BERSABAR. Itu pesan
Kak Milah. Mahu sesuatu mesti ada sifat sabar. Mahu sesuatu mesti ada strategi.
Masalahnya, Suriya itu bukan sesuatu tetapi seseorang. Luqman mengeluh lalu
pergi ke sinki dan mencuci tangannya. Periuk nasi dibuka. Berasap nasi yang
baru siap dimasak. Malam ini memang dia malas mahu ke mana-mana. Penat dan
ditambah dengan hujan yang lebat maka solat Maghribnya pun di rumah saja.
“Bos, makan tak ajak.” Hairul
menegur selepas memberi salam.
“Eh, kau tak balik lagi?” Merujuk
kepada rumah sewa Hairul bersama pekerja yang lain.
“Hujan ni bos. Ni mak suruh hantar
lauk.” Hairul, jiran merangkap pekerjanya itu meletakkan mangkuk yang
ditatangnya ke atas meja.
Luqman mendekati. Pergh, ini sudah
kira rezeki. Ikan caru masak asam pedas dengan nenas. Harum bau nenas. Belum
dimakan sudah terasa kemanisannya.
“Kau dah makan belum?” tanya Luqman.
Hairul tersengih.
“Patutlah kau bawa ekstra ikan. Nak
makan sinilah tu. Mujur aku masak nasi lebih.” Luqman mengambil satu lagi
pinggan dan menceduk nasi.
“Bos masak apa?” tanya Hairul. Dia
sudah mencuci tangan juga. Makan dirumahnya riuh dengan adik-adik yang kecil.
Di sini, senyap. Perut boleh diisi dengan tenang. Tiadalah terkejut dengan
jerit tangis mereka.
“Aku bukan masterchef.”
Hairul menjengah mangkuk yang dibawa
Luqman. Kelas! Asparagus goreng belacan. Cili api goreng dengan kicap dan ikan
bilis. Telur dadar. Lauk orang bujang tetapi kelas satu sebab ada asparagus.
Kalau di rumah sewa dia, ini memang sudah syurga. Lagi-lagi dalam hujan begini.
“Jangan ingat ada ‘steak’ ya.”
Luqman mengingatkan.
“Rezeki ni bos.” Hairul sudah
menadah tangan. Terasa gelihati. Untuk Suriya, bukan main menu yang Luqman
pesankan emaknya untuk memasak. Untuk diri sendiri, masak yang mudah pula.
“Kau jangan nak ngutuk dalam hati.”
Luqman membaca doa makan dan mereka sama-sama menikmati makan malam bersama.
KERTAS itu Hairul
serahkan kepada Luqman.
“Apa ni?”
“Pelan strategi KPS.”
Luqman ketawa. Fikirnya mereka
main-main tapi nampaknya mereka serius. Sepanjang perbincangan mereka pun, dia
sudah ketawa. Idea kawan-kawannya itu tidak masuk di akal. Mengarut namun Sham
mengatakan, buktinya sudah ada. Dia sudah beristeri dua. Eksyen sungguh.
“Bos ni ketawa-ketawa pulak.” Hairul
membebel lalu meletakkan pinggan yang terakhir dicuci ke atas rak pinggan.
“Jadi adiwira. Korang nak suruh aku
jadi Superman ke apa?”
“Bos ni...buatlah macam bos
selamatkan dia. Mesti Kak Suri jatuh hati. Bayangkan dia jalan-jalan,
tergelincir dan bos angkat dia dengan gaya gagah perkasa. Tu adiwiralah tu!”
Hairul memberikan gambaran. Bosnya ini dari tadi asyik ketawa, sebab itulah
tidak dapat berfikir dengan waras agaknya.
“Yalah tu. Angkat dia. Lepas tu Suri
siku aku! Lebam tiga hari.” Luqman ketawa.
“Kita cuba idea nombor dua.” Hairul
masih lagu penuh jiwanya dengan harapan. Teringat kata Pak Mail, banyak pahala
membina masjid. Lagilah masjid antara bosnya dengan Kak Suri, pasti masjid yang
besar dan indah. Pasti banyak makmumnya.
“Idea dua?”
“Bos bagilah bunga kat Kak Suri.”
“Bunga?”
“Yalah bos. Bunga ros, bunga lili,
bunga kekwa...”
“Bunga kekwa tu bunga orang mati!”
Luqman memotong kata-kata Hairul. Alahai budak berumur 19 ini berjiwa romantik
rupanya. Jiwang karat yang tak boleh diselamatkan nampaknya. Bunga. Kos!
“Heh, susah-susah...bos bagi bunga
kobis. Tak membazir. Mak Jah boleh masak.” Hairul memberikan idea dan
kemudiannya ketawa.
“Kau ingat aku tak ada duit?” sergah
Luqman.
“Bukanlah bos. Saya tahulah walaupun
bos makan telur dadar dengan cili goreng kicap, dekat bank tu...duit bos lapan
juta.” Hairul membalas dengan bibir yang masih tersengih.
“Betulkan fakta. Sembilan, bukan
lapan.” Luqman ketawa kecil. Kipas karat betul. Ampu tahap macam nak
pilihanraya!
“Bunga sawi ok jugak bos. Goreng
dengan sos tiram. Nyaman.” Hairul mengangkat jari kanannya.
“Kau ni lapar lagi ke?”
“Tak adalah. Alhamdulillah,
kenyang.”
Luqman bangun dari duduknya dan
melihat jam di dinding.
“Kau nak ikut tak?” tanya Luqman
yang sudah mencapai kunci keretanya.
“Nak pergi beli bunga ke bos?” tanya
Hairul. Wah, lajunya bos nak bertindak cepat memikat hati Kak Suri. Terjual
juga agaknya idea-idea yang distrategikan itu.
“Malam-malam buta ni bunga dari
kayangan pun dah habis stok. Aku nak pergi syurga.” Luqman membalas. Suis kipas
angin sudah dimatikan.
“Habis tu?’
“Masjid. Isyak.” Luqman
mengingatkan.
Dan Hairul pun tersengih. Cis, nak
solat berjemaah rupanya bos. Ingatkan mahu ke kedai bunga.
“Ikut, ikut. Kata mak saya, orang
buat baik...kita kena ikut. Orang buat jahat jangan.” Hairul membalas.
“Kau ingat senang nak jadi menantu
Tok Imam?” soal Luqman yang tahu si Hairul itu menarih hati dengan Najwa, anak
bongsu imam. Sebab itulah Hairul rajin mahu ke masjid. Memanglah niatnya
sedikit tidak betul tetapi biarlah. Lama-lama ikhlaslah hati Hairul ke masjid
mahu mendapatkan pahala dan bukannya kerana mahu menjala atau memancing hati
anak Tok Imam.
“Amender ni bos.” Hairul malu-malu.
“Kau belilah bunga untuk Najwa.”
Luqman memberikan idea sambil mengunci pintu rumah. Ada nada sindiran di situ.
“Bunga dari kayangan pun dah habis
stok malam-malam buta ni.” Hairul ketawa kecil.
Luqman menoleh dan menuju ke kereta.
Lama-lama dia melayan Hairul, dia yang menjadi tidak waras.
“Bunga kantan kalau buat jambangan
cantik jugak. Lepas tengok puas-puas, amik gambar...boleh buat kerabu atau asam
pedas.” Hairul masih dengan idea
bunganya.
Luqman menggeleng. Panasaran
sungguh.
TELEKUNG dilipat.
Airmata yang terasa masih mahu luruh ditahan. Jangan jadi budak cengeng Suriya.
Walaupun hati seperti dikelar-kelar...tetaplah bertabah.
“Hey, kau ok?” tanya Aida.
Suriya mengangguk. Dia memegang
perutnya. Berbunyi.
“Kau lapar?” soal Aida. Bukan tadi
Suriya pergi makan malam di rumah ayahnya? Namun dia juga tahu, makan malam di
sana selalunya Suriya akan makan hati.
“Tak apa. Aku tak selera.” Suriya
melihat jam di meja. Sudah menghampiri sebelas malam pun. Lewat sudah.
“Kejap eh.” Aida sudah berlari
keluar dari bilik. Tidak sempat Suriya mahu menghalang.
Suriya duduk di atas lantai.
Mencapai telefon. Ada mesej. Argh, dari Luqman.
Hujan
di sini. Sepi. Terbayang wajah Suri. Tidur baik-baik.
Jangan jatuh
katil, jangan jatuh cinta dengan sesiapa...
Mabuk. Itu yang datang di fikiran
Suriya. Luqman ini sengaja mahu mengusiknya. Jiwang juga mamat ini. Sepi? Argh,
hatinya lagi sepi malah sedang merasa sangat sakit. Mengingati apa yang berlaku
di rumah ayah, terasa dada menjadi sebak.
“Nah.” Aida muncul dengan sepinggan
mi goreng.
“Mana datang ni?”
“Aku tinggalkan untuk kau.”
Suriya megambil pinggan itu. Rasa
seperti airmata yang ditahan akan luruh juga sebelum malam ini berakhir.
“Dah, jangan fikir banyak-banyak.
Makan. Nanti perut kau tu kosong. Mi goreng je. Bukan aku hidang intan
permata.” Aida memberitahu dengan nada yang memujuk.
“Kalau kau hidang intan permata,
jenuh aku nak kunyah. Mahu koyak tekak.” Suriya membalas.
Terharu kerana Aida tanpa diberitahu pun sudah dapat meneka kelukaan di
hatinya. Perlahan-lahan, Suriya menyuap mi goreng untuk meredakan perut yang
berdemonstrasi. Bukan lauk di rumah ayah tidak sedap. Masakan pembantu rumah
ayah memang enak. Namun layanan Hajah Nani membuatkan seleranya tumpul.
Hidangan udang goreng dan daging salai itu tidak berjaya menimbulkan selera
yang hilang.
“Ayah kau sihat?” tanya Aida yang
sedang menyapu losyen di seluruh kakinya.
Satu anggukan diberikan sebagai
jawapan.
“Hajah Nani?”
Suriya senyum kelat.
“Kak Damia dengan Farhan ada jugak
ke?”
“Kak Damia aje ada.”
“Oh.”
Mi goreng terus dinikmati dengan
kadar yang perlahan. Menyebut nama-nama itu memberi kesan terhadap sistem
pencernaannya barangkali.
“Apa hal kali ni?”
Suriya pun mengeluh.
“Sorry...”
Aida terasa bersalah kerana bertanya. Tapi yalah...dia khuatir jika Suriya
tiada tempat untuk bercerita. Parah jiwa nanti.
“Kata Hajah, tak payah nak sambung study. Jangan membazir duit.”
Aida berhenti menyapu losyen. Mata
terbeliak memandang Suriya. Gila kejam Hajah Nani! Geramnya mendengar. Kalaulah
ada kuasa, memang dipindahkan wanita itu ke hujung dunia supaya tidak dapat
menyakitkan hati sesiapa walaupun hati seekor kucing yang hanya menumpang lalu di
depan banglo milik Haji Firdaus itu.
“Dia kata juga, sekarang dah habis
diploma, cari kerja. Jangan harap sesen pun dari ayah.”
“Wah...cantiknya bahasa harapan
bangsa.”
“Mana ada harapan dah. Kalau ada pun,
dijelingnya dia...hilang jauh ke dalam lautan.” Suriya membuat jenaka walaupun
hati terasa luka.
Damia dihantar ayah belajar di New Zealand. Farhan anak kedua ayah yang
merupakan anak bongsu itu kini di Australia. Dia? Belajar di Malaysia saja. Itu
pun rezeki sampai peringkat Diploma sajalah nampaknya. Sesen pun jangan
harapkan? Suriya memaksa diri untuk tersenyum.
“Kau ada hak untuk sambung belajar
jugak. Tak payah sampai luar negara pun tak apa.” Aida meluahkan rasa sesal
yang berbuku di hati.
“Tak apalah Aida. Dah masanya aku
berdikari pun.”
“Selama ni pun kau berdikari
sendiri. Bukan duit dia yang kau minta. Duit ayah kau. Tu tanggungjawab ayah
kau.” Aida masih tidak puas hati.
Suriya hanya tersenyum. Terbayang
wajah Hajah Nani yang menghantar ke pintu kereta. Terngiang-ngiang kata-kata
yang berbaur ugutan khas untuk telinga dirinya saja. Di hadapan ayah, Hajah
Nani itu diam saja.
“Kereta buruk tu pun, ikutkan hati
aku...jangan harap kau dapat. Lepas ni jangan harap nak sesen pun dari ayah
kau. Kau dah besar, kau boleh berambus dari hidup aku.”
Itu kata-kata Hajah Nani yang
mencalar hati. Waktu itu terasa mahu bergerak sepantas cahaya saja beredar dari
situ. Malah terlintas di hati, mahu berjanji yang esok dia akan menghantar
kereta myvi hadiah dari ayahnya itu. Namun ketika Hajah Nani menjegilkan mata
dan cuba menunjal kepalanya, lengan baju kurung tersingkap dan gelang tangan
emak elok terletak di situ. Ya, gelang tangan milik emak yang kini menjadi
milik Hajah Nani. Maka dia memberikan salam dan beredar pergi.
“Ada masanya, elok kita undur diri
dan pergi saja.” Suriya memberitahu Aida sebelum bangun mahu menghantar pinggan
kosong ke dapur. Perut terasa senak, hati terasa sebak dan jiwa seperti harapan
yang ranap dirobohkan.