Home Novel Komedi/Romantik Komedi BICARA CINTA TERTANGGUH
Bab 9

PERJALANAN pulang yang terasa sangat panjang. Fikirnya Prof Safiah mahu menyuruhnya menjadi tutor namun tekaannya silap. Malah jauh larinya. Namun datangnya tawaran itu seperti tahu-tahu saja yang ketika ini dia perlu mencari haluan diri. Nampaknya dia memang akan duduk dengan Mak Jah jika dia benar-benar menerima tawaran itu. Relaks. Tenangkan diri. Jumpa dulu dengan Nisa dan lihat segala kemungkinan yang ada. Suriya menenangkan diri.

Dia melihat beg kertas yang diletakkan di sisinya. Berisi bekas makanan milik Luqman. Kata Aida, dia tidak pandai masak nasi lemak yang sedap maka sebagai bekalan, Aida membelikannya karipap tiga biji. Cis, menyindir sungguh. Kata Aida lagi, lelaki sebaik itu jangan dilepaskan. Ketika dia bertegang urat mengatakan, bagaimana mahu tahu yang Luqman itu baik orangnya, Aida selamba menjawab yang dia berani memberikan jaminan...di punggung Luqman ada cop Sirim. Lulus untuk dipasarkan ke peringkat antarabangsa.

Sah, Aida itu sudah mengarut. Aida juga selamba memberitahu yang dia akan datang ke rumah Mak Jah kerana mahu melihat wajah Luqman. Huh! Kawan macam ini pun ada. Namun kerana kawan yang seperti Aidalah yang memberikan dia harapan untuk terus hidup. Telefon berdering dan nama Mak Jah terpapar di skrin.

“Assalamualaikum Mak Jah.”

“Waalaikumusalam, dah kat mana ni?”

“Setengah jam lagi sampai. Kenapa? Mak Jah nak jemput balik ke?” usik Suriya. Kereta Myvinya memang ada ditinggalkan di rumah. Namun Mak Jah sudah lama tidak memandu. Rabun katanya.

“Memanglah nak jemput. Mak Jah tunggu ya. Assalamualaikum.” Dan talian dimatikan.

Amboi, Mak Jah mahu ambil naik apa? Belon panaskah? Suriya menguap. Jangan fikir yang bukan-bukan. Ada masa sejam. Mari lena dulu.

MELANGKAH menuruni tangga bas, matanya terpandang figura Mak Jah. Wah betul-betul rajin Mak Jah datang menjemput. Baru hati mahu berlagu riang, rekod itu pun rosak. Jika cd, pasti kerana tercalar. Jika kaset pasti sebab berselirat. Kerana apa? Kerana dia terpandang wajah lelaki yang berdiri memeluk tubuh dengan kaki yang bersilang dan tubuhnya bersandar di kereta. Luqman.

Mak Jah melambainya. Kalau buat-buat rabun? Aduhai, saja mahu menambah dosa namanya.

“Alhamdulillah, selamat pun sampai.” Mak Jah menarik Suri ke dalam dakapan dan memeluknya erat.

Luqman yang berada di belakang Mak Jah mendepangkan tangannya juga dengan senyuman nakal menghiasi bibir. Gila. Tinggi gila angan-angan lelaki itu mahu memeluknya. Jangan mimpi. Melihat senyuman Luqman rasa seperti mahu meminjam vakum dan dengan kadar segera, terus vakum bibir lelaki itu. Vakum taringnya juga. Biar tidak menggoyah jiwa.

“Assalamualaikum Suri.” Luqman menegur.

Suri diam sahaja.

“Dosa tau tak balas.”

“Bukan muhrim pun.” Suriya membalas.

“Yalah, nanti kita kahwin oklah.”

Langkah Suriya terhenti.

“Luqman! Janganlah kacau Suri. Kami naik teksi karang.” Mak Jah menegur. Pintu kereta pun dibuka dan Mak Jah memboloskan diri masuk ke dalam. Suriya menjadi teragak-agak. Mahu ikut Mak Jah duduk di bahagian belakang, logik tak?

“Saya bukan pemandu ya.” Luqman menegur. Seolah-olah dapat membaca hati Suriya. Maka dengan hati yang jengkel, Suriya duduk juga di bahagian hadapan. Luqman terasa hatinya meriah. Berkompang paluan rebana.

“Kita pergi minum cendol dulu ya Mak Jah?”

“Boleh juga. Lama tak minum.” Mak Jah bersetuju.

Aduhai. Suriya terasa benar-benar mereka berdua ini mahu mengenakan dirinya.

“Boleh Suri?” tanya Luqman.

“Kamu pesan kacang merah letak lebih. Buah kabung pun lebih. Suri suka.” Mak Jah memberitahu.

Suriya menggigit bibir. Geram.

“Boleh Mak Jah. Lebihkan kasih, lebihkan sayang sebab dalam hati saya memang ada banyak lebihan rasa-rasa ni semua.” Luqman membalas.

Ok, sekarang masa yang elok untuk pitam. Suriya menarik nafas dalam-dalam.

“Relakslah Suri. Saya gurau. Kan Mak Jah? Gurau je. Kalau tak nak makan cendol, kita balik terus.”

“Tak apa. Lama tak makan. Panas-panas macam ni sedap makan cendol.” Suri membalas dengan sopan. Memang panas sekarang ini. Membara. Taktik dan strategi Luqman memang jahat. Tidak mungkin dia menghampakan Mak Jah yang mahukan cendol.

Luqman menjeling Suriya yang memandang ke luar tingkap. Kalau kedai cendol mereka sejauh nun di Tasik Gelugor, Pulau Pinang pun, dia pasti...Suriya akan tetap berpaling ke arah sana. Sakit leher pun rela asal tidak memandang wajahnya. Aduhai Suriya. Pandanglah walau sesaat. Kakinya pun menekan brek kereta. Melatah Mak Jah dan mata Suriya memandang kepadanya. Argh, wajah yang dirindui.

“Kenapa Luqman? Ada semut lalu ke?” tanya Mak Jah.

“Kucinglah, Mak Jah. Tak nampak ke?’

“Mujur bukan harimau.”

Suriya menahan senyum. Mereka ini memang sengaja menyeksa dirinya. Luqman pun bawa kereta dengan kelajuan yang paling tidak laju. Mengada-ngada sungguh. Pandu laju-laju kan senang! Cepat sampai, cepat balik dan cepat jugalah dia melepaskan diri dari lelaki yang banyak songehnya ini. Sejujurnya Suriya takut dengan tingkah Luqman. Entah apa agaknya yang ada di dalam fikiran lelaki itu dalam masa sesaat yang akan datang. Tidak boleh dijangka.

“Jauh lagi ke?” tanya Suriya yang semakin tidak sabar.

“Tak lari cendol dikejar, Suri.” Luqman membalas namun dia masih lagi memandu dengan perlahan. Bukan ada apa yang nak dikejar. Suriya itu tentu-tentu ada di sisi.

“Kalau dikejar. Kalau tak dikejar?”

“Jodoh tak ke mana kalau dah tertulis di atas sana.” Luqman selamba menjawab. Sah lari dari contoh jawapan peperiksaan yang boleh membawa kepada gred A. Jawapan yang begini entah-entah boleh membuatkan dakwat merah seorang guru habis dengan cepat.

Suriya menjeling. Kalau buang perkataan jodoh itu tidak bolehkah? Sengaja menambah bara. Suriya menjeling Mak Jah yang mendiamkan diri sahaja di belakang. Tidak membantu langsung malah hanya senyum-senyum sahaja. Mak Jah ini terlebih romantik.

“Aida dengan keluarga dia kirim salam tadi.” Suriya menukar tajuk pebualan.

“Waalaikumusalam. Sihat mereka semua?”

“Alhamdulillah. Mereka jemput Mak Jah datang rumah.” Suriya menyampaikan pesanan.

“Nanti kalau ada masa kita ke sana ya, Luqman.” Mak Jah bersuara.

Sepantas kilat kepala Suriya menoleh ke belakang. Sudah kenapa mahu mengajak Luqman ke sana? Mak Jah ini sihat atau tidak?

“Mereka tu macam keluarga angkat Suriya. Baik hati orangnya.” Mak Jah menyambung lagi.

“Syukur ada ramai orang yang sayang Suri.” Luqman membalas. Di dalam hati, ramai yang sayang itu boleh asalkan jangan jadi cinta.

Suriya memejam mata. Mana kedai cendol? Cepatlah muncul. Cepatlah menjelma. Ketika ini jika ada dia dan Luqman saja di dalam kereta ini, dia akan minta Luqman memberhentikan kereta. Jalan kaki ke rumah pun dia sanggup.

“Seronok di KL?” tanya Luqman.

“Ok.”

“Dapat ke apa yang dicari?”

“Mungkin.”

Luqman menoleh. Apa yang dicari Suriya? Apa atau siapa? Kenapa mulutnya ini gatal bertanyakan soalan yang sebegitu bodoh? Luqman, Luqman! Betapa tidak mahirnya engkau di dalam alam percintaan ini. Baru mahu melangkah sudah jatuh tergolek. Luqman memarahi diri sendiri.

“Haa, sampai pun. Inilah cendol yang paling sedap Suri.” Mak Jah memberitahu.

“Suri belanja Mak Jah dua mangkuk.” Suriya bergurau.

“Saya?”

Suriya memandang wajah Luqman. Bibir tidak mengeluarkan kata-kata. Bukan kedekut tetapi selama ini dia tidak pernah perasan yang lelaki ini anak matanya berwarna coklat. Ya, memang coklat.

“Mana cendolnya ni kalau asyik nak bertentang mata aje?” Soalan itu membuatkan mereka berdua segera berjalan ke arah gerai yang berada di bawah pokok itu. Luqman segera membuat pesanan. Dia bergerak juga ke gerai yang disebelah dan membeli pisang goreng serta kuih karipap.

“Makan Mak Jah. Ini inti daging.” Luqman mempelawa.

“Hisy, ajak Mak Jah aje ke?”

Ketika itu Suriya terasa seperti kepalanya mahu terhentak jatuh ke meja. Mana cendol? Cepatlah datang supaya Mak Jah dapat menikmati dan lupa seketika untuk berbicara.

“Suri, makanlah.”

Kepala dianggukkan. Ucapan terima kasih disebut dengan perlahan.

“Tu dia, datang dah.” Mak Jah ketawa kecil melihat tiga mangkuk cendol sampai ke meja.

“Cendol lebih kacang, lebih gula kabung...”

Mak Jah mengangkat tangan dan tersenyum lebar.

“Cendol lebih kasih sayang?” Adik itu bertanya sambil ketawa kecil. Mangkuk itu diletakkan di depan Suriya.

“Akak minta yang biasa je.” Suriya membalas. Muka dibuat selamba. Tidak sesekali mahu mengaku, cendol itu untuk dirinya. Pandai-pandai saja Luqman memesan. Kalau mahu, makan sendiri. Untuk dirinya, dia mahu cendol yang biasa-biasa saja.

“Habis tu akak nak yang ni ke?” tanya adik itu dengan bibir yang masih tersengih-sengih.

Ya Tuhan, terasa mahu mengelap senyuman itu dengan tuala. Tuala jenis Good Evening ya, bukan Good Morning! Letak sajalah. Apasal mahu makan cendol pun susah yang amat? Astaghfirullah. Suriya terus beristighfar di dalam hati.

“Yang ini versi apa?”

“Yang ini cendol siang terkenang, malam terbayang, seumur hidup tak mungkin dilupa.”

Lancar sungguh bicara adik ini. Skripkah? Suriya baru mahu membuka mulut apabila Luqman menunjukkan tangannya ke arah kain rentang yang tergantung. Argh, memang tagline kedai itu rupa-rupanya. Ya ALLAH, malunya! Suriya terasa telinganya merah. Fikirnya, Luqman mengupah adik ini. Aduh, mujur tidak terlepas kata. Jika tidak memang benarlah, seumur hidup tidak mungkin dilupa dan inilah kali pertama dan terakhir dia menikmati cendol di sini.

“Bagi ajelah dik. Akak tu dah haus,” Luqman menegur.

“Terima kasih.” Suriya berkata dengan perlahan. Dia mencapai sudu dan menikmati cendol itu dengan berhati-hati.

“Sudah diterima, sudah disimpan dan tidak akan dipulangkan.” Luqman membalas.

Dan tidak sampai sesaat, Suriya tersedak. Tekak perit, mata jadi merah dan hati terasa meriah.

Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Lynn Dayana