MUJUR hari ini dia
memakai seluar jeans dan kemeja sahaja. Kalau dia memakai baju kurung?
Aduilah...pasti kelam kabut. Musim demam menyebabkan beberapa pekerja yang Nisa
ambil secara upah harian tidak boleh datang. Mahu tidak mahu, dia dan Nisa
turut sama turun padang.
“Panasnya.” Suriya mengelap peluh. Entah
berapa helai tisu sudah digunakan untuk mengelap dahinya. Rambut yang terbiar
lepas pun kini sudah diikat tinggi. Beri ruang untuk lehernya disapa angin.
“Panas dunia ni.” Nisa membalas lalu
ketawa kecil. Dia sudah biasa dengan kerja ini. Panas memanglah panas walaupun
khemah yang digunakan ada kipas di bahagian tengahnya. Namun dia merasakan
wujudnya kipas itu hanya satu cubaan efek psikologi untuk membuatkan tetamu
yang hadir tetap merasa panas. Kalau majlis dibuat di ruang terbuka begini,
memang oh la la tropikalah jawabnya.
“Pergh, susah juga ya bila kita tak
ada pekerja tetap.” Suriya membalas. Pekerja Nisa yang tetap hanyalah dirinya
dan tiga orang tukang masak. Yang lain semuanya mereka ambil berdasarkan
majlis.
“Tak mampu. Aku tak mampu lagi kalau
nak gajikan pekerja tetap. Ada ramai orang suruh aku buat sekali khemah dan
meja. Tapi aku tak larat. Aku daya amik katering makanan aje.” Nisa membalas.
“InsyaALLAH kalau ada rezeki, kau
besarkan bisnes ni sebesar-besarnya.” Suriya membuat gaya mendepang tangan sambil
ketawa.
“Amboi gembiranya dia.”
Teguran itu membuatkan Nisa dan
Suriya sama-sama menoleh mencari tuan punya suara.
“Encik Hadi...semua makanan dah
sedia. Tinggal tunggu tetamu aje.” Nisa membalas. Hadi adalah pembantu Datin
Maznah yang menganjurkan majlis makan-makan untuk anak yatim di harijadi dia
hari ini.
“Sekarang tengah baca doa, kejap
lagi potong pulut kuning lepas tu bolehlah makan.” Hadi memberitahu. Matanya
memandang gadis yang diam saja di samping Nisa. Tidak pernah pula dia nampak
sebelum ini. Pekerja barukah?
“Alhamdulillah. Harap-harap pihak
datin berpuashati dengan makanan kami.” Nisa memberitahu. Ini kali ke tiga
Datin Maznah menggunakan perkhidmatan mereka. Bayarannya lumayam dan datin juga
seorang yang rendah diri dan sangat lembut orangnya.
“InsyaALLAH. Datin Maznah suka
orang-orang yang macam awak. Rajin dan jujur.” Hadi memuji.
“Oh ya, kenalkan. Ini Suriya. PA
saya.” Nisa ketawa kecil.
Suriya menganggukkan kepalanya.
Tanda hormat. Dia melihat suara riuh anak-anak kecil yang baru keluar dari
rumah. Dia memberitahu Nisa lalu mengambil stesen makanannya iaitu bahagian air
dan buah-buahan serta pemanis mulut. Hadi memerhatikan saja langkah Suriya.
Nisa pula memerhatikan saja Hadi.
“Suriya tu dah nak tunang.” Tanpa ditanya
nisa memberi informasi. Kemudiannya dia segera ke stesen lauk pauk. Membantu
adik kecil mengambil lauk. Mujurlah kau kawan sekolah aku Luqman...kalau tidak,
mahu aku suruh Suriya sambar Hadi yang bergaya ala model di majalah. Hati Nisa
berbisik.
MAJLIS tamat sekitar
jam empat. Semua peralatan sudah diangkut masuk ke dalam van mereka. Nisa
sedang berjumpa Datin Maznah dan Hadi untuk menguruskan hal bayaran. Suriya
memastikan kawasan laman rumah datin itu bersih dan kemudiannya memberikan
arahan untuk pekerja yang lainnya beredar dahulu pulang ke rumah Nisa. Sampai
di sana, peralatan mahu dicuci dan dikemaskan pula.
Telefonnya bergetar. Suriya melihat
skrin. Alamak, ayah! Dia pun menekan butang terima panggilan dengan jari yang
bergetar. Salam diberikan dengan suara yang perlahan.
“Suri sihat?”
“Alhamdulillah. Ayah?”
“Syukur, sihat. Tapi lepas pencen
ni, rasa bosan duduk rumah aje.” Haji Firdaus menambah.
Alamak, ini petunjuk atau klu?
Suriya menelan air liur.
“Bila nak datang KL lagi? Hari tu
datang kejap sangat. Tak sempat bual panjang, Suri dah balik.” Haji Firdaus
menyambung lagi.
“Mhmm, sekarang Suri baru mula kerja
ayah.” Suriya memberikan alasan. Bukan dia tidak ingat ayah namun apabila
ingatkan ayah maka ingatan itu juga membawa kepada Hajah Nani yang tidak
menyukainya. Sudahnya, dia jadi lebih rela menjauhkan diri.
“Kerja mesti ada cuti jugakan.
Datanglah melawat ayah.”
Suara ayah yang seakan-akan merayu
membuatkan Suriya terasa pedih di hatinya.
“Mak cik sihat ayah?” Suriya menukar
arah topik perbualan.
“Sihat. Mak kamu tu pun dah tak
aktif sangat dengan persatuan dia. Dah tua.” Haji Firdaus ketawa kecil. Jika
Hajah Nani mendengar, mahu merajuk seminggu dua.
“Ajaklah Kak Damia jalan-jalan ayah.
Farhan tak habis lagi belajar?” tanya Suriya. Walaupun hubungan mereka tidak
rapat tetapi mereka itu anak-anak ayah. Anak-anak ayah itu adik beradiknya
juga.
“Biarlah Farhan tu belajar setinggi
yang dia mahu. Suri tu yang tak nak belajar lagi ya. Mak kata, dia pujuk kamu
tapi kamu kata nak kerja. Betul ke?” Haji Firdaus bertanya.
Tanpa sedar mengalir airmata di pipi
Suriya apabila mendengar soalan itu. Argh, Hajah Nani itu selalu membawa berita
palsu tentang dirinya. Namun dia kasihankan ayah. Dia kini sudah dewasa dan
kasihan ayah jika selalu terpaksa menjadi orang tengah di antara mereka.
Biarlah dia yang mengalah.
“Dah kerja ni pun ayah. Yang
penting, Suri tak akan sia-siakan apa yang Suri belajar selama ini.” Suriya
mengelak dari memberikan jawapan yang nyata kepada ayahnya.
“Ayah bukan apa. Ayah tak nak Suri
rasa terpinggir. Damia ada ijazah. Farhan ni pun sekarang tengah ambik Master.”
Haji Firdaus terasa sedih.
“Ayah jangan cakap macam tu. Suri ok
dekat sini. Mak Jah pun makin tua ayah. Biarlah Suri jaga Mak Jah macam mana
Mak Jah sudi jaga Suri selama ni.” Suriya membalas dengan perlahan. Hati terasa
sebak.
Haji Firdaus jadi terdiam
mendengarkan kata-kata itu. Dia tahu, Suriya walaupun tidak mahu mengaku kepada
dirinya secara terang-terangan, anak ini lebih rela jauh daripada dekat dengan
keluarga ini. Bukan salah Suriya. Fikirnya apabila Suriya semakin dewasa, dia
akan mampu merapatkan jarak antara mereka, namun dia silap. Jarak itu kini
menjadi tembok yang kukuh.
“Hujung bulan ni balik ya Suri. Ayah
nak buat majlis makan-makan sikit.” Haji Firdaus masih berharap.
“InsyaALLAH ayah.” Suriya memberikan
janji walaupun dengan hati yang berat. Apabila talian dimatikan, sekali lagi
pipi Suriya terasa panas dibasahi airmata. Berdosakah dia membuatkan ayahnya
bersedih? Bagaimana dengan hatinya sendiri? Siapa yang peduli? Hajah Nani kata
dia sudah tidak mahu belajar lagi. Argh, TUHAN saja yang tahu.
Apalah yang Hajah Nani dengkikan dengan dirinya. Damia itu sepuluh kali
lebih cantik dari dirinya. Entah-entah 20 kali. Farhan itu anak lelaki yang
dimanjakan namun dialah permata hati Hajah Nani yang sangat pandai dalam
pelajaran hingga ditawarkan belajar ke luar negeri dan kini sedang mengambil
Master. Dia pula ada apa? Dia hanya perempuan biasa yang diuji dengan pelbagai
dugaan dalam kehidupan ini.
Telinga Suriya menangkap bunyi orang
berbual mendekati dirinya. Dia melihat Nisa dan Hadi sedang menghampiri. Suriya
cepat-cepat mengelap pipinya yang basah.
“Van dah gerak. Aku tunggu kat
kereta ya. Terima kasih Encik Hadi.” Suriya memberitahu dan segera mengatur
langkah beredar dari situ.
Hadi tidak sempat membalas sama-sama
namun Suriya sudah berpaling dan pergi. Hadi memandang Nisa.
“Biasalah. Masalah orang bercinta.”
Nisa memberikan alasan padahal dia tidak tahu apa-apa pun. Main taram saja bagi
jawapan.
“Kata dah nak tunang?” Hadi
bertanya.
“Err...dari semalam gaduh pasal
dulang hantaran.” Nisa memberikan alasan. Aduh, berapa banyak dosa yang dia
sudah lakukan hari ini. Encik Hadi ni pun satu. Pergilah terpikat dekat Kak
Seha, tukang masaknya yang merupakan janda hot.
Ini mahu tengok, jeling dan kerling si Suriya pula. Mana boleh.
“Oh...” Hadi ketawa kecil.
“Saya gerak dululah Encik Hadi.
Terima kasih ya.” Nisa meminta diri. Cek baki bayaran untuk katering mereka
sudah diambil. Mahu tunggu apa lagi? Banyak lagi peralatan yang perlu dikemas
dan cuci. Baik dia beredar. Lama di sini, makin banyak dosa kering, separuh
kering dan tidak kering yang dia akan buat.
“Hati-hati.” Hadi memberikan
pesanan. Terasa mahu berkirim salam pada Suriya tetapi tidak elok pula mahu
mengacau bakal tunang orang. Apa nak buat. Tiada rezeki mahu berkenalan dengan
Suriya yang manis nampaknya.