HARI ini hari cuti
dan Suriya bermalasan saja di rumah. Kakinya terasa lenguh kerana majlis
semalam. Kalau boleh mahu tidur sehingga matahari tinggi tetapi tidak sedap
hati pula. Suriya bangun dan melihat wajahnya di cermin. Matanya sedikit
bengkak. Hisy, membazir betul. Buat apalah dia memikirkan tentang Hajah Nani
yang tentu-tentu tidak pernah memikirkan tentang dirinya. Sungguh membazir
emosi dan perasaan.
Suriya mencapai getah rambut dan
mengikat rambutnya dengan kemas. Tolong Mak Jah apa yang patut lagi bagus. Dia
melangkah ke dapur sambil menyanyi perlahan. Entah kenapa lagu baru nyanyian
Hazama bertajuk Malaikat itu asyik bermain di dalam mindanya. Mungkin kerana
liriknya yang puitis dan romantik.
Tuhanku
Kamu
tolonglah hantarkan kepadanya
Malaikat
untuk jaganya bila ku tiada
Tunaikan
semua permintaannya kerna
Ku
cintanya sungguh-sungguh
“Dah bangun? Mak Jah ingat nak tidur
sampai bulan Syabaan.” Selamba saja Mak Jah menyindir.
“Kalau bangun masa tu ada cabutan
bertuah ya?” usik Suriya sambil ketawa. Dia menarik kerusi dan duduk berdekatan
dengan Mak Jah.
“Kamu tu yang bertuah.”
“Amin...” Suriya meraup kedua
tangannya ke muka.
“Ada Luqman telefon kamu?”
“Hisy, mana ada.” Suriya menggeleng.
Namun dalam menggeleng, teringat pula mesejnya tempohari. Sampai sekarang
malunya masih terasa. Baru dia mahu melapangkan hati, nama Luqman pula disebut
oleh Mak Jah.
“Kamu tak suka Luqman sebab dia jual
sayur saja ya?” tanya Mak Jah.
Suri menoleh dan menggeleng. Terperanjat dengan
pertanyaan itu.
"Habis tu kenapa? Luqman tak cukup handsome?"
"Mak Jah...sebab dia handsome la saya tak nak. Penat tau nanti kalau ramai yg kejar
dia." Suriya menjawab selamba sambil senyum. Siapa kata Luqman tidak
tampan? Masalahnya hati yang degil ini bukan memilih cinta kerana paras rupa
sahaja. Dan yang paling penting, dia masih muda. Masih baru menempuh alam
kerja. Ada banyak lagi perkara yang dia tidak lakukan lagi.
"La... Itu yang kamu takutkan?" Mak Jah
menggeleng kepala beberapa kali.
Tiba-tiba Luqman masuk ke dapur. Dia mengambil pisau,
garpu, gunting dan kapak di kabinet Mak Jah. Semua itu dilonggokkan ke depan
Suriya.
"Erk....nak buat apa ni." Terkejut Suriya.
Pucat wajahnya. Mamat ni datang dari mana? Pari-pari ke apa. Tiba-tiba muncul
menjelma dan tahu pula kedudukan peralatan Mak Jah.
"Buatlah apa yg Suri suka. Cucuk ke mata saya, kapak
sebelah telinga...atau kelar pipi ni. Suri kan tak suka dgn wajah ciptaan ALLAH
untuk saya." Luqman menjawab. Sebenarnya tiada niat mahu menelinga pun
perbualan di antara Suriya dan Mak Jah. Hanya kebetulan dia mahu menghantar
kuih yang dikirim oleh emak Hairul untuk Mak Jah. Terdengar namanya disebut Mak
Jah, kakinya terhenti di balik pintu.
Suriya terasa tangannya menggigil. Tidak pasti di antara
perasaan marah dengan geram. Tidak cukupkah masalah yang dihadapinya semenjak
dari semalam?
"Cepatlah..." Luqman menghulur pisau.
"Jangan nak buat drama kat sini." Suriya
membalas. Mukanya terasa merah membara. Malu disoal sebegitu di depan Mak Jah.
Macam slot Akasia sahaja. Pagi-pagi sudah ada drama. Slot Akasia pukul tujuh
petanglah!
"Jadi janganlah bagi alasan yang tak adil untuk
saya. Kalau ada 1000 yg kejar tapi hati saya pada Suri...tetap tak jadi
apakan?"
Suriya diam. Awak
tak faham, Luqman. Hati saya ini bukan untuk dimiliki. Namun dia berdiam
sahaja. Biar Luqman tenang sendiri.
“Luqman... dahlah. Tak elok gaduh pagi-pagi macam ni.
Petang ni kamu pergi ke masjid? Kita jumpa kat sana.” Mak Jah meredakan
keadaan.
Luqman memberikan salam dan melangkah pergi. Dipandangnya
wajah Suriya sekilas. Tidak dapat dia meneka apa yang ada di dalam hati gadis
itu. Wajahnya nampak keras walaupun matanya sedikit bengkak. Silap dia. Apabila
Nisa mengatakan Suriya semalam menangis, dia teruja mahu tahu mengapa. Nisa
juga memberitahu ada pelanggan yang nampak berminat dengan Suriya, lagilah dia
seriau. Ya ALLAH, kenapalah dengan dirinya ini. Luqman beristighfar beberapa
kali. Masa untuk tarik brek dan kemas kini keadaan. Suriya kan raja dalam
permainan ini. Dia cuma Tuan Direktor di belakang tabir sahaja.
SUASANA dapur itu sepi sahaja. Mak Jah meneruskan kerjanya menyediakan rencah
untuk makanan tengahari nanti. Dibiarkan Suriya larut di dalam perasaannya
sendiri. Perlahan-lahan dia melihat Suriya mencapai penyapu di tepi pintu luar.
Dia buat dah. Suriya kalau di dalam keadaan kusut, memang suka mengemas.
“Mak Jah, kenapa tu?” Irma
yang baru balik dari aktiviti sekolahnya datang bertanya.
“Mana ada apa-apa.”
“Mak Jah, daun rambutan tu
tak banyak pun kat atas tanah. Mak Jah nampak tak apa yang Irma nampak ni?”
Irma tidak percaya dengan jawapan Mak Jah.
Mak Jah menjengah dari
tingkap. Oh TUHAN, Suriya sedang menggegar dahan pokok rambutan supaya daun
kering berguguran. Supaya dia boleh tenangkan diri dengan menyapu?
“Itu teknik kalau nak rasa
ala-ala musim luruh.” Mak Jah memberikan alasan.
“Hah?” Irma melopong
mulutnya. Siapa yang tidak waras? Suriya? Mak Jah? Atau dirinya. Rasanya semasa
bermain bola jaring tadi tidaklah pula bola itu ada menghentam kepalanya.
Bingung sungguh.
“Lagi satu, tadi Irma
nampak, abang Luq dalam kereta tepi jalan sana tengah hentak-hentak stereng
beberapa kali. Bila nampak Irma, dia angkat tangan dan barulah bawak kereta
laju. Kelirunya.” Irma bercerita.
Pukul stereng kereta? Mak
Jah terasa mahu ketawa. Baguslah tu. Seorang gegar pokok rambutan dan seorang
lagi hentak stereng kereta. Kan dah kata, mereka ini serasi. Mak Jah senyum
meleret.
“Mak Jah nak buat mihun
sup aje tengahari ni. Nak buat sambal kicap kebabom. Irma tolong petik cili
ya.”
“Ok.” Irma mengikut sahaja
walaupun masih lagi tidak faham apa yang berlaku. Dia mencapai mangkuk dan
plastik cili api. Dipandangnya sekilas ke arah Suriya yang masih menyapu di
laman rumah. Bersungguh-sungguh nampaknya. Penuh fokus, khusyuk dan tawaduk.
Kuat istiqamah Suriya!
“Mak Jah, cili ni nak
berapa banyak?”
“200 biji.”
“Hah? 200?” Irma terkejut.
Pertama, siapa pula yang mahu mengira satu persatu cili padi ini. Kedua, mahu
mencili siapa? Apasal isi rumah ini nampak bingung sahaja. Terkena jangkitan
kumankah?
Mak Jah ketawa.
“Agak-agak ajelah Irma.
Petang ni kita ke masjid. Kan ada kenduri.” Mak Jah memberitahu.
“Ok.” Irma segera memetik
cili. Lama di sini, entah apa lagilah arahan pelik yang akan diterima. Takut
nanti, dia pun tersampuk menggoncang dahan pokok rambutan atau menghentak
stereng kereta sampai lebam. Argh, seram! Lecehnya menjadi orang dewasa.
Banyak masalah,
banyak bingungnya.
DIA ingat dia
siapa? Suka-suka dengar perbualan orang. Suka-suka unjuk pisau suruh lukakan
tubuh dia. Kalau benar mahu buat, buat apa kelar pipi? Tikam terus. Tepat nun
di jantung. Suriya dadanya berapi. Pokok ni pun satu, kenapa tak ada daun
kering? Dah laman ni bersih sangat, apa yang nak disapu? Perit tangan menggegar
dahan rambutan itu, yang luruh tidak sampai sepuluh helai. Sungguh tidak
berbaloi.
Suriya meletakkan penyapu. Kini dia
duduk menghadap pasu Mak Jah. Rumput-rumput yang tumbuh dicabutnya. Terbayang
seperti mencabut kepala Luqman. Puasnya hati. Namun rasa puas itu tidak lama.
Sebentar sahaja. Selepas lima belas minit, semua pasu sudah bebas dari rumput,
Suriya merasa geram kembali.
“Kak Suri, telefon. Kak Aida.” Irma
datang menghampirinya.
“Oi, kata Irma kau jadi tukang
kebun? Kau cari duit tambah ke? Nak pergi haji cepat eh?” Aida di hujung talian
mengusik.
“Aku stres.”
“Erk...”
“Aku mengalami kemurungan yang
melampau.”
“Adoi, chill babe. Tenang...tenang.” Aida cuba menasihatkan.
“Aku nak bunuh orang. Bukan seorang
tapi dua, tiga orang.” Suriya masih lagi di dalam mood mahu merapu. Main cakap
aje dengan apa dia mahu cakapkan tanpa langsung berfikir.
“Kau jangan, kalau FBI rakam
perbualan kita ni, boleh masuk penjara.” Aida menegur. Nada suaranya serius
sahaja.
“FBI?”
“Ha...lah. CIA ke... Nasa ke? Bahaya tu kawan.” Aida
pula yang merapu sambil cuba menahan tawa.
“Kau ingat kita di Amerika? Yang ada
kat sini cuma Nasi goreng USA aje. Kadang-kadang nama je USA tapi rasa macam
Ulu Shah Alam.” Suriya menyergah Aida. Ingatkan dia yang tidak waras,
cis...Aida lagi tidak waras. Karut betul.
“Bercerita tentang Shah Alam, masa
aku ke sana semalam, aku terserempak dengan ayah kau.” Aida menukar cerita.
“Habis tu?” Dada Suriya jadi
berdebar dengan kuat.
“Dia tanya aku, kau ada cerita tak
kalau-kalau kau dah ada kekasih.”
“Uwa....aku nak nangis ni. Apahal
ayah aku tanya satu dunia ni pasal aku ada sesiapa ke tak? Baik umum aje kat
Nan Yang Siang Pau tu...” Suriya sudah
menjerit stres.
“Sabar, sabar.”
“Kau tahukan, aku tak nak kahwin
lagi?”
Aida diam seketika. Tahu itu
memanglah tahu tetapi kalau jodoh sudah sampai, bagaimana? Mahu tolak guna apa?
Bukan ada kuasa magis!
“Mhmm, yang aku tahu kau kena cari
sorang mamat untuk jadi kekasih kaulah supaya dia tak kacau kau.” Aida
memberikan ideanya yang bernas.
“Aku mana ada kawan dengan mana-mana
mamat.” Suriya sudah kembali tidak waras. Ingat senang mahu menyuruh orang
berlakon watak kekasih? Kalau lelaki itu tidak bijak, pasti kantoi.
“Luqman?”
Nama yang disebutkan oleh Aida itu
membuatkan Suriya terasa mahu pengsan. Tiada nama lainkah?
“Aku baru gaduh dengan dia.”
Perlahan sahaja nada suara Suriya memberitahu.
“Bagus, kau tu tak boleh tengok
keadaan cuaca dulu ke sebelum gaduh dengan orang? Sekarang baik kau pujuk dia.”
Aida mengeluarkan titah perintah dengan nada suara yang garang.
“Ala...malu.”
“Kau ada calon lain?”
“Aku boleh kata kekasih aku ada di
luar negeri.” Suriya mendapat idea baru. Ok apa. Boleh guna idea yang genius
ini tetapi mampukah dia menipu?
“Luqman.” Aida menyebut lagi nama
itu. Kali ini bunyinya lebih menggoda pula.
“Dia dah tak suka aku.”
“Luqman.”
Suriya terasa mahu mengangkat pasu
bunga yang ada disebelahnya dan menghentak kepala. Aida ini tiada nama lainkah?
Stres! Sebut berulang kali nama yang sama, mahu buat apa?
“Cari dan pujuk Luqman. Kalau ayah
kau tengok muka Luqman tu, dia mesti dapat rasa cinta Luqman yang melimpah ruah
untuk kau tu. Pasti tak kantoi. Kau tahu kenapa? Sebab dia pelakon yang
semulajadi cintakan kau. Cari dia. Aku nak sambung tidur. Da!” Aida mematikan
talian sebelum Suriya meroyan lagi.
Hampeh! Itu yang terbit di dalam
fikiran Suriya. Dan bunyi mesej pun masuk.
Aku
sayang kau walaupun kau rasa aku ni hampeh. Cari Luqman!
Cis Aida! Macam tahu-tahu sahaja apa
yang dibebelkannya. Suriya terasa dunianya gelap seketika. Hilang sudah warna
merah, ungu, biru dan kuning. Yang tinggal, hitam dan kelabu.