Home Novel Komedi/Romantik Komedi BICARA CINTA TERTANGGUH
Bab 18

MAK JAH ketawa kecil. Wajah cemberut Suriya memang mengundang kasihan tetapi masih lagi dia tidak dapat menahan diri dari ketawa. Semenjak balik jam enam tadi, Suriya tidak henti membebel. Luqman tidak profesional. Luqman samseng Kampung Dusun. Luqman itu, Luqman ini. Kamus bahasa Suriya ada nama lelaki itu sahaja agaknya. Mengaku menyampah tetapi nama lelaki itu juga yang diratibkan semenjak dari tadi.

“Dahlah tu Suri. Mak Jah tengok kamu ni dah macam deejay radio pulak. Tak berhenti membebel. Dah nak Maghrib ni. Istighfar banyak-banyak. Kampung Dusun kat mana pun kita tak tahu. Pernah kamu google?” Mak Jah menegur.

“Ala Mak Jah ni. Punyalah banyak Suri membebel, Mak Jah dengar bahagian Kampung Dusun aje?’ Suriya membalas. Memanglah dia tidak pernah menggoogle. Mungkin ada. Kalau Kampung Parit Jerman pun ada, Kampung Dusun pun tidak mustahil ada. Entah-entah satu Malaysia ini ada lapan. Satu di setiap negeri di Semenanjung ini.

Mak Jah senyum.

“Ok ke tidak kerja dengan Nisa tu?” tanya Mak Jah. Mengalih topik perbualan.

“Ok. Tapi dia tu gila kerjalah Mak Jah. Kalau ada 10 tempahan, dia akan ambik 11.” Suriya menguit-nguit badannya di atas sofa. Tulang terasa lenguh. Hari ini mereka berhempas pulas menyiapkan tiga tempahan katering.

Pertama, seorang datin mahu bersedekah nasi briyani ke rumah anak yatim seramai 75 orang. Kedua, majlis jamuan perpisahan pengetua sekolah. Majlis makan-makan untuk 25 orang. Menunya gaya untuk hi-tea jadi lebih mudah tetapi terpaksa menyediakan banyak juadah ‘finger food’. Yang terakhir adalah tempahan untuk majlis harijadi dan cukur jambul. Makanan untuk 100 orang, set nasi Arab. Suriya tidak tahu berapa biji nenas dan timur yang dia potong untuk membuat acar. Mak cik Amnah yang biasanya membuat acar, hari ini demam dan batuk. Terpaksalah dia menjadi bidan terjun.

“Rezeki ada, cukup tenaga kerja...ambik tempahan tu kira menolong orang juga. Bayangkan kalau Nisa tak ambik tempahan? Terpaksalah cari katerer lain yang mutu makanan mungkin tak sebagus Nisa.” Mak Jah merasionalkan tindakan Nisa.

“Betul juga. Tapikan... Suri tak nak tengok nenas dengan timun untuk seminggu ni.” Suriya ketawa kecil mendengar permintaan keanakannya itu. Habis tu kalau ada orang buat pesanan, mahu ditukarkan dengan apa? Acar buah?

“Mak Jah masak apa hari ni?” Suriya bertanya.

Perut terasa pedih pula. Nama saja bekerja di syarikat katering makanan tetapi mereka terlalu sibuk hinggakan makan pun cuit-cuit sedikit saja. Sekadar mengalas perut.

“Malam ni kita makan angin ajelah. Malas Mak Jah nak masak.”

“Ok. Kita suruh Irma tapaulah. Boleh?” Suriya bertanya dengan penuh harapan. Kueytiaw di simpang jalan itu sedap juga. Kerangnya banyak dan berjus. Ditambah lada jeruk, memang sesiapa lalu pun tidak akan nampak.

“Dah lewat malam ni jangan ngada nak suruh anak dara tu keluar sorang. Sekarang ni zaman penculik. Dikeratnya kamu, diambiknya organ...apa yang tinggal?”

“Piano?”

Mak Jah pun mencubit lengan Suriya yang tergantung di sofa. Dia serius dan Suriya mahu usik mengusik pula. Memang nakal.

“Adui, sorry. Suri gurau je.”

“Gurau, gurau. Ayah kamu telefon tadi.” Mak Jah memberitahu dan bangun menuju ke dapur. Mahu guraukan, mari kita bergurau!

“Ayah?”

“Ya.” Suara Mak Jah sudah sayup di dapur. Dia tahu Suriya pasti akan mengekorinya. Kalau perkataan ayah itu disebut, Suriya memang akan tidak senang duduk.

“Ayah nak apa?” Suriya mengekor Mak Jah ke dapur. Gelas diambil dan dengan lafaz bismillah dia menghirup dengan tenang. Baru dua hari lepas ayah menelefonnya, masakan hari ini sudah telefon lagi. Ada hal pentingkah? Minta-minta ayah sihat dan tiada apa-apa musibah yang melanda.

“Haji Firdaus kirim salam. Dia tanya hal kamulah.”

“Tanya apa?”

“Suri ada kekasih tak?”

Dan air yang dihirup Suriya pun tersembur keluar.

Mak Jah menoleh dan senyum. Pandai seram.

“Kenapa nak tahu tiba-tiba?” Suriya mencapai tisu dan mengelap meja. Cis, tidak senonoh betul.

Mak Jah terus dengan aktivitinya. Membuka peti ais dan mengeluarkan sayur bayam yang sudah disiangnya awal-awal. Dicuci pun sudah. Mahu dimasak tumis air saja. Goreng pula ikan kering. Asam pedas ikan merah yang dimasak tengahari tadi masih ada berbaki. Memang dimasak lebih pun supaya petang ini hanya perlu memasak sayur sahaja.

“Mak Jah...”

“Haji Firdaus ada calon kot untuk Suri.”

Dan Suri pun menarik kerusi dan duduk. Terasa lemah sendi. Berdiri lebih lama, ada juga orang yang jatuh tertumus dan cium lantai. Esok bangun pagi, hidung pun kemek. Hodohlah wajahnya yang memang tidak jelita ini.

“Dia nak cucu. Bosan duduk rumah tak buat apa. Katanya kalau ada cucu, bolehlah bergurau senda.” Mak Jah menerangkan. Tangannya laju menumis sayur. Mahu cepat siap sebelum Maghrib menjelma.

“Hajah Nani kan ada.”

“Kamu nak suruh dia beranak lagi?”

Mereka berdua sama-sama ketawa.

“Calon mana ayah tangkap Mak Jah?” Fikiran Suriya masih lagi belum tenang. Entah siapa-siapa mahu dikahwinkan dengan dirinya. Kalau ok dan bahagia hingga ke akhir hayat...syukurlah. Kalau derita selepas tok kadhi mengatakan sah? Argh itu bahaya dan sangat mengerikan. Kepala Suriya menjadi semakin pening.

“Katanya umur lelaki tu tua sikit. Dah awal 30an tapi orangnya berharta.” Mak Jah menyambung siaran langsung program drama Jodoh itu.

“Mak Jah, rasa nak pitam ni!” Suriya memicit kepalanya. Bekerja baru mencecah seminggu dan ayah sudah mahu dia berkahwin. Oh tidak!

“Darah kamu rendah ke? Esok Mak Jah belikan hati ayam. Kita buat rendang.” Mak Jah membalas.

“Eee Mak Jah ni main-mainlah.”

“Tengah masak ni. Main apanya. Mak Jah suruh kamu kawan dengan Luqman kamu yang tak mahu. Suruh kenal-kenal, tak mahu juga. Sekarang Bangla mana yang Suri nak suruh berlakon jadi kekasih?” Mak Jah melancarkan serangan peluru berpandu. Ini senjata yang tidak kenal makna belas kasihan. Nasiblah kalau hati lemah dan jiwa terasa mahu kena sawan. Peluru akan tetap Mak Jah taburkan.

“Kenapa ni Mak Jah?” Irma tiba-tiba muncul di dapur juga. Melihat Suriya yang sedang kepalanya rapat ke meja seperti orang dilanda masalah ekonomi negara yang teruk.

“Dah tutup semua tingkap?” tanya Mak Jah.

“Dah. Rapat tertutup. Semut, nyamuk, kelkatu....seekor pun tak dapat masuk.” Irma tersengih-sengih. Dia menarik kerusi dan duduk di sebelah Suriya.

“Tak lawak pun.” Suriya bersuara.

“Apasal ni? Cari gaduh nampak.” Irma menepuk lengan Suriya.

“Kalau nak tahu cerita lawak, kakak kamu tu tak lama lagi nak kahwin.” Mak Jah menutup api dapur dan mengalihkan periuk berisi sayur. Menjerangkan kuali pula kerana mahu menggoreng ikan kering gelama.

“Apa? Abang Luq pinang akak? Bila majlisnya? Huhu! Bestnya.” Irma menepuk tangan gembira. Mak Jah yang mendengar ketawa kecil. Irma, Irma! Sengaja mahu menuang diesel pada api yang marak nampaknya. Entah-entah hati Suriya sudah rentung pada waktu ini.

“Mana ada.” Suriya mencebik.

Siapa ya calon ayah? Kusut, kusut! Macam hidupnya ini tidak cukup ujian. Astaghfirullah. Berdosa betul! Suriya mengurut dadanya dan beristighfar. Maghrib begini banyak syaitan bergentayangan memporak perandakan hati manusia. Dan dialah manusia yang terpilih itu dengan hati yang jelas berkecamuk.

“Ceritalah kak.” Irma mendesak.

“Ayah akak tanya akak ada calon tak. Kalau tak ada, ayah ada calon.”

Melopong mulut Irma.

“Katanya dan 30an umurnya.”

“Euww...”

Suriya bangun dari duduknya. Mahu masuk ke bilik. Tidak mahu keluar dah. Mahu duduk diam-diam sahaja.

“Nak mandi dulu, lepas tu nak tidur.”

“Jangan ngada-ngada. Lepas solat, kita makan sama. Kamu tak solatkan? Sediakan air panas. Ceduk nasi. Penat Mak Jah masak dah ni...berani kamu tak nak makan?” Mak Jah sudah menjegilkan matanya.

“Ok.” Tidak berani Suriya mahu menderhaka kalau Mak Jah sudah menunaikan titah begitu.

“Irma, tunggu apa lagi. Nyamuk, kelkatu dengan lipas pun dah pergi ambik air sembahyang. Dah bentang sajadah. Kamu yang melopong tak habis-habis tu kenapa?” sergah Mak Jah lagi.

“Taufan dah datang. Lari!” Irma dan Suriya berlarian masuk ke rumah depan. Meninggalkan Mak Jah yang sedang menggoreng ikan kering.

Mak Jah membalikkan ikan kering gelama di dalam kuali. Dia tersenyum. Gelama oh gelama, kalau kena gayanya walau kamu citarasa kampung...tetap ada peluang menjejak ke pinggan makan istana. Mak Jah ketawa lagi. Suriya, Suriya...mahu main-main ya. Mahu lari dari Luqman ya. Tunggu!

Previous: Bab 17
Next: Bab 19

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Lynn Dayana