah. Dia mengengsot perlahan-lahan ke birai katil. Tangannya cuba dipanjangkan untuk menggapai tirai tersebut untuk menyelaknya. Terasa jauh, Raiman merapatkan sedikit tubuhnya. Katilnya turut bergerak ke kanan sedikit. Tangannya terketar-ketar cuba menggapai tirai. Jari jemarinya semakin hampir untuk menggapai tirai tersebut. Hanya jarak beberapa inci sahaja yang memisahkan tirai tersebut dengan jarinya.

“Encik..”

Raiman tersentak. Teguran tersebut telah mematikan hasrat Raiman. Dia mengalihkan pandangan. Seorang jururawat muda yang cantik sedang tersenyum manis ke arahnya.

“Nampaknya encik dah terjaga daripada pengsan. Hampir enam jam encik pengsan selepas kemalangan itu.”jelas jururawat itu.

Raiman melihat tag nama yang tertera di dada jururawat tesebut.

“Apa yang dah terjadi pada kaki saya ni..err cik Aini?”

“Hmm.. Menurut laporan perubatan, kaki encik disyaki patah. Tetapi doktor belum sahkannya lagi. Jadi mungkin kami akan menjalankan beberapa imbasan. Jika benar patah, mungkin kaki encik terpaksa disimen bagi mempercepatkan ia pulih.”terang Aini sambil melihat laporan perubatan yang tergenggam kemas di tangannya.

“Err.. Kalau begitu agak-agak berapa lama saya boleh kembali sembuh?”tanya Raiman.

“Sebenarnya tempoh tersebut adalah tidak tentu sebab bergantung juga sejauhmana kecederaan yang dialami oleh encik Raiman. Kalau serius..memang mengambil masa yang agak lama juga.”Aini menjelaskan hal yang sebenar.

Raiman mengangguk-angguk faham. Dalam fikirannya kini menerawang memikirkan soal kerja. Pasti dia akan dibuang kerja kerana bercuti terlalu lama. Tambahan dengan sikap majikannya yang kadang kala kurang bertimbang rasa.

“Encik Raiman tak perlu risau. Pihak kami akan menelefon keluarga dan majikan encik untuk memberitahu tentang keadaan encik.”ujar Aini seolah-olah mengerti dengan desakan yang bertakung di dada Raiman.

Raiman tersenyum hambar. “Kalau boleh jangan beritahu keluarga saya. Mereka tinggal jauh. Saya tak mahu mereka risau.”

“Jangan bimbang encik. Saya akan lakukan seperti yang encik pinta. Ada apa-apa lagi yang boleh saya bantu?”tanya Aini dengan penuh berhemah.

Raiman mengalihkan pandangan ke sebelah kanan melihat tirai yang menghadangi katil di sebelahnya. Lantas dia mengalih semula ke arah Aini sambil tersenyum dan mengggeleng kepalanya.

Aini hanya mengangguk. Sebelum berlalu, Aini memastikan tirai di sebelah Raiman tertutup rapi tanpa terselak di mana-mana sebelum berlalu pergi. Raiman hanya memerhati dengan tanda tanya yang bersarang di minda. Siapa penghuni katil sebelah aku ni? Kata-kata tersebut hanya bermain-main di fikirannya tanpa terluah melalui bicara.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.