Home Novel Komedi/Romantik Komedi BICARA CINTA TERTANGGUH
Bab 2

DUDUK seorang diri mengambil angin di bawah pokok. Di tangannya ada sebuah novel yang sudah dipegang lama namun muka suratnya langsung tidak berubah. Nampak benar fikirannya entah ke mana-mana. Bukan salah garapan penulis tetapi dirinya yang tidak tenteram.

“Berangan ya?”

“Mana ada. Dah ok ke kaki Mak Jah?” Satu senyuman diberikan kepada wanita yang dihormatinya itu.

“Dah letak minyak gamat, eloklah sikit.” Mak Jah membalas.

“Macam manalah bolehh terseliuh. Mak Jah ngendap siapa kat kebun tu sampai macam ni sekali.” Suriya mengusik dan ketawa.

“Amboi ketawakan Mak Jah. Yang Mak Jah tahu, ada orang tu yang tak cukup tanah lari dari pasar.” Giliran Mak Jah pula ketawa. Usik mengusik adalah acara tidak rasmi di antara mereka berdua.

Suriya memerhatikan Mak Jah yang macam menang cabutan bertuah dan hadiahnya adalah tanah lima ekar. Amboi, sampai bergegar-gegar bahu. Tahap gembira sungguh ini. Mak Jah ada perisik kah? Pasang cctv? Canggih, Mak Jah memang canggih.

“Macam mana?” tanya Mak Jah dengan penuh teruja.

“Lauk asam pedas tadi? Sedap gila. Hirup kuah tadi aduhai...nyaman je rasa. Kerabu tu pun sedapnya. Rangup taugeh dan kacang botol, enak banget!” Suriya memberi komen dengan penuh semangat. Siap dengan slanga serupa orang Jawa saja.

“Suri ni buat-buat tak faham atau saja nak ubah tajuk?” soal Mak Jah dengan serius.

“Mana ada.”

“Suri ni semua pun mana ada.”

Dan jawapan Mak Jah itu membuatkan Suriya ketawa. Alahai mak ciknya ini. Mahu merajuk pula.

“Ok, apa yang Mak Jah nak tahu? Cuaca di pasar tadi ya? Kalau tengok termometer memanglah panas membara.”

Mak Jah ketawa. Tidak pandai mahu marah lama-lama dengan Suriya.

“Kerana Luqman?”

“Tahu pun.”

“Tak baik macam tu Suri. Dia berniat nak mengajar.”

Suriya menjegilkan matanya. Niat mahu mengajar?

“Tak betul ke? Dia kata, Suri tak pasti jadi dia ambil masa mengajar tadi. Dia telefon Mak Jah tadi dan tanya kualiti sayur dan ikan yang dia belikan. Bagus Luqman tu. Tak ramai anak muda yang elok bahasanya, elok rupanya...macam dia.” Mak Jah menyambung. Ada unsur-unsur promosi di sini.

Wajah Mak Jah tersenyum simpul apabila menyebut tentang Luqman. Suriya jadi tidak sampai hati mahu membetulkan fakta salah yang dikemukakan oleh Mak Jah. Mengajar atau mahu memalukan dia? Tidak mengapalah. Tidak sampai hati mahu mengambil kegembiraan Mak Jah.

“Dia tu siapa, Mak Jah?”

“Luqman.”

Aduhai, Mak Jah main cak ba! Memanglah namanya Luqman tapi anak siapa? Berapa umurnya? Mahu bertanya tetapi terasa malu pula.

“Mak Jah memang selalu beli sayur dengan dia? Terpikat eh?”

Dan Mak Jah ketawa lagi. Kubur pun sudah memanggil-manggil. Namun memang pun dia terpikat dengan Luqman. Sayang, dia tiada anak untuk dijodohkan dengan anak muda itu. Kalau ada, akan dipinang Luqman. Irma, anak saudaranya itu pula masih muda. Dan dia tahu, bukan dia seorang berkenan dengan Luqman. Ramai lagi. Ramai hati, baik yang muda atau yang tua tertawan dengan Luqman.

“Mak Jah ni macam tengah rancang warna pelamin aje.” Suriya mengusik.

“Kenapa? Suri dah sedia ke?”

“Menangis dengar soalan Mak Jah ni. Mak Jah lupa ya, Suri ni baru 23 tahun. Diploma pun baru habis dan Mak Jah nak suruh Suri naik pelamin? Hentikanlah apa saja angan yang ada.” Suriya senyum-senyum. Baru minggu lepas dia merdeka. Dan yang lebih penting, dengan siapa pula dia mahu dijodohkan. Bukannya dia ada calon! Masa depannya masih kabur dan tidak tentu hala.

“Kahwin awal ni banyak rahmat-NYA.”

“Mak Jah tak nak Suri belajar dan dapatkan ijazah pula?”

Senyuman menghiasi wajah tua itu. Ada harapan yang tergambar di situ.

“Mestilah mahu.”

Suriya melepaskan keluhan. Sukarnya membuat pilihan yang terbaik untuk melangkah ke arah masa depan.

“Jangan mengeluh.”

“Suri rasa macam dah penat belajar tapi...”

Wajah Suriya dikerling sekilas. Mak Jah merasa belas. Ya, dia tahu Suriya dipaksa belajar kerana memenuhi arahan Haji Firdaus. Arahan yang berupa hukuman.

“Suri doalah banyak-banyak. Minta ALLAH lembutkan hati ayah tu.”

Suriya senyum nipis. Bukan mudah. Laluan hidupnya penuh pancaroba. Semakin meningkat usia, semakin beratur masalah yang tiba walaupun sebaik mungkin dia berusaha untuk hidup baik-baik sahaja.

“Tak mahu fikirlah Mak Jah. Sementara ada masa kat sini, Suri nak ringankan otak.”

“Kalau macam tu, esok kita pergi pasar lagi!” Laju saja Mak Jah memberikan cadangan.

“Mak Jah!”

“Ok, ok. Tapi kalau esok makan ikan kering sebab Suri tak nak ke pasar, jangan salahkan Mak Jah.”

Suriya mencebik. Pasar lain kan ada. Kedai runcit pun banyak. Ke gerai Luqman? Tak payah. Entah apa pula yang akan lelaki itu sekolahkan dia nanti.

IRMA yang baru balik dari sekolah menjengah bilik Suriya. Dia mengetuk pintu.

“Dah balik?”

“Ya, letih.”

“Pergilah mandi. Bau masam.” Suriya menegur. Dengan Irma, memang dia berani menegur apa saja. Irma adalah anak saudara Mak Jah maka sudah dianggap seperti adiknya juga.

“Abang Luqman kirim salam.” Irma memberitahu sambil tersengih-sengih.

Suriya meletakkan novel yang dibaca ke ribaan.

“Siapa tu? Tak kenal pun.”

Dan Irma ketawa mengekeh.

“Anak dara jangan nak mengilai macam langsuir,” tegur Suriya. Menyampah pula apabila mendengar nama lelaki itu. Rasa geram disekolahkan terasa masih membuak-buak. Bukan salah dia jika tidak pandai atau tidak arif dengan nama sayur. Ingat dia ambil diploma di Mardi?

“Akak pun anak dara jugak dan Mak Jah kata tak baik menipu tau.” Irma membalas.

Amboi. Apasal hari ini semua orang pun nak sekolahkan dia. Suriya menolak bahu Irma. Umur baru 16, jangan nak lawan orang umur 23. Namun dia tahu, Irma bergurau saja.

“Yalah, akak tahulah siapa Luqman tu. Penjual sayur yang bermulut laser. Ngeri ok. Ngeri.” Suriya mengulang perkataan itu sambil menggosok-gosok lengannya. Konon-konon nama Luqman itu kalau disebut, mampu menaikkan bulu roma.

“Dia ada taring kak. Sweet!” Irma tersengih lagi.

La, ada orang suka Luqman rupa-rupanya. Suriya pun ketawa.

“Oh, candy crush eh?” usik Suriya.

Irma ketawa senang hati.

“Dia suka akak. Bukan Irma.”

Suriya memandang Irma. Ingat ini kisah cinta pandang pertama? Berlokasikan pasar dan pelakon sampingannya segala jenis sayur-sayuran? Argh, anak remaja. Semua pun nampak indah. Nampak mudah. Semua pun romantik. Huh!

“Suka apanya. Jangan beranganlah.”

“Serius kak. Dia kata, balik nanti kirim salam bakal surirumahtangga abang tu ya. Tak jelas lagi ke tu kak?” jawab Irma. Tadi ketika pulang dia berpapasan dengan lelaki itu.

“Pergi mandilah.” Suriya malas mahu melayan.

“Nanti kalau dia datang pinang bawa tujuh dulang...”

“Isi dengan sayur eh?” Suriya memintas kata-kata Irma dan ketawa. Bergegar bahunya. Alam dongeng manakah yang sudah kakinya melangkah hingga sebegitu fantasi anganan Irma untuk dirinya? Dia melihat Irma bangun dan termenung. Serius wajah anak gadis ini. Macam rupa mahu ambil peperiksaan Matematik Tambahan saja.

“Kenapa?”

“Kalau hantaran sayur pun, akad nikahnya tetap halal kak.”

Erk, terasa macam kena baling dengan batu. Bukan batu selemban yang kecil-kecil comel itu. Tapi batu granit saiz besar yang boleh buat halang pasir runtuh dan dinding roboh.

“Dan jangan lupa kak, kemewahan tu bukan jaminan kita akan bahagia. Ustaz Irma kata, sebaik-baik majlis perkahwinan adalah yang memudahkan pihak lelaki dan tidak membebankan. Betulkan kak?”

Perlahan-lahan tanpa rela namun kerana malu, Suriya mengangguk.

“Irma nak mandi dulu kak.” Irma keluar meninggalkan Suriya sendirian.

Suriya menyambung menung. Berdesing telinga kerana disekolahkan Irma pula. Aduh, malu sungguh. Niatnya memang hanya mahu bergurau namun gurauannya tidak bertempat pula. Argh, ini semua salah Luqman. Esok lusa, kalau bersua lagi biar giliran dia pula menyekolahkan lelaki itu.

Pelajaran yang pertama adalah, jangan suka-suka mahu ambil orang jadi surirumahtangga sedangkan dia ada wali. Kedua, dia...Suriya Hanum tidak percaya pada cinta pandang pertama, cinta pandang kedua atau cinta pandang ke sejuta. Cinta itu hanya menyusahkan. Satu keluhan dilepaskan. Potret ibu di atas meja solek itu diambil. Wajah ibu yang suram. Wajah seorang isteri yang dikecewakan oleh suami kala cinta yang disanjung rupanya hanya rasa yang menipu minda saja.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Lynn Dayana