MALAM sudah lewat.
Jam sudah hampir jam sebelas. Namun mata Suriya masih belum mahu lena.
Fikirannya masih lagi sesak. Seriuskah ayah dengan calonnya? Kalau diikutkan
perbezaan usia, antara dia dengan Damia ada beza tiga tahun. Mengikut logik,
Damialah kahwin dulu atau pun Hajah Nani ada agenda yang tersendiri? Tak baik
buruk sangka, Suriya. Dia mengingatkan diri sendiri. Tidak baik juga jika hati
penuh dengan prasangka. Argh,kusutnya hidup.
Bunyi satu SMS diterima.
Suri,
dah lena?
Argh, Luqman yang penyibuk.
Kalau
belum lena... saya nak bagitahu ni...
Tetaplah Suriya tidak membalas. Dan
telefon itu berbunyi lagi.
Saya nak
bagitahu...saya doakan tidur awak lena. Hahaha.
Sengal! Memang sengal lelaki bernama
Luqman ini. Ingat dia ini kanak-kanak? Mahu main cak ba? Usianya bukan remaja
14 tahun wahai Encik Luqman!
Jengahlah luar tingkap... saya ada
kat situ
Hah? Serta merta Suriya bangun dan
menuju ke tingkap. Biar benar? Lelaki ini sudah gila? Mahu cari pasal? Mahu
ditangkap orang kampung kerana bersikap tidak senonoh. Matanya melingas mencari
susuk tubuh Luqman. Tiada. Besembunyi di sebalik pokokkah? Suriya kembali ke
katil dan mencapai telefonnya semula.
Awak
cari saya...Suri?
Masih
mencari lagi?
Sayakan
ada dalam hati awak Suri....
Selamat
malam...lenalah tidur hendaknya. Amin.
Argh! Ada telefon yang mahu dibaling
ke dinding! Mujur waras. Luqman ini tidak sudah-sudah mempermainkan dirinya.
Mungkin ini masa terbaik untuk mempermainkan Luqman pula. Apa kata kita
sama-sama tengok wahai Encik Luqman, siapa yang akan menang! Mahu hantar SMS
yang bagaimana ya? Suriya termenung seketika.
Semoga
Luq lena tidur juga...
Mesej itu dipadam. Tidak cukup
ummph. Kurang impak. Kurang nyalarasa. Kesannya minimal dan idea pun datang.
Jari laju menaip.
Saya tak
mencari sesuatu yang saya dah ada, Luq
Oh, kalau begini pasti Luqman akan
haru biru, ungu dan kelabu. Ada karang esok, gerai Luqman buat jualan tahunan
sayur-sayuran dengan kadar yang murah. Bergembiralah para pembeli sayur Luqman.
Suriya ketawa kecil. Amacam? Berani atau tidak dia menghantar. Kasi kacau hidup
Luqman pula. Mana adil dia sahaja yang selalu dipermainkan. Dan jari pun
menekan butang hantar.
SAJADAH dilipat.
Luqman merebahkan badan ke atas tilam. Penat, memang penat. Dia harus menambah
tenaga kerja. Tidak lama lagi jika beginilah cara dia terus menguruskan
perniagaannya maka tidak mustahil tulangnya dari 206 menjadi 106 sahaja.
Telefon dicapai. Kelakar kerana dapat mengusik Suriya. Matanya terjegil. Biar
betul! Suriya membalas SMSnya. Dan Luqman ketawa. Oh Suriya pun mahu bergurau
ya.
Bibir mengukir senyuman. Hati rasa
lapang sahaja. Mata Luqman menyapa gambar yang ada di atas meja. Wajah ibu dan
ayah yang tersenyum. Kata ayah, cinta mereka hingga ke akhir usia. Kata ibu,
dia tidak mahu hidup jika bersendirian tanpa ayah. Mungkin kerana kuatnya cinta
mereka berdua menyebabkan dua hari selepas ayah meninggal dalam kemalangan
kereta, ibu pula meninggal ketika mereka sedang mengadakan majlis kenduri
arwah. Masih diingat tenangnya wajah ibu. Seolah-olah urusan dunianya sudah
selesai.
Maka kerana itu, dibahunya inilah
dia menggalas perniagaan yang ibu dan ayah tinggalkan. Mungkin juga kerana
hatinya sudah patah dan merasa kehilangan yang teramat. Dunia tanpa ayah dan
ibu terasa sangat sunyi sepi.
“Dunia ini tempat kita menumpang
Luq. Akhirat juga yang kekal. Buat apa pun, hati ni kena jaga. Solat jangan
tinggal. Ingat, ini dunia saja.” Itu pesanan ibu yang sampai kini dia ingat dan
akan diwariskan kepada anak-anaknya pula nanti.
“Kalau dah ada niat nak
beristeri..teruskan saja. Jangan tunggu. Ada belanjanya, berani jadi imam
keluarga...ayah restu. Ibu pun setuju.” Ayah pula berpesan.
Sayang, ibu dan ayah tidak sempat
diperkenalkan dengan Suriya. Dia yakin, mereka pasti akan sukakan Suriya.
InsyaALLAH. Dalam senyuman, Luqman lena dengan tenang. Terbayang wjah Suriya,
terbayang masa depan yang lebih baik dan bibir terus berzikirkan
kalimah-kalimah memuji ALLAH.
USAI solat Subuh,
gerai sudah disediakan, Luqman mengajak Latif pergi bersarapan. Jam baru pukul
enam setengah pagi namun perutnya sudah berkeriuk meminta diisi. Gerainya
disuruh Hairul yang menjaga. Hairul juga disuruh melatih seorang pekerja baru
yang digajinya. Adam. Baru habis SPM dan kerana mahu mengumpul wang sementara
menunggu keputusan, Luqman mengajak kerja bersamanya.
“Bagus juga kau ambik Adam tu.
Bisnes delivery sayur kau pun makin banyak ya.” Latif bersuara selepas mereka
duduk.
“Tu yang aku nak bincang dengan kau
ni.”
“Ada peluang baik ke?” Mata Latif
jadi bersinar.
“Tapi kau kena janji jangan
main-mainlah.”
Latif mengangkat kepalanya sedikit.
Mahu tahu apa yang dimaksudkan oleh Luqman. Siap janji-janji pula. Kejap lagi
keluar surat peguam agaknya.
“Aku dapat tender supply sayur ke
kantin.”
“Oh...” Panjang bunyi oh dari mulut
Latif.
“Lima kantin.”
“Wah! Ini berita baik. Agaknya orang
kalau nak kahwin, rezekinya murah ya.” Latif pula yang menjadi bersemangat.
Lima tender. Bukan satu tetapi lima. Mahu tak murah rezeki namanya tu!
“Aku kena bekalkan jugak sayur
kampung. Tu yang aku nak ajak kau buat sama.” Luqman mencapai bungkusan nasi
lemak yang diletakkan di atas meja. Sekarang barulah boleh makan dengan tenang.
Dan biar Latif pula yang berfikir.
“Kenapa kau tak ajak orang lain?”
“Eh, kau ni. Aku suka kat kau, aku
ajaklah kau.” Luqman menggeleng. Orang macam ini pun ada. Latif ini sihat ke
tidak? Terasa mahu ketawa ada juga. Luqman melihat sekeliling. Manalah tahu
kalau-kalau ada orang lain yang mendengar perbualan mereka. Ada juga mereka
dituduh sebagai kaum Luth.
“Kau sayang aku eh?” Latif ketawa.
“Diamlah. Makan!”
“Aku setuju, aku janji tak
main-main. Aku nak kahwin jugak.” Latif menjadi lebih teruja dan bersemangat
waja.
“Bagus. Suri malam tadi kata aku ada
dalam hati dia.”
Dan Latif pun tersedak. Luqman hanya
ketawa dan mencapai bungkusan nasi lemak yang kedua.
“Serius?”
“Kau ingat aku tipu?”
“Macam pelik aje. Entah-entah Suri
saja nak kenakan kau tak?” Latif meneka.
Sudu pun tergawang di udara. Luqman
mencapai gelas minumannya. Latif potong steam. Sengaja mahu pedajal dia.
Cemburu butalah tu!
“Kau pun ada rasa pelikkan?”
“Ada jugak.” Perlahan suara Luqman
tetapi jelas mengaku yang dia pun ada sedikit rasa curiga.
“Kau ingat Suriya tu naif? Budak tu
ada banyak idea dalam kepalanya. Kalau dia nak suka kau, dari aritu dia dah
suka kau.” Latif terus-terusan membentangkan hujahnya.
“Habis tu?”
“Habis two... tree, panaslah
bumi.” Latif ketawa terkekeh-kekeh namun kemudiannya menutup mulut menahan
ketawa. Dia menepuk bahu Luqman.
“Aku ketawa macam tadi tu tak akan
menyebabkan bisnes tender kantin tu terbubar kan?” Latif bertanya dengan
baik-baik. Apabila Luqman menggeleng, Latif menyambung tawanya. Kelakar, memang
kelakar melihat wajah panik Luqman. Kasihan sungguh. Latif mengangkat tangan
memanggil pelayan gerai. Berita gembira patut disambut dengan menggembirakan
perut.
“Roti canai 2 keping, kasi banjir.
Kasi kari kambing. Tambah satu lagi teh tarik.” Latif membuat pesanan.
“Kau makan ke mentekedarah.”
“Kau tak pernah dengar ke?
Sarapanlah seperti raja. Ni raja nak makan ni. Raja Latif.” Latif memukul
dadanya dengan gaya seorang raja yang memberi titah.
Luqman mencebik. Nasiblah kawan,
kalau bukan memang sudah ditinjunya Latif. Raja bersiung adalah. Darah raja
kapur pun tiada, mahu mengaku raja. Luqman menghirup kopi o dengan tenang.
Suriya mahu mempermainkannyakah? Hati kata tidak tetapi akak kata, oh
Luqman...kemungkinan itu ada.