Home Novel Komedi/Romantik Komedi BICARA CINTA TERTANGGUH
bab 21

MUJUR hari ini dia memakai seluar jeans dan kemeja sahaja. Kalau dia memakai baju kurung? Aduilah...pasti kelam kabut. Musim demam menyebabkan beberapa pekerja yang Nisa ambil secara upah harian tidak boleh datang. Mahu tidak mahu, dia dan Nisa turut sama turun padang.

“Panasnya.” Suriya mengelap peluh. Entah berapa helai tisu sudah digunakan untuk mengelap dahinya. Rambut yang terbiar lepas pun kini sudah diikat tinggi. Beri ruang untuk lehernya disapa angin.

“Panas dunia ni.” Nisa membalas lalu ketawa kecil. Dia sudah biasa dengan kerja ini. Panas memanglah panas walaupun khemah yang digunakan ada kipas di bahagian tengahnya. Namun dia merasakan wujudnya kipas itu hanya satu cubaan efek psikologi untuk membuatkan tetamu yang hadir tetap merasa panas. Kalau majlis dibuat di ruang terbuka begini, memang oh la la tropikalah jawabnya.

“Pergh, susah juga ya bila kita tak ada pekerja tetap.” Suriya membalas. Pekerja Nisa yang tetap hanyalah dirinya dan tiga orang tukang masak. Yang lain semuanya mereka ambil berdasarkan majlis.

“Tak mampu. Aku tak mampu lagi kalau nak gajikan pekerja tetap. Ada ramai orang suruh aku buat sekali khemah dan meja. Tapi aku tak larat. Aku daya amik katering makanan aje.” Nisa membalas.

“InsyaALLAH kalau ada rezeki, kau besarkan bisnes ni sebesar-besarnya.” Suriya membuat gaya mendepang tangan sambil ketawa.

“Amboi gembiranya dia.”

Teguran itu membuatkan Nisa dan Suriya sama-sama menoleh mencari tuan punya suara.

“Encik Hadi...semua makanan dah sedia. Tinggal tunggu tetamu aje.” Nisa membalas. Hadi adalah pembantu Datin Maznah yang menganjurkan majlis makan-makan untuk anak yatim di harijadi dia hari ini.

“Sekarang tengah baca doa, kejap lagi potong pulut kuning lepas tu bolehlah makan.” Hadi memberitahu. Matanya memandang gadis yang diam saja di samping Nisa. Tidak pernah pula dia nampak sebelum ini. Pekerja barukah?

“Alhamdulillah. Harap-harap pihak datin berpuashati dengan makanan kami.” Nisa memberitahu. Ini kali ke tiga Datin Maznah menggunakan perkhidmatan mereka. Bayarannya lumayam dan datin juga seorang yang rendah diri dan sangat lembut orangnya.

“InsyaALLAH. Datin Maznah suka orang-orang yang macam awak. Rajin dan jujur.” Hadi memuji.

“Oh ya, kenalkan. Ini Suriya. PA saya.” Nisa ketawa kecil.

Suriya menganggukkan kepalanya. Tanda hormat. Dia melihat suara riuh anak-anak kecil yang baru keluar dari rumah. Dia memberitahu Nisa lalu mengambil stesen makanannya iaitu bahagian air dan buah-buahan serta pemanis mulut. Hadi memerhatikan saja langkah Suriya. Nisa pula memerhatikan saja Hadi.

“Suriya tu dah nak tunang.” Tanpa ditanya nisa memberi informasi. Kemudiannya dia segera ke stesen lauk pauk. Membantu adik kecil mengambil lauk. Mujurlah kau kawan sekolah aku Luqman...kalau tidak, mahu aku suruh Suriya sambar Hadi yang bergaya ala model di majalah. Hati Nisa berbisik.

MAJLIS tamat sekitar jam empat. Semua peralatan sudah diangkut masuk ke dalam van mereka. Nisa sedang berjumpa Datin Maznah dan Hadi untuk menguruskan hal bayaran. Suriya memastikan kawasan laman rumah datin itu bersih dan kemudiannya memberikan arahan untuk pekerja yang lainnya beredar dahulu pulang ke rumah Nisa. Sampai di sana, peralatan mahu dicuci dan dikemaskan pula.

Telefonnya bergetar. Suriya melihat skrin. Alamak, ayah! Dia pun menekan butang terima panggilan dengan jari yang bergetar. Salam diberikan dengan suara yang perlahan.

“Suri sihat?”

“Alhamdulillah. Ayah?”

“Syukur, sihat. Tapi lepas pencen ni, rasa bosan duduk rumah aje.” Haji Firdaus menambah.

Alamak, ini petunjuk atau klu? Suriya menelan air liur.

“Bila nak datang KL lagi? Hari tu datang kejap sangat. Tak sempat bual panjang, Suri dah balik.” Haji Firdaus menyambung lagi.

“Mhmm, sekarang Suri baru mula kerja ayah.” Suriya memberikan alasan. Bukan dia tidak ingat ayah namun apabila ingatkan ayah maka ingatan itu juga membawa kepada Hajah Nani yang tidak menyukainya. Sudahnya, dia jadi lebih rela menjauhkan diri.

“Kerja mesti ada cuti jugakan. Datanglah melawat ayah.”

Suara ayah yang seakan-akan merayu membuatkan Suriya terasa pedih di hatinya.

“Mak cik sihat ayah?” Suriya menukar arah topik perbualan.

“Sihat. Mak kamu tu pun dah tak aktif sangat dengan persatuan dia. Dah tua.” Haji Firdaus ketawa kecil. Jika Hajah Nani mendengar, mahu merajuk seminggu dua.

“Ajaklah Kak Damia jalan-jalan ayah. Farhan tak habis lagi belajar?” tanya Suriya. Walaupun hubungan mereka tidak rapat tetapi mereka itu anak-anak ayah. Anak-anak ayah itu adik beradiknya juga.

“Biarlah Farhan tu belajar setinggi yang dia mahu. Suri tu yang tak nak belajar lagi ya. Mak kata, dia pujuk kamu tapi kamu kata nak kerja. Betul ke?” Haji Firdaus bertanya.

Tanpa sedar mengalir airmata di pipi Suriya apabila mendengar soalan itu. Argh, Hajah Nani itu selalu membawa berita palsu tentang dirinya. Namun dia kasihankan ayah. Dia kini sudah dewasa dan kasihan ayah jika selalu terpaksa menjadi orang tengah di antara mereka. Biarlah dia yang mengalah.

“Dah kerja ni pun ayah. Yang penting, Suri tak akan sia-siakan apa yang Suri belajar selama ini.” Suriya mengelak dari memberikan jawapan yang nyata kepada ayahnya.

“Ayah bukan apa. Ayah tak nak Suri rasa terpinggir. Damia ada ijazah. Farhan ni pun sekarang tengah ambik Master.” Haji Firdaus terasa sedih.

“Ayah jangan cakap macam tu. Suri ok dekat sini. Mak Jah pun makin tua ayah. Biarlah Suri jaga Mak Jah macam mana Mak Jah sudi jaga Suri selama ni.” Suriya membalas dengan perlahan. Hati terasa sebak.

Haji Firdaus jadi terdiam mendengarkan kata-kata itu. Dia tahu, Suriya walaupun tidak mahu mengaku kepada dirinya secara terang-terangan, anak ini lebih rela jauh daripada dekat dengan keluarga ini. Bukan salah Suriya. Fikirnya apabila Suriya semakin dewasa, dia akan mampu merapatkan jarak antara mereka, namun dia silap. Jarak itu kini menjadi tembok yang kukuh.

“Hujung bulan ni balik ya Suri. Ayah nak buat majlis makan-makan sikit.” Haji Firdaus masih berharap.

“InsyaALLAH ayah.” Suriya memberikan janji walaupun dengan hati yang berat. Apabila talian dimatikan, sekali lagi pipi Suriya terasa panas dibasahi airmata. Berdosakah dia membuatkan ayahnya bersedih? Bagaimana dengan hatinya sendiri? Siapa yang peduli? Hajah Nani kata dia sudah tidak mahu belajar lagi. Argh, TUHAN saja yang tahu.

Apalah yang Hajah Nani dengkikan dengan dirinya. Damia itu sepuluh kali lebih cantik dari dirinya. Entah-entah 20 kali. Farhan itu anak lelaki yang dimanjakan namun dialah permata hati Hajah Nani yang sangat pandai dalam pelajaran hingga ditawarkan belajar ke luar negeri dan kini sedang mengambil Master. Dia pula ada apa? Dia hanya perempuan biasa yang diuji dengan pelbagai dugaan dalam kehidupan ini.

Telinga Suriya menangkap bunyi orang berbual mendekati dirinya. Dia melihat Nisa dan Hadi sedang menghampiri. Suriya cepat-cepat mengelap pipinya yang basah.

“Van dah gerak. Aku tunggu kat kereta ya. Terima kasih Encik Hadi.” Suriya memberitahu dan segera mengatur langkah beredar dari situ.

Hadi tidak sempat membalas sama-sama namun Suriya sudah berpaling dan pergi. Hadi memandang Nisa.

“Biasalah. Masalah orang bercinta.” Nisa memberikan alasan padahal dia tidak tahu apa-apa pun. Main taram saja bagi jawapan.

“Kata dah nak tunang?” Hadi bertanya.

“Err...dari semalam gaduh pasal dulang hantaran.” Nisa memberikan alasan. Aduh, berapa banyak dosa yang dia sudah lakukan hari ini. Encik Hadi ni pun satu. Pergilah terpikat dekat Kak Seha, tukang masaknya yang merupakan janda hot. Ini mahu tengok, jeling dan kerling si Suriya pula. Mana boleh.

“Oh...” Hadi ketawa kecil.

“Saya gerak dululah Encik Hadi. Terima kasih ya.” Nisa meminta diri. Cek baki bayaran untuk katering mereka sudah diambil. Mahu tunggu apa lagi? Banyak lagi peralatan yang perlu dikemas dan cuci. Baik dia beredar. Lama di sini, makin banyak dosa kering, separuh kering dan tidak kering yang dia akan buat.

“Hati-hati.” Hadi memberikan pesanan. Terasa mahu berkirim salam pada Suriya tetapi tidak elok pula mahu mengacau bakal tunang orang. Apa nak buat. Tiada rezeki mahu berkenalan dengan Suriya yang manis nampaknya.

Previous: Bab 20
Next: Bab 22

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Lynn Dayana