Home Novel Komedi/Romantik Komedi ABANG CIK. COM.MY
ABANG CIK. COM.MY
Fida Rohani
17/6/2015 03:26:44
50,094
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 3

Jojo memandu dengan senang hati. Dia bersiul-siul mengikut rentak joget yang dimainkan oleh DJ Radio Klasik. Tiba-tiba perutnya berkeroncong lapar. Dia memang tidak kuat menahan lapar. Angin gastrik yang ada dalam perutnya cepat menyerang usus.

Lalu dia terpaksa mencari restoren atau tempat makan yang terdekat. Sambil memandu, matanya melilau mencari.

Ketika matanya melilau mencari itu, sebuah motorsikal melintasi keretanya. Dia membrek tetapi agak malang, dia terlanggar juga motorsikal itu. Penunggang motorsikal itu jatuh terpelanting.

Dengan cepat dia keluar dari kereta. Orang ramai mula berkerumun.

Penunggang motor itu seorang anak muda. Dia berjaket hitam dan berseluar panjang biru. Dahinya berdarah dan dia terlentang, mengerang kesakitan.

“Awak tak apa-apa?” tanya Jojo dengan panik. Untuk pertama kali sejak ada lesen memandu dia terlibat dengan kemalangan begitu.

“Tak apa-apa apanya? Awak tak tengok ke dia berdarah ni?” sergah seorang lelaki yang ada di situ.

“Maafkan saya. Mari saya bawa ke klinik,” kata Jojo.

Anak muda itu diam. Ternyata dia dalam keadaan lemah dan panik.

“Awak kena buat report ni dik. Jangan biarkan orang macam ni terlepas dari undang-undang. Dia ingat dia bawa kereta besar dan mewah, dia boleh langgar orang macam langgar anak ayam!” marah lelaki itu lagi.

“Encik, kalau dia ni melintas dengan tiba-tiba depan encik, apa yang encik nak buat? Encik pun akan langgar kan? Ini nasib baik saya tak laju. Kalau saya laju tadi, pecah kepala dia!” Jojo hilang sabar.

“Ah! Buat laporan polis saja dik. Jangan lepaskan dia!” kata lelaki itu, kasar.

“Baiklah. Mari kita ke balai polis. Saya tak takut sebab saya tak salah. Encik tengok, ini jalan siapa? Encik tengok itu, tanda apa? Tanda berhenti, tapi dia tak berhenti. Dia ni terus je jalan macam dia sorang ada kat jalan raya ni. Jadi kalau nak ke balai polis sangat, jomlah!” Jojo bangun dan berjalan ke kereta.

“E... encik... tunggu! Tak payah report. Tolong bawa saya ke klinik. Sakit sangat ni...” kata anak muda yang masih terbaring di atas jalan raya. Suaranya gemersik lembut!

Langkah Jojo terhenti. Dia berpaling dan berjalan semula ke arah anak muda itu. Dia memimpin anak muda itu ke kereta. Lelaki yang berkasar tadi segera angkat kaki, malu!

Orang ramai yang berkerumun pun mula beredar.

“Motor awak tu macam mana?” tanya Jojo setelah anak muda itu sudah didudukkan dengan selesa dalam keretanya.

“Entahlah. Encik tolonglah sorongkan ke tepi.”

“Nanti hilang macam mana?”

“Encik tolak ke tepi jalan tu. Nah, ini rantai dan kuncinya. Encik rantaikan saja pada tiang lampu tu. Nanti lepas balik dari klinik, saya datang ambil motor saya ni.” Anak muda itu menghulurkan rantai dan kunci yang dikeluarkan dari beg yang disandangnya.

Jojo akur. Dia menolak motor anak muda itu ke arah sebatang tiang lampu. Kemudian dia merantai dan menguncinya di situ. Tugas seterusnya ialah mencari sebuah klinik.

“Maaflah, saya tak biasa sangat dengan tempat ini. Boleh awak beritahu kat mana ada klinik?” tanya Jojo selepas berlegar-legar mencari.

“Encik jalan ke depan sikit kemudian belok kanan. Ada sebuah klinik kat situ. Aduh...” Anak muda itu mengaduh sambil menekap dahinya dengan sehelai tisu.

Jojo segera menuju ke tempat yang ditunjukkan. Tidak lama, dia berhenti betul-betul di hadapan klinik. Dengan cepat, dia keluar. Seperti tadi, dia memimpin anak muda itu dan dibawa masuk ke dalam klinik.

“Dia kemalangan. Tolong berikan rawatan segera,” kata Jojo kepada kaki tangan klinik itu.

“Bawa dia masuk ke bilik hujung sana. Kemudian encik boleh daftar di kaunter ya,” suruh seorang staf yang ada.

Sekali lagi Jojo akur.

“Mana kad pengenalan awak?” tanya Jojo selepas anak muda itu dibaringkan ke katil.

Anak muda itu nampak sangat lemah. Dia tidak mampu membuka mata. Hanya tangannya meraba dalam beg sandangnya dan mengeluarkan sebuah beg duit. Dia menghulurkan beg itu kepada Jojo.

Jojo keluarkan kad pengenalan dan tanpa melihat dia berjalan ke kaunter untuk membuat pendaftaran. Kemudian dia disuruh duduk dan tunggu kerana ada beberapa orang yang sedang dilayan.

“Najihah bt Rahman!” panggil kerani di kaunter pendaftaran.

Tidak ada yang bangun. Tidak ada yang memberikan reaksi. Termasuk Jojo. Dia diam, selamba sahaja. Nama yang dipanggil tidak menyentuh mindanya.

“Encik, bukankah encik yang bawa gadis tu tadi?” tanya staf di kaunter.

Jojo terpinga-pinga. Gadis? Bukankah dia membawa seorang anak muda berjaket hitam berseluar panjang biru? Mana ada gadis?

Jojo mencari. Dia menoleh ke kiri dan ke kanan. Kemudian dia menoleh pula kepada staf yang bertanya.

“Ya, encik.”

Jojo segera bangun menuju ke kaunter.

“Encik tak kenal dia ke?”

“Tak. Saya cuma tolong hantar dia.”

Gadis itu angguk sambil menghulurkan semula kad pengenalan selepas nama pemiliknya didaftar. Jojo kembali ke tempat duduknya. Dia membelek kad pengenalan itu.

‘Hah? Dia seorang gadis? Alamak, batal wuduk aku. Aku dah pimpin dia tadi.’ Bisik Jojo dalam hati. Kemudian bibirnya menguntum senyuman. Rungutan hatinya itu dirasakan lucu. Bila pula dia berwuduk?

Hampir setengah jam, seorang pembantu klinik menolak gadis yang bernama Najihah itu keluar dari bilik rawatan dengan langkah perlahan. Kakinya sudah dibalut bandage. Begitu juga dengan kepalanya.

“Patah ke?” tanya Jojo menghampiri Najihah.

“Taklah. Luka sikit saja. Tak ada apa-apa. Jangan risaulah.” Gadis itu mula tersenyum. Wajah pucatnya tadi mula hilang.

“Saya minta maaf,” kata Jojo perlahan dan dengan rasa bersalah.

“Bukan salah encik. Saya yang salah kerana gopoh sangat. Saya yang tak hati-hati.”

“Apa yang awak kejar?”

“Saya nak pergi kerja. Dah lambat.”

“Kok ya pun, jangan gopoh macam tu. Nasib baik kereta saya perlahan. Kalau tidak, arwah dah awak.” Jojo cuba bergurau.

“Tak apalah. Mak saya dapat insuran nyawa saya. Awak pula turun naik mahkamah. Mungkin awak pun dipenjarakan kerana memandu laju dan melanggar orang!”

Jojo ketawa santai. Dia rasa kagum dngan kepetahan Najihah menjawab.

Tidak lama nama Najihah dipanggil. Jojo bangun dan segera ke kaunter. Bil dibayar dan dia menghulur tangan untuk memimpin Najihah ke kereta.

“Tak apalah. Saya dah boleh jalan sendiri.” Najihah menolak dengan lembut.

“Saya hantar awak balik ke rumah. Di mana rumah awak,” kata Jojo selepas enjin kereta dihidupkan.

“Tak payahlah. Encik hantar saja ke tempat motor saya tadi. Nanti saya jalan sendiri.”

“Heh! Macam mana awak nak naik motor dengan kaki awak yang berbalut ni!” Jojo separuh menjerit. Matanya melorot ke arah Najihah.

“Sikit saja ni. Boleh. Encik tak payah nak susah-susah.”

Jojo akur. Kereta diberhentikan di hadapan motor yang dikunci pada tiang lampu tadi.

“Terima kasih encik. Saya minta maaf kerana susahkan encik.”

“Tak apa. Ini kad saya. Dan ini ada sikit duit untuk membaiki motor awak. Kalau tak cukup, telefon saya. Err... boleh saya dapatkan nombor telefon awak?” Jojo menghulurkan kad namanya.

“Untuk apa?”

“Mana tahu, kalau saya datang ke bandar ini lagi saya boleh hubungi awak. Kita boleh berkawan kan?”

“Rasanya tak perlu sangat kot!”

“Tak apalah kalau awak tak sudi. Tapi, hubungi saya kalau duit ni tak cukup untuk baiki motor awak.”

“Kalau terlebih?”

“Saya halalkan. Anggap itu sedekah saya,” jawab Jojo sambil masuk ke dalam kereta dan terus berlalu.


Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.