KETIKA kakinya
melangkah masuk ke dalam pasar itu, jam sudah menghampiri 12 tengahari. Pagi
ini Hairul yang menolongnya meniaga. Dia ke bank membuat urusan perbankan yang
lama tertangguh.
“Bos...” Hairul menyeringai.
“Dah kenapa?” sergah Luqman. Wajah
Hairul seperti lelaki yang mabuk cinta saja.
“Saya rasa KPS berjaya.”
Luqman menoleh. KPS? Kempen Pikat
Suri?
“Betul. Saya ada bukti ni bos.”
Hairul menyambung sengihnya. Gaya macam orang menang piala. Baru dapat bonus
tahunan enam bulan mungkin?
“Aku ni penat. Tadi kat bank beratur
panjang.” Luqman menyambung bebelannya.
Hairul mengunjukkan satu bekas
makanan.
“Apa ni?”
“Bukti satu. Kerabu bunga kantan.”
Hairul memberitahu.
Perlahan-lahan, Luqman membuka
penutupnya. Semerbak bau wangi aroma kerabu bunga kantan bercampur kacang
panjang, taugeh dan perahan limau yang mengasyikkan. Serta merta usus perut
seperti mengecut kekurangan zat dan meminta diisi.
“Suri hantar ni?” tanya Luqman
dengan hati yang sudah seperti mahu meloncat keluar dari dalam dada.
Hairul mengangguk.
“Kerabu ni, Suri yang hantar?”
Soalan itu menyebabkan Hairul
ketawa. Kalau sekarang ini dia minta gaji, pasti bos bagi. Kalau minta kerabu,
pasti tidak ada harapan. Wajah bosnya kini seperti wajah lelaki yang bulan
jatuh ke riba.
“Yalah bos. Kerabu untuk bos.”
“Hoi! Apa citer ni?” sergah Latif.
Luqman hanya senyum.
“Kerabu woh. Nampak sedap. Bagi aku
sikit.” Latif mahu mencapai namun Luqman sudah memusingkan badannya dan
mengelak.
“Hoi, kedekutnya manusia!” jerit
Latif tidak puas hati.
“Kerabu untuk aku!” Luqman membalas.
Kuatnya suara Latif mengundang
perhatian penjaja yang lain. Waktu itu kawasan pasar juga sudah mula lengang.
Ramai yang dah mula menyusun barangan ke dalam kotak simpanan kerana sebentar
lagi mahu pulang.
“Berebut apa tu?” tanya Milah.
“Kerabu...kak. Luq tak nak bagi rasa
padahal satu bekas besar.” Latif mengadu.
“Tak baik kedekut Luq.” Milah
menegur namun melihat gaya Luqman memeluk bekas makanan itu macam memeluk emas
permata sahaja.
“Kerabu untuk aku!” Luqman
menjegilkan matanya kepada mereka yang memandang. Latif menepuk dahi. Hairul
berbisik ke telinga Latif dan lelaki itu menepuk tangan dan ketawa.
“Oh...” Panjang Latif membunyikan oh
setelah faham duduk perkara.
“Suri yang bagi kak...patutlah
kedekut.” Latif memberitahu Milah.
“Siapa yang bagi?” Syam pula yang
menghampiri.
“Suri!” Tiga orang serentak menyebut
nama itu dengan kuat.
Deraian tawa kuat di dalam keriuahan
pasar itu. Luqman membuat muka selamba. Apa dia peduli. Kerabu ini Suriya yang
buat untuk dia. Suriya yang hantar untuk dia. Bukankah ini satu hari di dalam
sejarah? Mana boleh kongsi-kongsi. Kalaulah kerabu ini boleh diberi formula
untuk kekal selama-lamanya...pasti dia sanggup menghabiskan wang ringgit untuk
mendapatkan formula itu.
“Baru dapat kerabu! Kalau dapat tuan
punya kerabu?” Latif menyindir.
Riuh lagi sekali di sudut itu. Orang
yang disindir tetaplah memeluk bekas makanan itu dengan erat.
“Kalau dapat Suri, tak keluar rumah
seminggu!” Syam membalas lalu ketawa lagi.
“Korang ni tak ada kerja ke?
Cakaplah apa yang korang nak, aku tak peduli.” Luqman membalas. Kecil hati
langsung tidak. Dia mahu balik. Mahu mencari nasi panas dan ikan goreng untuk
dipadankan dengan kerabu ini. Sambal belacan ok juga atau mungkin ikan kering.
Pasti indah.
“Bos, nak pergi mana tu?” tanya
Hairul.
“Aku nak balik. Kau tutup kedai.”
“Bos...”
“Amender?” Luqman berpaling dengan
rasa marah. Dia melihat Hairul sedang melambaikan sesuatu. Surat apa?
“Bukti kedua, KPS berjaya. Kak Suri
bagi surat.”
Dan tidak sampai sesaat, surat itu
sudah sampai ke tangan Latif dan Luqman melihat lelaki itu melarikan diri. Cis,
dajal sungguh.
“Oi, pulang balik.” Luqman menjerit.
“Surat untuk aku.” Latif membalas
dan terus berlari.
Milah, Pak Man dan Syam hanya
menumpang tawa. Macam budak-budak baru lepas kena sunat. Latif dan Luqman sama
saja sengalnya. Hairul melopong melihat tingkah mereka berdua. Wah, hebat
penangan Suriya. Satu pasar Luqman sanggup berlari mengejar Latif. Ajaib,
ajaib!
BADAN dihempaskan
ke atas katil. Kerabu yang sedap itu tidak dapat mengubat hati yang sedikit
rasa tercalar. Sebaris ayat yang membuat dia berfikir.
Hentikan
saja, Luqman. Hentikan semua ini.
Disuruh hentikan semua ini tetapi
Suriya sudi menghantar kerabu, bukan? Maksudnya? Luqman menyambung menungnya.
Kata Mak Jah, Suriya buat keputusan untuk bekerja di sini. Itukan berita baik.
Suriya akan terus berada di sini. Luqman mencapai telefon.
“Assalamualaikum. Pak Ali, saya nak
buat kenduri. Hujung minggu ni ada kosong tak?”
“Kenduri apa ni Luqman? Kamu nak
bertunang ke?” Pak Ali yang merupakan imam di masjid yang berdekatan.
“Argh, yang tu akan datang.” Luqman
ketawa.
“Dah ada calon ya? Alhamdulillah.
Jangan lengah-lengah. Kamu tu bukan makin muda.” Pak Ali menasihatkan.
“Ala Pak Ali, kita orang lelaki ni
kan sentiasa muda.” Luqman berjenaka dan di hujung talian, telinganya menangkap
bunya Pak Ali ketawa kecil.
“Sementara muda nilah kamu kahwin.
Dapatkan zuriat yang baik. Sama-sama dengan isteri kamu, cari keberkatan dan
rahmat ALLAH. Kalau dah bongkok tiga, nak pegang tangan pun rasa tulang
temulang...nak buat apa?” Pak Ali menyambung ceramahnya.
“Erk, Pak Ali doakanlah.”
“InsyaALLAH. Hujung minggu ni nak
buat kenduri lepas Maghrib?” tanya Pak Ali.
“Ada kosong ke Pak Ali?” Luqman
bertanya dengan harapan. Harap-harap adalah ruang untuk membuat amal dan
pahala. Kenduri kesyukuran kerana Suriya akan berada lebih lama di sini. Dekat
dengan dirinya. Semoga dia ada peluang untuk mendekatkan hati mereka juga.
“Ada, ada. Untuk kamu selalu ada.”
Pak Ali membalas.
“Saya ingat nak sembelih kambing.”
“Alhamdulillah.”
Perbualan itu ditamatkan dan hati
Luqman terasa lapang sedikit.
SUASANA di pasar
riuh rendah apabila ada kejadian yang tidak diingini berlaku. Drama swasta
antara seorang suami yang menemankan isteri mudanya ke pasar dengan isteri tua
yang datang menyerang.
“Pergh, sakit tu kena hentak dengan
kelapa.” Latif mengusap kepalanya seolah-olah tempurung kepalanya yang kena.
“Itulah kesan dialog...butang baju
aku mana, Pah!” Pak Mail ketawa.
“Tak pandai nak bermadu, janganlah
nak bermadu.” Sham selamba saja memberikan komentar.
Semua mata berpaling kepadanya.
“Kau ada guna-gunakan bini kau tak?”
Latif selamba bertanya.
Satu jelingan tajam dipamerkan Sham.
Adakah patut guna-guna pula yang ditanya. Dia menjaga mereka berdua dengan
kasih sayang. Adil dan saksama.
“Tak semua orang mahu payung emas.”
Milah mencelah.
“Banyak pahala tau kak.” Latif
menyampuk juga. Ketawa apabila melihat Milah menunjukkan penumbuk. Memang benar
payung emas itu walaupun bayangannya indah tetapi beban yang mahu dibawa
bukannya mudah.
“Aku nak buat kenduri malam Jumaat
ni.” Tiba-tiba Luqman bersuara.
“Kenduri apa?” tanya Hairul.
“Kenduri kesyukuran.” Luqman
tersengih-sengih. Tangan masih laju menyusun sayur-sayuran. Kelopak kobis yang
rosak dibuka perlahan-lahan.
“Bos bersyukur pasal apa bos?” tanya
Hairul.
“Pasal kau hari ni datang kerja.
Pasal Kak Milah pagi tadi sedekah mihun goreng yang sedap... Pasal Pak Mail
harijadi dah dekat. Pasal apa lagi ya?” Luqman membuat jenaka.
Semua mata memandang dengan rasa
tidak percaya.
“Assalamualaikum. Mesyuarat ke?” Mak
Jah menegur mereka semua.
“Waalaikumusalam. Amboi Jah,
berserinya muka kamu. Macam bulan dipagar bintang.” Pak Mail menegur.
Mak Jah tersenyum sipu. Gembira,
memang hatinya gembira. Dua, tiga hari ini hatinya sangat tenang dan lapang.
“Bintang apanya Mail. Saya ni senang
hati sebab Suri nanti tak kerja KL. Dia kerja kat sini dan duduk kat rumah
saya. Senang hati saya.” Mak Jah memberitahu berita gembira itu.
“Oh...” Semua mata memandang Luqman.
Lelaki itu buat muka tidak tahu. Kantoi!