TISU dicapai. Mulut
dilap dan kembali mengunyah. Sedap, memang sedap. Ok, sedikit lembik dan sudah
kurang rangup kerana popia itu sudah dimasak awal pagi tadi tapi perisanya
masih sedap. Aida mengunyah dengan penuh nikmat.
“Kau tak nak rasa ke? Sedap ni.”
Suriya mencebik.
“Jangan tolak rezeki.”
Suriya menelan air liur. Aida bangun
dari tempat duduknya dan mengeluarkan mangkuk dari ketuhar gelombang mikro itu.
Serta merta haruman daun pandan dari nasi lemak itu dapat dihidu. Diambil pula
sambal tumis udang. Memang nampak sungguh menyelerakan. Aida mengambil dua
pinggan kecil.
“Kau makanlah. Lepas kau kenyang,
tolong bagitahu aku kat mana mi segera.” Suriya menyindir. Perutnya yang
kelaparan dan Aida yang seronok bersantap. Sungguhlah jenis tuan rumah yang
tidak menghormati tetamu!
“Makanlah ni. Kenapa? Kau takut dia
letak apa-apa?” Aida membalas.
“Mana ada.”
“Habis tu? Makanlah. Aku cabar kau.”
Aida mengangkat keningnya.
Dicabar begitu, Suriya mencapai sudu
dan membaca bismillah lalu menyuap nasi lemak itu. Aduh, sedap. Sambal udang?
Sedap juga. Dan dia mendengar Aida ketawa. Menghina dialah tu! Namun kerana
lapar, Suriya tidak peduli.
“Kau sedar tak apa yang kau dah buat
ni?” Aida menepuk meja dengan kuat.
“Apa dia?” tanya Suriya lalu
meletakkan sudu ke dalam pinggan. Sebentar tadi beria menyuruhnya makan.
Mencabar gaya pahlawan dan kini menepuk-nepuk meja pula. Sengal sungguh
kawannya ini.
“Kalau betul Luqman ada letak
apa-apa...” Aida tersengih-sengih tidak menghabiskan kata-katanya.
“Kau ni...” marah Suriya. Aida ini
memang potong selera betul.
“Kita akan jadi madu.”
Dan nasi tersembur keluar dari mulut
Suriya. Bertaburan di atas meja. Aida melopong mulutnya dan kembali ketawa.
Suriya mencapai gelas air sejuk. Perit tekaknya. Kejam betul manusia yang
bernama kawan ini. Sengaja mahu mendera dirinya.
“Kau fikir aku tak sesuai jadi madu
kau ya?” tanya Aida.
“Dijauhkan...” balas Suriya. Aida
ini memang tidak sayang mulut. Dia mencapai tisu dan mengelap meja. Mengutip
butiran nasi. Sungguh merugikan hasil titik peluh petani. Ketika tangan Aida
mencapai kek cawan itu, Suriya mengetuk tangan Aida.
“Kedekut!”
“Jangan nak berangan. Ni aku punya.”
Suriya menjegilkan mata.
“Kau rasa, bahagian tengah kek tu
ada cincin tak?” tanya Aida dengan wajah yang penuh mimpi.
“Apa dah jadi dengan kau ni?
Berangan tak sudah. Dah gatal nak kahwin ke?” sergah Suriya.
“Ada sempat curi gambar dia tak?
Janganlah kedekut. Bagilah aku tengok.” Aida meminta dengan membuat muka
kasihan.
“Tak adalah.” Suriya menggeleng.
Melihat wajah pun tidak dan Aida pula yang naik angau dengan Luqman. Melampau
betul. Sungguh tidak masuk dek akal. Atau mungkin popia itu sudah ada kesan
yang ketara?
PERBUALAN beralih
ke bilik Aida selepas Suriya membersihkan diri dan menunaikan solat. Rambutnya
yang panjang dilap dengan menggunakan tuala. Aida kelihatannya sedang sibuk
melayari laman dinding FB.
“Siapa tu?” tanya Suriya.
“Gila seksi eh?”
“Siapa?”
“Ni lah kekasih baru Iqram.” Aida
tersengih dan melihat wajah Suriya jadi masam. Siapa suruh tanya? Diberikan
jawapan, ada hati yang tidak suka.
“Tak cukup kain.” Suriya menegur.
Bukan tahap tidak cukup satu sentimeter, ini macam kes tidak cukup lima, enam
meter.
“Kau nak tengok satu lagi gambar
tak?” tanya Aida.
“Kalau gambar tu hanya kurangkan
pahala aku yang tak banyak mana, baik kau...”
Dan belum habis ayat dilafazkan,
terpapar di skrin gadis itu sedang mencium pipi Iqram. Suriya tidak tahu siapa
yang mahu dimarah? Aidakah atau Iqram yang makin hilang haluan? Mungkin juga si
sengal itu yang tidak cukup kain dan tanpa silu memeluk anak teruna orang
dengan erat?
“Kau ni sajakan...” Suriya mendengus
marah. Telefon yang diletakkan di atas meja, dicapai. Ada mesej. Membaca mesej
itu dan terpaku.
Harapannya
bila orang tu dah sampai sana, kirimlah berita...tapi hampa.
Erk, ada janjikah mahu mengirim
berita? Sah, Mak Jah memandai-mandai telah memberikan nombor telefonnya kepada
Luqman. Ini bermakna bermulalah episod haru birunya. Argh, pedulikan. Dia
sibuk.
“Siapa? Mak Jah?” tanya Aida.
“Buah hati Mak Jah.” Suriya
meletakkan telefon dan menggantung tuala di rak penyidai.
“Wah, jeles aku. Mak Jah pun ada
buah hati. Kita ni?”
“Kau ni mengarutlah. Maksud aku,
Luqman lah.”
Serta merta Aida bangun dan
mendekati Suriya. Teruja mahu membaca mesej itu. Mesti best. Mesti seronok.
“Jangan kedekut. Bagilah aku baca.
Dia tulis apa?”
“Huh.”
“Kau ni...”
Suriya duduk di atas lantai. Tubuhnya
disandarkan ke katil dan tangan mencapai majalah yang ada.
“Rimaslah. Kau tak rasa rimas ke?
Tempat duduk pun siap belikan lebih supaya tak ada orang lain duduk sebelah
aku. Psiko tau.” Suriya membalas.
“Dia prihatin tentang keselamatan
kau. Bayangkan kalau tadi yang duduk sebelah kau tu kaki raba? Tak aniaya?”
Aida memberikan buah fikirannya.
“Jangan over dramatik boleh?”
“Atau lelaki yang ketiak
masam...sanggup?” Aida sudah ketawa lagi.
“Mengarut ah.”
Aida merenung wajah Suriya. Degil
binti tak mahu dengar kata betul kawannya ini. Semakin hari, semakin tidak
sabar dia mahu berjumpa dengan Luqman. Lelaki yang unik itu ingin ditatap
wajahnya.
“Dia seorang yang bersikap
melindungi.” Aida membuat kesimpulan.
Dan di mata Suriya terbayang ketika
Luqman mentertawakan dirinya yang tidak kenal jenis sayuran. Melindungi? Tidak
ada maknanya.
“Dia, aku rasa...berfikiran jauh ke
hadapan. Melihat engkau dan dia bayangkan kau ada dalam masa depan dia.”
Suriya menoleh ke arah Aida. Sah!
Sah! Ini kesan makan popia dan nasi lemak. Huiyo, canggihnya ilmu Luqman
tapi...kenapa tiada kesan pada dirinya? Ahha! Pasti kerana pendindingnya kuat.
Pasti. Suriya menepuk tangan puas hati.
“Dah kenapa pulak ni?”
“Aku rasa kau dah kena. Kalau kau
dengar cara kau puji Luqman, kau sendiri boleh muntah tau.” Suriya memberitahu.
“Cis, belajar tinggi tapi ilmu takat
siku!” Aida membalas.
Mereka berdua saling berpandangan.
Keadaan sunyi seketika dan kemudiannya kedua-dua ketawa. Bunyi ketukan di pintu
menyebabkan tawa mereka terhenti.
“Amboi, betullah kata Mak Lang...
Suri ada datang sebab tu Aida ketawa tak ingat dunia.”
“Aunty, apa khabar?” Suriya memeluk
Rahimah, emak Aida.
“Alhamdulillah. Suri sihat?”
“Sihat.”
“Kebetulan tadi aunty jumpa ayah
kamu, Suri. Dia ajak kamu datang ke rumah malam ni. Ajak makan malam di sana
katanya.” Rahimah memberitahu.
Hilang seri di wajah Suriya.
Fikirnya malam ini mahu rehat-rehat di dalam bilik saja bersama Aida. Sesi
gosip dan mengumpat namun nampaknya agenda akan bertukar. Dia memandang Aida
dan Aida mengangkat bahu.
“Ingatkan ayah tak balik lagi.”
“Dah. Semalam katanya. Telefonlah
dia. Ayah Suri nampak letih sangat.” Rahimah memberitahu. Bukannya dia tidak
tahu getirnya hubungan dua beranak ini namun dia selalu berdoa agar hubungan
itu akan menjadi lebih baik pada suatu hari nanti.
“Nanti Suri telefon ayah.” Mulut
berjanji walau hati terasa tidak mahu.