Home Novel Komedi/Romantik Komedi BICARA CINTA TERTANGGUH
Bab 1

KAWASAN parkir kereta itu seperti biasa, sesak. Dan haruman yang menusuk ke hidung juga argh...memang rugi saja jika memakai minyak wangi bertaraf antarabangsa. Wangian itu akan pudar juga namun untuk menggagahkan diri, Suriya mencalit juga sedikit minyak wangi ke lengan. Buat pembakar semangat.

Pergi ke pasar? Memang bukan sesuatu yang biasa atau normal untuknya. Ini bukan pusat membeli belah. Ini pasar. Namun mengenangkan permintaan Mak Jah yang menyuruh kerana kaki wanita tua yang sudah dianggap seperti emak sendiri itu terseliuh, maka dia datang juga ke sini.

Ikan merah, daun kesum, tomato serta belimbing buluh jika ada. Diulang-ulang pesanan Mak Jah di dalam kepala. Janganlah kakinya terlanggar batu dan dia jadi lupa. Aniaya saja. Mahu kembali ke sini semula? Tidak kuasa. Mencari ruang parkir saja tadi sudah mencabar keimanannya.

Telefon berbunyi.

Beli jugak taugeh, bunga kantan, udang kertas, limau nipis dan kacang botol. Nak buat kerabu. Luv you sis, muah muah....

Huh! Banyaklah muah muah. Suriya membaca mesej dari Irma yang merupakan pesanan tambahan. Diajak ikut ke sini, awal-awal Irma sudah menolak. Mentang-mentanglah bukan ke MidValley atau Pavilion. Cuba kalau ke sana, dia belum sempat memakai bedak, Irma sudah tercongok di tepi pintu kereta. Dasar budak materialistik!

Suriya membuat kiraan. Mengira sambil melangkah. Dia menghampiri gerai nombor lima dari pintu masuk. Kata Mak Jah, beli di gerai itu. Erk...kedai lelaki. Dia melihat lelaki itu berpaling sekilas memandang ke arahnya. Erk...oh, indahnya ciptaan TUHAN. Subhanallah...atau astaghfirullah ya? Suriya kemudiannya beristighfar. Hisy, anak dara jenis apa yang berani merenung anak bujang orang? Erk...bujangkah?

Malunya. Pandai-pandai buat ramalan. Pergi kedai lain? Mak Jah tak akan tahukan? Tapi kalau nanti Mak Jah tanya? Takkan mahu menipu! Hisy, Suriya Hanum binti Haji Firdaus, sila tetapkan hati. Mahu panggil apa ya? Abang? Saudara? Encik?

“Adik nak beli apa dik?”

Ops, lelaki itu sudah memanggil.

“Daun kesum ada bang?”

Dia panggil aku adik! Adik ok? Dan hati jadi rasa bersinar-sinar. Gejolak hati Suriya jadi tidak menentu.

“Tu, yang sebelah daun kunyit tu.”

Lelaki itu pun bergerak ke hujung gerai dan melayan seorang mak cik yang baru sampai. Memberikan salam dan bertanya khabar. Amboi mesranya! Dengan dirinya, tidaklah mesra sebegitu pula. Ya ALLAH...Suriya Hanum! Mak cik tua tu! Nak cemburu apa. Fokus! Fokus. Erk...mana satu daun kunyit? Tadi dia kata apa? Daun kesum sebelah daun kunyit. Masalahnya, mana satu daun kunyit. Aduhai. Nak nangis boleh tak?

“Ada dik?”

Suriya mengangkat kepala. Diam seribu bahasa. Kalau ada dua ribu bahasa pun, dia akan diam juga. Sebab memang dia tidak tahu. Dia mengangkat satu ikat daun yang di depannya.

“Tu daun kari! Oh...tak tahu beza daun kesum dengan daun kunyit ya?” Lelaki itu bercekak pinggang memandang sambil ketawa.

Dan Suriya terasa panas sudah kedua-dua telinga. Kejap lagi adalah anggota bomba yang kena bertugas memadamkan kebakaran agaknya.

“Ni namanya daun kesum. Meh berkenalan. Hai, saya daun kesum. Awak?”

Huh! Lawakkah itu? Suriya menahan nafas. Hampir-hampir jadi naga ni. Sabar...

“Saya nak taugeh, bunga kantan, limau nipis dan kacang botol. Belimbing buluh ada?” tanya Suriya dalam sekali nafas. Nah, senang. Kalau ada, sila jual. Kalau tak ada, banyak gerai lain. Suriya membebel namun hanya di dalam hati. Dan dia mendengar bunyi lelaki itu ketawa. Menampakkan gigi taringnya. Argh, manis...walaupun menjengkelkan. Tiba-tiba gambaran filem Breaking Dawn menjelma di minda.

Suriya melihat tangan lelaki itu laju saja mengambil bahan-bahan yang disebutkannya tadi.

“Ini taugeh. Kenal?”

Adoilah mamat ni. Memang saja nak mengenakan diakah? Suriya rasa mahu jadi halimunan. Nada suara itu turunkan, boleh tak?

“Ini bunga kantan. Comelkan?”

Suriya diam saja memerhati. Naga mahu membakar!

“Ini limau nipis. Ini kacang botol dan inilah belimbing buluh. Nak ucap hai tak? Atau nak bagi salam?”

Erk, amboi! Lelaki ini menyekolahkan dirinya di tengah khalayak ramai. Ini sudah melampau.

“Berapa ringgit?” Suriya mahu cepat berlalu.

Lelaki itu menyebut jumlahnya dan Suriya segera membayar. Terasa mahal tetapi dia hanya mahu beredar saja dari situ.

“Luqman, tak baik kacau anak dara orang,” tegur kakak yang meniaga di gerai sebelah. Suriya berpaling dan menghadiahkan senyuman yang manis. Hidup kakak! Jiran kakak meniaga ni jahat! Suriya berbicara di dalam hati.

“Kalau nak jadi isteri tapi tak kenal sayur, susahlah Kak Milah.” Lelaki itu membalas. Nada suaranya selamba namun penuh keyakinan.

Erk...mamat ni kenapa. Tiba-tiba jawapan lelaki itu buat hati Suriya jadi beku. Tak boleh gerak. Tolong! Tolong! Baik balik dengan kadar segera. Eh, tak boleh balik lagi. Ikan merah dan udang kertas Mak Jah masih belum dibeli. Suriya berpaling mahu melangkah pergi.

“Cik Suriya Hanum!”

Aduhai. Dia tahu nama penuh aku? Hati Suriya menjadi cemas. Sekali lagi beku. Kali ini bahagian kaki.

“Cik Suriya Hanum Haji Firdaus!”

Aduhai nama penuh siap dengan nama bapa. Kalau buat tidak tahu juga, adakah akan dijerit nombor kad pengenalan pula?

“Mak Jah suruh saya belikan udang kertas dengan ikan merah sekali.”

Aduhai, adakah ini bermaksud, dia...Suriya Hanum yang dijeritkan namanya tadi, perlu berpatah balik? Hisy, mahu tidak mahu...Suriya berpusing balik. Menghulur tangan untuk mengambil beg plastik dan ketika mata bertentangan, Suriya melihat lelaki itu mengenyit mata. Argh, ancaman mara bahaya sungguh. Siapa nama dia tadi? Luqman? Suriya menarik beg plastik itu tetapi Luqman tidak mahu melepaskan. Suriya menjegilkan mata dan Luqman sekali lagi mengenyit. Senyuman indah di bibir. Argh, kelihatan taring itu lagi.

“Oi Luqman, ni urusniaga atau...akad nikah?”

Dan Suriya terasa malunya menjadi berganda-ganda. Terdengar deraian tawa para peniaga dan pengunjung pasar itu yang menjadikan aksi mereka sebagai bahan tontonan. Ingat ini lokasi penggambaran drama?

“Sah tak bang?”

“Sah, sah...”

Deraian tawa bergema sekali lagi. Suriya menarik beg plastik dan laju melangkah ke pintu keluar. Malu. Taubat. Taubat tidak mahu ke sini lagi. Dia meluru ke kereta dan meletakkan barang belian di lantai kereta. Nafas rasa tercungap-cungap. Kurang sopan punya Luqman. Suriya terasa marah dan kemudiannya ketawa. Mula-mula perlahan dan kemudiannya dengan kuat. Selepas rasa gelihati itu pudar, Suriya mencapai tali pinggang keledar. Dia terasa seperti dipandang seseorang.

Oh, ada seorang mak cik yang memerhatikan dia. Hairan agaknya melihat tingkah laku yang tidak menentu dipamerkan sebentar tadi. Mak cik, percayalah saya siuman. Yang tidak waras itu adalah Luqman, si penjual sayur. Huh! Sekolahkan aku ya. Suriya ketawa kembali. Ada ke disuruh ucap hai dengan sayur. Sah, Luqman mereng!
Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Lynn Dayana