Home Novel Komedi/Romantik Komedi ABANG CIK. COM.MY
ABANG CIK. COM.MY
Fida Rohani
17/6/2015 03:26:44
50,083
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 2

 Acik sudah siap untuk keluar. Janji untuk membawa adik-adiknya keluar makan mesti ditunaikan. Dia tidak mahu dianggap orang munafik kalau dia mungkir janji.

“Acik nak ke mana?” tanya Syaida, adik bongsunya.

“Kata nak keluar makan. Dah siap ke belum?”

“Habis Nana macam mana?”

“Nanti kita bungkuslah untuk dia.”

“Kalau macam tu, biar Nana saja yang pergi. Syaida duduk rumah jaga emak,” putus Syaida.

“Suka hatilah. Habis, Munirah macam mana?”

“Muni nak ikut acik. Muni dah siap ni!” Muncul Munirah yang sudah berskirt kembang. Wajahnya juga sudah dicalit dengan solekan.

“Muni! berapa kali acik cakap. Kalau nak keluar dengan acik, jangan make-up macam ni. Acik tak sukalah. Awak tu masih sekolah. Gelinya!” Acik merungut geram.

“Apa Acik ni? Kalau Acik tak nak make-up tak apa. Tapi jangan marah Muni pulak. Muni suka nak pakai make-up. Muni nak jadi cantik macam artis,” sanggah Munirah dengan geram pula.

“Heh, apa bising-bising ni?” Mak Cik Hasiah muncul dari bilik.

“Acik ni mak. Nak ajak kita makan tapi macam-macam syarat pula dia kenakan,” jawab Munirah menarik muka masam.

“Nana nak ikut tak?” tanya Acik kepada Nana yang berdiri memimpin Mak Cik Hasiah.

“Siapa nak jaga mak. Tak apalah. Acik pergilah bawa budak-budak berdua ni,” jawab Nana.

“Kalau Nana nak ikut pergilah. Mak tak apa-apa. Lagipun, bukannya lama benar kamu pergi. Mak boleh jaga diri mak.” Mak Cik Hasiah berpaling kepada Nana. Nana merenung wajah Mak Cik Hasiah. Mak Cik Hasiah pula kerdipkan mata tanda menyuruh pergi.

“Kalau macam tu, Nana bersiap dulu ya.” Wajah Nana ceria.

“Kalau Nana pergi, Syaida tak pergilah.”

“Kenapa pula?” tanya Mak Cik Hasiah.

“Takkan nak tinggalkan mak sorang-sorang.”

“Syaida, tadi mak dah kata. Mak boleh jaga diri mak. Kamu pergilah. Bukan senang nak makan bersama-sama adik beradik macam ni. Kamu semua jarang berkumpul. Dah terlanjur ada ni, pergilah,” suruh Mak Cik Hasiah.

Syaida bangun dan masuk ke bilik untuk bersiap. Dari dalam bilik kedengaran dia berbual-bual dengan Nana.

“Hoi, cik adik semua! Cepatlah sikit. Acik nak kena pergi kerja pula lepas ni.”

“Acik kata acik cuti?” Mak Cik Hasiah berpaling kepada anaknya. Sejak dia jatuh sakit dan tidak dibenarkan bekerja, acik yang mengambil-alih tanggungjawab sebagai ketua keluarga. Anak sulungnya Ziana, sudah berumah tangga dan mengikut suaminya ke Sabah.

“Memang sepatutnya Acik cuti, mak. Tapi tadi kawan Acik telefon, hari ni tak cukup staf kerana ada seorang kawan Acik ambil cuti kecemasan. Nak tak nak acik kena masuk kerja juga, tapi lambat sikit.”

Mak Cik Hasiah terpaksa angguk walaupun hatinya kurang senang dengan keputusan anaknya itu.

“Dah lama Acik tak cuti. Asyik kerja saja. Sekali-sekala tu ambillah cuti dan rehatkan badan.”

“Mak, Acik tak boleh nak fikirkan rehat saja. Mak tengok budak-budak bertiga ni. Semuanya masih di sekolah menengah. Banyak duit nak guna, mak.”

Sekali lagi Mak Cik Hasiah angguk. Dia memang sangat maklum akan tanggungjawab yang terpikul di bahu Acik. Sangat berat. Namun mereka tiada pilihan. Kalau bukan Acik siapa lagi yang akan menanggung persekolahan Nana, Syaida dan Munirah?

Nana keluar dengan baju kurung dan bertudung sopan. Syaida juga begitu. Kedua-duanya seperti kembar kerana jarak umur mereka pun hanya setahun sahaja. Nana dalam tingkatan lima, Syaida tingkatan empat dan Munirah baru masuk tingkatan satu.

“Macam nilah pakaian yang Acik suka. Muni, tengok ni!”

Munirah mencebik. Matanya melirik kepada pakaian yang dipakai Acik sendiri. Acik segera faham. Munirah menyindirnya!

“Dah, mari pergi. Nanti lambat pula Acik nak pergi kerja.” Acik segera mengalihkan topik agar suasana kembali normal.

“Mak, kami pergi dulu. Mak duduk saja di sini sampai kami balik. Mak jangan berjalan sana sini. Nanti mak jatuh. Kalau ada apa-apa, mak call kami,” kata Acik kepada Mak Cik Hasiah. Nana, Syaida dan Munirah berebut-rebut bersalam dan mencium pipi emak mereka.

“Kamu ni, macam nak pergi sepuluh tahun tak balik.” Mak Cik Hasiah ketawa dengan gelagat anak-anak daranya yang semakin dewasa.

Acik memandu kereta kancil 660cc warna putih dengan penuh hati-hati. Walaupun hanya sebuah kancil, dia sangat bangga dengan kereta itu. Itu hasil titik peluhnya. Dengan kereta itu, dia mampu membawa emaknya ke hospital setiap kali ada temu janji. Dengan kereta itu dia dapat menghantar dan mengambil Nana dan Syaida dari asrama.

“Kita nak makan kat mana?” tanya Syaida.

“Ayam Goreng Cinta.” Acik menjawab selamba. Matanya tidak lepas dari mengawasi jalan raya.

“Ish! Acik. Tolonglah. Kalau setakat nak makan kat situ, baik tak payah keluar!” tingkah Munirah, separuh menjerit.

Acik ketawa. Hajat untuk menyakat adik-adiknya menjadi.

“Kenapa? Tak sedap ke?” Acik sengaja menduga.

“Bukan tak sedap, tapi kami ni dah muak. Satu badan Acik dah mesra dengan bau ayam goreng tu. Kemudian bau itu Acik bawa balik ke rumah. Aduh! Pengsan kalau kami kena makan lagi!” rungut Nana pula.

“Habis, adik Acik yang manis ni nak makan kat mana? Jangan cerewet pasal makan sebab nanti kalau ada suami, suami pun lari!”

“Acik, Syaida nak makan sate je.”

“Nana nak nasi ayam.”

“Muni nak semua. Nasi ayam dan sate. Siap dengan ais kacang.”

“Kalau macam tu, kita ke Medan Selera sajalah. Kat situ semua ada.”

Acik membelokkan keretanya ketika sampai di persimpangan masuk ke Medan Selera. Orang belum ramai. Jadi mereka dapat duduk dengan selesa. Pesanan makanan dibuat mengikut selera adik-adiknya.

“Acik makan apa?” tanya Nana ketika melihat Acik tidak memesan apa-apa.

“Acik minum air saja. Kamu semua makanlah.”

“Acik, kenapa macam tu. Acik kata kita nak makan sama-sama.” Syaida memprotes.

“Eh, sekarang kan kita tengah makan bersama-sama?”

“Acik tipu. Acik tak makan pun. Acik minum je. Apa ni? Acik suruh kami makan, tapi Acik minum air saja? Kami pun tak nak makanlah!” ujar Nana.

Acik ketawa menyeringai. Hajatnya untuk berdiet tidak jadi. Lalu dia memesan mi goreng basah.

“Ooo... nak diet ya. Dia nak kurus, kita disuruh gemok!” kata Syaida dengan ketawa menang.

“Gemok kan cantik? Tengok Muni ni. Cantik kan?” tunjuk Acik kepada Munirah yang makan dengan penuh selera. Munirah agak tembam dari kakak-kakaknya yang lain.

Mereka terus makan sambil bergurau senda. Hati Acik sangat senang melihat adik-adiknya gembira.

“Acik, bila pula kita nak keluar makan angin bersama-sama?” tanya Munirah selepas sendawa kenyang.

“Tunggu kamu semua habis belajar.”

“Kalau macam tu, lambatlah lagi. Muni baru tingkatan satu.”

“Mak kan tak sihat. Kalau kita nak pergi makan angin, apa kata mak. Kalau Muni nak pergi juga, Muni ikut saja rombongan sekolah,” kata Acik, memujuk Munirah.

“Betul tu Muni. Mak tu kena jaga dengan rapi. Doktor dah kata, mak tak boleh dibiarkan sendirian. Jantung mak dah tak kuat. Buah pinggang mak juga begitu. Kita kena sentiasa gembirakan mak,” kata Nana. Dia menepuk bahu Munirah dengan penuh rasa kasih.

Munirah tersengih hambar.

Acik melihat jam di tangannya.

“Eh, dah lama kita kat sini. Marilah kita balik. Acik kena kerja hari ni.” Acik bangun dan berjalan ke kaunter untuk membayar.

Tidak lama mereka pun beredar dari situ.
Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.